Friday, March 30, 2012

Penarik beca diupah sokong naik harga minyak

myMetro | Penarik beca diupah sokong naik harga minyak:

BANDUNG: Sekurang-kurangnya 50 penarik beca, pengutip sampah dan suri rumah diupah menyertai tunjuk perasaan untuk menyokong usaha kerajaan menaikkan harga minyak.
Tunjuk perasaan itu dianjurkan oleh Perpaduan Generasi Muda Indonesia, pertubuhan yang ada hubungan dengan parti pemerintah, Parti Demokrat. 
Sebahagian mereka kemudian menyuarakan rasa kesal kerana tidak menerima bayaran.

Penarik beca, Yaya, 53, berkata dia menyertai bantahan itu kerana dibayar Rp50,000 (RM16.80).

“Saya menyokong bantahan ini hanya kerana saya dibayar wang,” katanya.

Seorang lagi penarik beca, Dada, 47 bersetuju dengan Yaya. Dia ditugaskan mengumpulkan penarik beca untuk menyertai tunjuk perasaan itu.

“Saya berjaya mendapatkan 44 pemandu teksi dan pengutip sampah. Mereka mendapat bayaran di belakang bangunan,” katanya.

Dalam tunjuk perasaan itu, mereka membawa kain rentang yang bertulis “Harga Minyak Naik, Tuisyen Sekolah Percuma” dan sebuah lagi, “Sokong Harga Minyak Naik, Sokong Bantuan Tunai.” - Agensi 

'via Blog this'

Thursday, March 29, 2012

‘Kerajaan Langit’ kembali aktif

Berita Harian Online | ‘Kerajaan Langit’ kembali aktif:
JERTIH: Tapak perkampungan Ayah Pin, pengasas ‘Kerajaan Langit’ di Kampung Batu 13, Hulu Besut, dilihat berkembang semula, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ajaran diisytiharkan sesat pada 1986 itu sudah kembali aktif. 

Tinjauan mendapati kawasan perkampungan itu ada kira-kira 150 rumah berbanding tidak sampai 50 rumah pada zaman kemuncaknya 10 tahun lalu.
Di kawasan itu juga terdapat tiga kubur iaitu kubur isteri pertama Ayah Pin, Che Minah Remeli, 68, seorang bekas pengikutnya serta kubur menantu Ayah Pin, iaitu Hasan Anak Rimau.
Beberapa penduduk di Kampung Batu 13, yang enggan mendedahkan nama mereka mengakui Ayah Pin pulang menziarahi jenazah isterinya, tetapi terus menghilangkan diri menaiki kereta mewah selepas Che Minah dikebumikan. 

Kawasan perkampungan Ayah Pin yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama ke Kampung Keruak di sini, dikawal rapi sekumpulan belia dipercayai anak kepada pengikut setia kumpulan ajaran sesat yang menetap di perkampungan berkenaan. 

“Beberapa pengikut Ayah Pin ada meminta kebenaran untuk mengebumikan jenazah Che Minah di tanah perkuburan Islam berhampiran perkampungan itu, tetapi tidak dibenarkan penduduk kerana arwah dan tiga lagi madunya termasuk Ayah Pin pernah mengisytiharkan keluar daripada Islam pada 1998. 

“Walaupun Ayah Pin pulang ke perkampungan itu dua minggu sekali atau sebulan sekali, kita syak ajaran sesat kerajaan langit masih hidup kerana kepulangan ketuanya diberi sambutan bukan saja daripada pengikutnya yang menginap di perkampungan itu, malah dari luar negeri ini. 
“Beberapa belia yang ditugaskan mengawal dan mengawasi orang tidak dikenali daripada memasuki perkampungan itu mengakui Ayah Pin pulang serta mengadakan perjumpaan dengan semua pengikutnya,” katanya. 

Bagaimanapun, usaha Berita Harian untuk merakamkan gambar kawasan terbabit dihalang oleh beberapa belia yang ditugaskan untuk mengawal dan mengawasi perkampungan berkenaan. 

“Jika nak rakam gambar, perlu minta kebenaran daripada Kak Yah, (isteri keempat Ayah Pin, Nik Kamariah Nik Par), tetapi dia tidak ada di rumah ketika ini. 

