Thursday, January 12, 2012

Nik Aziz: Usah campur urusan Pas


SUHAIZA ABU BAKAR
January 12, 2012
Nik Aziz

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan Barisan Nasional khususnya Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Md Alwi Che Ahmad agar tidak mencampuri urusan parti itu.
Menurutnya, Alwi tidak berhak membuat desakan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dipecat atas alasan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno kerana Islam jelas membenarkan sebarang pertemuan di buat demi kepentingan agama.
“Dia orang Umno, Pas parti lain. Tidak usah campur hal orang lain. Sebab kalau kita campur hal orang nanti orang akan turut campur hal kita.
“Jumpa dengan sesiapa sekalipun Islam sentiasa memberi peluang. Lebih-lebih lagi dengan orang bukan Islam, apatah lagi orang Pas jumpa Umno. Dengan cara ini kita beri peluang kepada orang itu mengenali Islam,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri itu supaya Majlis Syura Pas yang diketuai Nik Aziz turut memecat Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana membelakangi parti itu seperti yang dilakukan terhadap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.
Md Alwi dilaporkan berkata, Abdul Hadi datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri untuk membincangkan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

Bagaimanapun, beliau mendakwa, rancangan itu tidak menjadi kenyataan kerana ditentang Nik Abdul Aziz dan beberapa pemimpin lain dalam Pas.Nik Aziz: Usah campur urusan Pas - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Isu NFC: Shahrizat ambil cuti 3 minggu


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 12, 2012
Shahrizat Abdul Jalil

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil telah memohon cuti tiga minggu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada beliau terlibat dalam sebarang keputusan kerajaan berkenaan projek ternakan lembu NFC.

Cuti rehat selama tiga minggu daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bermula esok.

Shahrizat juga merupakan Ketua Wanita Umno.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shahrizat berkata, beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya berharap pihak SPRM akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai National Feedlot Corporation (NFC) di mana suami saya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif," katanya dipetik laporan Bernama.

Shahrizat berdepan isu NFC, yang diterajui Dr Mohamad Salleh, apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Isu itu semakin panas berikutan dakwaan pembangkang kononnya wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Ia kemudian dibangkitkan oleh PKR menerusi pendedahan secara bersiri.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.Isu NFC: Shahrizat ambil cuti 3 minggu - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Najib sahkan skim gaji baru ditangguh


G MANIMARAN, NURUL NADIA DAN ARHIZA AHMAD
January 12, 2012
NAJIB

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim itu, yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan memetik sumber-sumber berkata, Kabinet dalam mesyuarat mingguan semalam telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA atas beberapa sebab, antaranya kerana rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.

Katanya, semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Ketika dihubungi awal hari ini, pimpinan Cuepacs juga mengesahkan pelaksanaan SBPA akan ditangguhkan sementara perundingan diadakan dengan mereka.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata Presidennya Datuk Omar Osman turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengenai penangguhan SBPA.

"Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini," kata beliau kepada Sinar Harian Online tengah hari tadi.

Sementara SBPA disemak semula, dalam kenyataannya Najib berkata, semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.
Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.

Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.Najib sahkan skim gaji baru ditangguh - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pengarah Jawi nafi Jamil Khir guna wang zakat


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 12, 2012

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali hari ini sekali lagi menegaskan dakwaan penggunaan wang zakat bagi pembayaran kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain adalah tidak benar.

Sambil menegaskan pembayaran tersebut dibuat dengan menggunakan peruntukan geran kerajaan, Che Mat yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), berkata dakwaan seperti itu timbul mungkin disebabkan semua peruntukan atau dana daripada kerajaan dan wang zakat dimasukkan ke dalam akaun yang sama.

"Sumbangan atau dana daripada kerajaan memang kita masukkan di dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat, cuma dimasukkan sementara tetapi akaun banknya adalah sama.

"Kalau kita nak ambil duit itu (dana kerajaan) bagi digunakan untuk pembayaran kos guaman pun boleh, tak ambil pun boleh dan jika nak ambil duit zakat pun tidak mengapa, asalkan untuk memartabat kredibiliti dan kehormatan MAIWP dalam menguruskan hal ehwal dan warga Islam di Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita selapas majlis pengumuman prestasi kutipan zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Jamil Khir dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata geran kerajaan sebanyak RM700,000 yang diterima MAIWP tahun lepas bagi tujuan pembayaran untuk kes tertentu seperti mempertahankan kredibiliti pengurusan hal ehwal undang-undang yang bersabit dengan MAIWP apabila majlis itu disaman dan sebagainya memang dimasukkan ke dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat dan pengeluaran untuk pembayaran kos guaman untuk situasi seperti didakwa adalah dibolehkan.

