Saturday, December 31, 2011

Tunai haji melalui caruman KWSP



Nik Affendi Jaafar


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Bermula 3 Januari ini, semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam yang mempunyai simpanan minimum RM1,300 di dalam Akaun 1 boleh membuat pendaftaran menunaikan haji dengan Lembaga Tabung Haji.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan di semua kaunter Tabung Haji, cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan penyata terkini KWSP masing-masing.
“Mereka yang layak mesti warganegara Malaysia atau pemastautin tetap yang belum mencapai usia 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan Tabung Haji. Ahli yang tidak mempunyai akaun, mereka boleh membukanya dengan deposit minimum RM2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mana-mana ahli yang telah mendaftaran haji di bawah prosedur Tabung Haji boleh menukar pendaftaran tersebut kepada Pendaftaran Haji Ahli KWSP.
“Penukaran itu tidak melibatkan tarikh giliran haji yang telah diberikan dan tidak melibatkan sebarang urusan berkaitan tarikh kerana ia akan ditentukan oleh Tabung Haji,” tegasnya.
Maklumat lanjut boleh layari www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my dan menghubungi talian 03-89226000 serta 03-62071919.
-utusan

Banduan ternak lembu secara komersial




BANDUAN memberi makanan kepada lembu menerusi program merentasi lautan biru antara Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Penjara Kluang, semalam.


KLUANG 30 Dis. - Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bekerjasama menerusi strategi lautan biru dalam mewujudkan program perintis penternakan lembu berskala besar yang diusahakan banduan secara komersial di samping memenuhi keperluan di penjara.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Hassan Sakimon berkata, projek perintis itu yang bermula tahun ini merupakan program pemulihan melalui latihan sebagai persediaan supaya banduan dapat berdikari selepas hukuman tamat.
Katanya, projek itu kini dijalankan di beberapa penjara dan pusat tahanan termasuk Penjara Kluang, Johor; Penjara Pokok Sena, Kedah; Pusat Tahanan dan Perlindungan Taiping, Perak; Institut Pemulihan Dadah Jelebu, Negeri Sembilan dan Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah.
"Program ini adalah strategi lautan biru antara Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bertujuan melatih banduan dengan kemahiran baru seterusnya memenuhi keperluan makanan di penjara.
"Ia juga selaras dengan Pelan Induk Jabatan Penjara untuk menggiatkan penternakan berskala besar bagi meningkatkan pendapatan dan kemahiran penghuninya serta menjana pendapatan kepada jabatan," katanya pada majlis pengagihan induk lembu baka Zebu Myanmar di Penjara Kluang hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Datuk Dr. Ibrahim Che Embong secara rasmi menyerahkan 120 ekor lembu betina baka tersebut kepada Hassan.
Ibrahim memberitahu, menerusi program berbentuk perkongsian pintar itu, jabatan menyerahkan lembu itu secara 'pinjaman' iaitu pihak penjara dikehendaki memulangkan semula 120 ekor lembu setelah lima tahun, manakala anak-anak lembu yang dilahirkan menjadi milik penjara.
Menurut beliau, sejumlah 120 lembu betina yang diserahkan di ladang ternakan Penjara Kluang seluas 32 hektar itu dijangka mampu membiakkan 80 ekor anak lembu dalam tempoh setahun.
"Buat masa ini semua lembu betina daripada baka Zebu Myanmar itu sedang dikuarantin selama dua bulan di ladang ternakan ini sebelum lima lembu jantan dibawa masuk bagi proses pembiakan," katanya.
Ibrahim berkata, terpulang kepada pihak penjara cara untuk menjual lembu itu dan mereka berpeluang meminta lebih banyak peruntukan berdasarkan indeks petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan, keluasan ladang serta kemampuan menyediakan makanan lembu.
Sementara itu, Hassan berkata, buat masa ini 120 banduan yang berminat dipilih menjalani program itu di Penjara Kluang.
-utusan

Friday, December 30, 2011

Datuk didakwa menipu Pengerusi NFC RM1.76 juta

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Seorang ahli perniagaan berumur 45 tahun, Datuk Shamsubahrin Ismail didakwa di mahkamah tinggi hari ini.