“Tanpa kebenaran Kak Yah, kami tidak benarkan sesiapapun merakamkan gambar di sekitar perkampungan ini, jika tetap berdegil kami terpaksa merampas kamera,” katanya.
'via Blog this'

Lelaki cedera terkena serpihan mangkuk tandas akibat letupan

Berita Harian Online | Lelaki cedera terkena serpihan mangkuk tandas akibat letupan:
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang sedang menggunakan tandas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai di sini hari ini cedera di bahagian belakang badan apabila mangkuk tandas yang sedang digunakan berkecai akibat satu letupan. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata akibat kejadian 1.15 petang itu, mangsa Muhd Sakereen Basri, 22, cedera dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
"Mangsa cedera pada bahagian belakang badan dan peha akibat terkena serpihan, dan bahan letupan yang digunakan disyaki mercun...siasatan awal mendapati tiada lagi bahan letupan lain yang digunakan," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS).
Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini sama ada wujud unsur sabotaj atau kecuaian dan kes disiasat mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad, Azhar Ghazali, ketika dihubungi, berkata pihaknya bekerjasama dengan polis yang menyiasat kejadian itu dan kejadian itu sama sekali tidak menjejaskan operasi LRT di stesen berkenaan.

"Saya harap orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkara ini. Keadaan adalah selamat dan kita beroperasi seperti biasa," katanya. - BERNAMA
'via Blog this'

Pengawal keselamatan mengaku ugut remaja di Danau Kota

Berita Harian Online | Pengawal keselamatan mengaku ugut remaja di Danau Kota: "KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengugut seorang remaja lelaki dengan sebilah parang di Setapak, bulan lalu.

R Thamilharasan, 18, mengaku mengacukan parang ke leher Syafiq Aiman Samri, 19, di kawasan parkir Danau Kota, Setapak pada jam 5.15 pagi, 22 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Azali Ibrahim menetapkan 30 April depan untuk mendengar fakta kes dan rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

Thamilharasan diwakili peguam Tharamjit Singh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin. - BERNAMA"

'via Blog this'

Curi basikal fixie, dua sahabat didenda RM2,000

Berita Harian Online | Curi basikal fixie, dua sahabat didenda RM2,000:
KUALA TERENGGANU: Gara-gara mencuri sebuah basikal bernilai RM480 milik seorang pelajar sekolah, dua sahabat didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Mohammad Hafizuddin Syed Rahillah, 21, dan Wan Mohammad Azimi Wan Azamuddin, 20, selepas mereka mengaku salah melakukan kesalahan itu.
Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Kampung Bukit Besar di sini didakwa bersama-sama mencuri sebuah basikal jenis Fixie Promax milik seorang pelajar di tempat letak basikal berdepan sebuah surau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara di sini antara jam 11 pagi dan 2.15 petang, 18 Mac lalu.
Hasil maklumat orang ramai, sepasukan polis menyerbu dua buah rumah di Bukit Besar dan berjaya memberkas kedua-dua lelaki itu pada 25 Mac lalu. 

Pendakwaan dijalankan Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. 

Bagi kesalahan berkenaan, mereka dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan. 

Terdahulu, Syed Mohammad Hafizuddin yang bekerja sebagai pembantu kedai dan Wan Mohammad Azimi, seorang penggangur memohon kepada mahkamah supaya hukuman mereka dikurangkan memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan. 
Selepas meneliti rayuan tertuduh, Rozianti kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM2,000 setiap seorang dan jika gagal mereka boleh dipenjara selama dua bulan. - BERNAMA
'via Blog this'

Cadangan pembangkang mansuhkan PTPTN tidak relevan: Khaled

Berita Harian Online | Cadangan pembangkang mansuhkan PTPTN tidak relevan: Khaled:
KUALA LUMPUR: Cadangan pakatan pembangkang hendak menghapuskan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika ia berkuasa adalah tidak relevan buat masa ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau berkata, penghapusan pembiayaan PTPTN hanya akan mengurangkan semangat daya saing di kalangan pelajar di samping membebankan kerajaan kerana terpaksa mendirikan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk memberi pendidikan secara percuma kepada masyarakat.
Malah, kata beliau, tindakan itu juga akan mengurangkan permintaan terhadap institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara, seterusnya menyebabkan ia terus ditutup.
"Kalau kita hapuskan (PTPTN) maknanya universiti awam dalam negara mesti beri secara percuma, takkan kerajaan nak bayar IPTS, siapa nak bayar IPTS? Maknanya IPTS akan tutup dan semua orang akan minta belajar dalam IPTA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) di sini, hari ini. 

