Thursday, August 28, 2014

Sentiasa Berwuduk Mampu Menangkis Ilmu Pukau



Berwuduk

“Cara paling mudah seseorang itu mengelakkan diri daripada terkena ilmu pukau ialah dengan sentiasa berada dalam keadaan berwuduk supaya jin dan syaitan tidak dapat menguasai diri kita.

“Latihan seperti itu perlu diamalkan supaya niat jahat seseorang itu tidak berjaya kerana hanya wuduk mampu mematahkan semua niat jahat ingin diperlakukan kepada kita,” kata Pengasas Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Abdul Ladzim Al Azhari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro mengenai seorang pesara yang kerugian RM50,000 selepas dipukau seorang lelaki berperwatakan alim dengan hanya menepuk bahu.

Lelaki berkenaan mampu membuatkan mangsanya secara tanpa disedari menyerahkan geran tanah, wang tunai serta barangan kemas kepadanya.

Malah, sebelum ini pun pernah dilaporkan bagaimana seorang Gadis Di Pukau dan Di Nodai 8 Lelaki.

Abdul Malek berkata, ilmu pukau sebahagian ilmu sihir yang wujud sejak zaman Nabi Musa lagi iaitu ketika Nabi Musa terpaksa berhadapan dengan ahli sihir Firaun.

Menurutnya, pukau akan menyebabkan seseorang itu dikuasai jin kafir yang melakukan perjanjian dengan tuannya untuk merosakkan seseorang yang dikehendaki.

Katanya, banyak lagi cara yang boleh dilakukan bagi mengelakkan diri daripada terkena ilmu pukau ini iaitu dengan mengamalkan ayat suci al-Quran dan zikir sebagai benteng untuk diri.

“Pukau ini mempunyai pelbagai cara seperti menggunakan asap rokok, angin dan dengan menyebut nama orang berkenaan. Ilmu sihir sekarang juga boleh dilakukan melalui dalam telefon.

“Oleh itu, jika pengamal ilmu sihir boleh melakukan latihan untuk mendapatkan ilmu yang dikehendaki, kita juga perlu melatih diri kita dengan mengamalkan panduan yang boleh mengelakkan diri dari terkena ilmu berkenaan,” katanya.[Sumber]

Doa Pelindung Dari Pukau

Berikut adalah doa pelindung atau pendinding yang boleh menjadi perisai kepada ilmu kejahatan pukau ketika dalam perjalanan, di majlis keramaian atau di mana juga anda berada.

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على محمد وآل محمد
بِسْمِ اللهِ اَسْتَرْعِيْكَ رَبَّكَ وَاُعَوِّذُكَ بِالْوَاحِدِ مِنْ شَرِّ كُلِّ حَاسِدٍ قَآئِمٍ اَوْ قَاعِدٍ، وَكُلِّ خَلْقٍ رَآئِدٍ فِي طُرُقِ الْمَوَارِدِ. لاَتَضُرُّوهُ فِي يَقْظَةٍ وَلاَمَنَامٍ،  وَلاَ فِي ظَعْنٍ وَلاَ فِي مَقَامٍ، سَجِيْسَ اللَّيَالِي وَاَوَاخِـرِاْلأَيَّامِ. يَدُ اللهِ فَوْقَ اَيْدِيْهِمْ وَحِجَابُ اللهِ فَوْقَ عَادِيَتِهِمْ.

Bismillâhi astar’îka Rabbaka wa u’awwidzuka bil-Wâhidi min syarri kulli hâsidin qâimin aw qâidin, wa kulli khalqin râidin fi thuruqil mawârid(i). Lâ tadhurrûhu fî yaqzhatin walâ manâm(in), walâ fî zha’nin walâ fî maqâm(in), sajîsal layâli wa awâkhiril ayyâm(i). Yadullâhi fawqa aydîhim wa hijâbullâhi fawqa ‘âdiyatihim.

Dengan nama Allah, aku mohonkan kepada Tuhanmu penjagaan untukmu, aku mohonkan kepada Yang Maha Esa perlindungan untukmu dari keburukan setiap yang dengki, yang berdiri atau yang duduk; dari setiap makhluk yang mengintai di setiap persimpangan jalan. Jangan kenakan bahaya padanya di waktu jaga dan di waktu tidur, dalam perjalanan dan dalam persinggahan, di penghujung malam dan di akhir siang. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka dan hijab Allah di atas permusuhan mereka.

Doa ini dikenal sebagai Hirz Rasulullah saw (Muhaj Ad-Da’awât, Ibnu Thawus: 4) [Sumber]

-Sentiasapanas.com


Read more: http://www.sentiasapanas.com/2014/08/sentiasa-berwuduk-mampu-menangkis-ilmu.html#ixzz3BmuqFjAc

Pancaroba

If you see an old woman like this ,Please buy her vegetables, they don't make much...They do business not to build a shopping mall but for their own daily living

Share if you care.Jika anda melihat seorang perempuan tua seperti ini, sila membeli sayur-sayuran beliau, mereka tidak membuat banyak ... Mereka tidak menjalankan perniagaan untuk membina sebuah pusat membeli-belah tetapi untuk kehidupan harian mereka sendiri Kongsi jika anda mengambil berat.

Spekulasi berakhir di jenjang pelamin


Memilih jejaka sebayanya Ahmad Rashadan Mohd Suhaimi, 30, pasangan sepadan ini bakal melangsungkan pernikahan mereka di Putrajaya diikuti majlis persandingan pada sebelah malam di Dewan Sri Endon.

Pada sidang media pengumuman perkahwinan mereka yang berlangsung di Plaza Damas, di sini, semalam, Farhan lega selepas pelbagai spekulasi melandanya dan Rashadan, mereka akhirnya bakal disatukan.
“Disebabkan kami bertunang terlalu lama, timbul pelbagai dakwaan kononnya kami putus tunang. Saya tidak menafikan sepanjang lapan tahun hubungan kami pernah melalui fasa jatuh bangun, tetapi tidaklah sampai putus tunang sebagaimana didakwa.

