Showing posts with label Mahfuz. Show all posts
Showing posts with label Mahfuz. Show all posts

Tuesday, November 20, 2012

Mahfuz doa panjang umur untuk ahli Umno



Abdul Aziz Mustafa,20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berdoa agar Allah memanjangkan umur ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) agar mereka sama-sama dapat menghancurkan parti tersebut.

"Yang kita minta dihancurkan ialah parti Umno dan parti BN serta politik zalim parti tersebut.

"Ahli-ahli dan para penyokong Umno dan BN pula kita mohon doa agar Allah panjangkan umur mereka kerana kita perlukan rakan dan kawan untuk sama-sama menghancurkan kekuasaan dan politik zalim parti yang memerintah itu," katanya.

Mahfuz mengambil contoh syarikat dan pemilik syarikat.

"Selalu kita lihat syarikat yang diisytihar bankrap, pemilik tidak diisytihar bankrap.

"Begitulah juga dalam hal ini, kita mohon Allah hancurkan Umno BN bukan ahli-ahli atau penyokong-penyokong Umno BN," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pada bila-bila masa pun tidak pernah ada arahan dari PAS supaya mendoakan kehancuran ahli-ahli dan para penyokong Umno dan BN.

"Yang didoakan ialah supaya Allah menghancur dan menjahanamkan parti yang zalim, bukan mana-mana ahli atau penyokong mana-mana parti.

"Kehancuran parti Umno dan BN yang zalim tidak bermakna sama sekali kehancuran ahli-ahli atau penyokong-penyokongnya," kata beliau.

Mahfuz juga memohon agar Allah menjauhkan sama sekali kehancuran ahli-ahli dan para penyokong Umno BN.

"Malah, kita mohon Allah melindungi mereka kerana kita mengharapkan semua pihak mengundi kita tak kira mereka itu ahli atau penyokong Umno BN.

"Tak mungkin kita mahu Allah menghancurkan kawan dan rakan yang kita hendak ajak mereka bersama-sama menghancurkan kezaliman parti Umno BN walaupun mereka ahli dan penyokong parti itu," katanya.

Tambahan pula, kata Mahfuz lagi, ahli-ahli dan para penyokong Umno BN adalah saudara mara ahli-ahli dan para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

"Tidak mungkin sama sekali kita mahu mendoakan kehancuran saudara mara yang kita kasihi malah yang ingin sangat kita lakukan ialah mengajak mereka sama-sama menghancurkan kezaliman Umno dan BN," katanya.

Mahfuz juga yakin, percubaan untuk mempolitikkan doa memohon kehancuran Umno BN akhirnya akan memakan tuan.

"Kita telah melihat berulang kali propaganda putar belit Umno dan BN akhirnya memakan tuan.

"Propaganda tentang doa ini juga saya yakin akhirnya akan menyedarkan rakyat tentang kezaliman Umno dan BN," katanya lagi.

Friday, September 7, 2012

Isu tazkirah: Saya akan terus kaitkan Perkasa, kata Mahfuz



JAMILAH HAMZAH
7 September 2012
Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bertegas akan terus mengaitkan Perkasa Daerah Kota Setar terlibat dalam insiden membaling kasut ke arah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Al-Hussain Seberang Pumpong, Alor Setar, Ahad lepas.

Menurutnya, walaupun bukti kejadian baling kasut tidak ditunjukkan dalam rakaman video yang dimuat naik di YouTube, namun ramai yang menyaksikan insiden itu.

"Kita bertegas akan ambil tindakan terhadap Perkasa walaupun bukti dalam rakaman tidak tunjuk ada insiden baling kasut itu.

"Kita sudah buat laporan polis dan imam masjid juga telah buat (aduan), kita tunggu laporan dan tindakan polis," katanya.

Kelmarin, Perkasa Daerah Kota Setar meminta Mahfuz supaya berhenti mengaitkan pertubuhan itu dengan insiden membaling kasut ke arah Anwar.

Pengerusinya, Datuk Yusoff Ismail berkata, dakwaan bahawa ahli Perkasa Kota Setar terlibat dalam kejadian itu adalah fitnah semata-mata kerana sehingga kini, Mahfuz tidak pernah memasukkan gambar kasut dan kejadian itu dalam blog atau YouTube.

Katanya, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ada menyiarkan rakaman kekecohan di masjid itu tetapi gambar kasut yang didakwa itu tiada dan kerana itu beliau beranggapan ia satu pembohongan di pihak pemimpin Pas itu dan juga Anwar.