Che Mat berkata penggunaan wang zakat untuk kos guaman dalam kes yang berkaitan adalah mengikut hukum syarak dan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) dalam mesyuarat yang diadakan pada 3 Sept 2009 yang meluluskan sebanyak RM205,000 bagi perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah.

"Maknanya kalau kita nak bayar kos tu guna duit kerajaan pun boleh, nak ambil duit zakat pun boleh, sebab fisabilillah untuk mempertahankan maruah institusi agama di Wilayah Persekutuan, maka boleh kita gunakan duit zakat.

"Tetapi hari ini saya nak jelaskan kita bayar duit guaman itu guna dana kerajaan, kita tak ambil duit zakat walaupun kita boleh juga ambil duit zakat seperti yang dijelaskan Mufti Wilayah Persekutuan semalam," katanya.

Mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad yang menolak penafian Jamil Khir berhubung perkara itu dan akan membuat laporan polis kerana menyeleweng wang zakat, Che Mat berkata terpulang kepada mereka.

"Saya tak ada nak komen, itu ikut dia la, kita ada bukti dan dokumen tapi semua itu (laporan polis) terpulang pada dia," katanya.

Sementara itu Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata jumlah kutipan zakat PPZ-MAIWP pada 2011 adalah sebanyak RM341,330,169.85 meningkat 24 peratus berbanding RM275,635,424.93 tahun sebelumnya.

Katanya peningkatan itu turut dibantu dengan pertambahan bilangan pembayar zakat sebanyak 13 peratus kepada 100,497 pembayar berbanding 89,110 pada 2010.

Beliau berkata bilangan pembayar zakat perniagaan turut meningkat daripada 1,427 pembayar zakat pada tahun 2010 kepada 1,571 pembayar pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 10 peratus membawa kepada kutipan keseluruhan zakat perniagaan berjumlah RM54,879,599.26, meningkat 63 peratus daripada RM33,622,330.60 tahun sebelumnya.

Mustafa berkata bayaran zakat menerusi Portal PPZ-MAIWP yang dilancarkan pada 4 Ogos 2011 juga positif iaitu sehingga akhir Disember lepas mengutip sebanyak RM1,144,523.04 dengan bilangan pembayar seramai 1,074 orang.

Katanya untuk tahun ini, PPZ menyasarkan untuk mengutip RM360 juta dengan 108,500 pembayar. Pengarah Jawi nafi Jamil Khir guna wang zakat - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wang zakat: Pemimpin PKR buat laporan polis


ZULAIKHA ZULKIFLI
January 12, 2012
Wang zakat: Pemimpin PKR buat laporan polis

KUALA LUMPUR - Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi hari ini.

Nik Nazmi berkata, laporan polis itu dibuat agar Jamil berserta Che Mat dan Shamsuddin disiasat di bawah Akta 613 Seksyen 409, Seksyen 415 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan masing-masing berkenaan dengan pecah amanah jenayah oleh perkhidmatan awam atau ejen, menipu dan pecah amanah.

"Laporan polis telah dibuat dan bukti akan kami berikan kepada pegawai penyiasat esok," katanya pada sidang media hari ini.

Laporan polis itu turut di buat oleh Jingga 13.Sebelum ini, Nik Nazmi mendakwa Jamil, Che Mat dan Shamsuddin menggunakan wang zakat MAIWP untuk tujuan kos guaman dan tindakan itu menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam.

Bagaimanapun, dakwaan itu telah dinafikan oleh Jamil Khir dan Che Mat.

Che Mat berkata, bayaran kos guaman bagi kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada peruntukan kerajaan yang disalurkan kepada badan itu setiap tahun dan pendapatan MAIWP melalui sumber am seperti sewaan, dividen, aset dan lain-lain perolehan.

Bagaimanapun, Jamil pula menegaskan, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Umum PKR itu bukan wang zakat MAIWP, tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan beri bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," katanya.

Justeru Nik Nazmi berkata, percanggahan jawapan antara Che Mat dan Jamil menimbulkan kekeliruan dan beliau mendesak agar Jamil tampil membuat pengakuan.

