Sunday, November 9, 2014

Presiden PMUM Antara Lapan Mahasiswa Ditahan Cuba Anjur Ceramah Umum


Diterbitkan: Ahad, 9 November 2014 10:23 PM
Fahmi Zainol (dua kanan) antara lapan mahasiswa yang ditahan selepas mengadakan ceramah umum di Kota Kinabalu. -foto Facebook Fahmi Zainol

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol antara lapan mahasiswa yang ditahan selepas mengadakan ceramah umum di pasar ria Jalan Gaya di sini.

Difahamkan, pihak polis menahan kumpulan mahasiswa berkenaan pada tengah hari, Ahad.

Fahmi sendiri turut memuat naik gambar dia dan tujuh lagi mahasiswa lain di laman Facebook dan Twitter miliknya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra mengesahkan mengenai penahanan berkenaan.

"Penahanan mereka bagi membolehkan pihak polis merekod keterangan dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perbuatan mereka," katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Difahamkan, pelajar berkenaan dijangka menghadisi perhimpunan yang akan diadakan di Universiti Sabah (UMS) pada Ahad.

Sebelum ini Fahmi turut dihadapkan ke Lembaga Tatatertib UM dan didakwa atas sembilan pertuduhan kerana terlibat dalam perhimpunan haram sempena pidato Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Tunku Canselor UM pada 27 Oktober lalu.

Rahsia Zuckerberg Berbaju Sama Setiap Hari


Diterbitkan: Ahad, 9 November 2014 1:41 PM
Zuckerberg tidak mahu membazir masa memikirkan mengenai baju yang hendak dipakai setiap hari.

STATUSNYA sebagai salah seorang manusia paling kaya di dunia tidak banyak mengubah diri Mark Zuckerberg menjadi ‘orang lain’ – sekurang-kurangnya daripada aspek berpakaian.

Oleh kerana itu sejak sekian lama Zuckerberg biasanya tampil di khalayak ramai dengan baju kemeja T kelabu yang sama.

Dalam sesi soal jawab melalui Facebook, Zuckerberg berkata, memilih baju atau pakaian setiap pagi hanya membuang masa atau tidak berfaedah kepadanya.

Justeru, kata Zuckerberg, dia lebih gemar mengenakan kemeja T kelabu setiap hari dan memanfaatkan masa yang biasanya digunakan orang lain untuk memilih pakaian dengan aktiviti lebih berfaedah.

Tetapi anda jangan risau. Saya tidak mengenakan kemeja T yang sama setiap hari kerana saya ada koleksi baju seperti itu yang banyak,” katanya.

Menurut Zuckerberg, dia mahu menggunakan masa hariannya sebaik mungkin dan tidak membazirkannya dengan memikirkan baju yang sesuai dipakai setiap hari.

“Saya perlu bersederhana dan membuat sedikit keputusan setiap hari, kecuali apabila saya memikirkan bagaimana memberikan khidmat terbaik kepada komuniti Facebook,” katanya.

Tidak hanya memilih pakaian dianggap remeh oleh Zuckerberg.

Kata pengasas Facebook itu, memikirkan menu sarapan setiap pagi juga adalah mengarut.

Zuckerberg, 30, memiliki harta dianggarkan bernilai AS$33 bilion (RM110.4 bilion) melayakkannya menjadi orang ke-16 terkaya di dunia.

Wanita Saudi Dibenar Memandu Jika Tak Mekap


Diterbitkan: Ahad, 9 November 2014 9:43 AM
Hanya wanita berusia lebih 30 tahun dan tidak bersolek dibenarkan memandu di Arab Saudi.

RIYADH: Majlis Syura Arab Saudi membuat tindakan berani mencadangkan pemerintah negara itu supaya membenarkan wanita memandu tetapi dengan syarat ketat mereka mesti berumur lebih 30 tahun dan tidak boleh bersolek.

Kebenaran itu hanya untuk tempoh sehingga pukul 8 malam setiap hari.

Seorang anggota majlis itu memberitahu, jika cadangan berkenaan diperkenan Raja Abdullah Abdulaziz, wanita yang memenuhi syarat berkenaan juga diwajibkan mendapat kebenaran  suami, bapa atau penjaga mereka sebelum boleh memandu kenderaan.