"Jadi kita minta Datuk Mahfuz kemukakan bukti (Perkasa Kota Setar terbabit dengan kejadian baling kasut itu) dan berhenti memfitnah kami. Kami belum bercadang ambil tindakan undang-undang tetapi jika ia berterusan, tidak mustahil kami akan berbuat demikian," katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada Perkasa daerah itu kerana secara terbuka mengaku kejadian tersebut didalangi oleh mereka.

"Apa pun saya ucap terima kasih kerana mereka (Perkasa) mengaku kejadian itu dilakukan oleh mereka.

"Kalau pun mereka dapati Anwar tak bertauliah, janganlah guna cara itu, guna cara yang betul," katanya lagi.

Wednesday, July 4, 2012

Mahfuz mahu Umno pertahan Ayub


Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menggesa Umno menyatakan pendirian berhubung kenyataan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek yang menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, 'hilang akal' kerana mencadangkan hudud dilaksanakan di Johor.
 Beliau turut menggesa dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) memberi respons segera berhubung tindakan Presiden MCA itu.
“Saya ingin tahu sikap Umno berkenaan kenyataan Soi Lek bahawa Ayub sebagai orang hilang akal atau gila apabila menyatakan cadangannya untuk melaksanakan hudud di Johor.

“Perkasa dan Pekida juga digesa buat tunjuk perasaan kepada Soi Lek kerana memberi reaksi seperti ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Pas, semalam.
Sebelum ini, Soi Lek menyifatkan Ayub ' hilang akal' kerana mencadangkan hukum hudud dilaksanakan di Johor dan menegaskan MCA pasti akan menentang usaha terbabit.

Dalam satu tulisannya di Twitter 1 Julai lalu, beliau berkata Adun Kemelah itu juga telah kehabisan idea sehingga berani menimbulkan cadanganberkenaan. 

Monday, April 9, 2012

Mengapa arah pindah RM308,700 ke akaun CEO TH?



Abdul Aziz Mustafa,09 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 9 April: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan mengapa terdapat arahan pindahan wang RM308,700.00 dari akaun Tabung Haji (TH) kepada akaun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Datuk Ismee Ismail.

Ketika bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan apakah alasan arahan pindahan wang itu.

"Mengapa? Untuk apa? Adakah ini bonus kepada CEO TH kerana kepandaiannya mengurus pelaburan TH dalam Silverbird?

"Kalau benar pindahan wang itu adalah bonus untuknya, adakah pelabur-pelabur TH kerugian berjuta-juta ringgit, CEO pula dapat bonus?!" kata beliau.

Dalam ucapannya mengenai TH di Dewan Rakyat pula, Mahfuz membangkitkan beberapa isu yang penting dalam permaslahan TH iaitu kerugian yang dihadapi anak syarikatnya, Silverbird Bhd akibat penyelewengan wang syarikat, penggunaan wang TH berjumlah kira-kira RM500 juta untuk kompleks bangunan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya dan arahan pindahan wang tersebut.

Mengenai Silverbird, beliau sekali lagi mempersoalkan mengapa penyelewengan kewangan di dalam syarikat tersebut tidak disedari oleh wakil-wakil TH dalam Lembaga Pengarah Silverbird?

"Apa tindakan disiplin dan tata tertib yang diambil oleh TH terhadap wakil-wakilnya dalam lembaga pengarah Silverbird?

"Adakah elaun Ahli Lembaga Pengarah diambil tetapi tidak ada akauntabiliti?" soal Mahfuz.

Beliau juga mempersoalkan mengapa TH tidak menempatkan wakilnya dalam pengurusan Silverbird sebagai Pengarah Eksekutif?

"Jika terdapat wakil Tabung Haji dalam pengurusan Silverbird kemungkinan pemyelewengan tersebut tidak berlaku," katanya.

TH merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak 22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7 peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.

Kejatuhan saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga RM111.5 juta.

Silverbird kini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 iaitu syarikat bermasalah yang mesti mengemukakan pelan pemulihannya kepada Bursa Malaysia.

"Apa tindakan pemantauan Jabatan Perdana Menteri terhadap isu ini dan terhadap kealpaan lembaga pengarah dan pengurusan TH sehingga menyebabkan kerugian berjuta wang pendeposit-pendeposit TH?

"Mengapa CEO TH tidak dipertanggung jawabkan terhadap kerugian Tabung Haji dalam Silverbird?

"Atau adakan JPM juga menghadapi Sindrom JK?!" katanya.

Mahfuz bagaimanapun tidak menjelaskan adakah sindrom JK itu merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mengenai pembinaan kompleks pejabat kerajaan dengan menggunakan dana TH, beliau mempersoalkan adakah kerajaan akan menyewa kompleks tersebut daripada TH?

