Showing posts with label peguam syarie. Show all posts
Showing posts with label peguam syarie. Show all posts

Friday, March 18, 2011

Peguam syarie mesti orang Islam



Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bharian.com.my
2011/03/18

 JAYASEELE     ketika di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
JAYASEELE ketika di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
Mahkamah tolak permohonan Jayaseele jalani amalan guaman 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak permohonan peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk diterima menjadi peguam syarie dan menjalani amalan guaman di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Jayaseele bagi mengetepikan keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang enggan menerima kemasukannya sebagai peguam syarie.
Dalam penghakimannya, Rohana berkata, keperluan mensyaratkan seseorang yang diterima masuk menjadi peguam syarie mesti beragama Islam adalah perlu bagi memastikan keberkesanan perwakilan perundangan. 

Beliau berkata, Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993 dibuat mengikut kuasa perundangan MAIWP yang memberikannya kuasa untuk menerima kemasukan peguam syarie mengikut budi bicaranya, namun kuasa itu tertakluk kepada sub Seksyen 2 perintah sama. 

“Ini bermakna kemasukan peguam syarie adalah bersyarat mengikut peraturan yang dibuat MAIWP dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung. Peraturan yang dibuat adalah berkenaan prosedur, kelayakan dan yuran kemasukan,” katanya. 

Pada 19 Mei tahun lalu, Jayaseele memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan keputusan MAIWP melalui Jawatankuasa Peguam Syarie yang menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie. 
Beliau yang memperoleh Diploma Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004 juga memohon pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan. 

Ini adalah kes pertama seorang peguam bukan Islam diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan MAIWP bahawa hanya peguam Islam dibenarkan menjadi pengamal guaman di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur. 

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mestilah orang Islam. 

Victoria gagal jadi peguam Syarie



KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini semalam menolak permohonan seorang peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin (gambar) untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Rohana Yusuf menolak permohonan yang difailkan Victoria pada 19 Mei tahun lalu supaya semakan kehakiman dibuat bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menolak permohonannya.
Rohana berkata, MAIWP mempunyai kuasa untuk mengeluarkan syarat mengenai pelantikan peguam syarie dan ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Parlimen memberi kuasa kepada MAIWP untuk membuat syarat-syarat mengenai kemasukan peguam syarie iaitu prosedur, kelayakan dan pembayaran serta kuasa yang diberikan adalah sangat luas," katanya.
MAIWP mempunyai kuasa untuk berbuat demikian seperti mana dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Saturday, March 5, 2011

Bukan Islam tidak boleh jadi peguam syarie

SH

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam syarie bagi mengelak timbulnya kecelaruan di kalangan umat Islam.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam berkata, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam yang bersidang pada 15 Disember tahun lalu merumuskan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu menguasai al-Quran dan hadis serta menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola.

“Peguam syarie juga perlu menguasai bahasa Arab, ilmu usul fiqh dan fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah SWT agar tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada keimanan kepada Allah SWT dan demi kemasalahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.

“Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat

Islam, muzakarah itu memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam syarie,” katanya ketika berhujah berhubung permohonan Victoria Jayaseele Martin untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam dibenarkan sebagai pengamal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Sulaiman berkata, ketidakbenaran pelantikan orang bukan Islam itu juga demi mengelak sebarang keburukan berlaku dan mengutamakan kepentingan umat Islam daripada kepentingan individu.

“Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya

seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai peguam syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Sementara itu, peguam Ranjit Singh yang mewakili Victoria berhujah bahawa anak guamnya mempunyai kelayakan dalam perundangan Islam dan memperoleh Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004.

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh menjadi peguam syarie dan hanya orang Islam yang layak (jadi peguam syarie).

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan 17 Mac ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan itu.

Pada 19 Mei, Victoria memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menolak permohonannya bagi diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Dalam permohonannya itu, Victoria, 49, menamakan MAIWP selaku responden.

Beliau memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie. - Bernama