Thursday, March 31, 2011

Siasatan Polis Bermotif Politik Ke Atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim



Pada 30 Mac 2011, pihak polis telah mengemukakan satu notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah ke atas Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Notis tersebut mengarahkan beliau untuk hadir ke Pejabat Polis Daerah Ampang untuk disoalsiasat polis berkaitan ceramah yang beliau sampaikan pada hari Jumaat, 25 Mac 2011 di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak.
Polis,secara salah telah mengacau-ganggu ceramah sebaik saja Dato’ Seri Anwar memulakan ceramah, melakukan tangkapan tidak sah dan mengasari Ahli Parlimen Gombak yang juga Timbalan Presiden KEADILAN, YB Azmin Ali.
Penyiasatan terbaru ke atas Dato’ Seri Anwar ini di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.
Kedua akta zalim dan bercanggah dengan perlembagaan ini, lazimnya digunapakai oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menghalang kebebasan bersuara dan berhimpun.
Kami memerhatikan BN secara terus menerus bertindak di luar batas moral dan undang-undang untuk merendahtarafkan ‘rule of law’ dan menjadikan negara ini sebagai negara polis.
Jelas terbukti, BN sedang bersedia untuk menggunakan apa jua kaedah-kaedah yang jelek dan berniat jahat untuk mengukuhkan cengkaman mereka ke atas negara untuk kekal berkuasa. Di dalam sistem demokrasi berparlimen, adalah merupakan satu hak yang sah dalam konteks perlembagaan mengenai peranan Ketua Pembangkang untuk membuat kritikan dan menyediakan peranan ‘semak dan imbang’ ke atas semua tindakan dan dasar kerajaan.
Menyalahguna dan memanipulasi kuasa untuk mensasar,mencabul dan menakuti Ketua Pembangkang lebih bersifat satu bentuk serangan ke atas sistem demokrasi kita.
Penyiasatan terbaru ke atas Dato’ Seri Anwar ini jelas bermotidkan politik, berniat jahat dan satu bentuk penyelewengan kuasa polis yang terang dan jelas.
Kami mendesak agar siasatan tidak berasas ini dihentikan pada kadar segera dan semua yang bertanggungjawab menginstitusikan penyelewengan ini dihadapkan ke muka pengadilan, tanpa mengira setinggi mana kedudukan ataupun kuasa mereka.
Kami juga mendesak agar sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bertujuan untuk menyiasat penyalahgunaan dan penyelewengan Barisan Nasional atas pihak polis dan kuasa pendakwaan dalam menyerang, memalukan, menjatuhkan hukuman dan memenjarakan politisi pembangkang, aktiviti masyarakat, dan
pihak-pihak yang kritis ke atas pemerintah.
N SURENDRAN
NAIB PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT

Dipetik daripada blog Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pendidikan seks boleh kurangkan gejala sosial remaja: Napsiah


2011/03/31

ALOR GAJAH: Kajian di negara maju membuktikan pendidikan seks boleh mengurangkan masalah gejala seksual di kalangan remaja, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Napsiah Omar. 

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan Belanda banyak dicontohi negara lain di mana kurikulum yang mereka bina berfokus kepada penerapan nilai, pembentukan sikap yang positif, kemahiran dalam berkomunikasi dan kemahiran berunding, ilmu dalam aspek biologi reproduktif serta penyertaan ibu bapa.
"Punca utama kehamilan remaja adalah kerana pembabitan remaja dalam melakukan aktiviti seks ketika umur terlalu muda dan kurang pengetahuan dalam perlindungan diri dan pengaruh rakan sebaya adalah faktor yang menggalakkan remaja mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.
"Malangnya di Malaysia, pendidikan kesihatan reproduktif baru hendak bertapak apabila keadaan telah menjadi semakin serius," katanya semasa berucap merasmikan majlis penutup bengkel latihan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) untuk jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 2 di sini, hari ini. 

Napsiah berkata, banyak kajian mendapati pendidikan seks yang komprehensif boleh mengurangkan bilangan remaja mengandung, tetapi ada juga pihak tidak setuju dengan cara ini dan beranggapan ia akan menggalakkan lagi aktiviti seksual dari kalangan umur yang lebih awal. 

Beliau berkata, remaja perlu bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang tepat melalui saluran yang betul daripada profesional dan tidak bergantung kepada rakan dan internet yang besar kemungkinan salah dan boleh membahayakan diri dan masa depan mereka. 

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata modul PKRS yang akan dilaksanakan pada bulan Mei tahun ini, akan disemak dan diberi penambahbaikan dari semasa ke semasa. 
"Semua jurulatih mempunyai pengalaman yang banyak kerana mereka begitu rapat dengan pelatih dan tahu apa yang pelatih mahu dan memastikan ia tidak menimbulkan sensitiviti kepada mesyarakat," katanya. 

