Saturday, October 23, 2010

Bekas guru swasta diperintah bela diri kerana rogol pelajar bawah umur





2010/10/22

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas guru sekolah rendah swasta dalam dua tuduhan merogol seorang budak perempuan warga Singapura berusia 11 tahun, ketika itu pelajarnya. 

Hakim Duncan Sikodol, bagaimanapun, menolak satu lagi tuduhan rogol dan dua tuduhan seks oral dan sodomi terhadap Adrian Simon, 31.
Dalam keputusannya, Sikodol yang mengambil perhatian daripada bukti mangsa bahawa dia meminati tertuduh, berkata antara lain pendakwaan telah membuktikan berlaku penetrasi dan mangsa di bawah umur, oleh itu sebarang persetujuan tidak relevan.
Perbicaraan ditetapkan pada 3 November dan pihak pembela akan memanggil empat saksi termasuk tertuduh. 

Adrian tetap menghadapi tuduhan pertama (tuduhan pindaan) merogol budak perempuan itu di stor makmal sains sebuah sekolah rendah swasta dekat sini antara Februari dan Mac, 2010, antara 2.10 ptg dan 3.30 ptg. 

Atas tuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan serupa di tempat sama pada 26 Mac, pada 10.25 pagi. 

Jika didapati bersalah, Adrian boleh dihukum penjara antara lima dan 30 tahun, dan disebat atas tiap sabitan kerana melakukan rogol bawah umur di bawah Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan. 
Tertuduh diwakili oleh peguam bela, Hairul V Othman, sementara pihak pendakwaan oleh timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah dan Luke Ressa Balang. - BERNAMA

Kes Kugan: Nasib konstabel ditentu 3 Disember





2010/10/22

PETALING JAYA: Nasib Konstabel V Navindran yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A Kugan akan ditentukan Mahkamah Sesyen pada 3 Disember ini, sama ada diarah bela diri atau dilepaskan daripada pertuduhan itu. 

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Abaszafree Mohd Abbas, dan peguam bela, Datuk PM Nagarajan, yang mewakili tertuduh bersetuju dengan tarikh itu.
Prosiding bicara itu yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Azlina Rasdi berlangsung selama 25 hari, bermula 18 Februari lalu dan mengemukakan 24 saksi pendakwaan.
Navindran, 28, didakwa atas dua tuduhan yang mengakibatkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di bilik soal siasat D9, balai polis Taipan, USJ, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 4 petang pada 16 Jan tahun lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. 

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Pas kutuk penganjuran IFF



BUKIT BARU - Penganjuran Festival Fesyen Islam (IFF) di Monte Carlo, baru-baru ini merupakan satu penghinaan terhadap agama dan umat Islam. 

Setiausaha Pas Melaka, Harun Mohamad berkata, Pas Melaka mengutuk pe-nganjuran festival berkenaan kerana mereka yang terlibat dalam penganjuran boleh dianggap sebagai ‘jahil agama.’ 

Menurutnya, walaupun digelar sebagai busana Muslim, namun peraga fesyen didapati tidak menutup aurat, sambil bahagian tangan dan dada terdedah. 

“Selain itu, di pakaian salah seorang peraga fesyen turut tertera tulisan Nabi Muhammad s.a.w dalam Jawi dan diterbalikkan di bahagian dada. Ini seolah-olah menghina Nabi Muhammad serta menghina Islam. 

“Kalau dulu kita membantah karikatur yang memaparkan Nabi Muhammad, maka kali ini kita turut membantah peragaan pakaian yang sebegini,” katanya selepas menyertai demonstrasi aman membantah pengambilan tanah di hadapan Masjid Bukit Baru, di sini semalam.

Penyamun umur 13 tahun dicekup



ANTARA barangan yang dirampas daripada 'Rambo Kecik' ketika ditahan Isnin lalu.


