Tuesday, June 21, 2011

Khir Sokong Permohonan Syarikat Shamsuddin

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dikatakan telah memberi sokongan kepada permohonan yang dibuat oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhubung satu projek pembangunan.

Bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim, 62, berkata, sokongan itu diberikan kepada Roniaga Sdn Bhd - turut dimiliki oleh Shamsuddin - yang memohon untuk bekerjasama dengan PKNS bagi memajukan tanah di Seksyen 3 Tambahan, Bandar Baru Bangi, dekat sini, yang berkonsepkan bandar universiti.

Saksi pendakwaan ke-11 itu seterusnya mengecamkan satu tulisan tangan bertulis 'permohonan disokong dan harap tiada halangan' pada surat permohonan Roniaga bertarikh 30 Oktober 2000, sebagai tulisan Mohamad Khir.

Turut dicamkan ialah tandatangan yang terdapat di bawah tulisan tangan itu sebagai milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sungai Panjang tersebut.

"Itu tandatangan MB, saya cam. Saya agak biasa lihat," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud.

Pada keterangan lain, Harun juga memberitahu Mohamad Khir turut memberikan sokongan kepada permohonan lanjutan masa yang dimohon oleh Roniaga apabila tidak dapat menyiapkan projek pembangunan tersebut mengikut masa yang ditetapkan.

Saksi menambah, pada surat itu terdapat tulisan tangan yang menyatakan 'syarikat ini adalah syarikat bumiputera dan mempunyai rekod baik serta tidak mendatangkan masalah'.

"Surat permohonan lanjutan masa bertarikh 15 Mei 2006, sedangkan projek sepatutnya disiapkan pada 8 Mei 2006.

"Roniaga mohon diberikan lanjutan tempoh sehingga tiga tahun, iaitu sehingga 31 Disember 2009.

"Permohonan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Penswastaan PKNS dan diluluskan untuk dilanjutkan selama dua tahun, iaitu sehingga 2008," katanya.

Jawatankuasa Penswastaan PKNS dipengerusikan oleh Mohamad Khir.

Pada perbicaraan yang masuk hari ketujuh hari ini, Harun juga memberitahu, bahawa Roniaga ada menghantar surat agar PKNS mempertimbangkan semula syarat berhubung bon pelaksanaan.

Saksi menambah, jawatankuasa kemudiannya bersetuju agar bon pelaksaan digantikan dengan 'director shareholders guarantee' yang ditandatangani antara PKNS dan Roniaga.

Sementara itu, menjawab soalan peguam M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir, saksi bersetuju bahawa Mohamad Khir tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam perjanjian antara PKNS dan Roniaga.

Athimulan: Kelulusan oleh Jawatankuasa Penswastaan kepada Roniaga adalah berdasarkan perkara-perkara yang akan membawa keuntungan kepada PKNS mengikut syarat kepada syarikat-syarikat lain?

Harun: Ya.

Athimulan: Tidak ada kelonggaran diberikan pada mana-mana syarikat?

Harun: Tidak boleh, ia salah dan tidak pernah.

Athimulan: Tidak ada dasar pilih kasih? Jika syarikat tidak layak, ia tidak akan diluluskan?

Harun: Ya.

Mohamd Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki bersambung Selasa.

mStar Online : Khir Sokong Permohonan Syarikat Shamsuddin

Jet Pejuang Singapura Ceroboh Malaysia 2,508 Kali - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,508 pergerakan pesawat tentera udara Singapura dikesan menceroboh ruang udara negara sejak tahun 2008, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya Malaysia telah mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan tersebut oleh pesawat udara republik itu.

Menurutnya setiap pergerakan pesawat tentera udara Singapura yang mencurigakan dipantau dengan menggunakan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga kelengkapan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

"Pada tahun ini sahaja iaitu sehingga bulan Mei, sebanyak 19 pergerakan pesawat (menceroboh) dikesan dengan purata sebanyak empat pergerakan pesawat sebulan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya sebanyak 985 pergerakan pesawat Singapura dikesan pada tahun 2008, 1,286 pergerakan (2009) dan 218 pergerakan pesawat (2010).