"Kalau sewa, berapa sewanya dan berapa tahun pula baru dapat diperoleh semula kos binaan dan membuat untung?

"Kalau TH sewa kepada kerajaan, sila bentangkan perjanjian penyewaan dalam Parlimen," katanya.

Mahfuz juga mahu dibentangkan resolusi lembaga pengarah TH dalam pembinaan kompleks tersebut.

Saturday, April 7, 2012

Daftar pengundi: 'Saya cakap sebab ada bukti'



ROSLINDA HASHIM
7 April 2012
mahfuz kedah
ALOR SETAR - Datuk Mahfuz Omar mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya diraja dan bersedia memberi kerjasama bagi menyiasat dakwaannya mengenai kewujudan pasukan khas yang bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada warga asing untuk mengundi dalam pilihan raya umum.
Naib Presiden Pas ini berkata, pendedahan yang dibuatnya adalah serius kerana ia mungkin membolehkan golongan itu mengundi dalam pilihan raya kelak.
“Saya sudah usulkan cadangan supaya diwujudkan suruhanjaya diraja ini segera dalam perbahasan belanjawan tahunan di Parlimen baru-baru ini.
"Saya harap ia dipertimbangkan kerana mempunyai asas yang kukuh dalam dakwaan itu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ketika ditemui selepas Ceramah Pelancaran Kempen Bersih 100 Peratus peringkat negeri Kedah, di Kompleks Hijau Kuning, malam tadi.
Menurutnya, berdasarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat pemberian kerakyatan warga asing di Sabah.
“Secara tidak langsung, PSC mengakui perkara seperti itu memang berlaku di Sabah, tetapi saya cadangkan untuk semua negeri kerana difahamkan gerakan itu menyeluruh dan berlaku di setiap negeri,” katanya.
Mahfuz sebelum ini mendedahkan wujudnya pasukan khas ini yang diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Osman Razak; Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Tajuddin Wahab dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Bagaimanapun Wan Ahmad dalam ulasannya kepada Sinar Harian kelmarin telah menafikan dakwaan Mahfuz.       
Ketika ditanya mengenai keseriusan beliau mendedahkan nama individu terbabit, Mahfuz berkata, ia bukan cakap kosong tetapi akan disertakan dengan bukti.
“Saya ada bukti sebab itu saya berani cakap. Tetapi saya hanya mahu bekerjasama dengan suruhanjaya diraja untuk siasat perkara ini,” katanya.
Menurutnya, pendedahan ini dibuat kerana bimbang masa depan negara kelak ditentukan oleh warga asing, dan pada masa yang sama menafikan hak rakyat untuk mengundi secara telus.
“Ini suatu ancaman kepada negara dan amat bahaya. Saya tahu saya menanggung risiko besar mendedahkan perkara in dan menyerahkan keselamatan saya kepada ALLAH SWT kerana tidak mahu membiarkan tanah air tergadai,” katanya.
Mahfuz berharap suruhanjaya itu dapat ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Saturday, January 21, 2012

Mahfuz: Pas tidak mahu layan kerenah Umno


SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, pihaknya tidak akan membuang masa melayan kerenah parti yang telah "busuk" - Umno untuk mengadakan sesi dialog kerjasama politik.

Semalam, rakan sejawatannya dari Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyokong idea dilontarkan oleh bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa awal minggu ini demi kebaikan negara.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini menambah, sudah cukup peluang yang diberi Pas kepada Umno dengan melakukan sesi dialog di Parlimen dan forum di pelbagai tempat.

"Pas kini jelas, faham malah bersedia bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambil alih kuasa dari Umno dan BN atas nama kebangkitan rakyat dan berkongsi negara bersama sebagai satu keluarga.

"Pas akan ganti Umno," kata beliau dalam satu mesej pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian Online hari ini.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau bersetuju dengan cadangan seorang bekas pemimpin tertinggi PAS supaya kedua-dua parti berdialog untuk kebaikan negara.

Beliau berkata, Umno mungkin bersetuju menyertai dialog itu sekiranya perbincangan berkenaan lebih menjurus kepada membentuk perpaduan umat Islam di negara ini.

“Sebagai salah seorang pemimpin Umno saya bersependapat dengan Nasharudin kerana ia akan memberi manfaat besar kepada umat Islam di negara ini," katanya.

Nasharudin ketika menjawab soalan peserta Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global Selasa lalu berkata isu cadangan perbincangan antara Umno dan parti Islam itu bukan mengenai pembentukan sebuah pakatan tetapi hanya sebagai saling interaksi demi kebaikan negara.

Wednesday, September 14, 2011

P’raya: Mahathir mula tekan Najib?

