Monday, October 13, 2014

Hishamuddin Rais Diarah Bela Diri Pertuduhan Menghasut


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 4:58 PM
Hishamuddin Rais.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin memerintahkan aktivis Hishamuddin Md Rais membela diri terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei tahun lepas. 

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu selepas mendengar keterangan empat saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 November sebagai tarikh bela diri.

Dalam prosiding itu, peguam Syahredzan Johan mewakili Hishamuddin, 63, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu akan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pada 29 Mei tahun lepas, Hishamuddin bersama lima aktivis lain didakwa memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ruminah Sidek Dedah AR Tompel Bukan Lelaki Gatal


Diterbitkan: Jumaat, 10 Oktober 2014 12:32 AM
Ruminah Sidek (kiri) bersama Adlin (tengah) dan AR Badul.

AMPANG: Pelakon veteran Ruminah Sidek mengaku bekas suaminya iaitu Allahyarham AR Tompel merupakan seorang lelaki yang sering menjadi perhatian dan digilai ramai wanita.

Bagaimanapun Ruminah atau lebih dikenali sebagai Mak Mah, 68, berkata, watak gatal Tompel yang dipaparkan dalam telefilem Saloma siaran Astro First Eksklusif langsung tidak menggambarkan identiti bekas suaminya itu.

"Rasa sedih pula bila tonton telefilem Saloma, watak Tompel sedikit pun tidak sama seperti yang dipaparkan.

"Dia bukanlah seorang yang nakal tetapi diakui ramai wanita sukakan dia walaupun dia tidaklah sekacak mana pun," katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Ruminah ditemui pada majlis sidang media khas yang dianjurkan keluarga dan waris AR Tompel mengenai rasa tidak puas hati dengan paparan watak seniman itu menerusi telefilem Saloma di Perbadanan dan Kemajuan Nasional Filem Malaysia (Finas).

Kira-kira 30 orang waris seniman itu hadir pada sidang media tersebut termasuklah AR Badul, Amran Tompel, Adlin Aman Ramlie serta bekas isteri Tompel, Zaiton Ismail selain wakil peguam mereka, Azam & Co.
mStar Default Image
AR Tompel (tengah) bersama P. Ramlee (kanan) dan Ibrahim Din dalam filem Do Re Mi.

Keluarga berkenaan telah menghantar notis bersama tiga tuntutan kepada Astro iaitu meminta pihak penyiar itu menghentikan serta merta siaran telefilem itu, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga AR Tompel dan mengadakan pertemuan bagi proses rundingan bersama pihak penerbitnya, Kus Semangat Aktor.

Dalam pada itu, Ruminah berkata, terdapat beberapa babak menunjukkan Tompel begitu agresif dalam percubaan cuba memikat Saloma dan seorang wanita lain namun hakikatnya, seniman itu bukanlah seorang yang berani bertindak segera dalam memikat wanita.

"Macam saya dahulu, dia tak pernah tunjuk yang dia ada hati pada saya walaupun ketika itu dia sukakan saya.

"Beberapa tahun kami bekerjasama dan menyimpan perasaan sehinggalah bapa saya sedar apabila melihat kami seperti suka antara satu sama lain. Bayangkan, saya panggil dia pakcik.

"Kemudian, sepanjang perkahwinan kami, dia hanya memarahi saya dua kali saja. Pelik pula bila watak Tompel dalam telefilem itu menunjukkan dia  seorang yang sombong, cemburu dan pemarah," ujarnya.

Telefilem Saloma dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mencuri Guruh dan Pandang Kaseh disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 28 Ogos lalu.

Ia menampilkan pelakon Nabila Huda sebagai Saloma, Tony Eusoff (Tan Sri P. Ramlee), Azhan Rani (A.R. Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah Amani (Siput Sarawak).