Beliau juga berkata bantahan tersebut bermula setelah Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 23 Mei 2008.

mStar Online : Jet Pejuang Singapura Ceroboh Malaysia 2,508 Kali - Ahmad Zahid

Anwar Tolak Dakwaan Tidak Sokong Bersih

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin berdolak-dalik dengan menolak dakwaan beliau tidak menyokong Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan kenyataannya telah disalah tafsir oleh media dan beliau sentiasa menyokong Perhimpunan Bersih 2.0.

“Bukan… saya menyokong kedudukan dia (Pengerusi Bersih 2.0) Datuk S. Ambiga supaya Perhimpunan Bersih ini perlu diteruskan. Ini jelas satu salah faham.

“Apa yang saya cakap telah disalah tafsir... Saya cakap sekiranya proses pilihan raya kita bersih dan adil sudah pasti tidak perlu adakan Perhimpunan Bersih,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan, Ambiga yang menolak cadangan Anwar yang dikatakan meminta perhimpunan pada 9 Julai ini dibatalkan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji bahawa pilihan raya umum diadakan secara bersih dan adil.

Sehubungan itu bekas Presiden Majlis Peguam itu menegaskan perhimpunan berkenaan akan diteruskan seperti yang dirancang dan keputusan untuk membatalkannya bukan ditangan Anwar.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) berkata, jika media sengaja cuba untuk melaga-lagakan beliau dan Ambiga ternyata usaha tersebut tidak berjaya.

“Saya seorang demokrat, saya bukan pemimpin Umno. Saya kata semalam, kalau pilihan raya itu bersih dan adil tak perlu ada perarakan dan demonstrasi. Tapi liputannya berbeza seolah-olah saya tak setuju dengan perarakan tak benar,” katanya.

Justeru, Anwar berkata sebagai tanda sokongannya beliau akan hadir dan menyertai perarakan yang diadakan pada 9 Julai ini.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di tiga lokasi iaitu pusat membeli belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dianggarkan lebih 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akan menyertai perhimpunan tersebut.

Selain itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno turut melancarkan demonstrasi pada tarikh yang sama bagi membantah perarakan tersebut.

mStar Online : Anwar Tolak Dakwaan Tidak Sokong Bersih

Khairy Mahu Ibrahim Ali Disiasat

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) disiasat di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat rasis terhadap kaum Cina.

Khairy berkata, Ibrahim tidak wajar mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang mengugut kaum lain.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali yang seolah-olah mengugut masyarakat Cina.

“Ini kenyataan yang rasis, menghasut, bahaya yang perlu diambil tindakan terhadap beliau. Ini adalah satu ugutan terhadap satu-satu kaum di Malaysia, secara jelas dan nyata,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas yang memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar dan menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini atas alasan ‘apa sahaja boleh berlaku dan mereka perlu simpan bekalan makanan yang secukupnya pada tarikh tersebut.’

Pada Ahad, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S. Ambiga.

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, kenyataan Ibrahim tidak mewakili suara majoriti Ahli Parlimen Melayu di negara ini.

“Orang Melayu di Malaysia bangsa yang mulia dan kita tidak akan buat apa yang Ibrahim buat sekarang ini. Kita hidup dalam keadaan harmoni di negara ini. Pemuda Umno juga tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut,” katanya.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di tiga lokasi iaitu pusat membeli belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dianggarkan lebih 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akan menyertai perhimpunan tersebut.

Selain itu, Perkasa dan Pemuda Umno turut melancarkan demonstrasi pada tarikh yang sama bagi membantah perarakan tersebut.

mStar Online : Khairy Mahu Ibrahim Ali Disiasat

PDRM Tidak Bercadang Batal Senarai Hitam Pesalah Saman Ekor - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bercadang membatalkan tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan, terutamanya yang terlibat dengan kesalahan trafik di bawah saman ekor.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata sehingga 30 April lepas sebanyak 11,814,008 saman ekor atau Notis Saman POL 170A masih belum dijelaskan lagi.