“Alhamdulillah setiap masalah yang kami hadapi diatasi dengan baik melalui perbincangan secara matang. Justeru, saya berharap pengumuman berhubung tarikh perkahwinan kami ini sudah menjawab persoalan juga kesangsian di hati ramai pihak, sekali gus menamatkan semua spekulasi,” katanya.

Mengimbas semula detik perkenalan mereka pada 2006, Farhan dan Rashadan bertemu di majlis ulang tahun penyanyi jazz itu yang ke-22 anjuran kelab peminatnya.
Foto
FARHAN dan Rashadan ke jenjang pelamin pada 10 Oktober depan.
Ketika itu Farhan baru beberapa bulan terbabit dalam program AF4.

Dalam meniti perhubungan, pernah juga pasangan ini berdepan dengan ujian serta halangan yang hampir menggugat kasih mereka terutamanya ketika Rashadan menyambung pengajian dalam jurusan kewangan di University Conventry, England.
“Hubungan jarak jauh begitu menguji kami. Perbezaan waktu dan kos sara diri yang begitu tinggi di England menyebabkan peluang untuk berhubung dengan Rashadan sangat terbatas.

“Ekoran jarang berhubung juga, pernah menimbulkan rasa ragu di hati masing-masing. Syukur Alhamdulillah, meskipun keadaan ketika itu amat payah kepercayaan dan kejujuran membawa hubungan kami sampai ke hari ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Rakan tolong cukupkan duit


Jemaah haji, Imam Basori Mukadji, 45, mengakui kemalangan di tempat kerja di sebuah kampung di Pontian, Johor menyebabkan matanya tercedera sehingga menghilangkan semangatnya untuk ke Tanah Suci sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, dia yang menjual minyak wangi kemudian mendaftarkan diri untuk mengerjakan haji pada 2007 dan tidak menyangka dipilih untuk menunaikan haji pada 2014 walaupun ketika itu simpanan dalam Tabung Haji (TH) hanya ada kira-kira RM6,000 saja.
“Rakan-rakan kemudian memberikan bantuan bagi mencukupkan jumlah sepatutnya sehingga saya berjaya berada di sini hari ini dan bersyukur Allah SWT memberikan rezeki kepada saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro bersama pengiringnya Fakhrul Razi Hamsin, 44, sebaik tiba di hotel penginapan mereka, di sini, semalam.

Mereka adalah antara 450 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, di sini, kira-kira jam 9 pagi (2 petang waktu Malaysia), semalam.

Jemaah kemudian dibawa menaiki bas ke hotel penginapan di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick di sini, dan disambut Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Khalid Abbasi Absul Razak; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia ke Arab Saudi Alauddin Mohd Nor; Pegawai Muassasah Adila’ Sheikh Dr Ahmad Yusof Hawala; Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia Nurrinanuwar dan Konsul Haji Redhuan Sabaruddin.
Foto
IMAM Basori (kiri) dan Fakhrul Razi ditemui di di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, semalam.
Di samping itu, Imam Basori berkata, selain daripada menjual minyak wangi di kaki lima masjid, dia juga mengajar mereka yang berminat dengan sukan renang di kolam renang dekat Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Dia yang mempunyai dua anak masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun mengakui, hasil simpanan selain bantuan rakan membolehkan dia mengerjakan haji selepas mendapat tawaran darpada TH pada 2013.

Sementara itu, Fakhrul Razi bersyukur kerana diberikan ruang oleh TH untuk menjadi pengiring kepada rakannya itu.
Menurutnya, dia ditawarkan oleh Imam Basori yang disyaratkan TH untuk mempunyai pengiring jika mahu ke Makkah sebelum terus bersetuju. “Saya bersyukur kerana dapat mengerjakan haji awal berbanding giliran sepatutnya dijangka pada 2042,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Rosmah dianugerah darjah tertinggi suku Minangkabau


PADANG, Indonesia: Kesungguhan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memartabatkan suku Minangkabau mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerah darjah tertinggi wanita suku itu.
Rosmah menerima 'Darjah Kebesaran Kerabat Yang DiPertuan Gadih Minang' yang membawa gelaran Puan Puti Reno, membawa maksud puteri tertinggi dalam kerabat Minangkabau.
Penganugerahan yang berlangsung di Istana Adityawarman itu dilakukan dengan penuh istiadat Minangkabau yang dihadiri pewaris kerabat Minangkabau termasuk Raja Alam Pagaruyung Sutan Mohamad Taufik.
Sebagai simbolik penganugerahan, Rosmah dipakaikan selendang seorang daripada pewaris wanita Istana Pagaruyung dan bagi kesesuaian majlis Rosmah turut berpakaian Minangkabau, lengkap dengan tengkuluk yang biasanya dipakai oleh kerabat diraja zaman silam.
Ketika ditemui pemberita selepas acara itu, Rosmah berkata beliau amat terharu dan gembira dengan penerimaan serta anugerah yang diberikan apatah lagi ia bagaikan pulang ke kampung halaman kerana ibu bapanya berketurunan Minangkabau.
Ibu bapa Rosmah berasal dari Sari Lama yang terletak di salah satu daerah di Sumatera Barat.
"Saya berasa gembira kerana diterima dan diberi gelaran sebagai salah seorang keluarga diraja di Pagaruyung. Saya juga terharu kerana walaupun saya tidak pernah datang ke tanah Minangkabau, saya dapat menjiwai bahawa inilah tempat asal nenek moyang saya.
"Saya rasa seperti pulang ke kampung tetapi ini bukanlah bermakna saya melupakan Malaysia. Saya rasa ini merupakan detik permulaan pada diri saya dan ia pengalaman baru," katanya.
Beliau berharap dengan anugerah dan kekeluargaan yang terjalin, hubungan antara Indonesia dan Malaysia akan bertambah kukuh dan erat.
"Saya berharap kita tidaklah besar-besarkan perkara atau perselisihan faham. Yang mustahaknya kita harus mencari kesamaan antara satu sama lain kerana kita adalah serumpun.
"Kita berdoa bersama supaya dengan penghormatan yang diberikan kepada saya hari ini, akan membawa satu lembaran baru atau kita dapat lihat lebih lagi keakraban dan persahabatan," katanya.
Sementara itu, Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata anugerah itu menjadi satu sejarah kerana Rosmah adalah satu-satunya wanita dari negara luar yang menerima darjah sedemikian.
Beliau juga berharap penganugerahan itu akan merancakkan lagi hubungan antara kedua negara dan memberi impak positif dalam pelbagai sudut terutama budaya dan adat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.
Terdahulu, wakil Lembaga Adat Minangkabau Padang berkata, anugerah itu dikurniakan kepada Rosmah kerana kebaikan dan kesungguhan beliau memartabatkan budaya Minangkabau di Malaysia.
- BERNAMA