AR Tompel Punca Saloma Derita Adalah Kisah Palsu


Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2014 6:50 PM
Dari kiri; bekas isteri Allahyarham AR Tompel iaitu, Ruminah Sidek dan dua anaknya iaitu Adlin (tengah) serta AR Badul. Mereka hadir pada sidang media di Finas bagi menjelaskan telefilem Saloma siaran Astro First Eksklusif mengenai Allahyarham adalah tidak benar.

AMPANG: Pelakon Adlin Aman Ramlie berkata lebih daripada 90 peratus watak bapanya, Allahyarham AR Tompel dalam telefilem biopik Saloma siaran Astro First Eksklusif adalah tidak benar termasuklah seniman itu digambarkan sebagai punca biduanita Saloma menderita.

Walaupun perjalanan hidup Allahyarham yang dipaparkan adalah fakta, Adlin menyifatkan cara interpretasi visual yang disampaikan pengarah Melissa Saila dan penulis skrip, Megat Fauzi adalah keterlaluan dan sebanyak 29 babak dalam telefilem itu lebih berunsur tohmahan.

"Memang benar, ayah saya berkahwin dengan Saloma dan memiliki seorang anak serta beberapa fakta lain dalam telefilem tersebut betul.

AR Tomplel

"Tetapi pengarah dan penulis skrip menterjemahkan watak ayah saya seolah-olah mengikut bayangan mereka sendiri dengan berpandukan kata satu sumber sahaja iaitu Mariani (kakak Saloma) tanpa bertanyakan kepada kami waris-waris Tompel.

"Ini membuatkan seolah-olah Tompel itu menjadi punca Saloma menderita. Lebih-lebih lagi menerusi satu babak yang menunjukkan Saloma terpaksa keluar rumah dengan keadaan sarat mengandung kerana Tompel tidak membayar sewa rumah, menunjukkan Allahyarham langsung tidak bertanggungjawab," katanya.

Adlin ditemui pada majlis sidang media khas yang dianjurkan keluarga dan waris AR Tompel di Perbadanan dan Kemajuan Nasional Filem Malaysia (Finas).

Kira-kira 30 orang waris seniman iti hadir pada sidang media tersebut termasuklah AR Badul, Amran Tompel serta dua isteri seniman itu, Ruminah Sidek dan Zaiton Ismail selain wakil peguam mereka, Azam & Co.

Telefilem yang diterbitkan oleh syarikat produksi Kus Semangat Aktor dibahagikan kepada dua bahagian iaituMencuri Guruh dan Pandang Kaseh disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 28 Ogos lalu.

Ia menampilkan pelakon Nabila Huda sebagai Saloma, Tony Eusoff (Tan Sri P. Ramlee), Azhan Rani (A.R. Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah Amani (Siput Sarawak).

Tambah Adlin, cara terjemahan visual pada babak Tompel menghembus asap rokok pada Saloma juga tidak patut dipaparkan kerana ia dilihat seperti Saloma 'diguna-guna' oleh Allahyarham.

Sementara itu, pada sidang media tersebut, keluarga berkenaan telah menghantar notis berbentuk tiga tuntutan kepada Astro iaitu meminta pihak penyiar berkenaan menghentikan serta merta siaran telefilem itu, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga AR Tompel dan membuat pertemuan bagi proses rundingan.

AR Badul pula berkata, selepas menghantar surat notis kepada Astro 26 September, pihaknya telah mendapat respons daripada pihak Astro pada Rabu (semalam).

"Sekarang ini kami mahu telefilem itu segera dihentikan dan tidak diulang tayang lagi. Bayangkan jika ia terus ditayangkan pada masa akan datang, apa pandangan generasi masa itu terhadap keluarga kami?

"Bagaimanapun kami tidak mahu membawa perkara ini sehingga timbulnya saman menyaman.

"Tetapi kami sekeluarga sanggup berjuang sekiranya perlu menggunakan mahkamah untuk selesaikan perkara ini," tegasnya.

AR Tompel atau nama sebenarnya Aman Ramli Jaafar meninggal dunia pada 30 Januari 1973 selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya di Setapak, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.

