Wednesday, November 6, 2013
Temui semula ibu kandung
Roslina (berdiri, tiga kiri) dipeluk ibunya (dua kiri) dan lima adiknya yang pertama kali ditemuinya dalam majlis pertemuan khas yang diadakan di rumahnya di sini, semalam.
KOTA BHARU- Lebih 50 tahun terpisah antara dua benua, akhirnya pasangan ibu dan anak ini dipertemukan Ramadan lalu, setelah sekian lama masing-masing cuba menjejaki antara satu sama lain.
Roslina Ahmad, 54, dan ibu kandungnya Wong Yee Kiew, 79, yang terpisah sejak 1951 kerana kesempitan hidup dan masalah kesihatan yang dihadapi ibunya tidak pernah menyangka untuk bertemu walaupun jauh di sudut mereka begitu mengharapkan pertemuan itu.
Episod kehidupan Roslina sebagai anak angkat bermula ketika dia berusia enam bulan selepas diserahkan ibu dan bapanya kepada sepasang suami isteri di Kampung Pulai, Gua Musang sebelum keduanya meninggalkan negara ini dan kembali ke China.
Roslina berkata, dia benar- benar sedar bahawa dirinya adalah anak angkat kepada arwah Ahmad Said dan Bidah Abdullah ketika ingin berkahwin lebih 30 tahun lalu, walaupun sebelum ini ada petunjuk mengatakan saya anak angkat dan dinafikan ibu (angkat) yang terlalu menyayangi saya.
“Bagaimanapun ketika ingin berkahwin, bapa saudara, iaitu adik kepada arwah bapa (angkat) memaklumkan dia tidak dapat mewalikan saya dan perlu menggunakan wali hakim, ketika itu barulah saya sedar dan yakin saya adalah anak angkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Menurutnya yang juga isteri kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Ishak Harun, walaupun tersimpan hasrat untuk menjejaki ibu kandung, namun dia tidak terlalu aktif untuk melakukannya kerana memikirkan perasaan ibu angkat ketika itu.
Bagaimanapun katanya, selepas kematian ibu angkatnya pada 1990, dia nekad mencari ibu kandungnya itu sebelum ke Kampung Pulai (tempat ibu bapa kandungnya menetap sebelum pulang ke China), dalam usaha menjejaki ibunya.
“Di sana (Kampung Pulai) saya jumpa Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan, Kampung dan Persekutuan Pulai serta Pengerusi MCA Pulai, Lew Kew, dan menceritakan tentang pencarian saya sebelum kami bertukar nombor telefon bagi memudahkan urusan seterusnya,” katanya.
Roslina berkata, Ramadan lalu Lew yang juga sepupunya menghubungi sebelum memaklumkan seorang ibu sedang menjejaki anak perempuan yang diserahkan kepada keluarga Melayu lebih 50 tahun lalu, dan saya terus ke sana untuk mendapatkan jawapan kepada pencarian saya selama ini.
“Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan, saya dipertemukan dengan ibu kandung yang saya fikir sudah tiada kerana terlalu lama kami berpisah, dan saya sebelum ini pun berusaha mengesan adik beradik lain,” katanya yang juga ibu kepada enam anak.
Sementara itu, Lew ketika menterjemahkan perasaan Yee Kiew berkata, dia hanya mengetahui ibu saudaranya itu sedang menjejaki anak sulungnya daripada enam beradik itu pada 2003 ketika kali kedua mak ciknya berkunjung ke Malaysia selepas pulang ke China pada 1951 lalu.
“Kali pertama datang, tidak diceritakan tujuannya untuk mencari anak perempuannya, tetapi kali kedua barulah saya mengetahuinya selepas terdengar perbualan antara dia dan ibu saya, dan saya segera menghubungi Roslina meminta dia datang segera bagi memastikan adakah itu ibu yang dicari,” katanya.
Menurutnya, mereka benar-benar pasti keduanya mempunyai pertalian apabila Yee Kiew berjaya mendedahkan tanda yang terdapat pada bahagian paha anaknya itu, dan ia turut dimiliki Roslina.
Subscribe to:
Posts (Atom)