Cacat penglihatan tidak lenyap impian Imam Basori tunai haji



MADINAH: Cacat penglihatan akibat kemalangan di tempat kerja 10 tahun lepas tidak pernah melenyapkan impian Imam Basori Mukadji, 45, untuk menunaikan haji.
Azamnya untuk ke Tanah Suci begitu kental sekalipun hanya baru dapat menyimpan RM6,000 di Tabung Haji (TH), sedangkan kos untuk mengerjakan haji minimum RM9,980.
"Mujurlah ada rakan-rakan sedia menghulur sumbangan hingga simpanan mencukupi," kata Imam Basori kepada media Malaysia ketika tiba di pusat penginapannya di Maktab Zon Dua di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick di sini, hari ini.
Beliau yang menjual minyak wangi secara kecil-kecilan dan mengajar kanak-kanak berenang di Kolam Renang Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, telah mendaftar dengan TH sejak 2007 dan akhir tahun lepas mendapat surat tawaran ke Tanah Suci dari badan pengendali haji itu.
Namun, ada lagi hal yang perlu diatasi sebelum dapat ke Tanah Suci.
Sebagai seorang cacat penglihatan, beliau diperlukan membawa pengiring bagi memudahkan beliau bergerak ke sana sini.
Rupanya, memang takdir beliau akan menjadi tetamu Allah. Imam Basori berjaya mendapatkan seorang rakan, Fakhrulrazi Hamsin, 44, menjadi pengiringnya.
"Saya merasa sebak, sedih dan bersyukur kerana akhirnya dapat menjejak kaki di Tanah Suci," katanya yang berasal dari Johor dan kini tinggal di Bandar Tun Razak.
Imam Basori berkata, walaupun beliau tidak dapat melihat tetapi dapat merasai "cahaya" Tanah Suci sebaik tiba di pusat penginapannya, kira-kira 50 meter dari Masjid Nabawi.
Bagi tiga wanita dari Bagan Serai Perak, panggilan haji merapatkan hubungan mereka yang sebelum ini tidak mengenali satu sama lain.
Ramlah Hassan, 56; Cheyah Sulaiman, 68; dan Junaidah Salleh 57, mula berkenalan satu sama lain semasa menjalani kursus haji di tanah air dan kemudian bersepakat mengerjakan haji bersama.
Cheyah dan Junaidah telah kematian suami, sementara Ramlah pula tidak membawa bersama suaminya.
Sambutan ketibaan jemaah haji oleh TH di Maktab Zon Dua Hotel Anwar Al Madinah Movenpick begitu menyentuh perasaan tiga rakan ini, lebih-lebih lagi ini kali pertama mereka ke Tanah Suci.
- BERNAMA



Arab Saudi siap sedia sambut jemaah haji

Sebahagian daripada 256 imam dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari seluruh negara berlepas ke Madinah semalam.
 
MADINAH: Kerajaan Arab Saudi melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi jemaah haji tahun ini termasuk memperluas kawasan ketibaan jemaah haji di lapangan terbang dan memasang sistem penyaman udara untuk keselesaan mereka.

Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata kerajaan Arab Saudi juga membawa masuk 9,000 bas baharu untuk membawa jemaah dalam keadaan selesa.

Di Madinah, dalam usaha untuk membantu 1.4 juta jemaah haji luar negara, kerajaan Arab Saudi menubuhkan kumpulan sukarela sebagai 'jurupandu' yang berkebolehan bertutur antara tujuh dan lapan bahasa asing, katanya kepada media Malaysia selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama 450 jemaah haji Malaysia di Anwar Al Madinah Movenpick Hotel di sini, Rabu.

Bagi memudahkan jemaah warga emas di Madinah, kerajaan Arab Saudi turut memperkenal perkhidmatan 'buggy' untuk membawa mereka dari pintu masuk Masjid Nabawi hingga ke pintu masjid, dan ini akan memanfaatkan 31 peratus daripada 2,320 jemaah haji Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas.

Beliau turut menzahirkan penghargaan Malaysia kepada pelbagai usaha yang dijalankan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselesaan jemaah tahun ini.

Mohd Khalid berkata program pembesaran di Masjid Nabawi di sini akan meningkatkan kapasiti jemaah daripada 800,000 orang sekarang kepada 1.2 juta apabila ia siap tahun depan.

Masjid itu dilengkapi dengan permaidani baharu selain bekalan air zam-zam tanpa henti dari Makkah, katanya.

Menurutnya di Masjidilharam di Makkah, kerajaan Arab Saudi turut melaksanakan program pembesaran di ruang solat, tandas, kemudahan dan sekuriti.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi di bawah kepemimpinan Raja Abdullah melaksanakan projek pembangunan yang agresif di Tanah Suci dalam usaha untuk menampung jemaah yang semakin meningkat.

Selain itu, dengan siapnya landasan kereta api penumpang berkelajuan tinggi pertama antara Makkah dan Madinah (Kereta api Berkelajuan Tinggi Harmain), ia memendekkan masa perjalanan dan mengatasi kesesakan trafik pada musim haji.

Landasan sepanjang 480 kilometer itu, yang melalui bandar raya Jeddah, memendekkan masa perjalanan antara Makkah dan Madinah kepada dua jam daripada empat jam sekarang. - BERNAMA

Maybank untung RM4.45 bilion enam bulan pertama 2014

KHAMIS, 28 OGOS 2014 @ 1:08 PM

 
KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatat peningkatan 5.7 peratus untung sebelum cukai kepada RM4.45 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini berakhir 30 Jun 2014.

Dalam tempoh yang dikaji, untung bersih naik 3.4 peratus kepada RM3.18 bilon.