Malaysia Bakal Bina Jalan Bercampur Getah


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 2:03 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka dapat membina jalan daripada getah pada Jun tahun depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah berkata, banyak negara telah menjalankan kajian mengenai pelbagai kegunaan getah terutama untuk sektor pembinaan.

"Sesetengah negara menggunakan getah asli (NR) untuk membina jalan. Malaysia juga akan menjadi antara negara berkenaan," katanya dalam taklimat media di sini, Isnin selepas merasmikan Persidangan Getah Tahunan Ketujuh anjuran Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli, bertemakan 'Kelestarian Ekonomi NR yang Saksama'.

Uggah berkata, jika harga terus bergerak pada kadar perlahan, ada kemungkinan getah asli akan diguna untuk membina jalan.

Katanya, Thailand yang telah menjalankan ujian, mendapati walaupun pelaburan awal tinggi, kos penyelenggaraan adalah rendah untuk jangka panjang.

"Jalan daripada getah juga sebagus jalan tar atau bitumen. Thailand menggunakan 3.3 tan getah asli sekilometer untuk pembinaan jalan," katanya.

Uggah berkata, antara langkah segera yang diambil bagi menyokong industri getah asli ialah menanam semula pokok getah di kawasan seluas 50,000 hektar bagi menggantikan pokok berusia lebih 20 tahun.

Terdahulu dalam ucapannya, Uggah berkata kerajaan menyambut baik cadangan persatuan pengeluar getah Thailand, Indonesia dan Malaysia baru-baru ini untuk tidak menjual di bawah harga RM1.50 sekilogram.

"Jadikan ini ujian yang mengukur keazaman dan persaudaraan kita dalam menyelesaikan krisis harga sekarang," katanya.

Nik Aziz Sokong Penggantungan Dua Adun PAS Selangor


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 3:35 PM
Nik Aziz Nik Mat

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penggantungan keahlian dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor dari parti itu atas kesalahan mengkhianati keputusan Majlis Ulama PAS.

Majlis itu mengambil pendirian menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor semasa berlaku kemelut jawatan itu.

Namun mereka berdua membuat pendirian bercanggah menyokong presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan itu.

Nik Abdul Aziz berkata penggantungan itu selama setahun berkuat kuasa semalam terhadap Adun Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin adalah tepat dan bersesuaian dengan kesalahan.

"Mana-mana persatuan berbentuk politik, dalam sekolah dan kerajaan sekalipun, mesti patuh pada peraturan, tidak boleh suka-suka hati," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini, Isnin.

Ditanya tentang kemungkinan kedua-dua Adun itu keluar parti ekoran penggantungan itu, bekas menteri besar Kelantan itu berkata itu adalah hak individu untuk berbuat demikian.

"Kalau dia nak keluar parti, itu dia punya pasal lah, ertinya dia akan berdepan dengan rakyat. Dulunya dia berkempen PAS, lepas tu parti lain pula, ini orang yang tidak siuman. Orang yang akil baligh, mesti jaga lidah," katanya.

Pengumuman mengenai penggantungan keahlian itu dibuat Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam.

"Kedua-dua Adun itu masih lagi ahli parti dan mereka bukanlah dipecat malah masih menjadi Adun kita," katanya. 

Calon MB Selangor


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 5:22 PM
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Gara-gara disindir kerana gagal meyelesaikan segera krisis politik membabitkan kedudukan menteri besar Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membersihkan imej Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menggunakan sesi perbahasan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada Isnin, ketua pembangkang itu melahirkan rasa kurang senang dengan kenyataan bahawa Pakatan Rakyat dimurkai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung krisis politik negeri itu.

"Saya tak mahu istilah murka digunakan. Perkataan murka ini (sesuai digunakan) bila kita langgar, tak hormat raja.

"Tapi saya belum keluar kenyataan yang mempertikai kedudukan raja-raja Melayu sama ada dalam atau luar dewan (Dewan Rakyat)," katanya pada sesi perbahasan peringkat dasar di Parlimen.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 menyindir pembangkang kerana membiarkan krisis politik Selangor berlarutan selama beberapa bulan.