Seramai 1,500 orang jurulatih dari kem seluruh negara akan melaksanakan modul ini kepada lebih 70,000 pelatih PLKN. 

Modul Kesejahteraan Hidup yang dibangunkan oleh LPPKN mengandungi tujuh komponen iaitu jantina dan gender, kekeluargaan, seksualiti, tangungjawab seksual, menghindari situasi berisiko tinggi, kemahiran teknik penolakan dan hidup tanpa keganasan. - BERNAMA 

414,421 kes nahas jalan raya 2010


31/03/2011 7:17pm

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu sebanyak 414,421 kes kemalangan jalan raya yang membabitkan 6,872 kematian dilaporkan pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata berikutan kadar kemalangan dan kes kemalangan maut di negara ini yang terus meningkat, pelbagai langkah drastik diambil bagi mengatasi masalah ini.

"Antaranya meningkatkan kekerapan kempen kesedaran dan program berasaskan komuniti khususnya kepada kumpulan sasaran utama iaitu penunggang dan pembonceng motosikal yang merupakan golongan paling berisiko iaitu penyumbang kepada 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata kementerian juga meningkatkan kekerapan dan keberkesanan kempen media mengenai keselamatan jalan raya menerusi saluran perdana seperti saluran perdana menerusi media elektronik dan cetak serta rangkaian sosial Facebook dan youtube.

"Kita juga melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengurangkan kematian yang mempunyai kaitan dengan memandu terlalu laju yang menjadi 62.6 peratus daripada punca kematian.

Menurutnya, kementerian juga meningkatkan penyamaran di dalam bas, memperbanyak penguatkuasaan secara ”omni presence” melalui operasi bersepadu selain memastikan inisiatif lain bergerak selari secara berkesan.

"Ini termasuk pendekatan 5E iaitu pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan, alam sekitar dan penilaian yang menjadi kunci Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2011-2020 bagi menangani masalah ini secara holistik dan komprehensif,” katanya. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini

Serangan jantung, Malek Noor masuk ICU



31/03/2011 5:05pm

IPOH – Bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor, dimasukkan ke sebuah hospital di sini malam tadi selepas sesak nafas semasa menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak di sini.
Malek, 54, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.
Malek, yang menjadi penjaga gol, rebah secara tiba-tiba selepas lima minit perlawanan bermula, kata Pengerusi Jawatankuasa Piala Amal Menteri Besar Datuk Azhar Ahmad.
Perlawanan berkenaan menemukan pasukan pilihan Menteri Besar Perak dengan pasukan Lagenda Negara yang dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan seperti K.Gunalan, Hassan Sani, Karim Pin, Khalid Ali, Shahrin Majid, Ahmad Yusof, Shukor Salleh dan Bakri Ibni.
Malek, yang mewakili pasukan Lagenda Negara, pada mulanya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun sebelum dipindahkan ke Hospital Pantai.
"Kita sama-samalah berdoa supaya beliau cepat sembuh,” kata Azhar.
Perlawanan persahabatan itu adalah antara bekas pemain kebangsaan era 60-an hingga 90-an menentang pasukan veteran Menteri Besar Perak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pasukan Lagenda Negara menang 1- 0 pada perlawanan itu hasil jaringan Sharin Majid.
Pasukan Menteri Besar dibarisi beberapa bekas pemain Perak seperti Azizul Abu Haniffa, Ramli Talib, A. Elangovan, Roafandi Yusof, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Kok Heng dan P. Umaparam.
Lebih 1,000 penonton menyaksikan perlawanan itu. Sebanyak RM10,000 berjaya dikutip untuk disumbangkan kepada tabung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). - Bernama

Kedah digesa hentikan pembalakan



31/03/2011 5:04pm

GEORGE TOWN — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Kedah mengambil tindakan menghentikan aktiviti pembalakan di sekitar Tanjung Nering dan Kampung Bok Bak di Baling, yang didakwanya mengancam kawasan tadahan air di kawasan berkenaan.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata aktiviti pembalakan itu menyebabkan lebih 1,000 penduduk kampung tersebut berhadapan dengan masalah pencemaran air sejak dua tahun lepas.
Katanya penduduk kawasan berkenaan terpaksa menggunakan air berlumpur sebagai punca air akibat kesan daripada kegiatan pembalakan yang dilakukan berhampiran dengan kampung mereka.
"Keadaan itu amat membimbangkan, jika tindakan segera tidak diambil ia akan memberi kesan yang buruk kepada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. — Bernama

Malek Noor diserang sakit jantung ketika bermain bola


IPOH: Bekas jagoan bina badan negara, Datuk Malek Noor dikejarkan ke sebuah hospital swasta selepas diserang sakit jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di antara pasukan Menteri Besar Perak dan pasukan Pilihan Veteran Kebangsaan di Stadium Perak, malam tadi.