Datuk Mahfuz Omar 

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Tekanan seperti apa yang berlaku pada zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) makin terasa apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mula menyuarakan pendapatnya agar pilihan raya tidak diadakan dalam masa terdekat.
Mahathir berpendapat jika pilihanraya diadakan pada secepat yang mungkin ia tidak akan memberi kemenangan mahupun berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tempoh masa yang panjang bagi meneliti kembali senarai calon-calon yang ingin bertanding pada pilihanraya nanti.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang berkata pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahathir itu memberi gambaran yang jelas bahawa wujud permasalahan sama ada di dalam Umno mahupun BN.
"Teguran yang disuarakan oleh Mahathir itu jelas menggambarkan berlakunya permasalahan sama ada di dalam Umno mahupun BN dan saya tidak menolak beliau mula memainkan peranannya bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri sekarang, inilah yang berlaku pada pemerintahan Pak Lah dulu.
"Tindakan Mahathir yang mahukan BN mengambil masa yang lebih panjang bagi meneliti kembali senarai calon agar memastikan kemenangan kepada BN bukan hanya tertumpu kepada senarai nama yang lain malah ia lebih memfokuskan kepada kedudukan Najib sebagai Pengerusi BN.
"Mesej yang jelas membuktikan Najib tidak lagi dapat memberi kemenangan kepada BN pada pilihanraya yang akan datang," jelasnya.
Tambah Mahfuz lagi, Mahathir juga dilihat sebagai "mastermind" dalam perancangan agar Najib berundur sebelum berlangsungnya pilihanraya umum nanti.
Malah tidak mustahil akan ada mereka yang menjadi pengikut telunjuk Maahathir.
"Mahathir akan cuma memberi tekanan dam memastikan Najib berundur sebelum pilihanraya nanti dan beliau sendiri dilihat sebagai mastermind dalam usaha tersebut, saya pasti apabila kenyataan yang disuarakan oleh beliau itu akan ada mereka yang di dalam Umno mahupun BN menjadi pengikut telunjuk serta menyokong pendapat yang beliau utarakan itu.
"Bagi memastikan kemenangan kepada BN, pengerusinya perlu ditukar dan orang akan melihat siapa ketua sebelum membuat pilihan, inilah yang dimaksudkan oleh Mahathir," sambung Mahfuz lagi.
Sebelum ini, Mahathir telah mengeluarkan pendapat beliau pada satu forum yang diadakan di Putrajaya yang menyatakan pemilihan calon yang boleh menang dalam pilihan raya akan menimbulkan masalah antara pucuk pimpinan dan peringkat.
Calon yang boleh menang dalam pilihan raya bergantung kepada penilaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penasihat dalam menentukan calon yang akan bertanding.

Thursday, April 8, 2010

Mahfuz dirujuk ke Jawatankuasa Hak



KUALA LUMPUR 7 April - Dewan Rakyat hari ini membuat keputusan merujuk Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan perbuatannya mengejek UMNO dengan menyebut perkataan 'UMNO-Apco' berulang-kali ketika sesi sidang.
Apco Worldwide (Apco) yang dilantik sebagai perunding komunikasi kepada kerajaan Malaysia sebelum ini didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan Israel dan terlibat memberikan idea pembentukan gagasan 1Malaysia.
Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, setelah undian secara suara terbanyak mendapati lebih ramai menyokong Mahfuz dirujuk ke jawatankuasa berkenaan.
Usul untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu pada asalnya dibawa oleh Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang tidak berpuas hati dengan perlakuan Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan.
Mahfuz membuat ejekan berkenaan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 menerusi undi belah bahagian.
Keputusan itu bagaimanapun menerima bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang, termasuk Mahfuz sendiri yang meminta penjelasan daripada Wan Junaidi.
Kekecohan pada sesi petang yang berlarutan hampir dua jam menyebabkan Wan Junaidi memutuskan sidang Dewan ditangguhkan selama 15 minit bagi meredakan keadaan.
Setelah Dewan bersidang semula, kekecohan kembali berulang sehingga menyebabkan Timbalan Yang Dipertua itu memutuskan sidang hari ini ditangguhkan sehingga 10 pagi esok.
Penangguhan itu dibuat kira-kira pukul 6.15 petang, sedangkan sesi hari ini sepatutnya berakhir pada 7.30 malam.