JOHOR BAHRU – Mungkin tidak tahu apa yang hendak dibuat di rumah sejak berhenti sekolah, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bertindak melakukan kegiatan samun di sekitar Teluk Danga di sini sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff (gambar) berkata, suspek yang digelar ‘Rambo Kecik’ gara-gara bertubuh kecil, sering menggunakan pisau rambo bersaiz mini untuk mengugut mangsanya setiap kali melakukan kegiatan tersebut.
Menurut beliau, suspek juga dipercayai tidak takut dengan mangsa yang bersaiz lebih besar dan berusia, selain dikatakan tidak teragak-agak bertindak kejam termasuk mencederakan mangsanya di lorong-lorong yang sunyi di sekitar Teluk Danga di sini.
Bagaimanapun katanya, kegiatan suspek berakhir juga apabila berjaya ditangkap selepas baru menyamun seorang lelaki berusia 23 tahun pukul 1.30 petang Isnin lalu.
“Mangsa yang melawan ketika diugut supaya menyerahkan telefon bimbit oleh suspek berjaya melarikan diri sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak keselamatan di Teluk Danga.
“Suspek yang berjaya ditahan tidak lama selepas itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya

Teck Lee diumum calon SAPP PRK Parlimen Batu Sapi



23/10/2010 11:14am



SANDAKAN 23 Okt. – Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee hari ini diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini. - Utusan

Ancaman hakisan



MERSING - Sebanyak lapan buah rumah di Kampung Tanjung Balang, Pulau Tinggi bakal terjejas sekiranya masalah hakisan yang membelenggu di pesisir pantai sejak dua tahun lalu tidak diambil tindakan segera. 

Masalah hakisan menjadi bertambah buruk ekoran angin kencang dan ombak kuat pada musim tengkujuh. 

Tinjauan Sinar Harian mendapati berlaku hakisan teruk di pantai berkenaan, sehingga hampir ke kawasan rumah berdekatan. 

Ketua Kampung Pulau Tinggi, Rahaman Ali, 53, melahirkan rasa bimbang akan hakisan tersebut yang menimpa penduduk di kampung itu, lebih-lebih lagi musim tengkujuh hampir tiba. 

Katanya, kejadian hakisan tersebut berlaku hampir 1.5 meter setahun hingga menyebabkan semakin hampir dengan kawasan penempatan penduduk. 

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mok berkata, masalah tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak berwwajib beberapa bulan lalu dan masih menunggu maklum balas. 

“Saya harap pihak berkenaan mengambil langkah segera kerana dibimbangi masalah hakisan ini akan mengancam pula rumah dan keselamatan penduduk. 

“Terdapat hampir lapan buah rumah berada di kawasan ini dan mereka pernah melahirkan rasa bimbang dengan masalah itu. Mereka juga enggan berpindah kerana kawasan tersebut amat menarik untuk didiami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pulau Tinggi, di sini. 

Rahaman juga mencadangkan agar pihak berkaitan dapat membina benteng atau tembok, selain memudahkan bot-bot penduduk keluar masuk ke laut dengan selesa. 

“Sebelum ini pun sebahagian besar pantai di kampung ini telah dibina tembok penghalang hakisan, cuma di bahagian hujung kampung saja yang belum dibuat. 

“Saya memohon agar pihak berkenaan agar dapat mempercepatkan permohonan tersebut bagi mengelakkan kedatangan musim tengkujuh akan datang nanti,” ujarnya. 

Seorang penduduk, Shahruddin Ibrahim, 53, turut melahirkan rasa kebimbangan dan khuatir jika tidak diatasi segera, ia akan memberi kesan buruk di masa akan datang. 

“Saya mempunyai anak dalam golongan orang kurang upaya (OKU) dan sukar bergerak apatah lagi untuk berpindah ke tempat lain, Kami sekeluarga akan tetap tinggal di sini. 

“Cuma apa yang membimbangkan kami adalah hakisan yang berlaku dilihat semakin teruk dan bakal menjejaskan pada masa akan datang” katanya. 

Sudah hampir setahun, masalah hakisan membelenggu Pantai Teluk Ketapang yang terletak berdekatan Kampung Tok Jembal di sini. 

