SYAJARATUL ROSLI
'Ada sebab pegawai kanan SB itu ditukar' Shahidan berbual dengan beberapa pegawai kadet Kor Sispa selepas majlis pentauliahan dan perhimpunan di USM. - Foto Sinar Harian
GEORGETOWN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengesahkan pertukaran seorang pegawai kanan Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuat atas tujuan perkhidmatan.
Menurutnya, ia adalah prosedur biasa jika berlaku pertukaran dalam kalangan pegawai kerajaan dan tidak perlu dimanipulasikan.
Beliau berkata, pertukaran itu bagi tujuan perkhidmatan dan sama sekali tidak melibatkan politik bagi memilih orang tertentu yang mempunyai kepakaran masing-masing.
"Pegawai ini dimasukkan ke dalam satu unit khas bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) di JPM yang dianggotai oleh pelbagai pihak. Semua yang ada kepakaran akan dimasukkan ke unit itu untuk menjaga keamanan negara.
"Buat masa ini, Malaysia menghadapi ancaman dari banyak pihak termasuk negara luar dan media sosial. Kita rasa kena ada orang yang pakar untuk menangani masalah ini," katanya kepada media selepas majlis pentauliahan dan perhimpunan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) peringkat kebangsaan di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lagi pegawai kanan SB menerima arahan pertukaran ke JPM selepas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Akhil Bulat ditukarkan pada 28 Julai lalu.
Pegawai yang terlibat ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador.
Dalam perkembangan lain, Shahidan meminta masyarakat tidak mempercayai persepsi sebaliknya berpegang kepada fakta.
Beliau turut menafikan senarai nama pemimpin BN yang dikatakan berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan dan bercadang mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab.
"Masyarakat kini lebih mempercayai persepsi berbanding fakta. Apa yang diperjelaskan oleh kerajaan adalah benar namun tidak dipercayai. Ramai orang kerajaan tahu hukum agama. Mereka tidak akan bercakap bohong termasuk saya.
"Apabila saya kata senarai itu tidak benar, maka memang tidak benar. Jika media ada maklumat, beritahu saya. Saya akan siasat, siapa yang mulakan senarai itu, jika blog sekalipun, mesti ada pemilik. Benar ia didedahkan Timbalan Perdana Menteri, tetapi dia tak sebut nama. 20 nama itu sudah disahkan tidak terlibat. Namun, tindakan akan diambil kerana pembohongan ini agak serius," katanya.
Terdahulu, 20 nama ahli parlimen BN yang dikatakan berkomplot untuk menggulingkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri mula tersebar.