Malek yang menjadi penjaga gol bagi pasukan Pilihan Veteran Kebangsaan dikatakan memegang tiang gol ketika kejadian berlaku dan diberi bantuan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.
Pihak hospital yang dihubungi sebentar tadi mengesahkan keadaan Malek stabil dan sedang berehat.

Setuju lakar masa depan bagi Libya


KRISIS LIBYA
Kuasa antarabangsa mahu Gaddafi tinggalkan negara, teruskan tindakan tentera hingga resolusi PBB dipatuhi


LONDON: Kuasa-kuasa antarabangsa yang bertemu di London kelmarin hampir mencapai satu rancangan bagi pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, hidup dalam buangan. Perancis pula berkata ia sedia membincangkan bantuan ketenteraan bagi para pemberontak anti-Gaddafi.
Lebih 40 negara dan badan, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), bersetuju membentuk satu kumpulan hubungan bagi melakar masa depan Libya dan bertemu lagi secepat mungkin di Qatar.Menteri Luar Britain, Encik William Hague, yang mempengerusi sidang itu, berkata para delegasi 'setuju Encik Gaddafi dan rejimnya sudah hilang kesahannya'.Para wakil itu setuju meneruskan tindakan ketenteraan hingga Encik Gaddafi memenuhi semua syarat resolusi PBB yang memberi kuasa bagi satu zon larangan terbang dan beberapa langkah melindungi orang awam, tambahnya.Qatar pula bersetuju memudahkan penjualan minyak Libya, katanya.Kenyataan itu tidak menyebut satu rancangan hidup dalam buangan bagi Encik Gaddafi, tetapi Menteri Luar Italy, Encik Franco Frattini, memberitahu AFP mereka bersetuju 'sebulat suara' bahawa Encik Gaddafi harus tinggalkan Libya.Sejauh ini hanya Uganda yang telah menyatakan kesediaan menerima Encik Gaddafi. Usul presiden Uganda, Encik Yoweri Museveni, itu disampaikan oleh setiausaha akhbarnya, Encik Tamale Mirundi, yang membertahu agensi The Associated Press memberi suaka adalah dasar negaranya.Walaupun Encik Hague berkata Britain masih mahukan Encik Gaddafi dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, beliau enggan menafikan kemungkinan hidup dalam buangan.Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton, memberitahu wartawan satu utusan khas PBB akan melawat Tripoli bagi membincangkan pilihan Encik Gaddafi dibuang negeri.Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, dan Presiden Perancis, Encik Nicolas Sarkozy, menyeru agar sidang itu melakar satu landskap politik selepas pemergian Encik Gaddafi, selain menyelesaikan sebarang perselisihan berkaitan misi ketenteraan itu.Serangan udara selama 10 hari oleh Amerika, Perancis dan Britain telah membolehkan pemberontak berundur ke barat, walaupun mereka dihalang ketika hampir dengan bandar utama Sirte kelmarin.Pasukan Encik Gaddafi pula berjaya merampas Misrata daripada tangan pemberontak kelmarin.Menteri Luar Perancis, Encik Alain Juppe, akur usaha melatih atau mempersenjatai pemberontak tidak termasuk dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB.'Namun begitu, kami sedia membincangkan hal ini dengan sekutu kami,' katanya kepada wartawan.Cik Clinton dan Encik Hague bagaimanapun berkata isu itu tidak dibincangkan dalam sidang tersebut.Dalam satu surat kepada mesyuarat di London itu, Encik Gaddafi berkata serangan tersebut 'kejam dan tidak adil'.Dalam satu rencana pendapat bagi sebuah akhbar berpangkalan di London, Asharq Al-Awsat, selepas rundingan itu, Encik Cameron dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad Bin Jassem, berkata mereka percaya Libya boleh 'mengharapkan masa depan bebas daripada keganasan, penindasan dan ketidakpastian'. -- AFP.

