Sunday, May 18, 2014

Dah terburai? Saifuddin Nasution dedah rahsia Anwar........

Ahad, 18 Mei, 2014.



Datuk Saifuddin Nasution Ismail

Saya ingin memberi reaksi serangan terbaru Dr Mahathir ke atas Anwar Ibrahim seperti dilapor Bernama bertarikh 14 Mei 2014. Saya kira Dr Mahathir melatah lagi.

Kali ini beliau menyerang Anwar Ibrahim kerana dijemput menyampaikan syarahan di Universiti Al-Azhar, Jakarta Indonesia. Bahkan penganjur yang menjemput Anwar juga diserang Dr Mahathir. Kata Dr Mahathir, Anwar tidak layak menyampaikan syarahan tentang Islam kerana moralnya rendah!

Terserlah ketakutan Mahathir
Izinkan saya menceritakan kepada Dr Mahathir yang mudah lupa, lama sebelum Anwar berkawan dengan Dr Mahathir, Anwar sudah pun mengenali dan berguru dengan Dr Yusof Qardawi, Dr Ismail Faruqi, Dr Sheikh Taha Jabir Al-Awani, Pak Natsir, Pak Hamka, Sheikh Hassan Turabi, Dr Rashid Ghanousi, Sheik Mehdi Aqif dan ramai lagi.

Anwar terlibat dengan gerakan Islam sejak zaman sekolah, mahasiswa, belia dan tidak pernah bersara hingga hari ini.

Tokoh-tokoh ilmuan dan gerakan Islam seantero dunia seperti Dr Yusof Qardawi, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Abu Hamid Sulaiman, Dr Ahmad Totonji, Dr Tariq Suwaidan dan Dr Tariq Ramadan sentiasa mengunjungi Anwar setiap kali mereka berkesempatan datang ke Malaysia berbincang isu-isu umat sejagat.

Biarlah saya mengingatkan Dr Mahathir walau bersungguh-sungguh beliau berusaha untuk membunuh karakter Anwar dengan fitnah liwat selama lebih 15 tahun, fitnah jijik itu tidak mampu menjauhkan tokoh-tokoh ilmuan Islam daripada Anwar.

Kalau Dr Mahathir ingin tahu apa sebabnya, jawapannya cukup terang. Islam melarang dan mengharamkan seorang muslim memfitnah saudara muslimnya yang lain dengan fitnah zina atau liwat. Dr Mahathir lah yang mereka fitnah liwat terhadap Anwar.

Namun Dr Mahathir tidak pernah berupaya menampilkan empat saksi sepertimana yang Al-Quran wajibkan. Rakan-rakan Anwar dari kalangan tokoh-tokoh Ilmuan Islam ini terus mendokong Anwar kerana kayu ukur mereka ialah Al Quran. Keyakinan mereka ialah Anwar menjadi mangsa fitnah jahat Dr Mahathir.

Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri memperalatkan seluruh jentera pemerintah termasuk media, polis, peguam negara dan mahkamah untuk melengkapkan fitnahnya terhadap Anwar.

Dipenjarakan tujuh tahun, bebas dan Anwar terus berjuang. Apakah Dr Mahathir berhasil “membunuh” Anwar? Tidak sama sekali! Kalau dahulu ketika masih berkuasa Dr Mahathir boleh sahaja menyekat dan memenjarakan Anwar. Hari ini pun kerajaan Umno/BN boleh terus menyekat Anwar menyampaikan syarahan di universiti-universiti awam dan swasta di negara kita. Kerajaan Umno/BN malah boleh mengugut mahasiswa-mahasiswa Malaysia di luar negara agar jangan mengikuti syarahan Anwar.

Namun Dr Mahathir dan kerajaan Umno/BN tidak boleh menyekat universiti-universiti terkemuka di rantau Asean, di Eropah, di Amerika Syarikat dan di Timur Tengah dari terus mengundang Anwar.

Anwar sering dijemput mengupas pelbagai tajuk menyentuh persoalan umat Islam dan dunia seluruhnya. Saya pernah bepergian bersama Anwar ketika beliau diundang menyampaikan syarahan di Mesir, Turki, Singapura, Indonesia dan banyak negara-negara lain. Siapa yang hadir mengikuti syarahan Anwar? Untuk makluman Dr Mahathir, mereka ialah menteri-menteri, tokoh-tokoh pemikir dan sarjana Islam, golongan korporat, pimpinan media, professor universiti, tokoh-tokoh ekonomi dan teknokrat.