"Tempoh wanita dibenarkan memandu hanya antara pukul 7 pagi hingga 8 malam bagi Sabtu sehingga Rabu, atau 12 tengah hari hingga 8 malam pada Khamis dan Jumaat," katanya.

Diperintah secara konservatif, Arab Saudi menyambut hujung minggu setiap Khamis dan Jumaat.

Sebelum ini kerajaan mengharamkan wanita memandu kerana pelbagai alasan, sama ada bersandarkan kepada hujah hukum atau kesihatan.

Media pernah melaporkan, ada ulama Arab melarang wanita memandu kerana didakwa boleh menjejaskan ovari masing-masing.

Pengharaman memandu di negara Teluk tidak dinyatakan dalam sebarang undang-undang bertulis sebaliknya dikeluarkan melalui fatwa ulama konservatif setempat.

Sesetengah ulama berpendapat, kebenaran memandu di kalangan wanita akan menyebabkan golongan terbabit sukar dikawal kerana terlalu bebas.

Larangan itu mendapat kritikal aktivis hak asasi wanita tetapi setakat ini belum ada sebarang perubahan dibuat.

Kata sumber itu, jika wanita terbabit memandu dalam kawasan bandar raya masing-masing mereka boleh melakukannya tanpa ditemani mahram.

Bagaimanapun, jika mereka memandu ke luar kawasan tempatan, seorang mahram lelaki wajib berada dalam kereta itu.

Kata sumber, perubahan sikap itu sedikit sebanyak dipengaruhi desakan kumpulan aktivis hak asasi wanita sejak sekian lama.

"Majlis Syura turut menyarankan pembentukan Jabatan Trafik Wanita yang khusus membantu golongan berkenaan jika berlaku kerosakan di tengah jalan, atau berdepan gangguan seksual," katanya.

Dua bersaudara cedera ditikam


Abdul Hamid (kanan) meninjau lokasi kejadian.
Abdul Hamid (kanan) meninjau lokasi kejadian.
BACHOK – Dua bersaudara cedera ditikam seorang lelaki berusia 32 tahun dalam kejadian di Kampung Durian Kudung, dekat sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, mangsa Mohd Saruan Mohd Noor,35, cedera pada bahagian dada kiri dan sepupunya Mohd Azim, 20-an, cedera pada tangan ketika cuba menghalang suspek daripada terus menikam Mohd Saruan.

Menurutnya, ketika kejadian, dua mangsa berada di dalam bangsal depan rumahnya sebelum didatangi suspek.

“Mereka dikatakan bertengkar kerana mangsa menuduh suspek mencuri angsa. Pertengkaran berlarutan dan menyebabkan suspek mengambil parang yang berada di situ lalu menikam Mohd Saruan. Mohd Azim yang cuba menghalang turut sama cedera.

“Suspek akhirnya berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis Gunong.  Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian semalam.

Manakala, adik Mohd Saruan, Mohd Farid,22, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumahnya.

Apabila mendengar pertengkaran itu dia terus keluar untuk meninjau keadaan.

“Bila saya keluar tengok abang sudah berdarah. Saya bersama seorang lagi abang, Mohd Hanif dan beberapa penduduk segera menahan suspek.

“Selepas itu kami bawa mereka ke hospital dan hubungi pihak polis untuk menahan suspek. Kini keadaan abang dan sepupu sudah stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, “ katanya.

Mohd Saruan adalah anak kedua daripada 12 adik -beradik. Mereka tinggal bersama ibunya seorang ibu tunggal bersama beberapa adik-beradik yang lain.

Namun ketika itu ibu mereka tiada di rumah kerana menghadiri majlis konvokesyen salah seorang anaknya di Pulau Pinang.

Jemaah degil diberi amaran


8 November 2014
RIYADH - ARAB SAUDI. Kementerian Haji bakal  mengambil tindakan tegas terhadap jemaah haji negara asing yang masih berada di Arab Saudi.

Jurucakap kementerian Haji, Hatem Qadi berkata ketika ini masih terdapat kira-kira 40,000 jemaah haji dari India dan Malaysia yang masih berada di Makkah dan Madinah.