Mohamed Khaled berkata, demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam portal berita tempatan untuk menghapuskan pembiayaan PTPTN jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA
'via Blog this'

Wednesday, March 28, 2012

Awal, Scha bernikah 4 Mei

myMetro | Awal, Scha bernikah 4 Mei:

SERASI...Awal dan Scha pada majlis pengumuman perkahwinan mereka, semalam.
SERASI...Awal dan Scha pada majlis pengumuman perkahwinan mereka, semalam.
KUALA LUMPUR: Pasangan pengacara dan pelakon popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya akhirnya menamatkan spekulasi tarikh perkahwinan mereka apabila mengumumkan akan bernikah pada 4 Mei nanti.
Pada sidang media pengumuman itu diadakan di sini semalam, pasangan ini memilih Hotel Pullman, Putrajaya sebagai lokasi acara pernikahan manakala persandingan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 6 Mei.

Awal berkata, perkenalan selama dua tahun enam bulan sejak digandingkan mengacara program realiti, Sehati Berdansa memberi keyakinan padanya melamar bakal isterinya itu.
Katanya, dia bertindak melamar Scha secara langsung ketika mengacara program hiburan Propaganza pada Ahad lalu.

Awal menghantar rombongan merisik pada 30 Mei tahun lalu yang juga hari ulang tahun Scha ke-28.

“Scha tak mahu bertunang dan saya melamarnya bukan mengikut budaya barat tetapi mahu bertanya padanya sama ada sudi berkahwin dengan saya.
“Kami juga bukan mahu berteka-teki mengenai tarikh kahwin tetapi memberi laluan pada rakan artis lain berkahwin sebelum mengadakan sidang media ini,” katanya.

'via Blog this'

Dakwaan Hassan Ali satu tuduhan liar - Dr Halimah

Dakwaan Hassan Ali satu tuduhan liar - Dr Halimah:


Khaulah Azwar,27 Mac 2012
SHAH ALAM, 27 Mac: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali (gambar)kesal dengan dakwaan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali mengenai pengubahsuaian pejabatnya.


Jelasnya, pejabat yang diduduki pada masa ini merupakan pejabat yang ditumpangi semenjak beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

“Untuk membuktikan kata ini, saya menjemput semua media melawat pejabat saya sebagai membuktikan bahawa dakwaan Hassan Ali adalah satu tuduhan liar semata-mata yang inginkan perhatian rakyat.

“Memang tiada ubahsuai apa pun di pejabat itu. Saya jemput semua datang ke pejabat saya dan jangan lupa bawa kamera sekali,” kata beliau yang juga Adun Selat Klang ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, petang semalam.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar turut menyangkal tuduhan Hassan yang mendakwa beliau menggunakan peruntukan yang tinggi untuk melakukan pengubahsuaian pejabat.

“Saya memang ada buat ubahsuai pejabat, tetapi cuma tukar karpet dan tambah partition untuk beri keselesaan pada rakyat yang  ada urusan ke pejabat saya, itu sahaja.

“Rakyat yang hadir pejabat saya pasti akan berkata pejabat exco guna karpet yang lusuh dan tiada partition antara kakitangan, mengapa pemerintahan kerajaan terdahulu semua serba baru. Maka dengan itu, saya tukar karpet dan tambah partition.

“Anda fikir dengan pengubahsuaian yang saya sebut tadi tu boleh cecah ke RM300,000? Tentulah kos ubah suai yang saya sebut tadi jauh lebih rendah dari RM300,000,” ujarnya lagi.

Perkara itu dibangkit Hasan Ali kerana Adun Bulit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali minggu lalu mendedahkan bekas pesuruhjaya PAS yang telah dipecat itu ketika menjadi Exco telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai pejabatnya.

'via Blog this'

Hidup merempat di Watt Siam

Kosmo! Online - Negara:



AZMI (meriba salah seorang anak Noriza) bermesra dengan anak-anak Noriza (belakang, dua dari kanan) di rumah mereka di Watt Siam, Baling di Kedah semalam.