"Sekarang ini kita nak Jamil mengaku benar atau tidak dia gunakan duit itu. Jika ya, kenapa selama ini dia nafi? Orang lain sudah sahkan, dari laporan audit, kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kenapa takut sangat untuk mengaku? Perkara ini bukan main - main dan kita pandang serius kerana melibatkan ia melibatkan wang zakat," katanya.Wang zakat: Pemimpin PKR buat laporan polis - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ilham Centre: Hasan Ali tak akan diam diri


G MANIMARAN
January 11, 2012
Hassan Ali

SHAH ALAM - Pas yang memecat Datuk Dr Hasan Ali, Ahad lalu dipercayai bimbang kemungkinan bekas Pesuruhjaya Negeri Selangor akan mendedahkan rahsia-rahsia parti termasuk desas-desus bahawa wujud perundingan membentuk kerajaan perpaduan tiga tahun lalu, kata penasihat pusat kajian Ilham Centre.

Muhamad Hisomudin Bakar berkata, tindakan Pas memecat Hasan sebenarnya tidak akan membawa kepada perpecahan atau kesan yang mendalam, sebaliknya pemimpin-pemimpinnya bimbang mereka akan berhadapan dengan senario yang dialami oleh PKR sebelum ini.

PKR, rakan Pas dalam Pakatan Rakyat, berhadapan dengan siri pendedahan mengenai persekitaran dalaman parti itu dan juga berkaitan dengan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sekumpulan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri keluar parti dan menjadi wakil rakyat mesra Umno dan Barisan Nasional.

"Pas bimbang kalau-kalau isu atau rahsia parti didedahkan kepada media kelak," kata beliau sambil menambah, Hasan sudah tentu tidak akan berdiam diri."

"Saya pasti Hasan Ali akan bergerak selepas ini... ini yang akan menjadi kebimbangan pemimpin Pas, dari segi perpecahan, saya tidak melihat akan membawa kesan besar," kata beliau yang sebelum ini meruparakan Pengarah Eksekutif Ilham Centre.

Hasan mempunyai tempoh 30 hari untuk membuat rayuan kepada parti.

Surat pemecatan dikeluarkan tengah hari kelmarin.Isu kerajaan perpaduan melibatkan Umno dan Pas menjadi fokus arena politik tempatan sejurus selepas pilihan raya umum 2008.

Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, disenaraikan sebagai antara pemimpin yang bergerak ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan.

Perak dan Selangor, yang jatuh ke tangan pembangkang pada Mac 2008, merupakan antara negeri yang disebut-sebut menjadi sasaran usaha pembentukan kerajaan perpaduan.

Akhir bulan lalu, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Hasan dengan Umno yang merujuk kepada satu pertemuan dengan individu-individu terbabit di sebuah hotel di ibu negara bulan Ramadan lalu.

Hasan menafikan mengenai dakwaan Mustafa mengenai pertemuan beliau bersama tiga individu yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Hasan berkata: “Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai pertemuan saya dengan mereka sama ada pimpinan Umno di peringkat bawahan, pertengahan atau atasan pada masa dan tempat yang dinyatakan.

"Hasan bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tiga individu yang temuinya.Hasan berkata, Mustafa sekali lagi terperangkap dengan prasangka buruk dan fitnah sesama Muslim.

Menurut beliau, Mustafa sebagai Setiausaha Agung kepada sebuah parti yang berteraskan Islam, tuduhan-tuduhan liar dan serkap jarang seperti itu tidak selayaknya keluar dari mulut seorang yang berwibawa.

“Setahu saya yang ada ialah pertemuan yang sebahagiannya berulang kali antara setiausaha agung dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno.

“Bahkan terdapat permohonan daripada setiausaha agung sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin Umno yang sehingga kini setakat yang saya maklum belum dapat diadakan,” katanya lagi.

Walaupun wujud idea berkenaan kerajaan perpaduan, tiga muktamar tahunan iaitu 2008, 2009 dan 2010 telah mengambil pendirian menolak, sebaliknya menegaskan, akan bersama dengan Pakatan Rakyat, yang diwujudkan selepas pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut, Muhamad Hisomudin berkata, berdasarkan komen pemimpin-pemimpin Pas sepanjang sebulan lalu, seolah-olah wujud perbezaan pandangan khususnya membabitkan Pemuda Pas.

"Tetapi ia tidak membawa kesan besar, malah ia juga menunjukkan (kesan) kewujudan barisan kepimpinan profesional dan ulama susulan pemilihan (Jun lalu)," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, sebahagian besar ahli Pas tidak dapat menerima apabila Hasan membuat reaksi penafian berkenaan kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, susulan pertemuan dengan dua pemimpin kanan parti di Kota Bharu akhir bulan lalu.