"Walau bagaimanapun tindakan menyenarai hitam ini ditangguhkan buat sementara waktu kerana PDRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Peguam Negara sedang mengemas kini prosedur berkaitan dengan tindakan tersebut," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) pada sidang Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Sim ingin tahu jumlah tunggakan saman ekor yang masih belum dijelaskan serta adakah benar tindakan menyenarai hitam telah dibatalkan dan sama ada kementerian bercadang menghadapkan Orang Kena Saman (OKS) yang belum menjelaskan saman ke mahkamah.

Hishamuddin berkata, bagi pesalah trafik OKS, mereka boleh menyelesaikan saman masing-masing sama ada dengan membayar kompaun atau melalui perbicaraan di mahkamah. Beliau berkata, dalam hal tersebut, tindakan yang dilaksanakan oleh PDRM terhadap pesalah trafik adalah lebih bersifat prosedural dengan pendekatan awal iaitu melalui khidmat nasihat bagi menyemai budaya pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya kepada pengguna.

Hishammuddin berkata, pendekatan itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai tampil untuk menyelesaikan saman mereka di pusat pembayaran saman seperti ibu pejabat polis daerah (IPD), pejabat pos, kaunter PDRM di pusat beli-belah terpilih serta portal iaitu www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my.

"Sekiranya OKS enggan menyelesaikan notis ini, PDRM akan menjalankan operasi mencari dan mengesan pemilik yang melakukan kesalahan untuk menyerahkan saman POL 257 dengan turut menyatakan tarikh serta masa untuk mereka hadir ke mahkamah, bagi mencari pertuduhan,"katanya. - BERNAMA

mStar Online : PDRM Tidak Bercadang Batal Senarai Hitam Pesalah Saman Ekor - Hishammuddin

Maahad Terengganu bebas pengaruh JI


KUALA TERENGGANU 20 Jun - Kerajaan negeri hari ini mengesahkan tiada maahad atau sekolah agama di Terengganu yang dikesan merekrut pelajarnya bagi menyertai kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, Khazan Che Mat berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kewujudan kegiatan seumpama itu melibatkan maahad atau sekolah agama di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan mengenainya sejak dulu lagi bagi memastikan semua maahad dan sekolah agama bebas daripada kegiatan yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Terengganu bebas daripada kegiatan seperti itu (merekrut pelajar) tetapi kita akan tetap pantau perkara ini. Kita percaya masalah ini tak wujud di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan Utusan Malaysia mengenai sebuah maahad di Negeri Sembilan yang dikesan merekrut belia berasaskan ideologi pemimpin militan JI di Indonesia, Abu Bakar Bashir.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Abu Bakar, pengikut pernah kunjungi Maahad Ittiba' As-Sunnah


KUALA PILAH 20 Jun - Pemimpin Jemaah Islamiah (JI), Abu Bakar Bashir bersama seorang pengikutnya, Abdullah Sungkar pernah datang ke sebuah maahad di sini selepas melarikan diri dari Indonesia pada tahun 1995.

Pihak pengurusan Maahad Ittiba' As-Sunnah yang terletak di Kampung Parit di sini mengaku mereka menerima kedatangan Abu Bakar dan Abdullah ketika itu atas semangat membantu saudara Islam yang sedang diburu oleh pemerintah negara berkenaan.

Setiausaha maahad berkenaan, Hazman Hashim berkata, pada mulanya hubungan antara pusat pengajian itu dengan dua pemimpin tersebut berjalan seperti biasa kerana ketika itu mereka belum dikategorikan sebagai militan.

Katanya, kedua-dua mereka tidak tinggal di maahad itu sebaliknya menyewa sebuah rumah tidak jauh dari maahad itu.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian, pihak maahad memutuskan hubungan dengan mereka selepas diminta berbaiah dan bersetuju menyokong perjuangan Abu Bakar.

"Kami tidak dapat bersetuju dengan baiah itu memandangkan perjuangan yang dilakukan oleh Abu Bakar tidak selaras dengan objektif maahad ini.