BALING - Seorang ibu dan lapan orang anaknya terpaksa menyewa sebuah rumah di dalam kawasan Watt Siam di Kampung Watt Baling di sini kerana dihimpit kemiskinan hidup sejak dua tahun lalu.
Keluarga berkenaan, Noriza Hassan, 35, berkata, dia terpaksa menyewa rumah di kawasan itu kerana tidak memiliki rumah sendiri selepas suaminya menghilangkan diri sejak dua tahun lalu.
Tambah wanita itu, dia terpaksa membesarkan lapan orang anaknya yang berusia antara tiga hingga 18 tahun dengan bergantung pada wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan untuk keperluan harian.
"Saya tidak mampu bekerja kerana anak masih kecil dan bersekolah tetapi mujurlah JKM menyalurkan bantuan sebanyak RM400 sebulan melalui Bantuan Kanak-Kanak (BKK) bagi menampung keperluan hidup.
"Saya juga terpaksa menyerahkan dua anak saya kepada JKM bagi meneruskan persekolahan agar mereka tidak tercicir dalam persekolahan," katanya.

'via Blog this'

Awal, Scha kahwin 4 Mei ini

Kosmo! Online - Negara:


AWAL dan Scha pada majlis pengumuman tarikh 
pernikahan mereka di Flora Cafe, Amwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pasangan pelakon dan pengacara popular, Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 29, atau Scha akhirnya sepakat untuk mendirikan rumah tangga pada 4 Mei ini.
Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Ampwalk, Jalan Ampang semalam, Awal menjelaskan, dia memilih bulan Mei untuk majlis pernikahannya kerana dia dan Scha mempunyai kelapangan pada waktu tersebut.
"Sebelum ini saya dan keluarga telah merisik Scha pada 30 Mei tahun lalu. Mengikut perancangan, kami sepatutnya bernikah pada bulan lepas, tetapi jadual kerja kami yang padat serta masalah tempahan dewan membuatkan kami terpaksa menangguhkannya.
"Bagaimanapun, saya tetap gembira kerana hasrat untuk memperisterikan Scha bakal menjadi kenyataan setelah kami menjalinkan hubungan cinta selama lebih dua tahun," ujarnya.

'via Blog this'

Tuesday, March 27, 2012

James Cameron berjaya ekspedisi selam

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Gambar yang baru didedahkan kelmarin, menunjukkan kakitangan misi projek Cabaran Laut Dalam memeriksa kapal selam khas Deepsea Challenger untuk ujian pertama di Jervis Bay, selatan Sydney, bulan lalu. – REUTERS


WASHINGTON 26 Mac – Pengarah filem Titanic, James Cameron selamat naik ke permukaan laut selepas melakukan ekspedisi solo menyelam di dasar laut paling dalam di Lautan Pasifik, Jurang Mariana, menggunakan kapal selam.
Penganjur ekspedisi projek Cabaran Laut Dalam di laman Twitter menyatakan bahawa ‘Jim Cameron sudah sampai ke permukaan laut! Tahniah kerana melakukan penyelaman bersejarah itu secara solo ke pusat paling dalam di laut berkenaan’.
Rakan misi ekspedisi tersebut, National Geographic berkata, Cameron menyelam pada kedalaman 10,898 meter pada pukul 7.52 pagi ini waktu tempatan (5.52 pagi waktu Malaysia) di Jurang Mariana menggunakan kapal selam yang direka khas.
Pengarah itu ialah individu pertama melakukan penyelaman secara solo di Jurang Mariana, barat daya Guam.
Penyelaman terakhir ke kawasan tersebut dilakukan oleh sepasukan terdiri daripada dua orang pada 1960.
Pengarah filem itu meluangkan masa selama beberapa jam di dasar laut bagi mengumpul sampel untuk kajian saintifik dan mengambil gambar.
Misi Cameron bertujuan membawa balik data dan spesimen dari kawasan yang masih belum dijelajah manusia itu.
Dia dijangka mengumumkan keputusan eksperimen itu tidak lama lagi. – AFP

'via Blog this'

Demonstrasi kenaikan harga minyak di Jakarta

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Polis menghalang tindakan kumpulan mahasiswa menyekat laluan sebuah trak membawa petrol milik syarikat minyak Pertamina, semasa satu bantahan menentang cadangan kerajaan menaikkan harga bahan api di Bondowoso, semalam. - AFP


