Friday, October 30, 2015

Ratu tak malu selongkar sampah

Agensi
Samut Prakan:Gambar seorang ratu cantik muda kembali ke kampungnya di sini, wilayah di tengah Thailand, untuk mengucapkan terima kasih dengan melutut di hadapan wanita yang membesarkannya selama ini menjadi viral di Internet sejak beberapa hari lalu.

Dengan mahkota berkilauan dan selempang sutera, Khanittha ‘Mint’ Phasaeng, 17, pemenang Ratu Berita Tanpa Tapisan Thailand 2015 - melutut di depan ibunya di depan tong sampah untuk mengucapkan terima kasih kepada apa yang dilakukan kepadanya selama ini.

Gambar mengharukan itu mendapat perhatian orang ramai. Ibu Mint yang membesarkannya menyara hidup keluarganya dengan menyelongkar sampah untuk mencari barang yang boleh dikitar semula. Mereka juga menjual pakaian terpakai.

“Apa yang saya capai sekarang ialah kerana ibu saya. Kami menyara hidup dengan melakukan kerja secara jujur. Tidak ada apa yang hendak saya malukan,” kata Mint.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:02 AM

MINT dengan mahkota dan selempang yang dimenanginya melutut depan ibunya untuk ucapkan terima kasih. Gambar kanan, Mint (kiri) membantu ibunya menyelongkar sampah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89334#sthash.3cBMx3AP.dpuf

Muhyiddin Tiada Maklumat Tujuh Ahli Umno Disiasat


Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2015 6:29 PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai tujuh anggota parti itu yang kini sedang disiasat.
"Saya hanya baca mengenainya di media," jawabnya secara ringkas di perkarangan Parlimen di sini, Khamis.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, beliau sendiri tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.
Ditanya sama ada sedia berhadapan dengan siasatan itu sekiranya beliau adalah salah seorang daripada tujuh individu terlibat, Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tujuh individu dalam Umno sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak patut ‘dibuat di khayalak’.
Beliau menambah, hasil siasatan akan dibincangkan di peringkat tertinggi sebelum ia dibawa ke jawatankuasa disiplin parti.
Tengku Adnan bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tujuh individu tersebut.

Justo Mahu Saman 3 Pihak Terima Data PetroSaudi


Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2015 9:45 PM

BANGKOK: Warga Switzerland, Xavier Andre Justo, yang kini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand kerana cuba memeras bekas majikannya PetroSaudi International, akan menyaman pemilik kumpulan media The Edge dan eksekutif tertingginya serta editor Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di Singapura.

Justo mahu Toong Kooi Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Penerbit The Edge Communications Sdn Bhd Ho Kay Tat serta pengasas-editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown memulangkan data yang telah diserahkannya kepada mereka, menurut sumber yang berkaitan dengan kes itu.

Sumber itu memberitahu Bernama bahawa saman itu dijadual didengar di Mahkamah Tinggi di Singapura pada 4 November ini.

Saman itu akan difailkan di Singapura kerana data berkenaan, yang dicuri Justo daripada PetroSaudi, telah diserahkan kepada ketiga-tiga pihak itu di republik berkenaan.

Justo mengaku mencuri data berjumlah 90 gigabyte termasuk e-mel dan dokumen daripada PetroSaudi sebagai sebahagian daripada percubaan untuk memeras bekas majikannya itu.

Apabila percubaan pemerasan itu gagal, dia menyerahkan data berkenaan kepada Toong dan Brown, yang dikatakan telah menawarkan kira-kira US$2 juta kepadanya, tetapi dia ditangkap pada 22 Jun lepas di pulau Koh Samui di selatan Thailand sebelum menerima bayaran itu.

Pada Isnin, Justo memohon ikat jamin tetapi permohonannya ditolak oleh mahkamah. Justo dijangka memfailkan permohonan baharu untuk ikat jamin pada minggu depan.

Di KUALA LUMPUR, peguam Kevin Joshua berkata Justo tidak mempunyai hak untuk memfailkan saman kerana dia tidak mempunyai kepentingan terhadap barangan itu" untuk membuat sebarang tuntutan.

"Ia seperti seorang perompak menyaman tukang emas yang membeli barang kemas yang dicurinya," kata rakan guaman di Kevin and Co itu.

"Walaupun dia mungkin mempunyai hak untuk memulakan tindakan saman, persoalannya ialah sama ada ia dapat diterima, dan ia bergantung kepada pengakuan apa yang dibuat."