(Datuk Shamsubahrin tersenyum riang ketika dibawa ke mahkamah)

Beliau yang cuba menyogok pegawai polis dari bahagian jenayah perdagangan berkaitan dengan penyiasatan Pusat Fidlot National (NFC) didakwa kerana menipu.

Shamsubahrin didakwa menipu Pengerusi NFC Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.76 juta dalam bentuk yuran konsultan.

Dia didakwa dibawah Seksyen 420 Penal Kod.

Shamsubahrin didakwa melakukan jenayah itu pada 20 November di sebuah restoran di Bukit Tunku dan antara 25 November ke 6 Disember 2011 di Solaris Mount Kiara dekat sini.

Jika bersalah, Shamsubahrin boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun, rotan dan denda.

Dia tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan meminta dibicarakan.

Isu NFC meletup apabila Ketua Audit Negara dalam laporannya berkata berlaku salah laku dalam urusan NFC yang mendapat pinjaman mudah kerajaan RM250 juta itu.

Ekoran itu, pelbagai maklumat meletup di media kerana ia melibatkan keluarga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Suaminya, Datuk Mohd Salleh yang didakwa ditipu oleh Datuk Shamsubahrin hari ini adalah pengerusi eksekutif NFC, manakala tiga anak-anak mereka adalah pengarah-pengarah syarikat ini.

NFC didakwa gagal mengeluarkan daging sebagaimana dikehendaki negara tetapi didakwa membeli kondo mewah di Malaysia dan Singapura serta membeli kereta mewah.

Dakwaan hari ini tidak diketahu apa kaitannya kerana yang menjadi sasaran adalah pihak menyeleweng wang tetapi yang didakwa pihak yang didakwa menipu pengerusi NFC.

Datuk didakwa menipu Pengerusi NFC RM1.76 juta:

'via Blog this'

DR. AZIZ BARI TAWAR DIRI JADI CALON PR..



KUALA LUMPUR, 30 Dis — Pakar perundangan Prof Dr Abdul Aziz Bari menawarkan diri sebagai calon berpotensi pada pilihan raya umum akan datang untuk Pakatan Rakyat, mengatakan beliau mahu mengambil bahagian dalam proses politik negara dengan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Pensyarah akademik yang lantang ini berkata beliau “tidak ghairah” tentang menjadi anggota parti sambil menambah sistem dua parti yang berkesan membenarkan reformasi dan pentadbiran yang bagus.

“Maksud saya, seperti mengambil bahagian dalam pemilihan parti, saya hanya mahu menjadi wakil rakyat jika mereka (Pakatan Rakyat) merasakan saya sesuai untuk menjadi calon mereka,” katanya kepada The Malaysian Insider melalui kiriman emel.

Beliau mengesahkan menerima tawaran “tidak rasmi” dari semua parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP namun berkata “masih terlalu awal untuk membuat keputusan” parti mana yang akan ditandinginya.

Abdul Aziz (gambar) menambah beliau tidak memilih tentang bertanding di bawah mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat memandangkan “semua parti komited untuk melaksanakan dasar dengan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia pentung bagi mewujudkan sistem dua parti.”

Namun bekas pensyarat Universiti Islam Antarabangsa ini berkata keputusannya adalah untuk terlibat dalam politik dan berminat menyertai pilihan raya dan bukan sebagai anggota parti yang disifatkan tidak mempunyai “stamina” melakukannya.

“Ini adalah perkara yang dihalang untuk dilaksanakannya. Menyertai politik bukan bermakna terlibat dalam politik parti.

“Apa pun dalam politik, seperti kerjaya dalam akademik atau NGO, ia hanya platfom untuk perubahan. Tidak kisah apa pun saya terlalui tua untuk menjadikan politik sebagai kerjaya. Jika saya berumur 40 tahun ia berbeza tapi saya akan mencecah 53 tahun,” tambahnya.