JAKARTA 26 Mac - Polis Jakarta meminta bantuan 8,000 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk mengawal keselamatan di ibu negara ini menjelang tunjuk perasaan besar-besaran yang dijadual berlangsung esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar.
Dengan gabungan askar TNI dan anggota polis Jakarta, sejumlah 22,000 anggota pasukan keselamatan akan ditugaskan untuk berkawal semasa protes itu, menjelang kenaikan harga bahan bakar yang dijadual dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 1 April ini.
"Tentera Nasional Indonesia (TNI) tidak akan bersemuka dengan orang ramai, tetapi akan berkawal di sekitar objek-objek penting," kata jurucakap Polis Jakarta, Komander Kanan Rikwanto, di sini hari ini.
'Objek penting' yang dimaksudkannya termasuk pelabuhan, lapangan terbang dan jalan bertol.
Polis menerima laporan sekurang-kurangnya 8,000 penunjuk perasaan sudah bersedia untuk melancarkan protes di sini esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar.
Bagaimanapun angka sebenar dijangka jauh lebih besar kerana kesatuan sekerja dan pertubuhan pelajar sudah berikrar akan menyertai demonstrasi itu esok.
Kemungkinan besar mereka akan tertumpu di kawasan protes yang biasa diadakan iaitu di bulatan lalu lintas di Hotel Indonesia dan Istana Presiden di Jakarta Tengah, serta kompleks Parlimen di Jakarta Barat.
Kerahan askar TNI bagi mengawal tunjuk perasaan, yang mula dilancarkan ketika kerajaan mengumumkan pelan kenaikan harga bahan bakar pada awal bulan lepas, mencetuskan pelbagai kritikan termasuk daripada ahli Parlimen dan pemerhati politik.
"Kami berharap protes akan diadakan secara aman dan jika orang ramai berasa bimbang mengenai kemungkinan meletusnya kekacauan, mereka boleh melaporkannya kepada polis," ujar Rikwanto. - AGENSI

'via Blog this'

Tiga juta belum namakan waris

Berita Harian Online | Tiga juta belum namakan waris:
KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga juta atau 43 peratus daripada tujuh juta pendeposit Lembaga Tabung Haji dikesan masih belum membuat penamaan waris bagi simpanan mereka. 

Jurucakap Tabung Haji berkata, keadaan itu boleh mendatangkan kesukaran kepada ahli keluarga membuat tuntutan wang pusaka sekiranya pendeposit itu meninggal dunia.
Katanya, Tabung Haji sentiasa merujuk kepada borang penamaan waris sebelum memutuskan sebarang tuntutan wang pusaka bagi kes-kes kematian pendepositnya.
“Pengurusan Tabung Haji menyeru semua pendepositnya yang belum membuat sebarang penamaan waris agar bertindak segera membuat penamaan waris di mana-mana 119 cawangan Tabung Haji di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Tabung Haji berkata, borang penamaan waris boleh didapati di semua cawangannya atau muat turun dari laman www.tabunghaji.gov.my yang memerlukan pendeposit menyerahkan borang itu di cawangan Tabung Haji berdekatan bagi tujuan keselamatan dan pengesahan. 

Tabung Haji juga menyarankan pendeposit yang membuat penamaan supaya menyemak dan mengemas kini penamaan waris mereka jika ada perubahan membabitkan perkahwinan, perceraian, kelahiran dan kematian. 

Katanya, pendeposit boleh menghubungi Tabung Haji ‘Contact Centre’ di talian 03-62071919 atau faks, 03-77284959 atau e-mel ke th-info.gov.my.

'via Blog this'

Hasan cabar Azmin

Berita Harian Online | Hasan cabar Azmin:
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dicabar supaya menjelaskan butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 daripada terus mencari kesalahan orang lain.

Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa itu diminta segera berbuat demikian kerana ketika itu beliau hanya pegawai kerajaan biasa yang tidak mampu memiliki banyak wang untuk membeli saham bernilai berjuta-juta ringgit.
Bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata Mohamed Azmin sepatutnya terlebih dulu mencermin diri sebelum melemparkan sebarang tuduhan jahat terhadapnya.
“Sila jelaskan dari mana sumber kewangan YB Bukit Antarabangsa dan isterinya membeli saham yang nilainya mencecah RM2 juta, sedangkan ketika itu saya difahamkan beliau hanya menerima gaji kira-kira RM2,000 saja.