Menurut Najib, tidak seperti pihak pembangkang yang sibuk bertelingkah kerana mabuk kuasa hingga dimurkai Istana, kerajaan Barisan Nasional tetap konsisten dalam membangunkan taraf kehidupan rakyat.

Pada sesi pagi Isnin itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh turut melenting apabila diajukan dengan soalan mengapa PKR enggan mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar seperti yang dititahkan Sultan Selangor.

"Saya nak tanya Permatang Pauh (Anwar) mengapa susah sangat nak beri lebih daripada dua nama? Mengapa tak ikut permintaan?," demikian soal Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) ketika mencelah sesi perbahasan Anwar.

Tidak senang dengan soalan berkenaan, Anwar berkali-kali mempertahankan keputusan PKR untuk hanya mengemukakan nama Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal jawatan kontroversi itu.

"Apa masalah hantar satu nama? Itu keputusan parti. Ditolak dan dikemukakan satu nama ganti. Jadi apa masalahnya?

"Tak setuju? Ok, kita bagi nama lain. Yang nak sibuk suruh bagi tiga nama kenapa?," katanya.

Ceramah Akta Hasutan Di P.Pinang Diganggu


Diterbitkan: Ahad, 12 Oktober 2014 11:05 PM

GEORGE TOWN: Satu ceramah mengenai pemansuhan Akta Hasutan oleh Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) terganggu apabila sekumpulan orang bertindak menyerbu Speaker Corner di Esplanade di sini.

Jurucakap GHAH Ong Jin Cheng baharu sahaja memulakan ucapannya kira-kira pukul 6 petang, Ahad apabila sekumpulan yang terdiri daripada kira-kira 30 orang mula mengganggu ucapannya.

Kemudian berlaku pergelutan kecil sebelum pihak polis campur tangan untuk menghentikan kejadian itu daripada berterusan.

Jin Cheng dan 20 penyokong GHAH kemudiannya diiringi keluar padang oleh pihak polis.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, GHAH melahirkan kekecewaan mereka dengan kejadian itu tetapi berkata ia tidak akan menghalang kumpulan itu daripada terus menuntut pemansuhan Akta Hasutan 1948.

Rafizi Kini Setiausaha Agung PKR Yang Baharu


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 12:00 PM
Rafizi Ramli

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan mengejut apabila melantik Naib Presiden, Rafizi Ramli sebagai setiausaha agung parti itu yang baharu bagi menggantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

 
Ketetapan itu dilakukan seiring dengan pelantikan Timbalan Presidennya, Mohamad Azmin Ali yang kini mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.

Saifuddin dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar kini dilantik sebagai Pengarah Bersama Pilihan Raya parti, manakala Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengambil alih kerusi Rafizi sebagai pengarah strategik.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Ahad.

Bercakap kepada The Star Online, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, perubahan itu adalah amalan biasa untuk memastikan pemimpin yang sesuai mengisi jawatan tertentu bagi memantapkan operasi parti.

"Dengan timbalan presiden dilantik sebagai menteri besar, tentu sekali dia sibuk dengan pelbagai tugas selain dalam parti, sebab itu kita perlu membuat perubahan ini," katanya ketika dihubungi.

PKR juga melantik dua naib presiden yang baharu, sebagai tambahan kepada tiga yang dipilih baru-baru ini.

Bagaimanapun, seorang lagi naib presiden belum diputuskan dan ia dikatakan akan diisi di kalangan pakar akademik Melayu.

"Dua naib presiden baharu itu adalah Ahli Dewan Undangan Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.

"Bagaimanapun, kami belum memutuskan nama ketiga untuk jawatan itu. Pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi," kata Zuraida.

Sementara itu, katanya, Fahmi Fadzil kekal sebagai pengarah komunikasi parti.