Abdul Aziz terlebih dahulu digantung tugas dari UIA kerana mengkritik campur tangan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam negeri itu ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau dilaporkan memperhatikan kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dipegang Abdul Rahman Bakri, yang dijangka akan dibicarakan pada Jun kerana didakwa membuat sembulan tuntutan palsu.

Pensyarah kontroversi ini berdepan dengan siasatan dalaman oleh UIA kerana mengkritik Sultan Selangor.

Selain itu Abdul Aziz juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.(malaysianinsider)
i n t a n h i j a u: DR. AZIZ BARI TAWAR DIRI JADI CALON PR..:

'via Blog this'

Cari siapa dalang salah faham


Oleh : SH NASIONAL/MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN
Tarikh : December 30, 2011
Harun Taib

SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas menyeru partinya mengenalpasti 'dalang' di sebalik kontroversi antara bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa yang dikatakan menentang konsep Negara Berkebajikan selepas diperkenalkan Pas pada muktamar lalu.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, parti perlu melihat angkara siapa yang sebenarnya yang menjadi punca permulaan yang menyebabkan kemelut ini tercetus.

"Ia sebagai pengajaran pada masa yang datang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuan Hasan dan Nasharuddin bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; timbalannya, Datuk Dr Haron Din dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR10 di Kota Bahru, Selasa lalu.

Akibat perselisihan faham itu, Hasan dan Nasharuddin dikritik kepimpinan sendiri, di mana Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali mendakwa Hasan terjerat dengan agenda Umno.

Bagaimanapun, Hasan menarik balik kenyataan dibuatnya pada 20 Disember dengan menyifatkan ulasan beliau sebagai keterlanjuran.

Katanya, sebagai ahli dan pimpinan dalam parti beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan seperti diputuskan pucuk pimpinan.

Walaupun menarik kenyataan terdahulu, Hasan tetap dengan pendirian bahawa teguran tersebut dibuat untuk memperbetulkan perjuangan Pas yang semakin tersasar dari landasan asal kerana terlalu ‘akomodatif’ demi kepentingan parti komponen.

Manakala bagi Nasharudin, dalam kenyataannya sebelum ini, beliau tetap tidak akan meninggalkan parti itu bagi menyertai Umno dan dakwaan kononnya beliau terperangkap dalam agenda Umno adalah tidak berasas dan terlalu jauh menyimpang dari kebenaran.

Mengulas kepada pertemuan mahabbah untuk menyelesaikan perbezaan pandangan di dalam parti baru-baru ini, beliau bersyukur dengan semangat ukhuwah yang tinggi dikalangan pimpinan.

“Amalan memohon kemaafan amat dituntut dan digalakkan ajaran Islam, terdapat dalam satu hadis yang menceritakan kelebihan orang yang meminta maaf, ALLAH SWT amat menyayangi mereka yang melakukan keterlanjuran kemudian kembali kepada ALLAH SWT, kedudukan mereka sangat istimewa di sisi ALLAH SWT berbanding mereka yang enggan melakukan tindakan sedemikian rupa,” tegasnya.

Cari siapa dalang salah faham - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Berteduh di pondok usang


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 30, 2011
Berteduh di pondok usang

KEPIS – Satu keluarga ­ter­paksa menumpang teduh di pondok usang milik ­penduduk kampung selepas kehilangan tempat berlindung setelah rumah mereka ­ terbakar pada Oktober lalu di Kepis Baru, dekat sini.

Roos Noor Faizli Razali, 30, bersama isteri, Zubina Ramli, 31, dan empat anak ­berusia antara 3 hingga 9 ­ tahun hidup dalam kegelapan hampir setiap hari dan ­menahan kesejukan disebabkan pondok usang berkenaan yang sudah bocor, selain tiada bekalan air.

