Thursday, December 4, 2014

‘Apa masalah Dr Mashitah tu?’

 Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR – [VIDEO] Pas hari ini membidas tindakan  Ketua Wanita Umno Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang didakwa menghina penghijrahan artis tanah air ke arah Islam.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar, tindakan tersebut disifatkan sesuatu yang tidak wajar kerana Islam tidak pernah menghalang mana-mana umatnya untuk menyebarkan ajaran agama melalui dakwah.

 “Apa masalah dia tu (Mashitah) terhadap isu penghijrahan artis-artis ini? Mereka ini (artis) berhijrah daripada kehidupan mereka sebelum ini ke arah kehidupan yang lebih Islamik.

“Setiap orang seharusnya menghayati hidupnya sebagai seorang Islam, bukankah ini juga ajaran yang diajarkan kepada kita?” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Khamis lalu, Mashitah ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno berkata, kebanjiran golongan artis berhijrah dan giat berdakwah kebelakangan ini seolah-olah menjadi trend selepas tidak lagi aktif dalam dunia hiburan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu ustaz ekspres: 'Saya tiada agenda peribadi']


Sementara itu, Mahfuz ketika ditemui Sinar Harian Online turut melahirkan rasa kesalnya berhubung kenyataan yang dibuat Mashitah.

“Kalau mereka mahu berkongsi atau membicarakan keinsafan mereka kepada orang lain, apa masalahnya? Itu lebih baik!”

“Lagipun, mereka (artis) tidak pernah mengaku bahawa mereka ini ustaz ekspres dan ustazah jadian sepertimana yang digelar oleh Mashitah.

“Apa yang dilakukan oleh golongan artis ini merupakan salah satu usaha yang sangat murni untuk membimbing generasi muda.

“Saya ingin nasihat pada Mashitah, sebagai orang yang ada agama (Islam) dan sebagai seorang pendakwah dia harus menghargai dan menyantuni orang lain, bukannya menempelak atau menghina mereka,” tegasnya lagi.

Anwar: Penarikan ‘Datuk Seri’, saya ambil maklum


Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung titah Sultan Selangor berhubung keputusan menarik balik Darjah Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A) hari ini.

“Saya mengambil maklum, berdasarkan kenyataan media Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, gelaran Datuk Seri telah ditarik balik berkuatkuasa 3 November 2014.

“Gelaran ini telah dikurniakan kepada saya pada tahun 1992 oleh Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tanpa saya membuat sebarang permintaan atau permohonan dan saya menjunjung kasih terhadap ihsan Almarhum Tuanku yang telah berkenan untuk mengurniakan penghormatan ini kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gelaran  ‘Datuk Seri’ Anwar ditarik]

Dalam pada itu, Anwar menambah, beliau akan tetap menjalankan tugasnya terutama dalam menjunjung Perlembagaan negara, Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen serta akan sentiasa mendokong perjuangan untuk meningkatkan martabat rakyat.

“Pada masa yang sama, saya akan terus bertugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor demi menjaga kepentingan negeri Selangor dan rakyatnya,” katanya lagi
.

Obama gesa Kongres lulus AS$6 bilion tangani Ebola

WASHINGTON: Presiden Barack Obama menggesa Kongres meluluskan peruntukan berjumlah AS$6.18 bilion bagi menangani wabak Ebola.
Katanya, walaupun penularan wabak itu sudah tidak lagi menjadi tajuk utama akhbar, perjuangan bagi membasmi virus itu masih lagi belum berakhir.
"Setiap kawasan kejadian adalah 'bara' dan jika tidak dibendung akan menjadi api yang menyemarak, justeru kita tidak boleh terlepas pandang walaupun seminit.
"Kita tidak boleh melawan wabak ini. Kita mesti memadamkannya," katanya.
Semalam Obama melawat makmal di Institut Kesihatan Nasional, di mana penyelidik minggu lalu menghasilkan percubaan pertama vaksin Ebola. - Reuters