Di Tunisia misalnya Dr Rashid Ghanousi menjemput Anwar menyampaikan pandangannya kepada seluruh ahli-ahli parlimen dan anggota jemaah menteri Tunisia. Di Turki, Perdana Menteri Tayyib Erdogan menjemput Anwar berucap di Istana Presiden mengupas topik Islam dan kebangkitan dunia Arab.

Satu ketika di Mesir seingat saya tahun 2010, Anwar dijemput menyampaikan ucaputama persidangan antarabangsa Islam dan Demokrasi. Di Singapura, bertempat di World Trade Center, ucapan Anwar pula ditujukan kepada tokoh-tokoh media dunia.

Di Indonesia pengaruh Anwar bukan kepalang. Seorang teman saya asal Bogor pernah bergurau, katanya tokoh-tokoh Indonesia saling berselisih dan berbeda pendapat antara satu sama lain, namun mereka boleh sahaja bersatu kalau mengkagumi Anwar. Pesantren, Universiti, Badan-badan pemikir dan intelektual Indonesia sering mengundang Anwar menyampaikan pidatonya.

Anwar boleh berbicara karangan Shakespeare, Confucius, Mohamad Iqbal, Rabindranth Tagore, Jose Rizal atau mendeklamasi puisi Rendra. Pada masa yang sama Anwar giat mempelopori Maqasid Syariah dan membentang kertas seminar Islam dan demokrasi di serata dunia.

Tidaklah menghairankan sebaik keluar dari penjara Anwar dilantik sebagai fellow di Universiti Oxford dan menjadi professor di Universiti New Hopkins Amerika Syarikat. Anwar juga dilantik penasihat ekonomi Qatar dan beberapa institusi perbankan di negara arab.

Elok juga saya mengingatkan Dr Mahathir bahawa Anwar yang cuba dibunuh karakternya oleh Dr Mahathir cuma manusia biasa. Hormat orang kepadanya bersebab.

Fitnah Dr Mahathir hanya “berhasil” di dalam kalangan Umno. Itupun bukan semua. Ramai kenalan saya di dalam Umno yang kini menduduki jawatan-jawatan utama dalam parti dan kerajaan mengakui hakikat ini.

Cuma yang tiada pada mereka ialah keberanian untuk berkata benar di hadapan pemimpin pencipta fitnah.
Bagaimana sebenarnya Dr Mahathir mahu diingati? Berkuasa selama dua puluh tiga tahun legasi yang ditinggalkannya ialah merosakkan institusi kehakiman, menekan kebebasan media, menyuburkan budaya rasuah, memunggah kekayaan negara menjadi kekayaan peribadi, memusuhi institusi raja-raja Melayu dan berkekalan memusuhi ulama.

Ketika Anwar masih terus dengan tradisi ilmu dan rapat dengan Dr Yusof Qardawi, Dr Tariq Suwaidan, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Mahathir pula rapat dengan Ananda Krishna, Francis Yeoh dan Syed Mokhtar Bukhary.

Ketika anak-anak Anwar membesar dan membina kerjaya yang cukup sederhana, Dr Mahathir pula cemerlang membantu anak-anaknya mencipta nama tergolong kelompok mahakaya di Malaysia! Ketika Anwar terus berjuang membela rakyat, menolak politik perkauman, mengajak rakyat mencari titik persaudaraan, menuntut kekayaan negara diagih secara adil, Dr Mahathir pula kekal dengan gaya politik lama, usang, tidak pernah puas menimbun kekayaan dan penuh dendam kesumat.

Saksikanlah pada usia lebih 80an tahun Dr Mahathir terus menyerang Anwar tanpa henti. Tidak pernah ada tanda-tanda beliau sedar dan insaf perbuatan fitnahnya terhadap Anwar.

Pesanan buat Dr Mahathir, sesungguhnya Allah SWT menyayangi hamba-hambanya yang sentiasa bertaubat dan membersihkan diri. Sebaliknya Allah juga bencikan orang yang tidak mahu bertaubat dan paling dibenciNya ialah orang tua yang tidak mahu bertaubat. Doa saya agar Dr Mahathir tidak tergolong dalam kalangan jenis itu dan dibuka pintu hatinya. Amin ya Rabb.

Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung KEADILAN.

Kerengga.