Roos Noor berkata, ­kehidupan dia sekeluarga ­semakin susah, lebih-lebih lagi dia turut hilang punca pendapatan.

“Pada mulanya saya ­bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM600 sebulan di tanah orang, tetapi apabila tanah itu sudah ­ diambil semula oleh tuan tanah, saya memang hilang punca pendapatan.

“Buat masa ini, saya hanya mengutip botol untuk dijual. Bukan tidak pernah terlintas untuk mencari kerja lain, ­tetapi memikirkan isteri dan anak-anak, saya terpaksa membataskan pergerakan,” katanya yang terpaksa mengangkut air dari rumah emaknya setiap hari untuk kegunaan harian.

Menurutnya, dia sudah pun membuat permohonan bantuan Skim Perumahan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) selepas rumahnya terbakar.

“Tetapi sudah tiga bulan masih tiada sebarang jawapan diterima.

“Jika ada rumah yang ­selesa, saya tidaklah bimbang untuk meninggalkan isteri dan anak-anak dalam kegelapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pondok usang yang didiami kini sudah lama ditinggalkan kerana sudah ­banyak dinding kayu sudah reput.

“Kami hanya menggunakan bahagian depan sahaja manakala bahagian dapur ­tidak boleh diduduki kerana sudah roboh.

“Rumah didiami ini tidak ­mempunyai tingkap, jadi kami ­terpaksa menahan kesejukan pada ­setiap kali hujan ­terutama pada waktu malam. Saya ­ amat berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” kata­nya.

Berteduh di pondok usang - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mek Long nenek super

BUTA...Mek Long tidak boleh melihat sejak  berusia 27 tahun.
BUTA...Mek Long tidak boleh melihat sejak berusia 27 tahun.
KEMAS...Mek Long mengemas rumah sambil ditemani Hassan.
KEMAS...Mek Long mengemas rumah sambil ditemani Hassan.

BESUT: Seorang wanita cacat penglihatan, Mek Long Salim, 79, layak digelar ‘warga emas super’ apabila masih mampu melakukan rutin harian tanpa mengharapkan bantuan.

Warga emas itu bukan saja mampu memasak, membasuh dan mengemas rumah, malah boleh melakukan kerja berat yang tidak terdaya dilakukan orang celik seperti memanjat pokok kelapa.


Keistimewaan Mek Long itu menjadikannya kebanggaan penduduk yang menganggapnya wanita luar biasa.

Mek Long yang tinggal bersama suami ketiga, Hassan Awang, 69, di Kampung La, Hulu Besut, di sini, berkata, dia tidak memiliki rahsia atau mengamalkan petua, sebaliknya menganggap ia anugerah Allah.


“Kita kena kuat semangat dan rajin usaha. Seumur hidup, saya tak pernah minta bantuan orang. Saya bersyukur Allah beri saya hati yang terang.


“Sejak muda hingga sekarang, saya buat kerja termasuk jual sayur dan pucuk paku di Pasar Jertih, berkebun dan cari kayu api di hutan. Semuanya buat sendiri.

“Cuma sejak diserang asma, saya tak buat kerja itu lagi dan banyak berehat di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.


Mek Long yang menghidap asma sejak tujuh bulan lalu berkata, walaupun tidak boleh melihat, namun dia boleh membezakan antara siang dan malam, malah mengetahui tiba waktu solat hanya berpandukan suara ayam berkokok.

“Biasanya jika masuk waktu Subuh, ayam berkokok sekali manakala jika waktu Zuhur, ayam berkokok dua kali berturut-turut.


“Jika waktu Asar pula, ayam berkokok tiga kali berturut-turut. Jika waktu Maghrib, ayam berkokok di bawah rumah,” katanya.


Sementara itu, adik Mek Long, Azizah Salim, 66, berkata, dia bangga mempunyai kakak luar biasa dan menganggap semua itu anugerah Allah yang tidak ternilai.


“Hati dia terang walaupun tidak nampak, tetapi kehidupannya sama seperti orang celik. Tidak hairan kerana apa yang berlaku kuasa Allah,” katanya.


