Monday, September 19, 2011

Akta ganti ISA lebih zalim

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”). Langkah tersebut mendapat pujian semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan.

Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut. Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.

USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001.

Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing. Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.

Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah. Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan.

Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh Kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa. Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.

JUHAM menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri. Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah.

Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights. Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah. Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998. Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.

Sungguhpun langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan, namun, pengumuman Kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat. Seharusnya Kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia. Jika Kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut singa”. Di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.

Sehubungan dengan ini juga, JUHAM berpandangan adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti yang nyata. Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat. Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan pemuda PAS Malaysia
http://bm.harakahdaily.net

Husam saman Kickdefella RM5 juta


KOTA BHARU, 19 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memfailkan saman terhadap blogger Kickdefella sebanyak RM5 juta berhubung dakwaan fitnah ke atasnya.
Writ saman dan pernyataan tuntutannya ke atas Kickdefella atau nama sebenar Syed Azidi Syed Abdul Aziz difailkan di Kaunter Pendaftaran, Mahkamah Tinggi Malaya, Kota Bharu, petang ini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan diwakili Peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates.
Di dalam writ saman itu, Husam selaku plaintif menuntut Syed Azizi selaku defendan memohon maaf secara bertulis kepadanya tanpa syarat.
Defendan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif dengan menyiarkan permohonan maaf di dalam laman blog defendan serta memadam ketiga-tiga artikel yang ditulis oleh defendan di dalam blog defendan iaitu yang bertajuk 'HUSAM TELAH MENIPU RAKYAT DAN SAHABAT’ pada hari Khamis 27 Januari 2011, artikel ‘SEBELUM KITA LUPA NORMALA SUDIRMAN’ yang diterbitkan pada hari Khamis 3 Februari 2011 dan artikel ‘HUSAM ITU PEMBOHONG’ pada hari Ahad 3 Julai 2011.
Husam juga menuntut Syed Azidi mengiklankan permohonan maaf tersebut di dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu selama satu (1) hari, bayaran gantirugi sebanyak RM5 juta kepada plaintif bagi gantirugi terhadap perbuatan fitnah yang telah disiarkan di ruangan blog defendan, gantirugi teladan, gantirugi melampau, gantirugi punitif.
Selain itu, satu injunksi bagi menghalang defendan dan/atau ejen-ejennya dan/atau pembantu-pembantunya dan/atau sesiapa sahaja dari berkomunikasi, memberi komen, mengulangi dan/atau menyebabkan menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan atau perkataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif, plaintif diberi kebebasan untuk memohon perintah-perintah lanjut, faedah pada kadar 8% setahun ke atas gantirugi yang dibenarkan oleh mahkamah dari tarikh writ saman hingga penyelesaian penuh, kos atas dasar peguamcara dan klien, kos untuk tuntutan ini; dan lain-lain relif yang mahkamah fikirkan wajar, adil dan suaimanfaat.http://bm.harakahdaily.net

Lagi peneroka Jengka saman Felda RM510 juta

TEMERLOH, 19 Sept: Felda bakal berdepan musibah terbaru sebaik menerima tuntutan saman lebih RM510 juta dari peneroka di kawasan Jengka, Pahang dalam jangka masa terdekat.
Ini berikutan 345 lagi peneroka menyerahkan borang waran pelantikan peguam yang menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang menyaman Felda di kawasan itu setakat ini adalah seramai 1,056 orang, laporKeadilan Daily.
Pada Julai lalu, Felda disaman oleh 711 peneroka di kawasan itu, selain deretan saman dari peneroka di Kelantan, Johor, dan Negeri Sembilan.
Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said dalam laman blognya mendedahkan, jumlah tuntutan oleh 1,056 peneroka terbabit merupakan jumlah terbesar setakat ini.
“Jumlah tuntutan sebanyak RM510,048,000.00 merupakan jumlah terbesar yang pernah dituntut oleh peneroka-peneroka Felda terhadap Felda,” katanya.
Lanjutan dari kes ini, Jawatankuasa Bertindak yang mewakili peneroka-peneroka terbabit mengadakan Majlis Penyerahan Borang Pelantikan Peguam yang disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Guaman PKR, Latheefa Koya di Markaz PAS Felda Jengka 17, semalam.
(Gambar: Latheefa Koya menerima borang waran pelantikan peguam dari sekumpulan wakil peneroka Jengka sambil disaksikan Suhaimi Said.)
Menurut Suhaimi, saman itu dikemukakan berikutan peratusan kadar perahan gred (KPG) buah sawit yang dimanipulasi oleh Felda dan kilang-kilang Felda.
“Mereka (peneroka) menuntut buah sawit yang ditolak oleh kilang Felda kononnya buah-buah itu mengkal, muda dan tangkal panjang, walhal buah-buah ini diuji di makmal dengan peratusan perahan sebanyak 20 peratus.
“Buah-buah sawit dari kawasan ini telah dihantar ke makmal dan disahkan peratusan perahan KPG (Kadar Perahan Gred) tidak pernah menurun dari 27 peratus sedangkan Felda hanya membayar kepada peneroka di atas kadar perahan antara 17 peratus hingga 19 peratus.
“Ini mendatangkan kerugian yang amat besar kepada peneroka-peneroka. Kiraan selama 15 tahun kerugian yang ditanggung oleh peneroka-peneroka melebihi RM400,000.00 bagi setiap peneroka,” kata Suhaimi.
http://bm.harakahdaily.net