Buku dakwa MH370 boleh dikesan



SEBUAH kapal Australia yang digunakan untuk mencari MH370, Ocean Shield berlabuh di pangkalan tentera laut Sterling di selatan Perth pada 10 Mei lalu. - REUTERS


LONDON - Penerbangan Malaysia MH370 berkemungkinan besar boleh ditemui jika pihak pengurusan membayar cuma £6 (RM32) untuk menaik taraf perisian pengesanan pesawatnya, menurut satu buku baharu seperti yang dilaporkan akhbar Daily Mail kelmarin.
Pencarian pesawat jenis Boeing 777-200ER yang hilang itu merupakan usaha paling meluas dan mahal dalam sejarah penerbangan dunia.
Pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa 239 orang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac lalu apabila ia hilang.
Operasi mencari sehingga kini tertumpu di Lautan Hindi, barat Perth tetapi gagal menemui bangkai pesawat tersebut.
Namun, menurut buku baharu berjudul Flight MH370: The Mystery, pesawat itu boleh dikesan jika syarikat Malaysia berkenaan membayar kos naik taraf £6 untuk setiap penerbangan.
Buku tulisan penulis Amerika Syarikat, Nigel Cawthorne itu menyatakan, MH370 memiliki pakej data yang hanya menghantar maklumat penerbangan paling asas. Justeru, pihak berkuasa tidak dapat menggunakan sistem pengesanan global (GPS) untuk menentukan lokasinya.
"Beserta beberapa syarikat penerbangan lain, MAS memilih pakej data murah untuk pesawatnya yang hanya menghantar maklumat minimum berbanding membayar sedikit caj tambahan untuk mendapatkan data penerbangan lebih terperinci," menurut penerbitan tersebut.
Penerbitan baharu itu yang membincangkan semua teori kehilangan MH370 turut mendedahkan tentang satu kenyataan berhubung naik taraf perisian penerbangan itu yang diperoleh akhbar Daily Telegraph.
"Untuk bayaran tersebut, anda boleh mengetahui di mana pesawat tersebut berada dalam masa setengah jam," kata satu sumber kepada Daily Telegraph.
Dalam pada itu, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar sistem pengesanan pesawat dilakukan secara masa sebenar selain sistem komunikasi dalam penerbangan ditingkatkan bagi mengelakkan tragedi MH370 daripada berulang. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz320rjm8wO 
Hakcipta terpelihara 

Narendra Modi digesa tidak abai penduduk Islam


MODI disambut ratusan penyokongnya sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi semalam selepas kemenangan parti pimpinannya dalam pilihan raya umum. - AFP
NEW DELHI 17 Mei - Perdana Menteri India yang baru dilantik, Narendra Modi digesa supaya mendekati masyarakat Islam dan mengelak membuat kenyataan melampau tentang sesuatu etnik minoriti ekoran kemenangan besar Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya dalam pilihan raya negara ini, semalam.
Menurut akhbar utama negara ini, Modi perlu menghilangkan ketakutan di kalangan etnik minoriti yang tidak mengundi beliau terutamanya masyarakat Islam ekoran kematian kira-kira 1,000 orang dalam rusuhan kaum pada 2002, tidak lama selepas beliau dilantik sebagai ketua menteri negeri Gujarat.
“Realitinya terdapat defisit besar kepercayaan oleh kumpulan minoriti terutamanya komuniti Islam, yang harus beliau tangani. Beliau (Modi) masih dianggap sebagai tokoh polarisasi yang tidak mendekati kumpulan-kumpulan minoriti.
“Dalam usaha merapatkan jurang kredibiliti untuk mentadbir semua kaum di India, Modi perlu memastikan bahawa semua penduduk mempunyai hak sama rata di sisi undang-undang," tambahnya.
Menurut ruangan editorial The Indian Express, perkara pertama yang paling penting yang perlu dilakukan kerajaan Modi adalah menghampiri mereka yang tidak mengundi dirinya terutamanya komuniti Islam.
“Keganasan di Gujarat pada 2002 selain keengganan Modi menjawab persoalan tanggungjawab politik dan moralnya, pentadbiran beliau dilihat akan melahirkan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat minoriti di India," katanya.
Times of India pula melaporkan, Parlimen baharu India pula hanya akan mempunyai 24 ahli Parlimen beragama Islam, jumlah paling rendah sejak 1952. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140518/lu_05/Narendra-Modi-digesa-tidak-abai-penduduk-Islam#ixzz320ocE8Wa
© Utusan Melayu (M) Bhd