Azizah yang tinggal bersebelahan rumah Mek Long berkata, kakaknya itu tidak pernah meminta bantuannya, sebaliknya melakukan semua kerja sendiri termasuk menguruskan keperluan suami yang juga buta.


“Tanggungjawab terhadap suami dilakukannya sama seperti wanita celik lain. Dia bukan saja memasak, mencuci atau mengemas rumah, tetapi boleh membeli barangan keperluan harian sendiri.


“Orang kampung sudah biasa dengannya, tetapi kalau orang tak biasa tengok, mesti ingat dia celik. Dia berjalan laju, tak macam orang buta.


“Jika terlajak lorong rumah penduduk kampung yang dia nak pergi, dia akan berhenti dua atau tiga saat dan berpatah semula sebelum masuk ke lorong rumah berkenaan,” katanya.


Menurutnya, kakaknya seorang yang kuat bekerja dan tidak pernah mengabaikan solat sejak kanak-kanak hingga sekarang selain penyabar.


“Walaupun tidak nampak tetapi boleh membezakan antara malam dengan siang.


“Pernah ketika bersembang bersama jiran, tiba-tiba dia memberitahu kami ketika itu sudah masuk waktu sembahyang sama ada Zuhur, Asar atau Maghrib. Biasanya selepas dia kata begitu, selang beberapa minit kemudian azan berkumandang.


“Pernah juga pada Ramadan, dia mengejutkan saya untuk bersahur,” katanya.


Azizah berkata, Mek Long ketika kanak-kanak seorang yang celik, tetapi penglihatannya kabur sedikit demi sedikit sebaik memasuki zaman remaja.


Katanya, penglihatan wanita berkenaan hilang sepenuhnya selepas beberapa bulan berkahwin dengan lelaki celik dari kampung sama ketika berusia 27 tahun.


“Masa baru kahwin, dia ‘buta ayam’ tetapi beberapa bulan selepas itu terus tidak nampak,” katanya.


Azizah berkata, Mek Long dan suami mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 seorang bagi menampung kehidupan mereka.


“Sejak sakit, saya bimbang terjadi apa-apa kepadanya dan sentiasa berdoa semoga Allah melindunginya dan suami,” katanya.

myMetro | Mek Long nenek super:

'via Blog this'

Thursday, December 29, 2011

Anwar anggap pinda Auku ‘omong kosong’


Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
Tarikh : December 29, 2011
anwar ibrahim

SHAH ALAM - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta memberi kebebasan mahasiswa untuk berpolitik dilihat sekadar omong kosong.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gerakan kebebasan akademik yang dipimpin mahasiswa kini berdepan dengan pelbagai tekanan politik khususnya Umno.

Katanya, pemimpin Umno dilihat gusar dan resah dalam menghadapi asakan mahasiswa.

"Perkembangan yang membabitkan Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah Auku sememangnya menzahirkan ketakutan Umno terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa.

Tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, insiden di depan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik arus perdana seolah-olah ia merupakan satu jenayah besar.

"Isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah diketepikan. Tindakan menghukum menggunakan Auku terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakutkan dan langkah untuk mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.

Saya menggesa agar dihentikan semua bentuk tekanan terhadap mahasiswa kerana jelas ini merupakan kehendak politik pimpinan Umno yang terdesak," tegasnya.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat turut bertekad dan komitmen untuk memansuhkan Auku serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual.

Anwar anggap pinda Auku ‘omong kosong’ - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jamil jangan menyorok- PKR


Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
Tarikh : December 29, 2011
Jamil Khir Baharom

SHAH ALAM- PKR berharap agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom segera tampil dan tidak menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu penyalahgunaan wang zakat.

Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, Jamil perlu memberi penjelasan.

Nazmi berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Muhamad Yamin berkata semalam, kos pembiayaan guaman Jamil dan dua pegawai kanan MAIWP di ambil dari geran kerajaan.