"Selepas itu, pihak kami tidak lagi mempunyai hubungan dengan Abu Bakar sehingga hari ini. Malah kami membantu memulihkan beberapa orang yang terpengaruh dengan ideologi yang cuba ditanamkan oleh Abu Bakar," katanya pada sidang akhbar di maahad tersebut di sini hari ini.

Sidang akhbar itu dibuat bagi menafikan laporan Utusan Malaysia hari ini yang mengaitkan Maahad Ittiba As-Sunnah dengan kegiatan merekrut belia berasaskan ideologi pemimpin militan JI.

Turut hadir pada sidang akhbar itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Norhayati Omar dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Parit, Datuk Mohamad Kamel Md. Yusoff.

Datuk kepada Norhayati dan bapa kepada Mohamad Kamel adalah antara pengasas maahad yang ditubuhkan pada 1952.

Hazman turut menafikan maahad ini terlibat merekrut pelajar sekolah untuk menjadi militan kerana ia hanya mengajar pengajian al-Quran kepada beberapa warga tua yang tinggal di sekitar kampung tersebut.

"Kami tiada pelajar berusia remaja. Jadi bagaimana kami boleh dituduh melatih militan. Tuduhan itu tidak benar sama sekali dan dibuat oleh pihak tertentu yang iri hati dengan maahad ini," ujarnya.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 1952, pihak maahad tidak pernah menyembunyikan sebarang kegiatannya daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, pada 12 November lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan tiga lelaki termasuk seorang yang mendakwa solat Jumaat di Kampung Parit sebagai amalan bidaah.

Ketiga-tiga mereka ditahan di maahad itu mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana melakukan perbuatan bertentangan dengan hukum syarak.

Berikutan laporan Utusan Malaysia hari ini, Hazman membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada pukul 11.10 pagi ini dan bercadang untuk mengemukakan saman terhadap akhbar ini.

Sementara itu, Norhayati dan Mohamad Kamel pada sidang media itu turut menafikan tuduhan terhadap maahad tersebut dan berkata, pusat pengajian ini pernah terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Kata mereka, semua penduduk di sekitar kawasan itu tidak pernah bangkit menentang kerajaan sebaliknya memberikan sokongan penuh kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Rais, blogger diperintah fail pernyataan

KUALA LUMPUR 20 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan penulis blog, Amizudin Ahmad supaya memfailkan pernyataan saksi dalam kes saman fitnah oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu sebelum atau pada 1 Julai ini.

Kedua-dua pihak diarah berbuat demikian oleh Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof sebelum perbicaraan kes saman itu didengar selama tiga hari bermula 4 Julai ini.

Peguam Azad Bashir yang mewakili Rais selaku plaintif memberitahu pemberita, hari ini pihaknya telah memfailkan ikatan dokumen dan isu-isu yang dipersetujui selain kenyataan fakta untuk diputuskan oleh mahkamah.

Dalam pengurusan kes yang dibuat di kamar hakim itu, peguam C.W. Gan mewakili Amizudin yang dinamakan sebagai defendan.

Pada 26 April lalu, Azad memberitahu bahawa Rais akan memberi keterangan sebagai saksi utama dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap Amizudin pada 31 Januari lalu.

Rais menyaman Amizudin yang juga anggota jawatankuasa sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog defendan itu, bersama gambar Rais, pada atau sekitar 28 Disember tahun lalu.

Plaintif pada 2 Februari lalu, memperoleh injunksi yang memerintahkan Amizudin menarik balik artikel yang memfitnah beliau daripada blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com. dan defendan pada 21 Mac lalu bersetuju berhenti menyiarkannya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata, maksud artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah dirinya dan ia membawa makna beliau bersalah melakukan jenayah serius merogol serta mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Khir sokong syarikat Shamsuddin

SHAH ALAM 20 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Dr. Mohamad Khir Toyo pernah menyokong permohonan syarikat Proniaga Sdn. Bhd. (Proniaga), milik ahli perniagaan, Datuk Shamsuddin Hayroni bagi membangunkan projek perumahan di Bangi.