Masalah bertimpa di loji nuklear Fukushima


Radiasi meresap ke tanah dan air laut, presiden firma pengendali loji alami darah tinggi


TOKYO: Usaha mengatasi krisis loji nuklear yang rosak akibat tsunami di Jepun masih banyak halangan.
Ujian ke atas air laut di luar loji itu menunjukkan paras radiasi yang bertambah. Presiden firma pengendali loji itu pula dirawat di hospital kerana tekanan darah tinggi.Hampir tiga minggu selepas tsunami melanda loji Fukushima Dai-ichi itu hingga memutuskan bekalan tenaga ke sistem penyejukannya, Tokyo Electric Power Co (Tepco) masih bertungkus lumus mengawal loji di timur laut Jepun itu.Radiasi daripada loji itu telah meresap ke dalam tanah dan air laut dan ditemui dalam hasil pertanian, susu mentah, malahan air paip sejauh Tokyo, 220 kilometer ke selatan loji itu.Tekanan yang dihadapi itu telah menyebabkan Presiden Tepco, Encik Masataka Shimizu, terlantar di hospital sejak kelmarin.Encik Shimizu, 66 tahun, tidak kelihatan di khalayak ramai sejak sidang akhbar 13 Mac lalu di Tokyo, hingga menimbulkan khabar angin bahawa beliau mengalami gangguan jiwa.Seorang jurucakap, Encik Naoki Tsunoda, semalam berkata, Encik Shimizu dimasukkan ke sebuah hospital Tokyo kerana mengalami pening kepala dan tekanan darah tinggi.Kekosongan dalam kepimpinan itu berikutan kritikan meningkat terhadap Tepco kerana kegagalannya menghentikan kebocoran radiasi itu.Tepco membuat pengakuan secara umum buat kali pertama bahawa sekurang-kurangnya empat daripada enam reaktor di loji itu akan dihentikan penggunaannya sebaik sahaja krisis itu reda, merujuk kepada air laut yang digunakan bagi menyejukkan reaktor itu dan kolam simpanan api yang telah digunakan, yang mungkin menyebabkan hakisan.Sejak 20 Mac lalu, kerajaan Jepun telah berkata seluruh loji itu mesti dihentikan penggunaannya.Semalam, pegawai keselamatan nuklear berkata air laut hingga sekitar 274 meter dari loji itu mengandungi paras iodin beradioaktif 3,355 kali had dibenarkan undang-undang.Paras ini yang tinggi sejauh ini dan satu tanda bahawa air tercemar sedang melimpah ke dalam lautan.Paras iodin-131 yang ditemui di selatan loji itu tidak mendatangkan bahaya serta merta kepada kesihatan manusia tapi masih menjadi satu 'keprihatinan', kata pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, Encik Hidehiko Nishiyama.Bahan plutonium yang amat beracun juga telah dikesan dalam tanah di luar loji itu, kata Tepco.Minggu lalu, kakitangan loji itu berjaya menyambung semula beberapa bahagian loji itu ke grid kuasa.Namun apabila mereka mengepam air untuk menyejukkan reaktor dan bahan api nuklear itu, mereka menemui air beradioaktif terkumpul di besmen beberapa bangunan serta parit-parit di luar loji itu.Tepco merancang menyembur resin di tanah sekeliling loji itu bagi menghalang debu radioaktif daripada tersebar atau masuk ke laut.Syarikat itu akan menguji kaedah itu hari ini di satu bahagian loji itu dahulu, kata Encik Nishiyama.Pemerintah juga menimbangkan untuk menutup beberapa reaktor itu dengan kain, kata Tepco. Ini diharap membolehkan pekerja berada lebih lama di kawasan lain loji itu.Angka kematian rasmi bagi bencana berganda di Jepun itu mencapai 11,257 semalam. Angka akhirnya mungkin melebihi 18,000. -- AP.

Sedih terpaksa bergantung pada isteri



PALOH HAJI DAUD – Roslan Ghazali, 49, tidak pernah terfikir suatu hari nanti dia akan lumpuh dan tidak dapat lagi bergerak seperti insan normal lain.

Suatu ketika dahulu, dia insan ceria dan suka beriadah bersama empat anak lelakinya di halaman rumah. Hinggalah tiga bulan lalu, dia tiba-tiba tidak dapat bergerak setelah terjatuh ketika dia bermain di halaman rumah bersama anak ketiganya, Abzal Azeem, 17.

Apabila dirujuk ke hospital, doktor memberitahu bahawa dia menderita sakit saraf dan kakinya lumpuh.

Walaupun terkejut besar dengan hasil pemeriksaan doktor itu namun dia pasrah dengan tragedi menimpanya.

“Saya amat kasihan dengan isteri kerana terpaksa menjaga saya kerana saya pernah menjaga ibu saya yang lumpuh 10 tahun lalu,” katanya.

Lebih menyedihkan kata Roslan, isterinya, Adina Khalil, 45, juga terpaksa mengambil alih tugasnya mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Bagaimanapun, kehidupan Razali kembali ceria apabila dia menerima sumbangan kerusi roda daripada Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Wan Mahyudin Wan Ngah yang bertandang ke rumahnya.