"Dalam kenyataannya (Yamin), dia turut menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak tertentu yang menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau memberi peringatan kepada Yamin bahawa apabila seseorang dizalimi, mereka mempunyai hak yang diiktiraf dalam syarak dan sistem perlembagaan untuk mempertahankan diri.

Pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada lapan asnaf adalah kesalahan dan dosa besar.

"Sekurang-kurangnya apabila isu ini mula-mula timbul, Peguam Zainul Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut mempersoalkan tentang wujudnya 'dwi-standard' membabitkan kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahguna wang zakat sebanyak RM19,510 dan memulangkannya kembali. Bagaimanapun, Redzuan dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan.

"Umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap pengurusan wang zakat," katanya.

Jamil jangan menyorok- PKR - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Seleweng wang istana: Polis rakam keterangan 10 individu


KOTA BHARU 28 Dis. - Polis negeri mengambil keterangan daripada 10 individu berhubung tiga laporan polis yang dibuat Penasihat Undang-undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed terhadap sembilan blog yang didakwa memfitnahnya berkaitan penyelewengan membabitkan jumlah wang melebihi RM1.8 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima ketiga-tiga laporan berkenaan dan semuanya dalam siasatan polis dan hampir lengkap.

"Dua daripada laporan dibuat pada bulan lalu manakala satu lagi pada bulan ini. Polis sudah ambil keterangan daripada 10 individu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Jalaluddin bagaimanapun tidak memberi sebarang maklumat mengenai identiti kesemua individu yang diambil keterangan mereka.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Sukri yang menafikan laporan beberapa blog termasuk blog sultanik.wordpress.com yang mendakwa beliau terbabit dengan penyelewengan wang Yayasan Sultan Kelantan berjumlah RM700,000.

Selain itu, beberapa blog turut mendakwa beliau menipu isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad membabitkan wang berjumlah RM1.8 juta.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, polis negeri berjaya mencapai indeks penilaian prestasi (KPI) yang ditetapkan apabila kadar jenayah turun sebanyak 14.7 peratus tahun ini setakat 25 Disember lalu.

"Kes yang berjaya diselesaikan adalah 49 peratus dan menunjukkan kita berjaya mencapai KPI yang ditetapkan dan usaha akan diteruskan lagi untuk tahun depan," katanya.

Terdahulu, beliau turut menyerahkan surat penghargaan kepada 65 pegawai dan anggota cemerlang serta penghargaan kepada orang awam kerana memberi maklumat mengenai kejadian kes rogol bersiri di negeri ini, baru-baru ini.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Kemelut dalaman Pas selesai



NIK Aziz Nik Mat (empat dari kiri) bertanya sesuatu kepada tuan punya calet, Datuk Ahmed Shahabuddin Mohd. Nor (tengah) ketika melawat kawasan hakisan di Kampung Pantai Chat, Bachok, semalam.


BACHOK 28 Dis. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan kemelut yang melanda parti itu membabitkan bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali telah selesai.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kedudukan Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok bagi dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang kepada ahli Pas di kawasan tersebut untuk menentukannya.

Beliau berkata, satu majlis diadakan di antara ketiga-tiga pemimpin terbabit dengan barisan kepemimpinan Pas Pusat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, bagi meraikan penyelesaian kemelut tersebut.

"Semalam ada pertemuan majlis 'mahabbah' yang dianjur oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, saya selaku tuan rumah sahaja.

"Saya hanya mengucap syukur kepada Allah kerana kecoh yang berlaku reda dan Hasan menarik balik kenyataannya yang sensitif. Ini tanda keikhlasan dan 'anak jantan' apabila sedar ini salah.

"Kita tarik balik dan memohon maaf, ini ajaran agama bukan senang manusia buat salah lepas itu tarik balik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pantai di sekitar daerah ini hari ini yang rosak teruk akibat ombak besar tiga hari lalu.