Katanya, mereka yang masih berdegil boleh dikenakan denda berat termasuk dilarang masuk ke Arab Saudi selama setahun.

"Syarikat Haji dan Umrah perlu memastikan klien mereka meninggalkan negara ini mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan.

"Oleh itu, syarikat terbabit perlu bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Am Penerbangan bagi memastikan tiada jemaah haji yang melanggar peraturan ditetapkan," katanya dipetik Arab News

Sebelum ini pihak berkuasa Arab Saudi telah mendenda beberapa individu sebanyak 10,000 riyal (RM8,291) kerana tinggal lebih masa di negara itu.

Kereta buruk presiden RM3j

Montevideo, Uruguay: Presiden Termiskin Di Dunia berkata, dia ditawari jutaan ringgit untuk kereta usangnya oleh seorang hartawan Arab.
Jose Mujica berkata, tawaran itu dibuat suatu ketika dulu, tetapi dia enggan memberi perhatian kepadanya.
"Tawaran bernilai AS$1 juta (RM3 juta) itu dibuat seorang sheikh Arab," katanya kepada akhbar mingguan Uruguay, Busqueda semalam.
Bekas pemimpin Gerakan Pembebasan Kebangsaan Tupamaros (Tupamaros) itu diangkat sebagai presiden pada 1 Mac 2010.
Selepas dilantik, Mujica mengisytiharkan hartanya hanya sebuah Beetle itu. Ladang yang menjadi tempat kediamannya kini milik isterinya.
Pendapatan bulanannya sebagai presiden hanya AS$11,000 (RM36,800) dan 20 peratus daripadanya didermakan untuk gerakan politiknya.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:06 AM


KERETA buruk Mujica kini disimpan di dalam garaj rumah ladangnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7586#sthash.VIoniEHJ.dpuf

Tiada harapan temui mayat lagi

Canberra: Perdana Menteri Belanda Mark Rutte semalam mengakui kemungkinan tidak semua mayat mangsa tragedi MH17 boleh ditemui.
Rutte membuat pengakuan itu selepas dia dan Perdana Menteri Australia Tony Abbott menemui 600 kakitangan Australia yang terbabit dalam usaha mencari mayat mangsa tragedi 17 Julai lalu itu ketika lawatan bersama ke ibu pejabat Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan di sini.
Rutte bagaimanapun memuji profesionalisme ditunjukkan pasukan itu serta pegawai pertahanan Australia kerana kepantasan bertindak dan menangani situasi itu.
Namun dia mengakui walaupun mereka semua bertungkus-lumus membuat yang terbaik, pasti akan ada mayat mangsa yang tidak dapat dikembalikan kepada keluarga masing-masing.
“Masih banyak yang belum ditemui. Kami masih berusaha keras mencari semua sisa mayat.
“Seboleh-bolehnya kami mahu mengembalikan mereka semua kepada keluarga tersayang, namun hakikatnya kami mungkin tidak dapat berbuat demikian. Apa yang pasti kami tetap akan berusaha,” katanya.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Australia yang terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat sejurus selepas kejadian berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:17 AM


Usaha masih diteruskan untuk mencari mayat mangsa di lokasi nahas MH17.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7445#sthash.NLnENFYd.dpuf

Sisa mayat mangsa MH17 tidak dapat dikeluarkan


KHARKIV 9 Nov. – Sisa mayat terakhir mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 mungkin tidak akan dapat dikeluarkan daripada lokasi bangkai pesawat yang berada dalam kawasan bergolak di Ukraine.
Menteri Luar Belanda, Bert Koenders semalam berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan bila dan adakah mereka mampu membawa keluar sisa sembilan mayat terakhir daripada lokasi nahas, akibat pertempuran yang masih berterusan di antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera kerajaan Ukraine.
Pesawat MH17 itu ditembak jatuh di timur Ukraine 17 Julai lalu dan mengorbankan semua 298 orang penumpang dan kru penerbangan dan sehingga kini, sebanyak 289 mayat mangsa telah dikenal pasti. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/sisa-mayat-mangsa-mh17-tidak-dapat-dikeluarkan-1.22520#sthash.pNioUBu7.dpuf