Friday, April 2, 2010

PR ada kelebihan di Hulu Selangor kerana jadi kerajaan



Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 2 April: Pakatan Rakyat (PR) harus memastikan maklumat yang benar mengenai kejayaan dan ketelusan urus tadbir Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR sampai kepada pengundi di Parlimen Hulu Selangor untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, meskipun Parlimen itu sudah menjadi kawasan tradisi Umno BN, namun PR harus menggunakan kelebihan yang ada untuk memenangi hati pengundi.
"BN ada kekuatan di Hulu Selangor sebab itu kita kalah di tiga Dewan Undangan Negeri dalam PRU lepas. Itu kawasan tradisi Umno jadi kita tidak hairan kalau pun BN boleh menang tapi sudah tentu kita punya kelebihan kerana kita sekarang ini menjadi Kerajaan di Selangor dan kelebihan ini harus digunakan oleh PR kerana kita sudah pun hampir dua tahun berjaya menjalinkan hubungan di akar umbi.
"Jentera harus digemblengkan bagi memastikan maklumat yang luas mengenai kejayaan kerajaan Selangor diperoleh rakyat di kawasan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang ini.
Menyentuh mengenai persiapan PR khususnya PAS dalam menghadapi peilihanraya kecil kali ini, Mahfuz berkata, PAS telah pun membentuk pasukan di peringkat pusat bagi memabnatu PKR yang akan bertanding nanti.
Menurutnya, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dilantik sebagi Pengarah Jentera Pilihan raya kali ini.
"Kita telah pun membentuk pasukan di peringkat pusat yang diketuai oleh Timbalan Presiden sebagai pengarah jentera pilihan raya bagi membantu PKR untuk menjayakan misi kemenangan di Hulu Selangor.
"Kita serah kepada Ustaz Nasharuddin untuk kemukakan cadangan balas kepada lajnah politik atau dewan harian dalam masa terdekat ini untuk menyenaraikan jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk nanti," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
PAS bersama PKR juga, ujarnya akan menggariskan beberapa isu penting yang dijangkakan akan digunakan sepanjang kempen nanti.
"PAS bekerjasama dengan PKR atas nama Pakatan untuk membariskan isu-isu yang penting bagi memastikan kemenangan di pihak kita," katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen itu 17 April ini manakala 25 April adalah hari mengundi.
Kawasan pilihan raya parlimen itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
Seramai 32,380 pengundi adalah lelaki manakala 32,120 adalah wanita.
Bangsa Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 orang atau 52.7 peratus manakala Cina seramai 16,964 orang (26.3 peratus) dan India berjumlah 12,453 (19.3).
Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan telah dilantik SPR sebagai Pegawai Pengurus manakala Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak pada Khamis lepas.

Tuesday, March 30, 2010

Apco: PAS cadang Majlis Raja-Raja campur tangan



Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 30 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfiz Omar (gambar) mencadangkan Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan dalam inisiatif kerajaan melantik Majlis Penasihat Antarabangsa Apco Worldwide (IAC) sebagai syarikat perundingan total kepada komunikasi negara.

Cadangan sedemikian penting kerana dengan partisipasi syarikat yang dikaitkan dengan jaringan Zionis-Israel, meletakkan tahap keselamatan negara dalam bahaya.

"Selain mengusahakan tubuh Suruhanjaya Diraja, Majlis-Majlis Raja Melayu juga perlu campur tangan kerana isu ini secara tak langsung membabitkan kepentingan negara, kepentingan Islam.

"Isu ini adalah isu yang serius kerana berkiatan keselamatan negara dan boleh menjadi ancaman pada keamanan negara," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan mustahil membekalkan maklumat biasa berkaitan tanah air kerana fungsi sebenar Apco adalah menguruskan komunikasi strategik ke atas rakyat.

Ujarnya lagi, seperti suatu syarikat komunikasi antarabangsa yang pernah menjual maklumat strategik kepada Amerika ketika meletusnya Perak Teluk di Asia Barat, tidak mustahil perkara demikian berulang di Malaysia.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir kerajaan kerana melantik Apco sebagai firma perunding imej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan serta gagasan 1Malaysia.

"Tentang 1Israel' (dan) 1Malaysia', ia tidak boleh semuanya dianggap sebagai kebetulan," ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan penyertaan beberapa bekas perisik Agensi Keselamatan Israel (ISA) dalam firma perundingan itu seharusnya memerlukan penjelasan jujur daripada Najib sendiri, mewakili Presiden Umno/BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sekurang-kurangnya Najib wajar menafikan segala dakwaannya di Dewan Rakyat pada sesi penghujahan semula, tengah hari tadi.

Turut menyertai Mahfuz dan Anwar di lobi Parlimen adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dakwaan Apco seolah-olah mempunyai hubungan langsung dengan jaringan Zionis-Israel sekaligus mencemarkan wawasan 1Malaysia yang cuba diperkenalkan Najib