Keadaan itu menyebabkan kerosakan teruk bukan sahaja kepada pantai yang sering dikunjungi orang ramai tetapi infrastruktur yang dibina untuk mengindahkan kawasan tersebut. 

Masalah hakisan menjadi bertambah buruk ekoran angin kencang dan ombak kuat pada musim tengkujuh.

Kad pelancar serangan nuklear AS hilang



WASHINGTON - Seorang pesara tentera Amerika Syarikat (AS) yang pernah berkhidmat dengan bekas Presiden AS, Bill Clinton mendedahkan salah satu komponen penting dalam protokol pelancaran serangan nuklear hilang semasa Clinton menduduki Rumah Putih. 

Pendedahan itu dilakukan oleh Jeneral Hugh Shelton dalam buku terbarunya yang menceritakan pengalamannya bekerja di bawah Presiden AS. 

"Kod pelancar nuklear itu hilang selama berbulan-bulan. Itu adalah sesuatu yang serius tetapi kami bernasib baik tiada masalah timbul," katanya. 

Menerusi bukunya bertajuk ’Without Hesitation’, Shelton memberitahu kad mengandungi kod pelancar nuklear akan disimpan oleh salah seorang pembantu yang 'melekat dengan Presiden seperti gam'. 

Kod itu membenarkan Presiden membuka sebuah beg bimbit mengandungi arahan melancarkan serangan nuklear. 

"Saya pasti kehilangan kad itu tidak diketahui oleh Clinton," katanya.

Viva Palestina tiba di Gaza



GAZA - Lebih 100 kenderaan dan lori membawa aktivis kemanusiaan tiba di Genting Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir bagi menghantar bantuan bernilai hampir AS$5 juta (RM15.6 juta) kepada penduduk Palestin di wilayah itu. 

Kapal konvoi antarabangsa Viva Palestina tiba di pelabuhan Al-Arish, Mesir dari Syria, awal pagi kelmarin.: 

Hampir 300 aktivis lain tiba di Lapangan Terbang Al-Arish dan menyertai penumpang kapal Viva Palestina sebelum ke Gaza menggunakan jalan darat. 

Konvoi antarabangsa terbesar yang dianjurkan oleh ahli politik Britain, George Galloway itu disertai oleh aktivis dari Turki, Algeria, Maghribi, Jordan dan lebih 20 negara lain. 

Bagaimanapun, Galloway tidak bersama konvoi itu selepas dilarang memasuki Mesir berikutan pertembungan antara aktivis Viva Palestina daripada misi sebelum ini dengan polis Mesir di Al-Arish, 45 kilometer dari Gaza, Januari lalu. 

Perjalanan darat Viva Palestina sejauh 4,828 kilometer bermula di Britain pada 18 September lalu dan tiba di Syria, dua minggu selepas itu. 

Peserta konvoi bantuan kemanusiaan itu terkandas lebih dua minggu di Syria sementara menunggu kebenaran Kaherah untuk berlayar ke Mesir dengan membawa bantuan berupa bekalan perubatan dan alatan sekolah. 

Pegawai Hamas dan ratusan penduduk Gaza menyambut konvoi itu sambil mengibarkan bendera Palestin dan bendera negara lain yang menyertai misi itu.: 

Lebih 1.5 juta penduduk Gaza menderita kekurangan bekalan asas selepas Israel mengenakan sekatan ke atas wilayah Palestin itu atas alasan menghalang pemerintah Gaza, kumpulan pejuang Hamas daripada memperoleh senjata sejak 2007. 

Antara peserta konvoi Viva Palestina adalah penumpang kapal Mavi Marmara yang terselamat dalam serangan ganas tentera rejim ke atas konvoi Freedom Flotilla, Mei lalu.

1,000 berkumpul bantah Festival Busana Muslim



KUALA TERENGGANU – Seramai 1,000 penyokong Pas dan orang ramai hadir menyaksikan bantahan penganjuran Festival Busana Muslim di luar pekarangan Masjid Pengadang Baru, di sini, semalam.