Sementara itu, Adina berkata, dia kini menyara keluarga dengan menjual kuih-muih yang diletakkan di kedai kopi untuk menampung perbelanjaan dua lagi anaknya yang masih bersekolah di sekolah menengah.

“Abzal Azeem masih di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam manakala adiknya, Azam Hazreq di Tingkatan Tiga di SMK Sultan Ahmad.

“Pendapatan yang saya peroleh tidak menentu dan sering kesempitan wang kerana bergantung kepada hasil jualan semata-mata, manakala bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan habis digunakan untuk membeli keperluan suami,” katanya.

Gangguan Polis, Ceramah Anwar Dipindah ke Dalam Rumah at Anwar Ibrahim



Rejim Barisan Nasional terus menunjukkan keangkuhan apabila menggunakan polis bagi menghalang program Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching.
Tindakan itu jelas menunjukkan BN di negeri itu semakin terdesak dengan sambutan luar biasa rakyat Sarawak terhadap program yang dianjurkan KEADILAN dan Pakatan rakyat, menjelang Pilihan Raya Negeri 16 April ini.
Terbaru, Anwar yang sepatutnya melancarkan bilik gerakan di Kampung Sinjan Jaya dalam Dewan Undangan
Negeri Semariang, dihalang berucap secara terbuka di halaman bilik gerakan tersebut oleh pihak polis.
Lebih teruk, pembesar suara turut dipadamkan dan Anwar terpaksa berucap tanpa menggunakan pembesar suara.
“Begini lah akibatnya jika negara ini ditabir oleh orang yang sombong. Justeru itu, rakyat Sarawak perlu bertekad untuk melakukan perubahan,” kata Anwar
Seorang pegawai polis yang hanya memperkenalkan diri sebagai Mun, dipercayai dari Balai Polis Daerah Kuching tidak membenarkan ceramah tersebut diadakan secara terbuka, meskipun rundingan dilakukan.
Terdahulu sebelum itu, di bilik gerakan Kampung Petingan dalam N8 Dun Satok, Anwar hanya dibenar berucap selama 15 minit.
Meskipun diganggu polis, ia tidak mengahalang kira-kira 1000 penduduk setempat untuk hadir mendengar penjelasan dan amanat Anwar mengenai pelbagai isu politik yang melanda tanahair.
Anwar dalam ucapan ringkasnya berkata, polis dipaksa melakukan tindakan tersebut disebabkan arahan pimpinan BN di Sarawak yang disifatkan semakin angkuh.
“Saya tahu, sudah tentu ia arahan daripada pihak atasan. Polis hanya menjalankan tugas.
Akibat ganggunan polis, ceramah Anwar terpaksa dibuat dalam bilik gerakan di N7 Dun Semariang.
“Begini lah akibatnya jika negara ini ditabir oleh orang yang sombong. Justeru itu, rakyat Sarawak perlu bertekad untuk melakukan perubahan,” kata Anwar sambil disambut tepukan daripada mereka yang hadir.
Turut menyertai program berkenaan Adun Padungan, Dominic Ng dan Ketua Angkatan Muda Sarawak, Ahmad Nazib Johari
.
Gangguan Polis, Ceramah Anwar Dipindah ke Dalam Rumah at Anwar Ibrahim

Banjir di Kedah terkawal - Azizan



ALOR SETAR 30 Mac - Kerajaan negeri menyifatkan keadaan banjir yang melanda negeri ini sejak semalam sebagai terkawal kerana hanya membabitkan 1,331 mangsa dari 35 kampung di Baling.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) memberitahu, hanya tiga daripada 14 buah pusat pemindahan banjir masih beroperasi setakat ini.
"Setakat ini banjir di Kedah boleh dikawal lagi kerana melibatkan satu kawasan di Baling sahaja, mungkin banjir kilat," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang persediaan kerajaan negeri berhubung persiapan membantu mangsa banjir di negeri ini.
Jabatan Meteorologi semalam mengeluarkan amaran hujan peringkat kuning yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai seperti di Yan, Sik dan Kuala Muda.
Azizan memberitahu, kerajaan negeri akan menubuhkan sekretariat bencana banjir di peringkat negeri sekiranya berlaku lebih daripada dua kawasan bencana di negeri ini.
"Sememangnya ada peruntukan kewangan untuk hadapi bencana negeri kalau ada bencana lebih daripada satu daerah banjir tetapi sekarang di Baling saja.
"Tetapi bila lebih daripada dua daerah sudah menjadi bencana di peringkat negeri dan tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah, kita akan tubuh sekretariat bencana dan semua agensi kerajaan akan berkerjasama.
"Sekarang kita tidak menubuhkan sekretariat lagi kerana banjir tersebut cuma di peringkat tempatan saja iaitu masalah kawasan bukan masalah negeri lagi," katanya lagi.
Menyentuh tentang mangsa ribut pula, kata Azizan setakat ini membabitkan lebih 338 buah rumah di seluruh negeri ini.
"Mereka yang terlibat sebanyak 225 buah rumah di Kota Setar, 13 buah (Kuala Muda), 18 buah (Pendang), 23 buah (Yan), 24 (Padang Terap) dan 35 (Kubang Pasu).
"Kesemua mangsa sudahpun mendapat bantuan lebih daripada RM200 bagi memperbaiki kerosakan yang terdiri daripada bumbung rumah masing-masing," katanya.