Pengumuman rasmi berhubung perubahan jawatan dalam parti ini dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Jawatankuasa Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan Kaji Hukum Hudud


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 12:14 PM

KOTA BARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Isnin diberitahu beberapa langkah telah diambil untuk merealisasikan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II iaitu hukum Hudud di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata beberapa jawatankuasa tertentu membabitkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan juga telah ditubuhkan untuk mengkajinya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang mempersoalkan kerajaan negeri kerana masih mempolitikkan isu itu pada sesi soal jawab.

"Kanun ini telahpun diluluskan dalam dewan ini lebih 20 tahun lalu ... saya ingin bertanya apakah kerajaan negeri lebih takutkan DAP atau siapa sebenarnya untuk melaksanakan undang-undang ini," soal Mohd Adhan.

Sementara itu persidangan dewan juga dimaklumkan sebanyak 17 kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di negeri ini dengan 12 lagi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata sebanyak 13,200 orang telah dijangkiti demam denggi itu sejak Januari lalu.

Katanya pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan negeri antaranya mengadakan gotong royong perdana di lokaliti wabak selain mengadakan khutbah khas Jumaat tentang aspek kebersihan untuk mengelak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang menyebabkan demam denggi.

"Kerajaan negeri bekerjasama dengan semua pihak demi menyedarkan rakyat untuk menjaga kebersihan," katanya ketika menjawab soalan Dr Md Yusnan Yusof (PAS-Melor).

Gantung 2 Adun: PKR Tak Masuk Campur


Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 1:34 PM

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil pendirian untuk tidak campur tangan berkaitan isu dalaman PAS khususnya membabitkan masalah disiplin ahli dan pemimpin sekutu Pakatan Rakyat itu.

Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, parti itu menghormati keputusan PAS menggantung keahlian dua wakil rakyatnya yang bertindak menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

"Itu adalah proses dalaman PAS dan saya rasa setiap parti mempunyai hak untuk menjalankan proses dalaman.

"Kalau proses itu berlaku dalam PKR, kita menghargai. Kalau rakan-rakan, kita tidak campur tangan, saya rasa tidak wajar kalau parti lain di dalam Pakatan Rakyat cuba campur tangan," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai keputusan PAS pada Ahad menggantung selama setahun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin digantung selama setahun berkuat kuasa Ahad.

Bagaimanapun, kedua-dua Adun berkenaan diberi tempoh 15 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Saari dan Hasnul sebelum ini menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar ketika Selangor dilanda krisis jawatan tersebut.

Kedua-dua Adun itu kemudiannya dipanggil oleh Jawatankuasa PAS Pusat bagi memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menyokong pencalonan Wan Azizah dan membuat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti.

Rakyat Bosnia mengundi pilih tiga Presiden


SEORANG wanita Bosnia sambil mendukung anaknya membuang undi di sebuah pusat mengundi di Sarajevo semalam. - AFP