“Sila nafikan laporan yang menyatakan Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S A Vickneswaran yang mendakwa Azmin dan isteri termasuk seorang ipar memiliki saham mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an. Saya timbulkan perkara ini kerana bagi saya Mohamed Azmin tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk berbicara soal kredibiliti, integriti dan ketelusan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Hasan menganggap tuduhan Mohamed Azmin beliau menggunakan ratusan ribu ringgit untuk membaikpulih pejabat EXCO Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam serta program Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri, sebagai tindakan tersirat yang mahu menjatuhkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tindakan mempersoalkan kewibawaan saya di DUN baru-baru ini secara langsung mempertikai kredibiliti kerajaan negeri pimpinan Khalid. Ini kerana kelmarin Khalid sendiri sudah mengesahkan perbelanjaan itu mengikut tata cara perbendaharaan negeri. 
“Ini seperti membunuh dua burung dengan sebiji batu. Memang PKR ada perbalahan dalaman di Selangor kerana Azmin menggantikan Khalid sebagai Pengerusi PKR negeri. Malah, dengan kedudukan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai penasihat ekonomi negeri, pasti lebih selesa buat Azmin,” katanya.

Hasan turut mencadangkan supaya semua perbelanjaan EXCO dan pengarah agensi serta anak syarikat kerajaan negeri diisytiharkan kerana ada pihak lain yang mengeluarkan belanja lebih besar untuk membaik pulih pejabat.

“Saya merasakan jumlah yang saya belanjakan sederhana kerana pengubahsuaian termasuk untuk semua pegawai dan kakitangan Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) berjumlah 19 orang. Mengikut maklumat, kosnya lebih rendah jika dibandingkan pengubahsuaian pejabat EXCO lain,” katanya.

Mengulas isu lain, Hasan berkata, beliau menyokong langkah Datuk S Nallakarupan untuk berdepan dengan Anwar di mahkamah kerana baginya “biar orang yang paling rapat dengan Anwar mendedahkannya kerana rakyat mahu pemimpin yang mempunyai moral tinggi saja berada di Putrajaya.”

Saranan supaya Mohamed Azmin mendedahkan sumber kewangannya, disokong Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim yang menegaskan tidak wajar mencari kesalahan pihak lain sedangkan beliau belum menjawab perkara itu selepas didedahkan bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.

“Kita ingin tahu siapa insan yang bermurah hati memberikan begitu banyak wang kepada Mohamed Azmin. Isu ini asalnya didedahkan oleh Anuar, iaitu orang yang pernah bersama-sama dengan Mohamed Azmin ketika berkhidmat untuk Anwar. Rakyat juga berharap polis dapat mendedahkan hasil siasatan kerana Anuar sudah menyerahkan segala bukti kepada pihak berkuasa pada 2009,” katanya.

Sementara itu, pada sidang DUN pagi semalam, Hasan mempersoalkan dana RM300 juta di bawah geran Selangorku yang dikatakan tidak direkodkan dalam akaun Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

'via Blog this'

Monday, March 26, 2012

Bantah kerajaan di jalan

myMetro | Bantah kerajaan di jalan:

JAKARTA: Puluhan ribu penyokong Kongres Rakyat Sumatera Utara (KRSU) akan menyertai perhimpunan besar-besaran di Medan hari ini untuk membantah rancangan kerajaan mengurangkan subsidi ke atas petrol.
Pemimpin KRSU, Mangaliat Simarmata, berkata perhimpunan itu turut membabitkan sekurang-kurangnya 65 pertubuhan.

“Kira-kira 10,000 hingga 15,000 orang akan hadir ke jalanan dan kami berhimpun semata-mata mahu melindungi rakyat.
“Kenaikan harga minyak tidak akan membawa apa-apa faedah, sebaliknya hanya menyukarkan orang ramai,” katanya.

Jakarta bercadang menaikkan harga petrol pada 1 April ini selepas diluluskan Parlimen.

Melalui rancangan pengurangan subsidi itu, harga minyak di Indonesia akan meningkat dari Rp4,500 (RM1.51) kepada Rp6,000 (RM2.01) seliter.
Bagaimanapun, peluang itu dikatakan semakin sempit kerana sebahagian parti yang bersekutu dalam kerajaan menolak usul berkenaan.