Empangan Timah Tasoh dibuka





Hujan sejak awal pagi menyebabkan air di Empangan Timah Tasoh, Kangar, Perlis terus berada pada tahap membimbangkan.


KANGAR 30 Mac – Kesemua enam pintu air di Empangan Timah Tasoh, Beseri, dekat sini terpaksa dibuka bagi mengawal paras air di Perlis berikutan banjir yang melanda negeri ini, semalam.
Bagaimanapun, banjir yang melanda seluruh negeri ini ditakrifkan sebagai banjir kilat dan keadaan dijangka pulih berikutan hujan berterusan sejak semalam telah berhenti petang ini.
Setakat ini, seramai 2,386 penduduk terpaksa ditempatkan di 25 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid memberitahu, banjir kali ini berlaku disebabkan fenomena tekanan rendah di Teluk Siam, Thailand yang mengakibatkan hujan luar biasa berlaku di Perlis sehingga mencatat bacaan 130 milimeter.
“Biasanya, hujan hanya mencatatkan bacaan purata 20 hingga 30 milimeter tetapi kali ini disebabkan fenomena di Teluk Siam, ia agak luar biasa sehingga menyebabkan paras air naik di Perlis tetapi kita menyifatkannya sebagai banjir kilat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai banjir di Bilik Gerakan Banjir di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, petang ini.
Azizan berkata, keadaan tersebut menyebabkan beberapa kawasan rendah di Perlis termasuk di ibu negeri ini dinaiki air.
“Namun, ia berbeza daripada banjir besar melanda negeri ini pada November lalu, yang mengakibatkan peningkatan paras air mendadak sehingga menenggelamkan seluruh negeri,” tambah beliau.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pelajaran Perlis berkata, enam buah sekolah ditutup hari ini berikutan banjir yang melanda.
Ia adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, SK Bukit Keteri, SK Bintong, SK Abi dan SMK Datuk Sheikh Ahmad.
“Murid di 26 sekolah melibatkan 14 SK dan 12 SMK pula dibenarkan pulang pagi ini disebabkan banjir,” katanya.
Jurucakap berkenaan menambah, operasi sekolah terbabit akan berjalan seperti biasa sebaik sahaja keadaan kembali seperti sediakala.

Ruby, Ronaldo lakukan hubungan seks



Ruby


ROM 30 Mac - Penari Maghribi, Karima El Mahroug atau Ruby yang dikaitkan dengan skandal seks Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mendakwa dia pernah mengadakan hubungan seks dengan pemain bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo.
Ruby mendakwa dia menerima sejumlah bayaran untuk melakukan hubungan seks dengan bintang bola sepak daripada Kelab Real Madrid itu.
Karima dilapor memberitahu hakim, dia pernah dibayar sebanyak 4,000 euro (RM17,078) untuk mengadakan hubungan intim dengan Ronaldo selepas bertemu pemain bola sepak itu di sebuah kelab malam di Milan pada Januari tahun lalu.
Semasa kejadian, gadis itu baru berusia 17 tahun, usia sama dia dikatakan melakukan hubungan seks dengan Berlusconi.
Sehubungan itu, pihak peguam bela Perdana Menteri itu akan memanggil Ronaldo sebagai saksi semasa perbicaraan Perdana Menteri Itali itu yang dijadual diadakan pada 6 April ini berhubung dakwaan mendapatkan khidmat seks semasa gadis itu di bawah umur dan menyalahgunakan kuasanya.
Menurut peguam bela dari firma Ghedini-Longo itu, Ronaldo merupakan seorang daripada 78 individu termasuk seorang lagi selebriti Hollywood George Clooney dan dua menteri yang sedang berkhidmat dalam kerajaan Berlusconi yang akan dipanggil sebagai saksi.
Peguam bela berkata, Clooney dan teman wanitanya, Elisabetta Canalis dilaporkan telah hadir ke parti makan malam di vila Perdana Menteri tersebut di Arcore.
Menurut pendakwa raya, majlis-majlis makan malam yang diadakan di kediaman Berlusconi itu turut menyaksikan penganjuran parti liar dan persembahan tarian bogel oleh pelacur.
Ronaldo juga sering dikaitkan dengan beberapa skandal seks sebelum ini termasuk melibatkan pelacur serta selebriti terkenal, Paris Hilton.
Dia pernah muncul sebagai pemain bola sepak yang menerima bayaran tertinggi selepas berhijrah dari Manchester United ke Real Madrid dalam satu urus niaga bernilai 80 juta pound (RM396 juta). - Agensi