Bantahan itu diketuai Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani yang diadakan sebaik saja selesai solat Jumaat turut menarik perhatian orang ramai yang lalu di kawasan itu. 

Azman Shapawi ketika ditemui berkata, ia bertujuan membantah tindakan penganjuran festival yang dianggap menghina syariat Islam selain tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah yang terlibat dalam festival fesyen itu selaku penganjur. 

“Pemuda Pas menentang sekeras-kerasnya kerana ia didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila salah satu fesyen mereka menulis nama Nabi Muhammad dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam. 

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Nor Hamzah dan Ketua Pemuda Pas Marang, Wan Mohd Zuki Wan Ismail. 

Bantahan dianjurkan Pemuda Pas Terengganu dan dilakukan serentak di beberapa masjid di seluruh negara melalui penganjuran peringkat Pemuda Pas Pusat. 

Selain di Masjid Pengadang Baru, bantahan turut diadakan di Masjid Batu Rakit diketuai Timbalan Ketua DPPNT, Wan Sukairi Wan Abdullah, Setiausaha DPPNT, Wan Mohd Faizul Wan Abas dan Yang Dipertua Pas Setiu, Mohd Fauzi Muda.

Pimpinan Pemuda Pas yang hadir menyampaikan ucapan selain laungan takbir yang turut disahut penyokong mereka. 

Kedua-dua perhimpunan itu berlangsung kira-kira setengah jam dan orang ramai serta penyokong Pas beredar dalam keadaan aman.

Nasib Norman dan Memey diketahui April tahun depan



KUALA LUMPUR – Nasib pelakon Norman Hakim dan Memey yang didakwa berkhalwat akan diketahui pada 15 April 2011 apabila Hakim Syarie menetapkan tarikh itu sebagai sebutan semula kes sebelum menetapkan tarikh keputusan khalwat mereka. 

Hakim Syarie Salehan Yatim, membuat keputusan itu setelah berpuas hati dengan saksi terakhir yang dikemukakan Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Muhamad Nazri Basrawi mengenai beberapa keping gambar yang dilampirkan sebagai bukti. 

Saksi Azhar Nordin, 42, dalam keterangannya berkata, ketika kejadian dia masih bertugas sebagai penguat kuasa dari Jais dan bukan sebagai jurugambar profesional tetapi menerima arahan daripada pihak atasan supaya mengambil gambar tertuduh di tempat kejadian. 

Peguam Syarie Fakhrul Azman Abu Hassan, dalam soal balasnya mengatakan sesiapa saja dalam Jais boleh mengambil gambar sekiranya diperlukan, kenyataan itu dipersetujui saksi. 

Selesai mengambil gambar di sekitar kawasan kejadian Azhar terus pergi ke kedai untuk cuci gambar kes, setelah mendapat beberapa keping gambar dia tidak tahu apa terjadi pada memori dalam kamera itu. 

Fakhrul Azman, dalam soal balasnya berkata, adakah Azhar menggunakan kamera yang sama untuk mengambil gambar anak dan isteri bersama-sama tertuduh. Azhar bersetuju dengan kenyataan itu. 

“Sikap kamu itu menunjukkan bahawa kamu bukan bertindak sebagai seorang profesional dalam menjalankan tugas,” katanya.

Jumlah perceraian meningkat 545 kes





Jumlah perceraian meningkat 545 kes 

SHAH ALAM – Sebanyak 4,614 kes perceraian direkodkan di Selangor sepanjang 2009, meningkat 545 kes berbanding 4,069 pada tahun sebelumnya. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, jumlah itu adalah satu per empat daripada jumlah pasangan mendirikan rumah tangga setiap tahun. 

“Bahagian Undang-Undang Keluarga (Jais) sentiasa berusaha memberikan perhatian utama pada pembangunan keluarga dan insan di Selangor kerana Jais yakin kecemerlangan insan bermula dari sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama. 