SARAJEVO – Rakyat Bosnia keluar mengundi untuk memilih pemimpin baharu dan sebuah Parlimen semalam ketika negara itu dihimpit gejala rasuah dan ketegangan etnik.
Selepas hampir 20 tahun perang berlaku antara penduduk Islam, Croat dan Serb, Bosnia kekal antara negara termiskin di Eropah dan berpecah mengikut garisan etnik.
Perang antara tahun 1992 hingga 1995 itu menyaksikan seramai 100,000 orang terkorban dan menyebabkan bekas negara Republik Yugoslavia itu berpecah menjadi dua entiti separa autonomi iaitu Republik Serb Srpska dan Persekutuan Islam-Croat.
Dua entiti berasingan itu dihubungkan oleh pemerintahan pusat yang lemah.
Kira-kira 3.3 juta pengundi layak mengundi kali ini untuk memilih tiga calon masing-masing seorang Croat, Islam dan Serb bagi mengisi kerusi Presiden di samping memilih anggota Parlimen pusat.
Mereka juga akan memilih wakil rakyat untuk dua entiti tersebut.
“Saya tidak akan memilih pemimpin sedia ada. Mereka gagal membawa sebarang kemajuan,” kata seorang perpustakawan wanita berusia dalam lingkungan 50-an, Nadja Kadric di sini.
Terdahulu, Presiden Serb-Bosnia, Milorad Dodik yang bertanding untuk penggal ketiga mengulangi ancamannya untuk keluar daripada persekutuan Bosnia.
“Matlamat saya adalah supaya kita semakin kurang menjadi sebuah entiti dan berubah ke arah sebuah negara (merdeka),” katanya di sebuah perhimpunan politik.
Sebagai tindak balas, Presiden etnik Islam Bosnia, Bakir Izetbegovic yang bertanding untuk penggal kedua merayu umat Islam di negara itu supaya bersatu padu untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, ekonomi Bosnia kini mundur dengan negara itu mencatat kadar pengangguran sebanyak 44 peratus manakala purata pendapatan bulanan rakyatnya pula sekitar 415 euro (RM1,351).
Bosnia juga dihimpit gejala rasuah yang menyebabkan ia mengalami kerugian sebanyak 750 juta euro (RM2.9 bilion) setahun.
Pada pilihan raya semalam sebanyak 5,400 pusat mengundi telah dibuka. Semua pusat membuang undi itu ditutup pada pukul 7 malam waktu tempatan manakala keputusan awal pengiraan undi dijangka diketahui sekitar lima jam kemudian. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3FzYZ2IcQ 
Hakcipta terpelihara 

Polis Hong Kong alihkan penghadang penunjuk perasaan

Anggota polis mula alihkan penghadang yang dipasang oleh penunjuk perasaan prodemokrasi di Hong Kong hari ini. - Foto AFP
HONG KONG: Polis Hong Kong mula mengalihkan penghadang yang dipasang oleh penunjuk perasaan prodemokrasi yang berhimpun di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini sejak dua minggu lalu.
Menurut saksi, beberapa penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar berhadapan dengan polis di kawasan utama bantahan itu di daerah Admiralty.
Kerajaan Hong Kong sebelum ini menyatakan tunjuk perasaan itu adalah haram. - REUTERS

Mayon muntah lahar lagi


AFP
Manila
Mayon, gunung berapi paling aktif di Filipina, semalam sekali lagi memuntahkan lahar, meningkatkan kebimbangan kemungkinan letupan pasti berlaku.
Kerajaan sudahpun memindahkan 63,000 penduduk yang tinggal di sekitar enam kilometer dari zon bahaya di sekeliling gunung itu selepas ia memuntahkan asap dan lahar bulan lalu.
Aktiviti gunung itu reda beberapa minggu. Bagaimanapun, jumlah lahar yang mengalir lebih jauh di lerengnya mencetuskan kebimbangan pegawai Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina bahawa ia akan meletup sedikit masa lagi.
"Aktiviti gunung itu bermula 15 September dan berakhir beberapa hari. Selepas itu ia senyap. Tetapi hari ini, pegawai kami melihat pengaliran lahar," kata ketua agensi volkanologi, Renato Solidum.
Menurutnya, apa yang berlaku semalam ialah pergerakan kecil.
"Pengaliran lahar kini sudah sejauh kira-kira 350 meter dari puncak Mayon," kata Solidum.
Dia memberi amaran, pengaliran lahar dari Mayon biasanya diikuti dengan fasa letupan.
Solidum bagimanapun tidak dapat mengagak bila ia akan berlaku.
Menurutnya, magma di dalam gunung berapi itu meningkat hingga ke kawahnya perlahan-lahan tetapi boleh bertukar menjadi cepat, menyebabkan gunung itu bergegar dan berlaku letupan kecil, diikuti dengan letupan besar.
Gunung setinggi 2,460 meter berkenaan terletak kira-kira 330 kilometer ke barat daya Manila.
Empat pelancong asing dan pemandu pelancong tempatan terbunuh apabila Mayon meletup Mei tahun lalu.
Pada 1814, lebih 1,200 orang mati apabila lahar megalir dan menimbus bandar Cagsawa.
Ketua operasi pertahanan awam di sekitar Mayon, Bernardo Alejandro berkata, kerajaan melakukan tinjauan dari udara dan anggota Kabinet melawat kawasan terbabit bagi meninjau keperluan bantuan yang diperlukan penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:08 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1452#sthash.A2IyiUPe.dpuf