Khamis lalu, Parti Keadilan Sejahtera dan Parti Persatuan Pembangunan menyatakan, mereka belum membuat keputusan sama ada akan menyokong rancangan itu.
Turut mengambil sikap sama, parti Golkar. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Eksekutif Mahasiswa Universiti Indonesia, Faldo Maldini, mengesahkan mereka akan mengadakan demonstrasi bagi tujuan sama.

Kata Faldo, kira-kira 100 hingga 150 mahasiswa akan menyertai perhimpunan di depan bangunan Parlimen Indonesia bagi memberi tekanan kepada wakil rakyat supaya menyebelahi orang ramai.

Minggu lalu, Faldo berkata, mereka cuba menemui wakil rakyat terbabit tetapi dilarang memasuki kawasan Parlimen.

Pemimpin Penyatuan Kebangsaan Mahasiswa Indonesia, Jati Pramestianto, pula berkata ribuan ahli pertubuhan itu turut turun ke jalan di Jakarta dan bercadang untuk terus mengadakan protes di situ sehingga kerajaan membatalkan rancangan menaikkan harga petrol. - Antara

'via Blog this'

Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan

Berita Harian Online | Mangsa bunuh tentera AS dapat pampasan:BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai,  selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.
BEBERAPA lelaki melihat kesan darah dan mayat rentung di salah sebuah rumah mangsa serangan askar Amerika di Panjwai, selatan Kabul, pada 11 Mac lalu.
KANDAHAR: Keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh anggota tentera Amerika Syarikat (AS) akan menerima pampasan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 
Tentera AS membayar ganti rugi sebanyak AS$50,000 (RM150,000) bagi setiap mangsa yang terbunuh dan AS$11,000 (RM33,000) bagi setiap seorang yang cedera. 
BBC melaporkan, keluarga mangsa menghadiri pertemuan sulit dengan pegawai tentera AS dan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di pejabat gabenor Kandahar untuk membincangkan mengenai perkara itu. Anggota majlis daerah Kandahar, Agha Lalai, berkata wang itu dipercayai diperoleh daripada Presiden Barack Obama tetapi pegawai AS enggan memberikan sebarang reaksi.

Keluarga mangsa diberitahu sebahagian saksi sudah dibawa ke AS untuk memberikan keterangan manakala yang lain akan mengambil bahagian menerusi video apabila Staf Sarjan Robert Bales dibicarakan berhubung tragedi di daerah Panjwai pada malam 11 Mac lalu. 

Jumaat lalu, tentera AS berkata, Bales akan didakwa dengan 17 tuduhan secara rasmi melakukan pembunuhan terancang membabitkan sembilan kanak-kanak dan lapan orang dewasa Afghanistan. 

Bales, 38, juga didakwa dengan enam tuduhan cubaan membunuh seorang lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak.
Dia kini ditahan dipenjara tentera di Fort Leavenworth, Kansas, selepas dibawa keluar dari Afghanistan minggu lalu. 

Peguam Bales, John Henry Browne yang tidak mempedulikan laporan bahawa anak guamnya mabuk pada malam pembunuhan, berkata Bales tidak ingat mengenai kejadian itu. 

John Henry Browne berkata, tiada bukti forensik terhadap Bales dan tidak pengakuan dibuat. 

Bales ialah satu-satunya suspek dalam pembunuhan berkenaan di sebalik dakwaan Afghanistan lebih daripada seorang tentera AS terbabit dalam kejadian itu. 

Perbicaraannya mungkin mengambil masa bertahun-tahun, bertentangan dengan tuntutan Afghanistan yang mahukan keadilan pantas dan tegas, dan dia berdepan hukuman mati jika disabitkan. 

Kes terbabit mengeruhkan lagi hubungan Kabul dan Washington manakala Taliban menarik diri daripada rundingan damai berikutan kejadian itu. – Agensi/AP 
'via Blog this'

Mangsa ragut terbaring lumpuh

Kosmo! Online - Negara:


Sunday, March 25, 2012

Lebih 20 rumah rosak dilanda ribut

Berita Harian Online | Lebih 20 rumah rosak dilanda ribut:KANGAR: Lebih 20 buah rumah rosak terutama pada bahagian bumbung dalam kejadian ribut yang melanda sekitar bandar Kangar hari ini. 