Beliau diminta mengulas mengenai pertemuan di antara ketiga-tiga pemimpin terbabit bersama kepemimpinan Pas Pusat semalam.

Sebelum ini, Hasan dalam kenyataannya menolak dasar negara berkebajikan kerana perjuangan untuk menubuhkan negara Islam lebih besar.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu, beliau menarik balik kenyataan tersebut.

Mustafa sebelum itu mendakwa Hasan dan Nasharuddin terperangkap dalam agenda politik UMNO serta mengadakan pertemuan dengan tiga individu lain di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ramadan lalu.

Sementara itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan negeri akan terus memantau kesan hakisan ombak besar yang melanda pantai di negeri ini.

"Kita akan nilai dan langkah-langkah yang perlu diambil, kita fikir macam mana, boleh jadi sistem yang ada kita akan ubah kepada sistem lain supaya ia dapat menahan ombak besar daripada terus menghakis pantai ini.

"Usaha kerajaan negeri macam biasa, semua pihak ada peranan baik negeri dan Pusat bagi memastikan alam ini terus terpelihara," katanya.

Fenomena air pasang besar yang melanda pantai negeri ini menyebabkan hakisan dan kerosakan harta benda yang teruk.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

MAIWP jawab tuduhan seleweng zakat


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

"Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan tiga responden seperti dilaporkan oleh akhbar pembangkang iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.

Laporan itu mengatakan, Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.

Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga.

"Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah.

"Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Siasatan skandal projek Iskandar


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Lebih 30 saksi termasuk dari Singapura, Switzerland, Pakistan, India dan Arab Saudi telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam skandal projek mega Iskandar Malaysia.

Saksi-saksi itu terdiri daripada pegawai-pegawai Iskandar Investment Berhad (IIB), ahli perniagaan, kontraktor, ahli politik, konsultan dan orang tengah.

Difahamkan, SPRM menjalankan siasatan terhadap saksi-saksi dari luar negara ekoran terdapat maklumat turut wujud unsur rasuah di kalangan konsultan asing dalam projek itu.

Difahamkan siasatan kes itu masih diteruskan dan dijangka beberapa lagi individu akan didakwa dalam masa terdekat.

Menurut sumber, skandal itu disifatkan sebagai terancang berikutan wujudnya rangkaian termasuk orang dalam yang mendedahkan maklumat berkaitan kontrak dan beberapa projek Iskandar Malaysia.

"Perbuatan rasuah dan penyelewengan kuasa difahamkan berlaku ketika pegawai-pegawai kanan IIB menyalurkan maklumat tender kepada syarikat kontraktor berkaitan.

"Orang-orang tengah atau runner pula bertindak mengambil wang suapan untuk disampaikan kepada pihak yang berurusan dengan mereka.

"Perbuatan rasuah inner circle itu membabitkan orang dalam dan kontraktor. Mereka bersepakat dalam rancangan tersebut dan mendapat bahagian masing-masing," kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Turut difahamkan, salah seorang pegawai kanan IIB yang disyaki terlibat dalam skandal tersebut memperoleh gaji mencecah RM40,000 sebulan.

Semalam, suami bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIB mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM1.6 juta tahun lalu.

Mohd. Amin Suhaimi, 52, yang juga pengarah sebuah syarikat swasta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.

Di mahkamah yang sama hari ini, bekas Naib Presiden Kanan IIB, Rostam Razali, 51, didenda RM20,000 selepas mengaku salah mendedahkan maklumat harga anggaran bidaan sebuah projek kepada bakal penender tiga tahun lalu.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Wednesday, December 28, 2011