Hisham sekeluarga selamat



Oleh Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my

KLUANG: Helikopter yang sepatutnya membawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta keluarganya ke Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sembrong di Taman Seri Lambak, dekat sini, terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangi, Selangor, akibat cuaca buruk, tengah hari semalam.
Helikopter itu, membawa Hishammuddin; isteri Datin Seri Tengku Marsila Tengku Abdullah dan tiga anaknya, Faris Hussein, Lisa dan Fahad Hussein berlepas jam 12.15 tengah hari dari Kuala Lumpur ke majlis di Taman Seri Lambak yang dijadualkan bermula jam 1 tengah hari.

Bagaimanapun, kira-kira 30 minit kemudian, juruterbang helikopter berkenaan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Bangi, selepas ia gagal menembusi awan dan keadaan terlalu bahaya akibat cuaca buruk. Hishammuddin berkata, beliau sekeluarga tenang menghadapi pengalaman mencemaskan itu dan bersyukur tiada kejadian buruk berlaku. “Cuaca begitu buruk dan kami tidak boleh menembusi awan... tiada pilihan selain membuat pendaratan kecemasan di Bangi.

“Apa yang menyeronokkan, saya sekeluarga dapat bantuan daripada kereta peronda polis, saya dapat lihat sendiri dan merasai secara ‘first hand’ bagaimana bantuan diberikan daripada polis Bangi, Negeri Sembilan serta Johor dan bagaimana mereka berinteraksi bagi memastikan saya dan keluarga sampai ke majlis rumah terbuka ini...Alhamdulilah,” katanya.

Berikutan itu, Hishammuddin dan keluarga terpaksa menyambung perjalanan ke majlis dengan bantuan kereta peronda polis dan tiba lewat dua jam daripada jadual asal.

Hadirin yang dimaklumkan pengacara majlis mengenai situasi melanda Hishammuddin dan keluarganya berdoa memohon keselamatan pemimpin berkenaan yang kemudian tiba tepat jam 4 petang.

Singapura tertekan Malaysia mansuh ISA





2011/09/19

SINGAPURA: Singapura berada dalam tekanan untuk melonggarkan sekatan politiknya selepas negara jirannya, Malaysia mengumumkan langkah untuk memansuhkan undang-undang keselamatan ketat selain bersikap lebih media dan melonggarkan peraturan protes. 

Kumpulan hak asasi dan pembangkang berkata Singapura perlu mengikut peredaran masa dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan dan dilihat pengkritik sebagai alat menyekat kebebasan.
Dalam satu langkah mengejutkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan minggu lalu yang kerajaannya akan memansuhkan ISA dan melonggarkan undang-undang lain yang dianggap sebagai sekatan kebebasan awam termasuk peraturan protes dan lesen tahunan akhbar.
“Tindakan Najib dibuat selepas mengambil pandangan daripada kumpulan masyarakat di negaranya,” kata Pengarah Untuk Hubungan Asia Tenggara Kumpulan Kempen Hak Asasi Politik dan Masyarakat di Pusat Pemikir berpangkalan di Singapura, Sinapan Samydorai. 

“Jika Malaysia ke arah lebih terbuka, saya rasa mereka akan terus maju. Sudah tiba masanya Singapura bergerak ke depan,” katanya kepada AFP. 

Singapura bagaimanapun menegaskan bahawa ISA, yang sebelum ini digunakan untuk menentang sayap kiri dan militan yang disyaki sejak beberapa tahun masih relevan dan mempertahankan yang peraturan media diperlukan untuk mengekalkan keharmonian sosial. 

Tahanan ISA paling lama di republik itu adalah Chia Thye Poh, bekas wakil rakyat Parti Sosialis yang ditahan selama 23 tahun bermula 1966 hingga 1989, diikuti sembilan tahun tahanan rumah. 
Sehingga kini, semua pembantah disediakan tempat memberi ceramah di mana semua penceramah perlu berdaftar dengan pihak berkuasa terlebih dulu dan perlu mendapatkan permit daripada polis di Singapura. – AFP