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika hujan lebat.
Antara lokasi terjejas ialah Kampung Bakau dan Taman Hijrah di sini namun JKM masih menjalankan bancian dan nilai kerugian belum diketahui setakat ini.
Turut mengalami kerosakan ialah gerai makanan yang turut terbalik akibat angin kencang manakala beberapa batang pokok turut tumbang. 

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) masih bertungkus lumus mengalihkan pokok yang tumbang berhampiran jalan raya terutama berhampiran Padang Bandaran di sini. 

Akibat kejadian itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memotong sementara bekalan elektrik di kawasan terbabit demi keselamatan orang ramai. - BERNAMA
'via Blog this'

Suspek bakar kereta ditahan

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 24 Mac - Kes bakar kenderaan mewah yang semakin menjadi-jadi di ibu negara terungkai apabila polis berjaya menahan seorang lelaki di sini hari ini yang dipercayai terlibat dalam jenayah itu.
Suspek berusia 42 tahun ditahan di Kampung Pauh, Sentul kira-kira pukul 10.30 pagi dan dia dipercayai terlibat dalam kes bakar 18 buah kenderaan mewah sejak 10 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek ditahan hasil siasatan lanjut polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di salah satu lokasi kejadian.
"Polis turut merampas tuala mempunyai kesan petrol, minyak petrol serta pemutar skru yang telah ditajamkan, dipercayai untuk digunakan bagi memancitkan tayar kereta," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Jinjang hari ini.
Kebakaran kenderaan mewah antaranya Skoda Octavia, BMW 523i, Kia Sorento dan Honda Accord sebelum ini dilaporkan semakin menjadi-jadi di ibu negara apabila sekurang-kurangnya 18 kes dilaporkan.
Terbaru malam tadi, empat buah kereta dibakar di sekitar Sentul termasuk satu di Titiwangsa.
Menurut Chin Wah, polis sedang menyiasat motif tindakan lelaki itu dan kemungkinan dia melakukan jenayah ini bersama individu lain.

'via Blog this'

Tiga penjenayah ditembak mati

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


TELOK KEMANG 24 Mac – Benar kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Itulah padah yang menimpa tiga penjenayah lelaki warga asing apabila mereka akhirnya maut akibat ditembak polis ketika cuba memecah masuk rumah seorang penduduk di sebuah kampung dekat Linggi, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kesemua suspek cuba memecah masuk sebuah rumah penduduk di kampung itu namun, terserempak dengan sebuah kereta peronda polis.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, polis yang curiga dengan tindakan tiga lelaki itu menghampiri mereka sambil mengarahkan semua lelaki itu menyerah diri.
“Bagaimanapun, tiga penjenayah tersebut bertindak agresif apabila menyerang anggota polis yang menghampiri mereka dengan menggunakan parang.
“Berikutan itu, polis tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa melepaskan tembakan ke arah ketiga-tiga penjenayah berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Osman, hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa peralatan pecah rumah iaitu pemotong besi, pemutar skru, sarung tangan dan topeng pada tiga suspek itu.
“Kita percaya mereka masuk ke dalam kawasan rumah dengan memotong pagar, tetapi sebelum memecah masuk ke dalam rumah, suspek terserempak dengan anggota polis yang kebetulan sedang meronda.
“Rumah yang menjadi sasaran penjenayah ini didiami enam beranak. Kesemua mereka tidak mengalami kecederaan dalam kejadian ini,” jelasnya.

'via Blog this'

Wanita ditahan bantu kes tembak

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KOTA BHARU 24 Mac - Polis menahan seorang wanita yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kes tembak seorang peniaga pasar malam di persimpangan lampu isyarat berhampiran pintu masuk Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Binjai, dekat sini, pukul 4.30 petang, semalam.
"Dengan penahanan wanita tersebut, pihak kami percaya dapat menyelesaikan kes tersebut," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi 220 buah motosikal berkuasa tinggi sempena Hari Polis ke-205 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pagi ini.
Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu merupakan aktiviti pasukan polis dalam usaha membanteras jenayah terutama golongan muda sebagai sasaran utama program Jom Cegah Jenayah.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Loi Yong Heng serta Ketua Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam IPK Kelantan, Supritendan Azli Mohd. Noor.
Penjelajahan bermula dari perkarangan IPK sejauh 60 kilometer itu akan tamat di Pantai Tujuh, Tumpat di mana mereka menyertai program interaksi bersama masyarakat, khasnya anak-anak muda. - BERNAMA

'via Blog this'