Najib Tiada Pilihan, Perlu Jawab Isu 1MDB Pada Sidang Kali Ini - Johari Abdul


Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2015 6:23 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiada pilihan selain menjawab isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan derma RM2.6 bilion dalam sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, ia berdasarkan 'janji' Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said melalui jawapan bertulis pada Khamis.
"Dalam jawapan bertulis itu, Azalina menyatakan soalan tersebut akan dijawab serentak dengan soalan lain yang mempunyai maksud  sama pada tarikh ditetapkan kemudian dan pada persidangan kali ini juga.
"Jadi Najib tiada pilihan untuk jawab dalam persidangan (Dewan Rakyat) yang akan berakhir pada 3 Disember ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.
Johari mengemukakan soalan meminta Najib menjelaskan mengenai derma RM2.6 bilion yang diterima beliau.
Soalan itu termasuk siapa penderma berkenaan, apakah tujuannya dan adakah terdapat ikatan dan syarat yang dikenakan terhadap Perdana Menteri atau negara.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempertikaikan mengapa Perdana Menteri masih belum dipanggil memberikan keterangan mengenai isu RM2.6 bilion.
Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low melalui jawapan bertulis menyatakan keterangan Najib masih belum direkodkan.
"Jadi bila nak panggil? Saya hairan mengapa mereka masih belum panggil," katanya.

Guru adakan parti cerai


Riyadh: Satu klip video menunjukkan seorang guru wanita mengadakan parti bagi meraikan perceraiannya menjadi viral di Internet dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Guru itu berkata, perceraian itu menandakan berakhirnya kesengsaraannya yang dihadapinya selama hidup berumah tangga dan tidan tidak salah dia menyambutnya dengan rakan di sekolah.


Menurut sumber yang rapat dengan guru itu, suaminya meminta dia memilih antara dia dan kerjayanya.

Wanita itu memilih untuk meneruskan kariernya dan bersetuju untuk bercerai.

Dalam sambutan yang diadakan di sekolahnya, guru berkenaan membawa kek besar, kuih-muih, manisan, minuman dan lambang yang menggambarkan kegembiraannya.

Satu daripada lambang itu tertulis: “Masalah saya sudah berakhir.”

Seorang pengguna laman sosial, Wasyef, menyelar tindakan itu dengan menulis: “Sudah menjadi gaya hidup masyarakat untuk meraikan perceraian mereka secara besar-besaran. Ini perlu dihentikan dan hukuman berat perlu dikenakan ke atas mereka bagi mengelak fenomena ini bertambah buruk.”

Seorang pelawat lain menulis, jumlah wanita tidak berkahwin dan janda akan terus bertambah di Arab Saudi.

“Saya percaya ada cerita di sebalik suaminya menyuruh dia memilih antara dia atau kerjanya. Tetapi, apa juga yang berlaku, dia tidak sepatutnya meraikan perceraiannya,” kata pelawat itu.

Bagaimanapun, seorang wanita menyokong tindakan guru itu dengan berkata: “Sesetengah suami tidak layak untuk menerima pengorbanan yang dilakukan isteri mereka.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 6:35 AM

GAMBAR yang dipetik dari rakaman video menunjukkan kek yang dibawa guru itu ke sekolah untuk meraikan perceraiannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89308#sthash.u3JUJD6Z.dpuf

Google mahu lancar belon pemancar internet di Indonesia



AGENSI KERJA-KERJA Projek Loon dilaksanakan dua tahun lalu untuk memberi akses internet berkelajuan tinggi kepada penduduk yang terutamanya tinggal di kawasan pedalaman.


JAKARTA – Sejumlah belon pemancar internet milik Google akan dilancarkan dalam fasa seterusnya bagi menyediakan akses dalam talian kepada penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.
Belon-belon itu akan dilancarkan ke lapisan statosfera di ruang udara Indonesia bermula tahun hadapan dalam perluasan projek berkenaan yang diumumkan kelmarin.
Kira-kira 250 juta penduduk tinggal di 17,000 buah pulau di Indonesia namun, hanya 42 juta orang mempunyai akses internet, menurut anggaran Agensi Perisikan Pusat.
Project Loon yang bermula dua tahun lalu itu bertujuan untuk memancarkan isyarat internet berkelajuan tinggi menggunakan belon-belon yang terapung pada ketinggian 18.2 kilometer dari permukaan bumi.
Menurut Google, Project Loon akan membolehkan kira-kira 100 juta penduduk di pedalaman Indonesia melayari internet untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan, berhibur serta memperoleh manfaat lain secara dalam talian.
Pada masa sama, Google berpotensi meningkatkan perolehan menerusi iklan selepas lebih ramai pengguna boleh melayari enjin carian Google, menonton video di YouTube dan berhubung menerusi Gmail.
Pada masa ini, Project Loon masih di peringkat ujian. Google tidak memberikan tarikh tertentu untuk mengenakan caj bagi perkhidmatan itu.
Google kelak akan menjual akses internet itu melalui pembekal perkhidmatan wayarles di Indonesia. Kepulauan itu mempunyai kira-kira 319 juta telefon bimbit, jauh lebih besar daripada populasinya.
Project Loon melibatkan penghantaran beratus-ratus belon internet di lapisan stratosfera Bumi. Projek sama sebelum ini diuji di New Zealand, Australia dan Brazil. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3pztol37h 
Hakcipta terpelihara 