Wujud pembocor maklumat kedua NSA


DARI kiri, Edward Snowden, David Miranda (jurugambar), Glenn Greenwald dan Laura Poitras bergambar bersama di satu lokasi yang tidak didedahkan. - AGENSI
NEW YORK 12 Okt. - Dokumentari terbaharu, Citizenfour yang mengisahkan tentang pendedahan maklumat risikan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Negara (NSA), Edward Snowden menunjukkan wujudnya pembocor maklumat kedua daripada agensi itu sendiri, sama seperti yang disyaki oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Menurut portal berita Mail Online yang memetik kenyataan laman web The Hollywood Reporter, cerita tentang suspek kedua tersebut didedahkan dalam dokumentari arahan Laura Poitras yang bertemu Snowden selama lapan hari di Hong Kong sebelum bekas kontraktor itu membocorkan beribu-ribu maklumat sulit kerajaan pada tahun lepas sehingga sekarang.
Jelas laporan berkenaan, wartawan pertama yang menyiarkan pendedahan Snowden kepada umum dikenali sebagai Glenn Greenwald dan Potrait pula menjadi individu pertama yang mengadakan sesi wawancara secara langsung dengan bekas kontraktor tersebut.
Greenwald melalui laman webnya, The Intercept mendakwa, dua artikel yang dilaporkan oleh akhbar Jerman terhadap aktiviti pengintipan AS ke atas negara terbabit tidak menyebut nama Snowden sebagai pemberi maklumat, sekali gus menunjukkan bahawa bukan dia sahaja yang membocorkan maklumat risikan itu.
Tambahnya, dalam dokumentari Citizenfour, suspek kedua merupakan individu berpangkat lebih tinggi daripada Snowden, tetapi tiada butiran lanjut tentang pemberi maklumat itu yang membocorkan rahsia kepada wartawan.
"Kerajaan AS mempunyai nama sejuta orang yang dikumpul dalam pangkalan data yang dinamakan sebagai Pangkalan Data Identiti Pengganas (TIDE) dan satu senarai lain yang mempunyai 680,000 nama diletakkan di bawah pemantauan.
"Kira-kira 40 peratus individu yang tersenarai tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dokumentari Citizenfour turut disenaraikan oleh kerajaan AS," katanya.
Snowden diburu oleh kerajaan AS di bawah Akta Pengintipan dan kini tinggal di Rusia selepas diberi kelulusan oleh Moscow untuk berlindung di negara itu selama tiga tahun.
Dokumentari tersebut turut mendedahkan bahawa kekasih Snowden, Lindsay Mills kini mene­tap bersamanya di Rusia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141013/lu_10/Wujud-pembocor-maklumat-kedua-NSA#ixzz3FydBwmZG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Vladimir Putin arah tentera berundur


MOSCOW 12 Okt. - Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan Menteri Pertahanannya, Sergei Shoigu mengundurkan seramai 17,600 anggota tentera dari sempadan Ukraine sebelum mesyuarat gencatan senjata diadakan di negara terbabit.
Menurut Kremlin, arahan itu dikeluarkan terhadap tentera yang menyertai latihan di selatan wilayah Rostov, berhampiran sempadan Ukraine.
Shoigu menerima arahan itu menjelang berakhirnya latihan tersebut.
Semalam, Putin dan Shoigu bertemu selepas beliau mempengerusikan satu mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan ketika Presiden itu dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Petro Poroshenko untuk perbincangan dalam Forum Asia-Eropah di Milan, Itali Jumaat ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141013/lu_09/Vladimir-Putin-arah-tentera-berundur#ixzz3FycfuSWp
© Utusan Melayu (M) Bhd