Setiausaha Agung OIC gesa media Islam perangi fahaman ekstremisme

TEHRAN: Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Iyad Ameen Madani mahu media Islam memerangi fahaman ekstremisme yang berjaya menarik remaja Islam atas nama Islam padahal tidak mempunyai kaitan langsung dengan Islam.
"Kita harus menangani fahaman ekstremisme ini, membendung dan memahami latar belakangnya dan persekitaran yang ia muncul, ekonomi, sosial dan konteks agama," kata beliau pada majlis perasmian sesi ke-10 Persidangan Menteri-menteri Penerangan Islam yang dihoskan Iran di sini hari ini.
"Kita juga perlu mendalami penelitian kuasa-kuasa yang menggunakan pelampau wacana, pola yang bersistematik dan aura media untuk mencapai matlamat, dasar dan objektifnya," katanya.
Beliau bertanya bagaimana media Islam menangani ideologi ekstremisme dan fanatisme.
"Adakah media kita mampu memantau dengan berkesan, menjelaskan dan meliputi fenomena ini? Adakah mereka dapat membentuk golongan profesional media yang mampu memahami, mengambil langkah susulan dan mendedahkan fahaman ini yang menyemarakkan keganasan, pembunuhan dan kekejaman atas nama Islam dalam cara analisis yang objektif, atau sebaliknya adakah media kita terhad kepada tafsiran politik sempit terhadap fenomena ini dan implikasinya," katanya.
Beliau juga menyatakan fahaman pelampau dan ganas ini, bertujuan untuk merampas dan mengawal Islam, telah meniupkan sentiman anti Islam atau lebih dikenali sebagai Islamofobia.
"Ia satu trend yang percaya bahawa Islam kurang interpretasi bagi isu-isu sementara dan bahawa kita sebagai umat Islam berada di luar lingkungan sejarah, jauh terpisah daripada evolusi sosial, politik, saintifik atau budaya," katanya.
Ia juga menganggap umat Islam, kerana menjadi orang Islam dan bukan untuk sebarang objektif atau sebab-sebab sejarah, sebagai mundur, kurang upaya, dan berfikiran sempit.
"Mungkin sesuai untuk menjalankan analisis objektif tentang bagaimana sektor maklumat boleh menangani sentimen kebencian ini, bagaimana ia telah menanganinya dan menangkisnya, dan di konteks logik mana ia telah berhujah dan menangkis hujah dalam usaha untuk mengetahui jika institusi maklumat kita, di semua peringkat adalah sepadan untuk membendung fahaman ini," katanya.
Madani juga berkata dengan sektor maklumat dikehendaki untuk menangani semua cabaran ini, ia juga terikat untuk mengemukakan wacana berteraskan kesedaran untuk mengikuti perkembangan tentang kemajuan semula jadi ke arah pembaharuan, kemajuan dan mematuhi nilai-nilai keadilan menurut Islam, kesaksamaan, kebebasan beragama dan pendapat.
"Media kami dikehendaki menentang dasar perkauman dan apartheid yang diamalkan oleh Israel terhadap penduduk Palestin, dan pencabulan Masjid Al-Aqsa, yang merupakan bentuk paling mengerikan mengenai retorik kebencian," katanya.
Tambahan pula, media Islam perlu menumpukan perhatian kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam dunia Islam, supaya umat Islam dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik.
"Mungkin walaupun sekilas pandang akan menunjukkan kepada kita bagaimana media kita keberatan untuk membuat liputan mengenai acara politik, ekonomi, budaya, seni dan sukan yang berlaku dalam dunia Islam," katanya.
Sementara itu, Menteri Kebudayaan dan Bimbingan Islam Iran, Ali Jannati menegaskan tentang pentingnya perpaduan Islam yang merupakan tonggak utama kekuatan umat Islam.
"Tanggungjawab bersama kami adalah lebih berat daripada dahulu. Di bawah keadaan yang mencabar ini, dunia Islam amat memerlukan solidariti, perpaduan dan kerjasama," kata beliau dalam kenyataan pembukaannya.
Naib Presiden Pertama Iran, Eshaq Jahangiri berkata usaha perlu dibuat untuk membangunkan interaksi yang berkesan dengan media Barat untuk memberi "suara kepada umat ​​Islam dan wajah sebenar Islam dan nilai-nilai inspirasinya berdasarkan semangat persaudaraan, toleransi dan keadilan."
"Kami berpendapat bahawa interaksi dan dialog berkeupayaan untuk mewujudkan pemahaman, oleh itu merapatkan antara satu sama lain," katanya. - BERNAMA