PAS berhasrat tanding DUN Pengkalan Kubor

RABU, 27 OGOS 2014 @ 10:30 PM

 
GUA MUSANG: Walaupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ditandingi PKR sebelum ini, rakan pakatannya PAS berhasrat untuk bertanding kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana yakin mampu mencapai kemenangan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata kerusi itu yang diberi kepada PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13, hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan PAS boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

"Kerusi itu memang milik PAS sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU-13 lalu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kota Sejahtera Chiku di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan Ketua Jajahan Gua Musang, Nazran Mohamad.

Mohd Amar berkata, hasrat PAS itu akan dibincangkan dengan PKR.

"Kita lihat ada peluang untuk kita menang...soal calon belum dibincangkan lagi setakat ini," katanya.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Allahyarham Noor Zahidi adalah ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

- BERNAMA

PAS akan kemuka calon PKR jadi MB Selangor

KHAMIS, 28 OGOS 2014 @ 12:33 AM
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menjawab pertanyaan wartawan selepas mesyuarat tertutup PAS Selangor di Shah Alam bagi membincangkan soal calon Menteri Besar Selangor yang akan dikemukakan kepada Sultan Selangor.
 
SHAH ALAM: PAS Selangor membuat keputusan untuk tidak mencalonkan wakil rakyat parti itu bagi dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata parti itu sebaliknya akan mencalonkan sekurang-kurangnya tiga nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR untuk jawatan berkenaan.

"Keputusan untuk tidak letakkan calon PAS adalah muktamad. Ini kerana Menteri Besar Selangor adalah jawatan milik PKR. Kita hormati perkara ini.

"Kita berpendapat adalah tidak wajar untuk kita calonkan wakil daripada PAS untuk jawatan ini," katanya selepas mesyuarat tertutup bersama PAS Selangor di pejabat perhubungan negeri, di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Iskandar Abdul Samad.

Ditanya siapakah yang akan dicalonkan PAS, Mustafa berkata: "Kita tidak boleh beritahu nama yang dibincangkan, tunggulah nanti."

Mustafa juga berkata, mesyuarat itu tidak menyentuh isu Menteri Besar Selangor.

"Saya hanya terangkan tentang kronologi kemelut jawatan Menteri Besar kepada ahli PAS Selangor," katanya.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan PAS, DAP dan PKR, masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan baginda.

Namun, PKR dan DAP tetap mahu mencalonkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk jawatan Menteri Besar itu.

Datuk Ramli MS dan Alyah sah sudah nikah!

KHAMIS, 28 OGOS 2014 @ 11:28 AM

Oleh Oleh Zaidi MohamadMohd Nasaruddin Parzi

 
PUCHONG: Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengunjungi kediaman mewah komposer ternama Datuk Ramli MS di Bandar Kinrara, di sini awal pagi ini, dipercayai bagi menyiasat status hubungan beliau dengan penyanyi Alyah.

Dalam tinjauan pada jam 7.30 pagi oleh sembilan pegawai JAIS yang lengkap beruniform itu dikatakan mendapati mereka sudah berkahwin.

Alyah dikatakan berada di banglo berkenaan ketika pegawai JAIS datang menyiasat.

Wartawan BH yang berada di tempat kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi milik Alyah berada di kediaman itu.

Pekerja kontraktor yang mengubahsuai banglo juga memaklumkan pasangan itu kerap dilihat bersama.

Menurut sumber JAIS, pasangan itu sudah berkahwin sejak setahun lebih lalu.

Katanya, Ramli dan penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang itu akan ke JAIS dalam masa terdekat untuk memberikan kenyataan serta bukti perkahwinan bagi tujuan pendaftaran.

Difahamkan pasangan itu bernikah di Batam, Indonesia tetapi belum mendaftar perkahwinan mereka di negara ini.

Ramli yang berpakaian kemeja T berwarna ungu dan seluar melepasi paras lutut kelihatan tenang.

Malah, beliau dilihat mengiringi pegawai JAIS keluar dari kediaman itu sejurus siasatan selesai sambil ketawa sesama mereka.

Perkembangan ini dijangka menamatkan teka teki mengenai status mereka selepas sebelum ini masing-masing enggan mengesahkan desas desus mereka telah berkahwin.

MH17: Lima jenazah, empat abu mayat tiba Selasa ini - Panglima ATM

KHAMIS, 28 OGOS 2014 @ 11:52 AM

  
PUTRAJAYA: Sembilan mangsa nahas pesawat MH17, termasuk lima jenazah dan empat abu mayat dijangka tiba di tanah air dari Amsterdam, Belanda, Selasa ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zain, berkata dua daripada mangsa yang akan dibawa pulang adalah warga negara asing yang juga suami kepada mangsa nahas.

Beliau berkata, empat mangsa akan dibawa menaiki ke pesawat ke Teluk Intan, Bukit Mertajam dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, manakala empat lagi dibawa menaiki van jenazah ke kawasan di sekitar Lembah Klang dan satu lagi ke Seremban.

"Kesemua jenazah dan abu mayat akan diberikan penghormatan pada Istiadat Penghormatan Jenazah Mangsa Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Sepang, sama seperti istiadat sebelum ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17, di ibu pejabat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di sini, sebentar tadi.

Tidak perlu mesyuarat kedua majlis pakatan - Anwar

KHAMIS, 28 OGOS 2014 @ 1:16 PM

 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat (PR) tidak perlu mengadakan mesyuarat kedua Majlis Presiden Pakatan bagi memilih calon Menteri Besar (MB) Selangor.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, mesyuarat itu tidak perlu walaupun masih mempunyai tempoh untuk berbuat demikian sebelum senarai calon dikemukakan kepada Sultan Selangor, 3 September ini.

Mengikut Anwar, mesyuarat pada 17 Ogos lalu sudah sebulat suara memilih Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal MB.

Selain itu, katanya, nasihat perundangan dan mekanisme berhubung isu itu turut dibincangkan sebelum keputusan muktamad dibuat, justeru ia perlu dihormati atas semangat pakatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas prosiding kes saman RM100 juta terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar, berhubung penyiaran satu artikel dalam sebuah akhbar enam tahun lalu, di Mahkamah Tinggi di sini.

