Showing posts with label ketumbuhan. Show all posts
Showing posts with label ketumbuhan. Show all posts

Tuesday, November 20, 2012

Bawa ‘beban’ 60kg

SEMAKIN BESAR...Hassan menunjukkan ketumbuhan di bahagian belakang bahu  Rohaya.
SEMAKIN BESAR...Hassan menunjukkan ketumbuhan di bahagian belakang bahu Rohaya.

TANJUNG KARANG: “Nak berjalan pun susah. Kadang-kadang nak ke rumah jiran yang tak sampai 100 meter pun ambil masa setengah jam,” kata Rohaya Mohamed Ariffin, 41, yang mempunyai benjolan menyamai ketumbuhan kronik atau dikenali sebagai lipoma di bahagian perut, belakang bahu kanan dan bawah paha kanan sejak 37 tahun lalu.
Rohaya berkata, akibat ketumbuhan itu, berat badannya kini meningkat hampir 130 kilogram (kg) dan berat lipoma itu saja dianggarkan hampir 60 kg. Ibu kepada dua anak yang tinggal di Kampung Parit Empat, Ban Tiga, Sekincan, di sini, berkata, masalah lipoma itu bermula sejak dia berusia empat tahun. Ia semakin membesar terutama selepas dia berkahwin lapan tahun lalu.

Masalah itu juga membuatkan tidur Rohaya tidak pernah lena. Setiap malam dia hanya mampu tidur tidak lebih daripada tiga jam sebelum terjaga kerana bahagian lipoma itu menjadi kebas.

“Saya tak boleh tidur dalam keadaan telentang dan mengiring, jadi saya terpaksa baring dalam keadaan senget. Bahagian lipoma itu kemudian akan menjadi kebas mengakibatkan saya terjaga dari tidur,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rohaya juga sukar bergerak kerana cepat berasa penat disebabkan terpaksa membawa ‘beban’ yang berat itu. Dia juga tidak boleh duduk atau tidur di atas lantai kerana ia akan menyukarkannya untuk bangun. “Saya pernah menjalani pembedahan membuang beberapa bahagian yang membengkak itu ketika berusia 11 tahun, tetapi ia semakin membesar,” katanya.

Katanya, dia pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh beberapa tahun lalu dan doktor memaklumkan ketumbuhan itu boleh dibuang dengan kos mencecah RM50,000.


Rohaya berkata, pendapatan suaminya, Hassan Zakaria, 47, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah di sini, tidak mampu menampung kos kehidupan mereka sekeluarga termasuk dua anak perempuan iaitu Nurul Hasanah Sathiah, 7, dan Nurul Hasanah Faziha, 4, apatah lagi untuk kos pembedahan berkenaan.

Katanya, beberapa bulan lalu dia menghidap demam panas hingga mengakibatkan ketumbuhan di badannya melecet dan berair.

“Mujur saya tidak mengalami penyakit kencing manis atau darah tinggi. Saya reda dan pasrah kerana segalanya ketentuan Ilahi,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Rohaya boleh menghubungi nombor telefon 019-6405286.

Saturday, July 24, 2010

Penderitaan Nur Umairah semakin menyedihkan




HASLIZA Harun (kanan) memerhati keadaan Nur Umairah Mohd. Zaidi di Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil, Baling, semalam.