Belum ada keputusan ke atas nasib Shahrizat kata Muhyiddin

Oleh Shannon Teoh
December 27, 2011
SHAH ALAM, 27 Dis — Kabinet belum memutuskan sama ada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil harus meninggalkan kabinet berikutan skandal Pusat Fidlot nasional (NFC) yang bernilai RM250 juta, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin hanya menggelengkan kepala dan berkata, “Tidak, tidak,” bila ditanya sama ada kabinet sudah memutuskan Menteri pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu harus kekal dikabinet atau tidak.
Ketua Wanita Umno (gambar) itu menghadapi desakan supaya meninggalkan kerajaan dan meletak jawatan termasuk desakan daripada mantan Perdanan Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas dikaitkan dengan penggunaan dana kerajaan untuk membeli tanah dan hartanah yang tidak berkaitan dengan projek NFC berkenaan yang dianggarkan bernilai RM27 juta.
Pengerusi NFC, yang juga merupakan suami kepada Shahrizat Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail turut menafikan dakwaan seorang ahli perniagaan, yang ditahan atas kesalahan cubaan merasuah sejumlah RM1.7 juta kepada pegawai penyiasat jabatan siasatan jenayah komersial, mempunyai kaitan dengan dirinya.
Jumaat lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu pejabat NFC di Solaris Mont Kiara atas dakwaan penyelewengan wang oleh pentadbirannya.
Isu berkaitan skandal NFC ini menarik minat Pakatan Rakyat terutamanya PKR, dan parti berkenaan kerap membuat pendedahan berterusan terhadap penyelewengan yang berlaku.

Aziz Bari dilamar PAS



Oleh Mohd Farhan Darwis December 28, 2011
KUALA LUMPUR, 28 Dis — Prof Dr Aziz Bari dipelawa Dewan Pemuda PAS Pusat Malaysia (DPMM) untuk menyertai parti berkenaan bagi meneruskan perjuangannya sebagai Pakar Perlembagaan dan Undang-undang negara selepas menamatkan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) baru-baru ini.

Naib Ketua DPMM, Raja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider hari ini berkata, pihaknya mengharapkan agar bekas pensyarah UIA itu dapat menyertai parti komponen Pakatan Rakyat itu supaya dapat terus berjuang mengembalikan sistem negara kepada landasan yang betul dan tepat.

“Kami mengalu-alukan penyertaan beliau ke dalam parti sebagai ahli politik bagi membetulkan sistem negara kerana parti amat memerlukan pengalaman dan ilmunya yang luas dalam bidang perundangan.

“PAS yakin penyertaan Aziz (gambar) akan dapat memberikan manfaat yang baik kerana ilmu yang telah di ajarnya selama ini akan diterjemahkan di dalam membentuk sebuah negara mengikut lunas undang-undang yang sebenar,” katanya.

Menurut Raja Ahmad, perjuangan Aziz dalam memelihara Perlembagaan negara akan akan terus berkembang di bawah PAS.

“Kami yakin dengan displin ilmu yang selama ini diamalkannya akan terus terpelihara kerana Aziz bukan sahaja mengajar malah turut menggubal perundangan itu sendiri,” tambahnya.

Jelasnya lagi, PAS yakin penyertaan Aziz akan memantapkan lagi cita-cita mereka untuk melaksanakan Islam di negara ini.

“Kami masih menunggu keputusan beliau, malah kami tetap menghormati Aziz sebagai seorang yang berpegang teguh dengan pendiriannya,” katanya lagi.

Bekas pensyarah Fakulti Undang-undang UIA ini dalam laporan awal The Malaysian Insider sebelum ini tidak menafikan beliau akan meninggalkan universiti berkenaan ekoran siri tekanan termasuk siasatan terhadap kenyataan beliau menyentuh titah Sultan Selangor dalam kes Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja.

Namun demikian, mengulas berkenaan spekulasi yang beliau akan memasuki arena politik, Aziz memberitahu, “politik sebagaimana akademik adalah medan yang perlu untuk perubahan dalam masyarakat.”

“Tetapi politik bukan bidang yang akan jadi profesyen saya sebagaimana akademik. Saya tetap akan berfungsi sebagaimana sebelumnya, khususnya memberi pandangan, menulis dan seumpamanya. Saya harap saya akan kembali ke dunia akademik meskipun tidak semestinya di UIA,” katanya lagi.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/aziz-bari-dilamar-pas/