Penjenayah jadi guru al-Quran

Mie (kiri) ketika ditemuramah media pada program Jalinan Kasih Banduan dan Keluarga di Penjara Pra-Bebas Dusun Dato' Murad.
Mie (kiri) ketika ditemuramah media pada program Jalinan Kasih Banduan dan Keluarga di Penjara Pra-Bebas Dusun Dato' Murad.
AYER KEROH - "Dulu saya jahat. Tapi, sejak menjalani hukuman di sini, saya diasuh menjadi individu yang cintakan agama." Demikian luah Mie (bukan nama sebenar), 40, seorang banduan yang kini sedang menjalani hukuman di penjara Bebas Dusun Dato' Murad, di sini.

Siapa sangka, Mie yang sebelum ini bergelar penjenayah kini mampu menjadi guru mengaji kepada banduan lain dan sudah khatam al-Quran hampir 30 kali sepanjang menjalani hukuman, hasil bimbingan dari ustaz di penjara.

Mie mengakui, kehidupannya di sebalik tirai besi itu berjaya mengubah dirinya menjadi seorang insan lebih baik.

Menceritakan kisah hidupnya, Mie berkata, sebelum ini dia terlibat dalam kegiatan kumpulan tertentu.

Mie menjelaskan, dia dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun pada 2003 atas kesalahan membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan, sebelum mahkamah memutuskan hukuman terhadapnya ditambah kepada 14 tahun pada Jun 2010.

Dia yang pernah menjalani hukuman di beberapa penjara termasuk di Penjara Kajang, Penjara Alor Setar, Seremban akan dibebaskan pada 24 Februari 2015.

Menurut Mie, hukuman yang dijalani di penjara sepanjang 13 tahun lalu banyak mendorong dirinya melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti yang lebih diredai ALLAH SWT.

“Apatah lagi di Penjara Pra Bebas Dusun Dato’ Murad ini saya banyak menyertai aktiviti tazkirah, ceramah agama, sekali gus banyak mendatangkan keinsafan buat diri saya dan melahirkan sikap tanggungjawab serta lebih sayangkan keluarga.

"Di sini saya diajar mendalami ilmu al-Quran sehingga saya berupaya membaca dengan baik,” katanya ditemui pada Program Jalinan Kasih Banduan dan Keluarga di Penjara Pra-Bebas Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Anak kesembilan daripada 13 beradik yang berasal dari Seremban itu bagaimanapun reda dengan balasan diterima atas perbuatan lampau.

“Siapa yang tidak sedih apabila selesai menjalani hukuman selama tujuh tahun pada 2010, pendakwaan membuat rayuan dan berjaya apabila mahkamah memutuskan tempoh hukuman kepada saya ditambah tujuh tahun lagi.

"Namun saya reda dan menganggapnya sebagai kifarah atas perbuatan saya sebelum ini," katanya.

Mie berkata, sepanjang menjalani hukuman penjara, dia diberi kesempatan menyertai pelbagai aktiviti anjuran Penjara, termasuk bekerja sebagai tukang masak di kantin pegawai bagi menambah kemahiran sebagai persediaan apabila dibebaskan kelak.

Rafizi beri keterangan di IPD Kajang


  • Rafizi RamliRafizi Ramli
 1 / 1 
KAJANG - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memberikan keterangan berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat perkauman pada Januari lepas,  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.

Beliau dilihat memasuki IPD Kajang kira-kira 3.50 petang dan beredar setengah jam kemudian dengan diiringi peguam Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Rafizi berkata polis memberitahunya bahawa kenyataannya itu adalah yang terakhir dan kertas siasatan sudah hampir selesai.

Rafizi disiasat berkaitan kandungan kenyataannya yang disiar akhbar The Edge Malaysia yang bertajuk ‘Will Rafizi Quit if Selangor is not toppled?’.

Di dalam kenyataannya itu, Rafizi dikatakan cuba mewujudkan perbalahan kaum dan agama di Selangor semasa gerakan oleh badan bukan kerajaan Islam dan Umno Selangor untuk membantah di luar gereja Kristian berhubung penggunaan perkataan 'ALLAH' bagi Tuhan. - Bernama

Khalid kecam tindakan 'pendekar ludah'

Khalid memegang salinan laporan polis yang sudah dibuatnya semalam.
Khalid memegang salinan laporan polis yang sudah dibuatnya semalam.
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menyifatkan tindakan sekumpulan individu meludah dan menghamburkan kata-kata kesat kepadanya atas alasan ingin mempertahankan Institusi Kesultanan Melayu hanya mencemarkan institusi berkenaan.

Menurut Khalid, kumpulan yang digelarnya sebagai ‘pendekar ludah’ itu sebenarnya telah bertindak biadab kerana Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang berada di sampingnya turut terkena percikan ludah itu.

“Tindakan liar dan samseng kumpulan berkenaan mengeluarkan kata-kata kesat menunjukkan mereka tidak berakhlak dan tiada kena mengena dengan institusi berkenaan.

“Raja Kamarul Bahrin juga salah seorang kerabat diraja Terengganu dan Perak. Beliau sendiri amat tersinggung dengan apa yang berlaku semalam (kelmarin),” katanya dalam sidang media di pejabatnya, semalam.

Kelmarin, Khalid diserang beberapa individu semasa dalam perjalanan meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghasut dalam kenyataannya yang menggesa kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dihapuskan.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM4,000 dan Ahli Parlimen Kuala Kerai, Dr Hatta Ramli dinamakan sebagai penjamin.

Khalid mempersoalkan bagaimana ingin membela institusi ini dengan perangai dan tindakan tidak beradab dan bertamadun sebegitu rupa.

“Raja Kamarul Bahrin sendiri terkena percikan geng ‘pendekar ludah’ sedangkan beliau sendiri kerabat diraja.

“Inilah masalah golongan yang sanggup dipergunakan orang lain kononnya atas dasar semangat tanpa ilmu. Akhirnya mencemarkan apa yang kononnya ingin diselamatkan,” katanya.

Menceritakan kejadian, kata Khalid, seorang pemuda Melayu telah menemui beliau dan bertanya ‘adakah kamu YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam?’ lalu beliau menjawab ‘ya’.