"Apabila Tok Guru Nik Aziz berkata Datuk Hasan meminta maaf dalam pertemuan 28 Disember lalu, tetapi Datuk Hasan menafikan, saya rasa ramai ahli Pas tidak dapat menerimanya, jadi apabila beliau dipecat, ramai dapat menerima keputusan parti," kata beliau. Ilham Centre: Hasan Ali tak akan diam diri - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

PKR mahu kerajaan bekukan aset NFC


RUZYA ADILA IDRIS
January 12, 2012

KUALA LUMPUR – Pengurusan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dipercayai telah memanggil satu mesyuarat lembaga pengarah syarikat itu dan Mesyuarat Agung Luar biasa (EGM), dijadual akan berlangsung esok, untuk memutuskan beberapa perkara penting.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat and Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh ahli keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil oleh NFC.

"Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil dua mesyuarat ini dalam tempoh singkat berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan," katanya lagi.

“Keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urus niaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat seperti mana didedahkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini tadi.

Sehubungan itu, Rafizi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan supaya tidak lagi berdiam diri dan segera campur tangan dengan membekukan sebarang aktiviti oleh semua syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta.

Katanya, Kementerian Kewangan cuba mencuci tangan dengan langsung tidak menerima tanggungjawab walaupun beliau sendiri yang menganugerahkan projek ini kepada NFC.

"Malah kecuaian beliau boleh menyebabkan baki dana harta yang dibeli dengan dana rakyat lesap melalui pelbagai urus niaga yang dibuat selepas skandal ini didedahkan.

"Oleh kerana ada cubaan di pihak NFC untuk menjalankan urus niaga yang mencurigakan, saya cadangkan kerajaan Malaysia melalui wakil-wakilnya dalam lembaga pengarah NFC melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih pentadbiran NFC sementara siasatan selesai," katanya.

Beliau menambah, tindakan ini bertepatan dengan amalam tatakelola yang baik seperti yang biasa diamalkan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku.

Isu itu meletus selepas PKR mendakwa syarikat tersebut menggunakan dana NFC untuk membeli seunit kondominium mewah selepas masalah membabitkan projek ternakan lembu itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara.PKR mahu kerajaan bekukan aset NFC - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Fitnah: Aziz Bari saman Zulkifli, Utusan



January 12, 2012

KUALA LUMPUR - Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berhubung dakwaan menerbitkan kata-kata fitnah.
Dalam saman itu Abdul Aziz menamakan Zulkifili, yang juga seorang peguambela dan peguamcara, Ketua Pengarang kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan juga akhbar Mingguan Malaysia Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu sebagai defendan.
Beliau memfailkan saman itu melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates pada 22 Dis tahun lepas. Media memperoleh salinan pernyataan tuntutan itu hari ini.
Peguam Azhana Mohd Khairudin, yang mewakili Abdul Aziz, memberitahu pemberita bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norhatini Abdul Hamid menetapkan 10 Feb ini untuk pengurusan kes itu semasa menemui pihak-pihak yang terlibat dalam kamarnya ketika kes itu disebut di hadapannya.
Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Aziz mendakwa Zulkifli pada 17 Okt tahun lepas telah mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya yang kemudiannya diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia sehari selepas itu dalam satu artikel bertajuk "Zulkifli Noordin sahut cabaran Aziz Bari".
Abdul Aziz mendakwa kata-kata fitnah itu adalah secara langsung merujuk kepadanya kerana nama dan jawatannya telah disebut secara spesifik dalam artikel itu.
Beliau berkata kata-kata fitnah itu di dalam makna asal dan biasa bermaksud beliau antara lain adalah seorang individu dan professor undang-undang yang kurang ajar dan biadab serta tidak layak menjadi pensyarah undang-undang.
Abdul Aziz menuntut ganti rugi am, teladan, melampau, kos dan satu perintah supaya defendan-defendan meminta maaf dan menarik balik tuduhan fitnah itu.Fitnah: Aziz Bari saman Zulkifli, Utusan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pas maklum MB keputusan pecat Hasan Ali


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 12, 2012

KUALA LUMPUR - Pas telah menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi memaklumkan bahawa Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali telah dipecat sebagai ahli Pas.

Laporan Harakahdaily menyebut, pemakluman dibuat melalui satu surat yang dihantar kepada pejabat Menteri Besar Selangor petang semalam.

"Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali itu disampaikan melalui faksimili," kata laporan itu lagi.

Hasan Ali telah dipecat sebagai ahli Pas melalui satu mesyuarat Jawatan Kuasa PAS Pusat pada 8 Januari lepas.

Hasan ada tempoh 30 hari untuk membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama Pas.Pas maklum MB keputusan pecat Hasan Ali - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Isu zakat: Pemuda Pas mahu Jamil, Che Mat undur


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 12, 2012

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali meletakkan jawatan memikul tanggungjawab dalam isu penggunaan wang zakat untuk membayar yuran guaman.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, kedua-dua mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa.

"Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan.

"Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil," kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu perbuatan tercela, justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan.

Kata beliau lagi, timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.

"Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat, justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya.

"Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti," kata Nasrudin lagi.

Tambah Nasrudin, berlaku penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua-dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Che Mat.

"Kelihatan YB Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang.

"Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesahihan dakwaan tersebut," katanya lagi.

Selain itu kata beliau, lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan menteri yang bertanggungjawab ke atas isu-isu agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah umat Islam.

"Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari aqal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri," kata beliau merujuk kepada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan semalam.Isu zakat: Pemuda Pas mahu Jamil, Che Mat undur - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hasan tidak hadir

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali tidak menghadiri mesyuarat mingguan Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam.

Difahamkan, Dr Hasan yang dipecat keahliannya oleh Pas pada Ahad lalu bercuti, tetapi tidak diketahui sehingga bila.


Wartawan yang menunggu Menteri Besar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco juga gagal mendapat komen Abdul Khalid mengenai jawatan portfolio yang dipegang Dr Hasan itu apabila Abdul Khalid tidak hadir pada sidang akhbar seperti kebiasaan kerana dikatakan mempunyai urusan rasmi.

Beberapa barisan Exco kerajaan Selangor yang ditemui pula hanya memberikan komen ringkas dan enggan mengulas lanjut berhubung siapa bakal mengganti Dr Hasan sekiranya jawatan itu dikosongkan secara rasmi kelak. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar A Samad berkata, nama yang bakal dicalonkan untuk menggantikan Dr Hasan hanya akan diputuskan Menteri Besar dalam masa terdekat selepas berbincang dengan kepemimpinan Pas pusat. Katanya, kerajaan negeri juga perlu menunggu senarai nama daripada pucuk pimpinan Pas Pusat bagi mengelak sebarang spekulasi berkenaan calon yang digembar-gembur untuk menggantikan tempat Dr Hasan.


“Saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan mengenai siapa yang bakal menggantikan Dr Hasan kerana ia seolah-olah akan membelakangi Menteri Besar dan kepemimpinan Pas Pusat.


“Jadi lebih baik jika Menteri Besar yang mengumumkan nama yang akan menggantikan Dr Hasan bagi mengelak sebarang salah faham dan menimbulkan kekeliruan orang ramai,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Selangor, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu yang menggantikan Abdul Khalid dalam sidang media terbabit mengesahkan Dr Hasan tidak hadir mesyuarat Exco itu.


“Dr Hasan sedang bercuti dan tempoh dia bercuti tidak diketahui. Dalam mesyuarat Exco hari ini tidak membincangkan isu penggantian Dr Hasan lagi. Kita tunggu Menteri Besar beri penjelasan,” katanya.

Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Abdul Rani Osman ketika dihubungi pula berkata, Pas negeri akan menunggu hasil pertemuan Abdul Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dijadualkan esok sebelum mengadakan mesyuarat untuk membincangkan pengganti Dr Hasan.


“Pas belum ada calon dan kita tunggu arahan selanjutnya daripada Pas pusat. Saya pun diberitahu oleh Menteri Besar semalam (kelmarin) untuk hanya menyediakan nama selepas beliau menghadap Sultan,” katanya.


Selepas dipecat Pas pada Ahad lalu, Dr Hasan ketika ditanya mengenai kedudukannya dalam kerajaan Selangor, berkata beliau akan menjalankan tugas seperti biasa kerana pelantikannya sebagai Exco bergantung kepada Abdul Khalid dan mendapat perkenan Sultan Selangor.


Dr Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas negeri turut dilaporkan berkata, walaupun Abdul Khalid mahu menggugurkannya, Menteri Besar perlu mendapat perkenan tuanku terlebih dulu sebelum berbuat demikian.

myMetro | Hasan tidak hadir:

'via Blog this'