Showing posts with label Abdul Hadi. Show all posts
Showing posts with label Abdul Hadi. Show all posts

Tuesday, May 24, 2011

Jangan jadikan isu bangsa sebagai ideologi: Abdul Hadi




KULAIJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan kepada seluruh kaum agar tidak menjadikan semangat ke‘bangsa’an sebagai ideologi untuk meraih sokongan dan kedudukan sehingga menzalimi kaum lain.

Beliau berkata, masyarakat majmuk yang berbilang kaum adalah kelebihan kepada negara ini untuk membina kekuatan dan khususnya dalam perkongsian ilmu pengetahuan.

“Tidak salah jika kita sayang bangsa masing-masing tetapi yang penting kita tidak boleh zalimi orang lain dan tidak berlaku adil.

“Islam sendiri membenarkan agama lain menjalankan kepercayaan masing-masing. Setiap agama ada hak masing-masing yang berlainan dan ada juga hak yang sama dengan agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi turun padang bersama Jawatankuasa Pas Kawasan Kulai dan DAP Parlimen Kulai untuk bertemu masyarakat setempat di pasar malam Taman Putri Kulai, di sini, kelmarin.

Abdul Hadi berkata, negara majmuk ini memerlukan dasar pentadbiran yang adil dan pemerintahan berkebajikan bagi memastikan hak dan kepentingan setiap rakyat terpelihara tanpa mengira perbezaan kaum.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru kepada seluruh rakyat Johor melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan tidak terus memilih kerajaan yang didakwa gagal memerintah.

“Hari ini kita alami banyak masalah misalnya isu kenaikan harga minyak dan kejadian jenayah yang tidak terkawal kerana kerajaan yang dipilih tidak dapat menjalankan pemerintahan dengan betul.

“Kita mahu rakyat pilih pemimpin yang boleh tunaikan tanggungjawab dan ini sudah terbukti oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir beberapa negeri dan tiada seorang pemimpin yang ditangkap kerana penyelewengan.

“Rakyat perlu berubah kerana kita tidak boleh buat perubahan yang besar jika rakyat sendiri tidak berubah,” katanya.
SH

Sunday, April 17, 2011

Abdul Hadi terima anugerah



MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima anugerah Tokoh Alim Rabbani dari Universiti Islam Yala, di Patani, Thailand, kelmarin.

Abdul Hadi Awang satu-satu tokoh ulama di luar Thailand dan rantau nusantara menerima anugerah Tokoh Alim Rabbani diperkenalkan Universiti Islam Yala (YIU). Gelaran tokoh itu sama taraf dengan ijazah kehormat diperkenalkan tujuh tahun lalu.

Sebelum ini anugerah serupa diberi kepada tokoh ulama yang banyak berjasa dalam bidang dakwah di empat wilayah selatan Thailand, terutama pengasas pusat pengajian pondok. Pernah menerima anugerah itu Syeikhul Islam Negara Thailand dari Bangkok.

Penyampaian tokoh tersebut diadakan sempena program Multaqa Muslimat yang dianjurkan universiti itu di kampus Pattani, kelmarin. Multaqa berkenaan berjaya menghimpunkan Muslimat dari seluruh Thailand berserta wakil Malaysia dan Indonesia.

Turut serta Exco kerajaan Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Muhammad Fadhli Hassan, Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Hubungan Antarabangsa Pas, Mohd Faiz Md Nawi.

Dekan Fakuliti Sastera dan Sains Kemasyarakat YIU, Profesor Madya Sukree Langputeh berkata, pemilihan tokoh tersebut bukan mudah untuk dilakukan pihak senat universiti berkenaan.

Katanya, tokoh yang diberi adalah pendakwah yang benar-benar menjadikan Islam sebagai amalan dalam kehidupan harian dan Abdul Hadi tokoh Islam disegani di Asia Tenggara yang menjadikan rutin hariannya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

“Selain itu beliau juga mengarang banyak menghasilkan buku mengenai agama yang menjadi rujukan umat Islam,” katanya ketika membaca biodata Presiden Pas sebelum upacara memakaikan mislah (jubah) Tokoh Alim Rabbani pada majlis yang diadakan di universiti itu.

Pemakaian mislah dilakukan Rektor YIU, Dr Ismaillutfi yang turut disaksikan Timbalan Presiden Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand, Harapabara, Gabenor Pattani, Nipon Narapitakkul dan peserta.