Secara tiba-tiba pemuda berkenaan meludah ke mukanya sementara beliau sendiri hampir menumbuk pemuda berkenaan sebagai tindak balas namun ditenangkan oleh Raja Kamarul Bahrin yang berada di sebelahnya lalu terus beredar.

“Saya juga sudah buat laporan polis di IPD Shah Alam hari ini (semalam) dan kes telah dirujuk ke IPD Sentul untuk siasatan selanjutnya.

“Gambar individu berkenaan juga sudah berjaya diperolehi dan sebahagian daripada mereka sudah dikenal pasti.

“Sekarang saya mahu tahu adakah ‘Pendekar Ludah’ ini benar-benar berani atau jenis manusia buang batu sorok tangan!” katanya.

Khalid turut memberi amaran kepada kumpulan itu supaya terus menyerah diri kepada polis untuk proses siasatan.

Lapan lagi jenazah MH17 pulang Selasa ini

mh17
KUALA LUMPUR - Lapan lagi jenazah-tujuh rakyat Malaysia, seorang warga Belanda-mangsa tragedi MH17 akan dibawa pulang ke tanah air Selasa ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, istiadat penghormatan jenazah akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada hari yang sama.

Ketika ini, lapan jenazah berkenaan sedang melalui proses dokumentasi di Amsterdam, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Maklumat terperinci lapan jenazah itu akan dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas mempengerusikan mesyuarat
Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 yang dijadualkan Isnin ini, katanya.

"Kepulangan tujuh lagi jenazah warga tempatan itu bermakna kesemua 31 jenazah rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti sebelum ini telah dan akan dibawa pulang ke tanah air," katanya.

Setakat ini, 24 jenazah rakyat Malaysia telah dibawa pulang ke tanah air sejak Jumaat lepas.

Muhyiddin berkata, pihak kerajaan berharap agar semua pihak termasuk media dapat menghormati kesedihan yang dirasai keluarga mangsa tragedi MH17 seterusnya menjaga privasi dan sensitiviti mereka.

Pada Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah warga Malaysia yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas.

Satu lagi jenazah tiba pada Sabtu lepas manakala tiga jenazah tiba keesokannya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha untuk memastikan pasukan penyiasat dan pihak keselamatan Malaysia dibenarkan kembali memasuki kawasan nahas bagi menjalankan tugasan yang belum selesai khususnya dalam mencari mayat yang masih belum ditemui.

"Dalam menangani tragedi ini, kerajaan Malaysia amat konsisten bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat mesti dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang sekeras-kerasnya," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Sebanyak 43 daripada mereka adalah warga Malaysia.

Laporan media sebelum ini melaporkan jenazah warga Belanda itu dibawa ke Malaysia atas permintaan keluarga mangsa yang mahukan jenazah itu disemadikan di negara ini. - Bernama

Misi senjata hipersonik AS gagal

Peluru perpandu hipersonik gagal meluncur sejurus dilepaskan. - Foto: AP
Peluru perpandu hipersonik gagal meluncur sejurus dilepaskan. - Foto: AP
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Masalah teknikal menyebabkan ujian senjata hipersonik terbaharu milik Amerika Syarikat (AS) gagal dalam misi pertama peluncurannya, semalam.

Difahamkan, senjata itu musnah dengan sendirinya sejurus dilepaskan ke udara.

Jurucakap Pentagon Maureen Schumann berkata, senjata dikenali sebagai Advanced Hypersonic Weapon itu dibangunkan oleh Sandia National Laboratory dan Pentagon.

"Kami terpaksa menamatkan misi ini kerana ia meletup ketika berlepas dan jatuh kembali di kompleks ujian,” katanya.

Menurutnya, misi ini adalah program ciptaan peluru berpandu yang boleh memusnahkan sasaran dari mana-mana kawasan di dunia dalam masa sejam. Penganalisis Pertahanan Carnegie Endowment, James Acton berkata, misi itu adalah untuk bersaing dengan senjata milik China selepas negara itu melakukan ujian sistem hipersonik pada Januari lalu.

"AS tertekan dengan China. Perkara itu menyebabkan mereka berusaha keras mencipta senjata yang lebih bagus tetapi AS menemui kegagalan," katanya menurut laporan Press TV.

Lima maut letupan di Madinah

Beberapa bangunan berhampiran Hospital Madinah rosak teruk akibat letupan tangki gas. - Foto: AP
Beberapa bangunan berhampiran Hospital Madinah rosak teruk akibat letupan tangki gas. - Foto: AP
MADINAH - ARAB SAUDI . Sekurang-kurangnya lima orang maut dan beberapa kenderaan rosak teruk dalam satu letupan tangki gas berhampiran sebuah hospital di Madinah, kelmarin.

Dalam satu kenyataan bersama Jabatan Hal Ehwal Kesihatan Pengawal Kebangsaan dan Pertahanan Awam memaklumkan, siasatan telah dilancarkan untuk menentukan punca letupan yang berlaku berhampiran Prince Mohammed National Guard Hospital.

"Letupan bagaimanapun tidak merosakkan bangunan utama hospital dan tidak mencederakan mana-mana pesakit," menurut kenyataan itu.

Difahamkan, letupan kira-kira pukul 9.15 pagi (waktu tempatan) itu berlaku di Syarikat Gas Perindustrian Negara (Gasco) ketika kerja penyelenggaraan sedang dilakukan.

Akibat letupan itu, bangunan penyimpanan gas terbakar dan menyebabkan kerosakan kepada kawasan sekitar, dipetik dari laporan  Arab News.

Tugu peringatan MH17 akan didirikan di Australia

MH17
MELBOURNE - AUSTRALIA. Sebuah tugu peringatan bagi mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 akan didirikan di taman-taman Parlimen Persekutuan di Canberra.  

Perdana Menteri Tony Abbott memberitahu Parlimen, ia dijangka siap untuk ulang tahun pertama tragedi itu, yang meragut nyawa 38 rakyat Australia.  
Ia akan menjadi satu "peringatan bahawa kami tidak akan sekali-kali melupakan mereka," katanya.