Kes penculikan pelakon Bawang Putih Bawang Merah masih disiasat


JAKARTA: Polis masih menjalankan siasatan terhadap kes penculikan pelakon sinetron Bawang Merah Bawang Putih, Afifa Syahira, kata pihak keselamatan, semalam.
Jurucakap polis Metro Jaya, Baharuddin Djafar, berkata tumpuan utama siasatan adalah motif penculikan Afifa dan bagaimana dia dilarikan.

“Kes itu masih dalam peringkat siasatan dan akan dilengkapkan tidak lama lagi,” katanya.

Afifa dilaporkan hilang sejak tiga bulan lalu tetapi ibu bapanya hanya membuat laporan pada awal bulan ini.

Kata Baharuddin, siasatan mendapati Afifa dilarikan individu yang dikenalinya.

“Pihak yang menculik Afifa adalah iparnya,” katanya.

Menurut Baharuddin, ketika ini Afifa dikembalikan kepada keluarganya dan polis mempunyai seorang suspek - dikenali sebagai WW. - ID

Gadis hidap barah tulang perlu RM18,000


KUALA LUMPUR: Impian seorang gadis untuk bergelar pendidik terpaksa ditangguhkan selepas disahkan menghidap penyakit barah tulang belakang yang mula dikesan sejak awal bulan lalu.
Nurarina Mohd Shapii, 22, yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) memerlukan bantuan sebanyak RM18,000 bagi menampung kos rawatan dan pembedahan akan dijalankan dalam tempoh terdekat.

Ibunya, Asmah Sandrang, 46, berkata penyakit anaknya mula dikesan ketika anaknya mengerang kesakitan selepas bangun daripada tidur dan tidak mampu untuk bergerak menyebabkannya bertindak menghantar anaknya ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

“Arina dibawa ke PPUKM selepas menjalani pemeriksaan rapi di hospital Johor Bharu dan doktor mengesahkan dia menghidap penyakit barah tulang belakang pada tahap kritikal yang memerlukan pembedahan segera bagi mengeluarkan ketumbuhan itu.

“Saya mengharapkan Arina akan kembali sihat seperti biasa selepas menjalani pembedahan. Kami sekeluarga akan terus memberikan semangat dan sokongan agar dia dapat melawan penyakit yang menyerangnya ini selain merayu bantuan daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui di PPUKM, di sini, semalam.

Asmah seorang peniaga makanan dari Johor Bharu memperoleh pendapatan sekitar RM600 sebulan manakala suaminya, Mohd Shapii Mayuni, 52, lumpuh separuh badan sejak dua tahun lalu dan kini tidak lagi mampu untuk bekerja.

Sementara itu, Pensyarah Ortopedik dan Pembedahan Tulang Belakang, Fakulti Perubatan PPUKM, Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin, berkata penyakit barah tulang belakang yang dihidapi pesakit hingga menekan saraf tunjang menyebabkannya lumpuh separuh badan.

Menurutnya, pembedahan segera untuk mengeluarkan ketumbuhan di tulang belakang dan menggantikannya dengan menggunakan skru khas akan dijalankan dan proses pembedahan ini akan memakan masa hampir empat atau lima jam.
Orang ramai yang ingin menderma boleh memberi sumbangan melalui cek atau wang pos atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dan alamatkan sumbangan anda ke Bahagian Kewangan/ Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Nangis dihukum mati


BERSALAH...
Mariah diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman mati, semalam.
BERSALAH... Mariah diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman mati, semalam.

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang mempunyai tujuh cucu hanya mampu menangis apabila dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot, Batu Rakit, dekat sini, kira-kira dua tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang@Mamat berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. 
Mariah diwakili peguam bela Tara Singh Delip dilihat memandang ke arah ahli keluarga yang berada di galeri awam ketika hukuman dibacakan.

