KAHERAH - Kesabaran manusia ada batasnya.
Dan kini, penduduk Arab hilang sabar selepas puluhan tahun dihimpit masalah kemiskinan dan terpaksa membisu apabila melihat pemimpin mereka merompak harta negara melalui rasuah yang berleluasa.
Konflik di Mesir menjadi amaran terbaru kepada pemimpin diktator di seluruh dunia Arab dan Afrika Utara yang pastinya kini semakin tidak senang duduk selepas puluhan tahun menindas rakyat demi kepentingan diri.
Ini kerana haruman revolusi tidak hanya dapat dihidu di Mesir dan Tunisia, tetapi juga di seluruh rantau itu.
Menyaksikan keberanian saudara mereka, penduduk Algeria, Yaman, dan Jordan, turut melancarkan protes menentang pemerintahan kuku besi di negara masing-masing.
Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan kadar kemiskinan dan pengangguran tinggi disebabkan dasar ekonomi tidak cekap dan rasuah kronik, selain menuntut hak kebebasan sebagai orang awam.
Tidak hairan jika ramai penduduk dunia Arab berharap kebangkitan yang mula tercetus di Tunisia dan kini sedang berlangsung di Mesir terus merebak ke negara Arab lain sebagai menandakan permulaan pemerintahan era baru.
Jika dibandingkan, taraf hidup di Tunisia lebih baik berbanding negara Arab lain tetapi rakyat tetap mahukan perubahan kerana tidak sanggup lagi melihat keluarga Presiden Zine El Abidine Ben Ali bermaharajalela selama 23 tahun.
Tentunya kerajaan negara Arab lain di mana kemiskinan, pengangguran dan cengkaman pemerintah membuakkan lagi kebencian penduduk kepada kerajaan menyebabkan rakyat menjadi seperti bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletup.
Kebangkitan ini memang patut menyebabkan pemimpin Timur Tengah lain panik kerana ia adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dan dilihat sebagai terlalu memalukan bagi seorang pemimpin Arab.
Siapa sangka Mubarak yang dilihat berhati besi dan angkuh selama ini lekas membubarkan Kabinet dan melantik ketua agensi perisikan Mesir, Omar Suleiman sebagai Naib Presiden pertama negara itu dalam tempoh 30 tahun, membuktikan beliau mula gentar terhadap kebangkitan rakyat yang ditindasnya selama ini.
Mubarak kini berada dalam keadaan paling lemah dan hakikat itu disedari rakyat, dan tiada apa yang dapat menghalang mereka daripada terus berdemonstrasi sehingga pemimpin itu tersungkur.
Dinding yang melindungi pemerintah diktator selama ini telah runtuh. Perasaan takut kepada pemimpin diktator sudah tidak wujud lagi di dunia Arab.
Revolusi ini bukan sahaja bakal memberi sinar baru dalam kehidupan rakyat di rantau itu tetapi lebih penting ia patut menjadi pengajaran kepada pemimpin dunia lain supaya tidak lupa daratan apabila diberikan amanah oleh rakyat sendiri.
Dan pemerintah Arab yang disokong kuat Amerika Syarikat (AS) patut sedar, apabila rakyat bangkit menentang, sahabat baik mereka sendiri pun tidak akan memberi sokongan, seperti yang berlaku di Mesir apabila Presiden AS, Barack Obama turut mengkritik Mubarak untuk menyelamatkan popularitinya di mata dunia.