Pemimpin pembangkang Bill Shorten berkata tugu peringatan itu adalah idea "yang sangat wajar".

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh semasa terbang di ruang udara negara yang bergolak.

Selain rakyat Australia, warga dari Belanda, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand adalah antara 298 penumpang dalam pesawat itu. - Bernama

Akta Hasutan: Polis ambil keterangan Rafizi, Surendran


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Dua pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan mengikut Akta Hasutan 1948 ekoran memberi kenyataan yang disifatkan mampu menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.
Rafizi Ramli yang juga Pengarah Strategi PKR hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira pukul 3.50 petang berhubung satu kenyataan di akhbar The Edge awal Februari lalu.
Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran pula ditahan selepas memberi keterangan di Balai Polis Pudu berhubung kenyataan yang menuduh pihak penghakiman kes Liwat 2 membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah telunjuk Putrajaya, baru-baru ini.
Surendran bagaimanapun kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan ketika ditemui memberitahu, beliau dipanggil untuk memberi keterangan setelah salah satu bahagian UMNO Selangor membuat laporan polis terhadapnya tentang isu perkauman dan agama yang dinyatakannya dalam akhbar The Edge.
Katanya, ketika itu, kedua-dua isu berkenaan sedang hangat diperkatakan pada akhir tahun lalu dan Januari.
"Saya memberi amaran tentang wujudnya perancangan menggunakan isu perkauman dan agama bagi mewujudkan ketidakstabilan kaum di Selangor.
"Saya mendapat maklumat bahawa saya akan menjadi orang terakhir yang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu ini sebelum kertas siasatan disiapkan. Mungkin saya akan didakwa satu atau dua minggu lagi," katanya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa, penggunaan Akta Hasutan 1948 dalam kes tersebut adalah bersifat politik kerana tiada keperluan undang-undang tersebut digunakan terhadapnya.
"Ahli politik selalu membuat kenyataan sebegitu dan pasti ada yang akan bersetuju atau tidak. Sekalipun kenyataan itu tidak benar, cara terbaik adalah menyaman atau menjawab sahaja isu tersebut, bukannya menggunakan Akta Hasutan.
"Keadaan sekarang tiada keperluan undang-undang itu digunakan apatah lagi untuk menjawab persoalan politik. Ini adalah cara UMNO untuk menggunakan polis dan pihak berkuasa. Jika tidak bersetuju, saman sahaja," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140828/je_02/Akta-Hasutan-Polis-ambil-keterangan-Rafizi-Surendran#ixzz3BdsmEEG7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saudi tetapkan umrah 15 hari


Riyadh: Pihak berkuasa Arab Saudi akan mengehadkan tempoh tinggal 15 hari ke atas warga asing yang memasuki negara itu untuk menunaikan ibadah umrah tahun depan.

Keputusan itu diambil selaras dengan kemampuan untuk menampung jemaah di dalam Masjidil Haram yang ketika ini menjalani kerja pembesaran hingga mengecilkan ruang solat di dalamnya.

Musim puncak, khususnya sepanjang Ramadan, menyaksikan kesesakan teruk dan pihak berkuasa berkata, mereka mahu mengelak keadaan daripada bertambah buruk tahun depan.

Syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk jemaah umrah diberi tempoh seminggu untuk mengkaji cadangan itu dan mengemukakan pendapat mereka atau cadangan jika ada bagi membantu merangka dasar baru itu.

Dasar berkenaan akan dikaitkan dengan pengeluaran visa untuk memasuki Saudi yang akan dilaksanakan dengan bermulanya musim umrah hujung tahun ini.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Remaja disyaki bunuh ibu ada peguam baru


Wakilnya ketika ini, Haposan Sihombing berkata, Heather Mack dijadual disoal siasat polis Indonesia minggu ini dan akan mendapat nasihat daripada peguam baru.
“Kami menerima sepucuk surat daripada Michael Elkin (peguam berpangkalan di Chicago, AS) untuk melantik seorang peguam dikenali sebagai Raja Nasution,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Haposan adalah peguam yang dilantik polis Indonesia untuk mewakili Heather sebelum ini.
Heather, 19, dan teman lelakinya Tommy Schaefer, 21, ditangkap pada 13 Ogos lalu kerana disyaki bertanggungjawab terhadap kematian Sheila von Wiese-Mack, 62, yang dibelasah teruk.
Mayat Sheila kemudian disumbat ke dalam beg pakaian dan ditinggalkan dalam sebuah teksi di depan Hotel St Regis, Bali sebelum pasangan terbabit cuba melarikan diri.

Hubungan Heather dan Sheila dilaporkan sentiasa bermasalah sejak bertahun-tahun lalu.
Foto
HEATHER

Sebelum ini Heather enggan memberi keterangan kepada polis kerana menuntut seorang peguam dari AS dilantik bagi mewakilinya.

Tidak dapat dipastikan sama ada Schaefer sudah mendapat peguam dari AS.

- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Wanita bunuh harimau bintang


Kamla Devi yang cedera selepas bertarung selama kira-kira sejam dengan haiwan itu berhampiran kampungnya di daerah Rudraprayag, Uttarakhand Ahad lalu, kini dirawat di hospital. 
Ibu satu anak itu hanya mengguna sabit dan penyodok kecil untuk melawan harimau bintang berkenaan sebelum berjalan kira-kira setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan. 

Dia mengalami luka yang dalam dan patah di tiga bahagian tubuhnya serta kehilangan banyak darah sebelum tiba di hospital.
Foto
KAMLA

Haiwan itu kemudiannya ditemui mati berhampiran kampungnya, Koti Bodna.

Pakar hidupan liar, Lakhpat Rawal berkata, dia terkejut dengan masa bertarung yang begitu lama. 

“Harimau bintang biasanya akan berundur jika mendapati mangsanya kuat. Biasanya, serangan itu hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit. 

“Mungkin harimau bintang itu terlalu tua atau terlalu muda dan tidak berpengalaman. 

“Mungkin juga haiwan itu terdorong untuk terus menyerang dengan harapan untuk membunuh wanita itu selepas melihat terlalu banyak kecederaan pada tubuh mangsa,” katanya. 

