Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan Akta Kesalahan Keselamatan yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi mahu Kerajaan Pusat memansuhkan kesemua undang-undang dan peraturan yang dilihat memindas hak dan kebebasan rakyat.
Ketua Pembangkang berkata, apa yang dilakukan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya satu permulaan kepada masa depan kebebasan dan perlindungan hak rakyat yang lebih baik.
"Ini hanya satu permulaan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
"Najib perlu memansuhkan baki undang-undang yang masih menindas rakyat dan ada banyak lagi undang-undang yang sedemikian.
"Saya dan Pakatan Rakyat mahu (Najib) meneruskan usaha dari sini dan memansuh atau meminda kesemua undang-undang yang menindas (rakyat), antara lain (undang-undang) berkaitan dengan pengawalan penerbitan dan percetakan, penyertaan pelajar dalam politik, kesatuan sekerja, perhimpunan dan (hak) pengundian (dari luar negara)," kata beliau lagi.
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) berkata sementara pihaknya menyambut baik langkah Najib tetapi was-was dengan rang undang-undang baru yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.
"Kami berkongsi pendirian Majlis Peguam sebagaimana disebutkan dalam memorandum mereka bertarikh 19 Julai 2010.
"Majlis Peguam mengulangi pendirian mereka hari ini. Saya juga berkongsi pandangan mereka," kata beliau lagi.

ANTARA  INTIPATI RANG UNDANG-UNDANG KESALAHAN KESELAMATAN (LANGKAH-LANGKAH KHAS) 2012

- Semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi
- Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata kerana kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya
- Seorang pegawai polis boleh, tanpa waran menangkap dan menahan ke atas orang yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

- Seseorang yang ditangkap pula, hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera alasan ditangkap dan orang yang ditangkap dan ditahan, boleh ditahan untuk tempoh selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan
- Seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih dari 28 hari, bagi tujuan penyiasatan
- Jika pegawai polis berpendapat bahawa tahanan lanjut tidak diperlukan, orang itu boleh dilepaskan tetapi suatu peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan, bagi tujuan penyiasatan
- Pegawai polis berkenaan hendaklah mengemukakan suatu laporan mengenai penyiasatan itu kepada Pendakwa Raya, yang kemudian akan membuat permohonan kepada mahkamah bagi membolehkan peranti pengawasan elektronik dipasang kepada orang berkenaan
bagi tempoh yang ditentukan oleh mahkamah
- Bagi tatacara khas yang berhubungan dengan peranti pengawasan elektronik, orang berkenaan hendaklah mematuhi semua terma dan syarat peranti pengawasan elektronik dan hendaklah melaporkan diri di balai polis yang terdekat pada masa yang dinyatakan, yang jika tidak mematuhinya, jika disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun
- Mana-mana orang yang mengganggu atau merosakkan peranti pengawasan elektronik adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan orang itu boleh dipertanggungkan untuk membayar apa-apa kerosakan kepada peranti pengawasan elektronik itu
- Kuasa diberikan kepada polis untuk memintas komunikasi dengan kebenaran Pendakwa Raya dan jika memerlukan tindakan segera, Penguasa Polis boleh melakukan pemintasan tanpa kebenarannya (Pendakwa Raya)
- Jika Pendakwa Raya berpendapat kemungkinan mengandungi apa-apa maklumat berkaitan sesuatu kesalahan keselamatan, ia boleh membenarkan mana-mana pegawai polis untuk memintas, menahan dan membuka apa-apa barang yang melalui pos; memintas apa-apa mesej yang dihantar atau diterima oleh mana-mana komunikasi; atau memintas atau mendengar apa-apa perbualan melalui mana-mana komunikasi
- Pendakwa Raya juga boleh mengehendaki pemberi perkhidmatan komunikasi untuk memintas dan menyimpan perihalan yang diterima atau dihantar, atau yang akan diterima atau dihantar oleh pemberi perkhidmatan komunikasi itu