“Kita juga sentiasa mengumpulkan statistik nikah, cerai dan rujuk di Selangor ini agar data yang ada dapat dianalisa dan seterusnya mampu menyusun pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan bagi mengatasi masalah kekacauan dalam institusi keluarga,” katanya ketika berucapa pada majlis perasmian penutup Konvensyen Keluarga Sakinah Negeri Selangor yang disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dewan Jubli Perak, semalam. 

Mengenai konvensyen tersebut, Mohamed Khusrin berkata, ia julung kali diadakan itu dilaksanakan dalam usaha membangunkan keluarga sakinah dan seterusnya melahirkan bangsa cemerlang. 

“Konvensyen ini berjaya mengupas beberapa perkara berkaitan isu rumahtangga masa kini iaitu sifat amanah dalam berumahtangga, akidah sejahtera umat terpelihara, rahmat sekalian alam, objektif syariah dan zina tragedi sedih umat kini. 

“Saya berharap, kupasan tajuk yang disusun sedikit sebanyak membuka pemikiran kita semua selain membantu mereka yang menghadapi masalah kelesuan rumah tangga,” katanya.

Minta halal makan minum

KUANTAN: “Ketika terbaring berlumuran darah dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat meminta ibunya menghalalkan makan minumnya,” kata Abdul Rauf Salleh, 63, datuk Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14.
Menurutnya, ketika kejadian, cucunya yang juga anak kedua daripada tiga beradik tinggal bertiga bersama kakak dan adik bongsunya di rumah manakala ibunya, Noranita Abdul Rauf, 37, berada di surau berhampiran menunaikan solat Asar.

“Ketika ibunya pulang ke rumah, dia mendapati arwah terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan ketika itu arwah meminta ibunya menghalalkan makan minumnya.

“Arwah juga muntah sebelum dibawa ke klinik berhampiran oleh jiran, tetapi disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang dan terkilan kerana mangsa cucu kesayangannya, malah hubungan mereka berdua mesra.

Jenazah mangsa dikebumikan kira-kira jam 9 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Balok, di sini.

'Arwah maklumkan kurang sihat'



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/10/23

Keluarga terkilan cita-cita Inani untuk jadi doktor tidak kesampaian 

KUALA LUMPUR: ‘Kami sekeluarga terkilan kerana hasrat untuk melihat arwah jadi doktor untuk bantu masyarakat tidak kesampaian,” kata bapa Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, pelajar Malaysia di Indonesia yang ditemui mati di rumah sewanya di Bandung, kelmarin.
Zainal Abidin Ismail, 50, berkata arwah anaknya itu sebelum ini berkobar-kobar serta tidak sabar menghabiskan pengajiannya dan lebih mengejutkan mereka tidak pernah melihat anak kedua daripada lima beradik itu berkelakuan pelik atau mengadu sakit yang teruk.
“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah Sabtu lalu ketika dia menghubungi untuk bertanya khabar. Dia hanya memaklumkan kurang sihat dan batuk. Saya tak sangka itu perbualan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di Masjid Al-Ridhwan, Kampung Pasir, di Ulu Kelang, semalam. 

Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 pagi semalam dan dibawa ke Masjid Al-Ridhwan untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan selepas solat Jumaat. 

Pelajar tahun empat jurusan perubatan Universiti Padjadjaran, Bandung itu ditemui mati oleh rakan serumahnya kira-kira jam 5 pagi kelmarin, dipercayai mengalami sesak nafas. 

Zainal Abidin yang bekerja sebagai jurutera sebuah syarikat telekomunikasi di Papua New Guinea, berkata pihak hospital memaklumkan punca kematian anaknya kerana demam biasa dan mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku walaupun pemergian Inani amat mengejutkan. 
“Kami berterima kasih kepada rakan Inani yang banyak menjaga arwah sepanjang tempoh pengajian. Arwah anak yang baik dan mendengar kata. Setiap kali pulang ke rumah, dia akan menghabiskan masa bersama keluarga dan tidak suka berpeleseran di luar,” katanya.