Kamla yang kematian suami 30 tahun lalu bagaimanapun memberitahu media tempatan, dia masih ingat keseluruhan kejadian dan tempoh masa ia berlaku. 

Kakitangan perubatan berkata, walaupun keadaan wanita itu stabil, dia terpaksa menjalani lebih 100 jahitan memandangkan luka yang dalam pada kepala dan kakinya. 

Dia juga dirawat kerana patah tulang tangan kanan dan kiri.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

Putin, Poroshenko bincang isu pemberontakan


Vladimir Putin (kiri) dan Petro Poroshenko berjabat tangan semasa satu pertemuan di Minsk, Belarus, kelmarin. - AFP
MINSK, Belarus 27 Ogos - Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berjanji untuk menyediakan pelan gencatan senjata bagi menamatkan konflik pemberontakan di timur negara itu, selepas beliau mengadakan perbincangan buat kali pertama dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, di sini malam tadi.
Selepas mengadakan pertemuan secara bersendirian dengan Putin selama dua jam, Poroshenko menyifatkan perbincangan tersebut sebagai sukar dan rumit kerana beliau masih belum pasti sama ada kumpulan pemberontak pro-Rusia sedia menerima usul gencatan senjata selain tempoh perjanjian itu dipersetujui dan dipatuhi.
Namun dalam satu kenyataan terbuka, Poroshenko menuntut penghantaran senjata dari Rusia kepada kumpulan pemisah dihentikan selain mempertahankan pelan damai yang dikemukakan pada Jun lalu apabila pemberontak di tenggara wilayah Donbass yang menerima usul terbabit, meletak senjata dan meninggalkan negara itu dengan selamat.
"Satu pelan gencatan senjata akan disiapkan secepat mungkin dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
"Syarat utama untuk kestabilan di Donbass adalah menguatkuasakan kawalan secara berkesan di sempadan Ukraine-Rusia dan langkah itu penting untuk menghentikan penghantaran senjata kepada kumpulan pemberontak," katanya.
Dalam pada itu, Putin menyifatkan pertemuan beliau dengan Poroshenko sebagai petanda positif tetapi menegaskan bahawa Rusia tidak terlibat dalam merencanakan syarat gencatan senjata antara kerajaan Kiev dan kumpulan pemberontak di dua wilayah timur Ukraine.
Putin berkata, beliau dan Presiden Ukraine tidak berbincang tentang syarat-syarat perjanjian antara Kiev, Donetsk dan Luhanks kerana itu bukan urusan Moscow.
"Segalanya terpulang pada Ukraine sendiri untuk menetapkan syarat.
"Rusia hanya boleh mewujudkan persefahaman antara kedua-dua pihak dan bagi saya, peranan itu sangat penting dalam proses rundingan," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_05/Putin-Poroshenko-bincang-isu-pemberontakan#ixzz3BdkwpqzJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jemaah haji mula berangkat ke Arab Saudi


Seorang jemaah haji dari Kashmir memeluk ahli keluarganya sebelum berangkat ke Mekah, Arab Saudi bagi menunaikan haji di Srinagar, India, semalam. - AGENSI
MEKAH 27 Ogos - Sebahagian daripada 1.3 juta jemaah haji asing hari ini berlepas dari negara masing-masing menuju ke Jeddah, Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
Laman web, bangkokpost.com melaporkan, seramai 400 orang jemaah haji pertama Thailand meninggalkan negara menerusi Lapangan Terbang Narathiwat dalam dua fasa penerbangan.
Fasa pertama penerbangan melibatkan 281 jemaah yang berlepas pada pukul 10.41 pagi ini, manakala penerbangan kedua ke Jeddah untuk 296 jemaah haji berlepas pada pukul 4.25 petang.
Setiausaha Agung Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO), Jeneral Udomdet Sitabut dan Gabenor Narathiwat, Nattapong Sirichana turut berada di lapangan terbang tersebut bagi mengucapkan selamat jalan kepada para jemaah.
Dalam pada itu, laman web, thefinancialexpress-bd.com melaporkan, penerbangan pertama haji membabitkan seramai 419 jemaah Bangladesh berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Kurmitola, Dhaka hari ini.
Perdana Menteri, Sheikh Hasina merasmikan penghantaran seramai 49,378 jemaah haji dari Bangladesh di Kem Haji di Ashkona semalam yang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan Biman Bangladesh Airlines yang beroperasi hari ini sehingga 28 September nanti.
Dalam perkembangan sama, kumpulan jemaah haji pertama dari Jammu dan Kashmir meninggalkan Srinagar hari ini dalam satu penerbangan terus ke Madinah, Arab Saudi.
Seramai 275 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Srinagar menggunakan khidmat penerbangan Air India hari ini.
Tahun ini, seramai 7,007 jemaah haji dari Jammu dan Kashmir dijadual ke Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Selain itu, Indonesia menghantar 318 orang petugas haji hari ini melibatkan kakitangan Kementerian Agama dan Kementerian Kesihatan yang bakal ditempatkan di Jeddah dan Madinah.
Jemaah haji Indonesia yang lain dijadual berangkat ke Arab Saudi bermula 1 September ini menggunakan sembilan lapangan terbang berbeza antaranya di Jakarta, Solo, Batam, Makassar dan Lombok.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_04/Jemaah-haji-mula-berangkat-ke-Arab-Saudi#ixzz3BdkmnsTh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PBB salur RM4.3 juta untuk basmi Ebola di Congo


KINSHASA 28 Ogos - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, menyalurkan AS$1.5 juta (RM4.3 juta) kepada Republik Demokratik Congo untuk membantu membasmi wabak Ebola yang merebak di negara ini.
Misi PBB di Afrika berkata, peruntukan itu boleh berganda pada masa akan datang, daripada dana yang diperuntukkan untuk "keperluan kemanusiaan" di seluruh dunia.
Minggu lepas, Congo berkata seramai 13 orang telah meninggal dunia dengan gejala demam denggi dan ujian dilakukan ke atas berpuluh-puluh orang. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140828/lu_01/PBB-salur-RM43-juta-untuk-basmi-Ebola-di-Congo#ixzz3BdkSY4MM
© Utusan Melayu (M) Bhd