Ratu cantik sujud di kaki 
ibu tanda terima kasih


Pemenang pertandingan Miss Uncensored News Thailand 2015, Khanittha Phasaeng, sujud di kaki ibunya sambil memakai mahkota kemenangannya bersebelahan dengan bekas tong sampah, sebagai ucapan terima kasih atas segala pengorbanan ibunya selama ini. AGENSI
BANGKOK 29 Okt. – Sekeping gambar yang memaparkan bagaimana seorang pemenang pertandingan ratu cantik di sini sujud di hadapan ibunya sebagai tanda terima kasih, tersebar meluas di laman sosial sehingga berjaya menyentuh hati ramai pihak.
Mail Online melaporkan, pemenang Miss Uncensored News Thailand 2015, yang diadakan di sini pada bulan lalu, Khanittha Phasaeng, 17. sujud di hadapan ibunya, sambil memakai mahkota bertatahkan mutiara bersebelahan bekas tong sampah, sebagai ucapan terima kasih atas segala pengorbanan ibunya selama ini.
Tindakan Khanittha atau lebih dikenali sebagai Mint itu berjaya menyentuh hati ramai pengguna laman sosial yang memuji tindakannya yang tidak mudah lupa daratan ketika mengecapi kejayaan.
Menurut sumber, ibu pemenang ratu cantik itu membesarkan anaknya seorang diri dengan bekerja sebagai pemungut sampah sarap di sebuah bandar kecil di negara ini.
“Setiap kejayaan yang saya raih ketika ini adalah untuk ibu saya. Saya dan ibu hidup dengan melakukan pekerjaan yang jujur demi mencari rezeki yang baik, Tak ada apa yang perlu dimalukan,” kata Mint seperti dipetik laman web DramaFever News.
Mint berkata, dia langsung tidak pernah terfikir akan memenangi pertandingan ratu cantik berkenaan kerana sedar pesaing-pesaing yang lain turut hebat dan berkebolehan.
“Sejak memenangi pertandingan tersebut saya banyak menerima tawaran bekerja dalam bidang pengiklanan, filem dan televisyen.
“Namun, ibu saya tetap mahu menjadi seorang pengutip sampah, tetapi kali ini dia tidak mahu saya membantunya,” jelas Mint.

China benar pasangan berumahtangga miliki 2 anak


BEIJING 29 Okt – China akan melonggarkan undang-undang perancang keluarga bagi membenarkan pasangan berumahtangga memiliki dua orang anak, selepas beberapa dekad memperkenalkan dasar ketat membenarkan pasangan suami-isteri mempunyai seorang anak sahaja, kata Parti Komunis China, hari ini, langkah bertujuan mengurangkan halangan demografik ke atas ekonomi.
Dasar itu merupakan liberalisasi penting ke atas sekatan perancang keluarga di negara ini, yang mula dilaksanakan pada akhir 2013 apabila Beijing membenarkan lebih banyak keluarga mempunyai dua orang anak jika pasangan terbabit memenuhi syarat-syarat tertentu.
Ramai sarjana di negara ini mahu kerajaan mengubah dasar lama yang diperkenalkan pada akhir 1970-an bertujuan mengelakkan pertumbuhan penduduk yang sukar dikawal, tetapi dasar itu kini dianggap sudah ketinggalan dan menjadi punca China kekurangan buruh yang besar.
Buat pertama kali dalam beberapa dekad, umur kumpulan penduduk yang bekerja jatuh pada 2012, dan China, yang merupakan negara yang mempunyai penduduk teramai di dunia akan menjadi negara pertama di dunia yang mempunyai ramai penduduk yang tua, sebelum mereka sempat menjadi kaya.
Pengumuman itu dibuat pada mesyuarat tertutup Parti Komunis China yang menumpukan kepada reformasi kewangan dan mengekalkan pertumbuhan antara 2016 dan 2020, di tengah-tengah kebimbangan tentang kelembapan ekonomi China.
China akan ‘melaksanakan sepe­nuhnya satu dasar membenar­kan setiap pasangan yang berkahwin mempunyai dua anak, sebagai reaksi positif kepada masalah penduduk yang semakin tua”, kata parti itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Xinhua.
Tiada maklumat lanjut mengenai dasar baharu itu, atau bilakah ia akan dilaksanakan. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/china-benar-pasangan-berumahtangga-miliki-2-anak-1.152197#sthash.Z37nYpSg.dpuf