BALING 23 Julai - Penderitaan Nur Umairah Mohd. Zaidi, bayi perempuan berusia enam bulan yang mengalami masalah ketumbuhan di kepala dan mengalami kecacatan bibir kini semakin menyedihkan.
Ini kerana kepala Nur Umairah semakin membesar, hampir menyamai dua kali saiz kepala orang dewasa.
Dengan berat kepala hampir empat kilogram, Nur Umairah tidak lagi mampu untuk menggerakkan kepalanya seperti bayi lain yang seusia dengannya.
Menurut ibunya, Norbaizura Dol, 29, keadaan kepala anaknya yang membesar dan menonjol itu membuatkan Nur Umairah semakin sukar untuk menggerakkan kepala biarpun badannya aktif bergerak.
Katanya, sejak dua bulan lalu dia mendapati kandungan air di dalam kepala anaknya semakin bertambah sehingga menyebabkan dia hanya mampu menggerakkan badannya.
"Sejak dua bulan ini, keadaan kepala Nur Umairah semakin membesar hampir menyamai dua kali ganda kepala orang dewasa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil dekat sini hari ini.
Ketumbuhan yang membesar itu menyebabkan urat di bahagian kepala Nur Umairah jelas kelihatan.
Keadaan itu menyebabkan ibu bayi berkenaan terpaksa berhati-hati ketika menguruskan anaknya.
Utusan Malaysia pada Mac lalu menyiarkan kisah penderitaan bayi tersebut yang mengalami masalah ketumbuhan di kepala dan mengalami kecacatan pada bibirnya selain tidak mempunyai rongga hidung.
Bapa bayi berkenaan, Mohd. Zaidi Abdul Rahman, 34, hanya bekerja sebagai penoreh getah manakala Norbaizura pula tidak bekerja.
Pasangan tersebut mempunyai dua lagi anak, Mohd. Aiman Hakimi, 7, dan Mohd. Aiman Haikal, 5.
Bayi tersebut juga terpaksa minum susu setiap hari menggunakan tiub getah yang dibekalkan oleh Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Lebih membimbangkan pasangan tersebut, apabila tisu otak anak ketiga mereka itu semakin nipis menyebabkan kepalanya semakin membesar manakala mata kanannya telah disahkan buta.
Menurut Norbaizura, dia terpaksa membawa anaknya menerima rawatan setiap bulan bagi membolehkan pihak hospital memantau perkembangan Nur Umairah.
Sementara itu Majlis Kebajikan Masyarakat Penyayang Parlimen Baling (Mayang) yang sentiasa memantau perkembangan bayi tersebut turut bersimpati terhadap masalah dialami oleh Nur Umairah.
Timbalan Pengerusinya, Hasliza Harun berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan bayi tersebut dari semasa ke semasa.
"Kami amat bersimpati dengan keadaan adik Nur Umairah dan mahu memastikan keperluan hariannya mencukupi," katanya yang juga Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Baling.

Nur Umairah derita kepala besar


NORBAIZURA (kiri) melihat Nur Umairah sambil diperhatikan Hasliza dirumahnya di, Kuala Ketil, Baling semalam.


BALING - Usia Nur Umairah Mohd. Zaidi baru enam bulan tetapi nasibnya tidak sebaik kanak-kanak lain apabila tisu otak disahkan semakin nipis menyebabkan kepalanya membesar menyamai kepala dua orang dewasa.
Lebih menyedihkan, akibat tumbesaran yang dialami, mata kanannya telah disahkan buta dan Nur Umairah tidak lagi mampu menggerakkan kepalanya yang sudah mencecah berat hampir empat kilogram.
Menurut ibunya, Norbaizura Dol, 29, Nur Umairah dilahirkan bersama ketumbuhan kecil di kepala dan mengalami kecacatan pada bibirnya selain tidak mempunyai rongga hidung.
"Ketika membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, doktor memberitahu tisu otak anak saya yang semakin nipis menjadi punca kepalanya membesar.
"Kami tidak mampu berbuat apa-apa selain berdoa agar anak saya sembuh. Dia juga terpaksa minum susu setiap hari menggunakan tiub getah yang dibekalkan oleh HSAH," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil semalam.
Menurut Norbaizura, ketumbuhan yang membesar itu menyebabkan urat pada kepala anak bongsunya daripada tiga beradik itu kelihatan dengan jelas.
"Walaupun kepalanya membesar dan menonjol, badan Nur Umairah masih aktif bergerak menyebabkan saya terpaksa berhati-hati ketika membersihkan badannya.
"Kepalanya yang besar membuat menyebabkan dia sentiasa tidak stabil bila dipegang," katanya yang hidup dengan pendapatan suaminya, Mohd. Zaidi Abdul Rahman, 34, seorang penoreh getah.
Dua lagi anak mereka, Mohd. Aiman Hakimi, 7, dan Mohd. Aiman Haikal, 5 tahun tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Tambah Nurbaizura, dia dan suaminya amat berharap jika ada pihak yang sudi tampil untuk membantu merawat anaknya itu dengan menghubungi talian 012-4045076 atau memasukkan ke akaun BSN 0711129000100633 (Norbaizura).