Mahkamah tutup kes khalwat Norman, Memey





2010/10/23

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun perbicaraan kes khalwat pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey dijalankan, pihak pendakwaan semalam menutup kes berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini. 

Pendakwa Syarie, Nazri Basrawi menutup kes pendakwaan terhadap Norman Hakim atau Norhakim Zaidon, 34, dan Memey atau Suhaizah Suhaimi, 22, selepas selesai soal jawab dengan saksi terakhir, bekas Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Azhar Noordin, 42.
Ketika dihadapkan di mahkamah pada 21 Januari 2009, Norman dan Memey mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4/1A Jalan UP1, Taman Ukay Perdana Hulu Klang, di sini antara jam 1.45 pagi hingga 3 pagi, 30 Oktober 2008.
Pasangan yang baru bertunang bulan lalu itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. 

Terdahulu, Azhar dalam keterangannya, berkata beliau yakin melihat kelibat seorang lelaki berambut pendek ketika berada di bawah premis pada hari kejadian. 

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan peguam syarie mewakili pasangan itu, Fakhrul Azman Abu Hassan berhubung keterangan rakan setugasnya sebelum ini, Abdul Rahman Lai yang menyatakan tidak pernah melihat kelibat orang ketika berada di bawah bersama Azhar. 

“Saya tidak pasti pula jika Abdul Rahman Lai tidak nampak kelibat itu tetapi saya nampak dan pasti ia kelibat seorang lelaki yang juga tertuduh lelaki dalam kes ini,” katanya. 
Azhar bagaimanapun tidak berada di kedua-dua premis itu ketika serbuan dibuat dan memaklumkan beliau ke tingkat dua yang juga pejabat urusan milik Norman selepas rakan setugasnya selesai menyerbu bilik kecil yang menjadi tempat persembunyian pelakon lelaki itu. 

Hakim Syarie Salehan Yatim menetapkan 28 Januari tahun depan sebagai tarikh untuk pihak pendakwa memasukkan hujahan bertulis berhubung kes itu kepada mahkamah.

Ibu bakal pengantin yakin anak dilarikan





2010/10/23

POKOK SENA: Ibu bakal pengantin yang hilang selepas keluar ke tempat kerja di Jalan Pegawai, Alor Setar, Sabtu lalu, mengesyaki ada individu yang berniat jahat melarikan anaknya untuk tujuan yang tidak baik. 

Zaiton Abdul Halim, 58, percaya kemungkinan, Siti Sakinah Ismail, 25, yang juga anak bongsu empat beradik itu disembunyikan individu tertentu di tempat yang sukar dikesan dan dipercayai masih berada di negeri ini.
“Itu naluri saya sebagai ibu, hati saya berat mengatakan ada individu yang sembunyikan dan kemungkinan mereka masih berada di negeri ini atau paling jauh di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam, di sini, semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan Siti Sakinah yang dijangka akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang pemuda dari Kuala Sanglang, Perlis, pada 20 November ini hilang ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai, Alor Setar, Sabtu lalu. 

Siti Sakinah disedari hilang selepas pengurus tempat kerjanya menelefon ibunya pada jam 9.30 pagi bertanya mengapa dia tidak hadir ke pejabat. 

Kehilangan Siti Sakinah membingungkan keluarganya kerana kereta Perodua Viva yang dipandunya turut tidak dapat dikesan. 

Sebaik menyedari kehilangannya beberapa ahli keluarga mencarinya di sekitar Alor Setar sebelum membuat laporan polis di balai polis Pokok Sena. 
“Saya tak percaya anak melarikan diri. Ini mesti perbuatan pihak tertentu yang tidak senang apabila mengetahui dia hendak berkahwin. Saya juga tidak percaya dia berada di negara jiran (Selatan Thailand) kerana dia tidak mempunyai dokumen perjalanan ke luar,” katanya. 