Mohd Yazid pada penghakimannya berkata, pihaknya mendapati keterangan tertuduh ketika membuat pembelaan diri bahawa dia hanya membawa barangan terbabit yang kemudian dikenal pasti sebagai dadah atas permintaan seorang rakan bernama Ida untuk diberikan kepada seorang individu lain yang menunggu di kawasan masjid itu tanpa mengetahui isi kandungannya adalah tidak benar.

Beliau berkata, tertuduh didapati tidak bercakap benar kerana kelihatan takut dan pucat ketika ditahan polis di lokasi kejadian menunjukkan dia tahu mengenai isi kandungan barangan di dalam plastik dibawanya itu.

Katanya, tertuduh dalam pembelaannya turut memaklumkan dia bersama suami mahu ke Kuala Berang bagi menziarah saudara suami yang tidak dikenali dan berhenti di masjid itu untuk memberikan barang dikirim Ida.

“Malah, adalah tidak munasabah tertuduh sanggup menggunakan jalan pantai dari Rantau Panjang untuk ke Kuala Berang dan singgah di masjid itu semata-mata mahu menyampaikan barang yang dikirim Ida,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mariah yang juga peniaga kedai makan didakwa mengedar heroin kira-kira jam 3.45 petang pada 3 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Isteri tekad akhiri derita



SEORANG wanita menunjukkan tingkap rumahnya yang dipalang selepas mendakwa cuba dipecahkan suaminya di Padang Sera, Jitra semalam.


JITRA – “Penderitaan selama saya hidup bersama bekas suami sangat perit dan saya sudah serik. Hanya Allah yang tahu bagaimana seksanya saya sejak bernikah dengan dia (suami) lima tahun lalu.
“Walau apa pun yang terjadi, saya tetap dengan keputusan saya dan tidak akan kembali kepadanya. Muktamad!”
Kata-kata itu diluahkan oleh seorang wanita berusia 34 tahun bagi mempertahankan dirinya selepas dia didakwa membeli surat cerai taklik palsu dari Songkhla, Thailand untuk bercerai dengan suaminya, 43.
Menurut wanita itu, dakwaan itu tidak berasas kerana dia memliki surat itu secara sah daripada The Islamic Committee of Songkhla.
Katanya, dakwaan suaminya mengatakan ia palsu dan dibeli hanyalah omongan kosong semata-mata.
“Suami saya menunjukkan perangai sebenar selepas bernikah. Dia jenis yang panas baran selain suka memukul dan menendang saya jika bertengkar.
“Sejak kami bernikah di Songkhla, Thailand pada 2006, saya terpaksa bekerja untuk menanggung perbelanjaan keluarga sedangkan dia langsung tidak ambil pusing kerana dia tinggal bersama isteri pertamanya di Arau, Perlis.

Tentera generasi baru Singapura manja




SEORANG pembaca melihat gambar anggota tentera di negara itu yang mengarah pembantu rumahnya menggalas beg sandang kepunyaannya.


SINGAPURA - Penyebaran sekeping gambar yang menunjukkan seorang pembantu rumah mengangkat beg seorang anggota tentera di negara itu menimbulkan kemarahan orang ramai yang beranggapan pasukan tentera terlalu dimanjakan, lapor sebuah akhbar semalam.
Gambar yang disiarkan oleh media Singapura dan laman-laman maya pada minggu ini menunjukkan seorang anggota tentera lelaki Singapura berpakaian seragam lengkap dan memakai but berjalan di depan tidak jauh dari pembantu rumah wanitanya.
Sementara pembantu rumah itu yang mengikut di belakang dilihat menggalas beg tersebut di bahu kirinya.
Tindakan tentera itu menerima banyak komen negatif terutama kredibiliti generasi baru Angkatan Tentera Singapura (SAF).
Mereka disifatkan sebagai lembik oleh warga Singapura dan negara lain menerusi laman Twitter dan pelbagai forum di Internet.
"Ini cuma satu insiden. Kesimpulan umum yang dapat saya buat adalah tentera itu secara luarannya nampak sedikit lembut dan dimanjakan," kata penganalisis ketenteraan di Singapura, Bernard Loo dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam.
Kementerian Pertahanan difahamkan sedang menyiasat insiden tersebut. Selain ingin mengesahkan semula keaslian gambar yang mencetus pertikaian umum sejak beberapa hari lalu.
Terdapat kajian yang menunjukkan 22 daripada 23 anggota tentera mendapatkan khidmat pembantu rumah untuk membasuh dan menggosok pakaian seragam masing-masing. Sementara 17 daripada jumlah sama mendapatkan pertolongan pembantu bagi membersihkan bilik. - AFP