TI: Denmark, New Zealand, Finland negara paling bersih rasuah

RABU, 3 DISEMBER 2014 @ 3:17 PM
BERLIN: Indeks Persepsi Rasuah tahunan yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) meletakkan Sudan, Korea Utara dan Somalia di tangga teratas dalam amalan rasuah sementara Denmark, New Zealand dan Finland sebagai negara paling bersih rasuah.
Ia juga melaporkan peningkatan dalam amalan rasuah di Turki dan ranking rendah bagi negara BRICs aitu Brazil, Russia, India dan China.
Rajah yang dikeluarkan oleh kumpulan yang berpusat di Berlin itu digunakan dengan meluas bagi menilai perlakuan rasuah oleh kerajaan, polis, sistem mahkamah, parti politik dan jabatan kerajaan, yang menjejaskan pembangunan dan mengakibatkan kemiskinan lebih mendalam.
"Rasuah adalah satu masalah bagi semua negara dan ia memerlukan tindakan bersama semua pusat kewangan utama di negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat bagi membendungnya," kata badan berkenaan.
Menurut TI, EU dan AS patut mencontohi Denmark dengan mewujudkan pendaftar awam bagi semua syarikat yang berpusat secara sah di negara berkenaan, dan menyenaraikan maklumat mengenai pemiliknya.
"Pendaftar awam menunjukkan siapa sebenarnya memiliki sesebuah syarikat. Langkah ini dijangka menyukarkan lagi perlakuan rasuah," kata Pengarah Urusan TI, Cobus de Swardt. - AFP

Rumah Che Isa ibarat ‘reban ayam’



CHE ISA bersama isteri dan anak mereka di hadapan bangsal yang dibina dengan buluh di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh, Kelantan semalam.


PASIR PUTEH – Gara-gara tidak mampu membayar sewa rumah, enam sekeluarga terpaksa tinggal di sebuah rumah yang dibina sendiri dengan buluh dan beratapkan rumbia di Kampung Banir Belikong, dekat sini sejak sebulan lalu.
Ketua keluarga itu, Che Isa Che Daud, 43, berkata, kayu-kayu terbuang dan pokok buluh di sekitar kampung berkenaan merupakan bahan paling berharga buatnya untuk menyiapkan kediaman bagi menempatkan isterinya, Maskah Awang, 36, bersama empat lagi anak yang berusia dua bulan hingga 22 tahun.
Menurutnya, kegagalan membayar sewa sebanyak RM350 sebulan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan pemilik rumah berkenaan mendesak supaya mereka keluar dari rumah berkenaan.
“Saya memang tidak berkemampuan untuk membayar sewa. Saya hanya bergantung harap dengan gaji hasil kerja kampung iaitu mengambil upah meracun rumput di kebun penduduk.
“Musim hujan pada penghujung tahun ini telah menyebabkan tiada permintaan kerja sebagaimana biasa. Saya akur dengan permintaan pemilik rumah berkenaan dan terpaksa berusaha membina sendiri bangsal untuk isteri dan anak berteduh,” katanya ketika ditemui di bangsal itu yang dibina di atas tanah ibu mertuanya di Kampung Banir Belikong dekat sini semalam.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi jirannya, Aziz Halim di talian 011-4943 100.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3KsgvGfZJ 
Hakcipta terpelihara