Zaiton berkata, sekiranya Siti Sakinah tidak ditemui, majlis kenduri akan tetap diadakan pada 20 November ini kerana kad sudah diedarkan. 

“Saya berharap Siti Sakinah akan pulang menjelang hari perkahwinannya kerana semua persiapan sudah dibuat,” katanya.

Bapa 9 anak mohon dapatkan rumah



Lukman Omar menunjukkan sijil lulus temu duga dan peperiksaan di Kampung Sungai Keladi, Rantau Panjang, kelmarin.


RANTAU PANJANG 22 Okt. - Seorang bapa sembilan anak memohon mana-mana pihak memudahkan pemberian rumah untuknya dan keluarga yang kini terpaksa tinggal di dalam rumah setinggan yang dibina di atas rizab tanah kerajaan, sejak beberapa tahun lalu.
Lukman Omar, 35, berkata, dia yang berasal Lobok Jong di sini pernah mengikuti temuduga dan lulus bagi mendapatkan sebuah rumah sumbangan satu badan kerajaan di Taman Tengku Anis Kota Baru tahun lepas.
Bagaimanapun permohonannya ditolak yang dipercayai ada hubung kait dengan desas-desus kononnya dia telah mempunyai rumah sendiri.
Hakikatnya, dia terpaksa membina rumah kayu yang hanya mempunyai satu bilik itu di atas rizab kerajaan kerana tidak mempunyai pilihan memandangkan pendapatan yang diperoleh diibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
"Memikirkan keadaan anak-anak dan isteri yang memerlukan tempat berlindung, saya terpaksa membina rumah setinggan di tanah rizab kerajaan walaupun sedar dengan risiko yang ditanggung.
"Upah di kebun getah penduduk Kampung Sungai Keladi dengan pendapatan di bawah RM500 sebulan dan hanya untuk cukup-cukup makan. Ia berdekatan dengan rumah setinggan yang saya bina sejak kelahiran anak ke empat lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Apa yang dikesalkan Lukman, namanya telah dikeluarkan daripada senarai permohonan bantuan perumahan hujung tahun lalu tanpa disoal siasat oleh pihak-pihak yang sepatutnya.
Sedangkan rumah yang ada sekarang betul-betul hampir dengan kawasan landasan kereta api dan berhampiran dengan kebun getah penduduk setempat sekali gus memberikan perlindungan sementara kepada anak-anak.
''Rumah yang saya bina umpama setinggan itu terlalu dekat dengan landasan kereta api dan agak jauh daripada sekolah, ia menyukarkan anak-anak saya ke sekolah dan mengurangkan tumpuan mereka," ujarnya.
Menurutnya, tiga daripada anak-anaknya bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.
''Saya tahu peritnya hidup dalam kemiskinan kerana tidak mempunyai pelajaran dan keadaan itu kalau boleh jangan diwarisi anak-anak. Sebab itu saya memohon rumah yang lebih banyak kemudahan supaya anak-anak dapat belajar dengan selesa," katanya.

15 kes blog sebar fitnah dirujuk Peguam Negara


KUALA LUMPUR 22 Okt. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis sudah melengkapkan siasatan terhadap 15 kes melibatkan blog dan portal yang dikatakan menyiarkan fitnah dan tuduhan palsu.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, laporan siasatan kesemua kes itu juga sudah dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Jadi kita nak menekankan bahawa kerja-kerja siasatan dan susulan, beres di peringkat polis dan SKMM,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai desakan beberapa wakil UMNO negeri pada perhimpunan itu yang mendesak supaya kerajaan tidak lagi sekadar mengeluarkan amaran sebaliknya bertindak tegas terhadap blog penyebar fitnah dan tuduhan palsu.
Menurut Rais, kini terpulang kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada hendak memulakan pendakwaan terhadap blog dan portal berkenaan.
‘‘Saya turut bersetuju dan menyokong pandangan umum supaya penguatkuasaan undang-undang diperketatkan dan mereka yang bersalah dikenakan hukuman,’’ katanya.