Bekas Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Harun Salim dalam keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-11 hari ini, mengesahkan tulisan tangan berbunyi ‘permohonan disokong, harap tiada halangan kelulusan’ pada surat permohonan syarikat itu bertarikh 30 Oktober 2000, milik bekas Menteri Selangor itu.

‘‘Surat itu adalah permohonan untuk menjalankan usaha sama dengan PKNS bagi memajukan satu kawasan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi yang berkonsepkan bandar universiti,’’ katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud pada perbicaraan terhadap Mohamad Khir. Perbicaraan masuk hari ketujuh hari ini.

Jelas beliau, permohonan tersebut dipersetujui selepas kertas kerja berhubung cadangan pembangunan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penswastaan PKNS yang dipengerusikan oleh Mohamad Khir.

Menurut Harun, Mohamad Khir turut memberi sokongan bagi permohonan Proniaga untuk dikecualikan daripada jaminan bon pelaksanaan bagi projek tersebut.

Surat permohonan Proniaga bertarikh 18 Julai 2001 yang mempunyai tulisan tangan Mohamad Khir berbunyi ‘syarikat mempunyai track record yang baik’ dan ‘syarikat milik bumiputera’ turut dikemukakan oleh pihak pendakwaan kepada mahkamah sebagai bahan bukti.

‘‘Selepas menerima surat itu, saya berbincang dengan Timbalan Pengurus Besar PKNS bagi menyelesaikan masalah tersebut.

‘‘Sebagai pilihan lain, bon pelaksanaan sebagai jaminan syarikat Proniaga akan menyiapkan projek tersebut digantikan dengan Jaminan Pengarah-Pengarah dan Pemegang Saham,’’ jelas beliau.

Semasa disoal balas oleh peguam, M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir, saksi tersebut bagaimanapun mengakui kelonggaran itu dibuat mengikut prosedur selain ia tidak diberi kepada syarikat Proniaga sahaja.

Harun turut menafikan wang RM2 juta dikemukakan oleh Shamsuddin bagi mendapatkan Jaminan Pengarah-Pengarah dan Pemegang Saham, sebaliknya ia adalah pendahuluan daripada 20 peratus keuntungan yang perlu dikembalikan kepada PKNS.

Saksi itu turut mengakui bahawa perbincangan diadakan bersama Mohamad Khir berhubung permohonan Proniaga atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penswastaan.

‘‘Sekiranya beliau sebagai pengerusi menolak permohonan itu, ia tetap akan dibawa ke dalam mesyuarat ahli jawatankuasa penswastaan. Sebagai Pengurus Besar, saya juga boleh membuat keputusan berhubung projek PKNS,’’ katanya lagi.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan Zaharah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53.

Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Kes khalwat timbalan ketua setiausaha 26 Julai

GEORGETOWN: Perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, dan pasangannya, Nur Diayana Norslan, 30, di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini ditetapkan pada 26 Julai ini.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menetapkan tarikh itu selepas menolak permohonan peguam mewakili kedua-dua tertuduh, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff supaya hanya menetapkan tarikh sebutan kes itu.


Dalam permohonannya sebelum itu, Wan Faridulhadi memberitahu tarikh perbicaraan kes terbabit wajar ditangguhkan sementara menunggu keputusan kebenaran berpoligami dan pengesahan perkahwinan anak guamnya itu di selatan Thailand yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, minggu lalu. Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Syarie, Mohd Zulkhairi Aziz membantah permohonan itu dengan alasan tindakan berkenaan hanya membazirkan masa dan menyusahkan pelbagai pihak.

“Kemungkinan kes di Kuala Lumpur itu memakan masa yang lama dan kita tidak tahu bila ia selesai,” katanya.


Terdahulu, Salim yang memakai kemeja putih serta berseluar hitam dan Nur Diayana yang memakai baju kurung hitam dilihat dalam keadaan tenang ketika mengikuti prosiding.

myMetro | Kes khalwat timbalan ketua setiausaha 26 Julai

Editor Ujang meninggal

KUALA LUMPUR: Editor dan penulis majalah kartun lawak antarabangsa, Ujang iaitu Rashdan Abdul Rahim, 41 atau lebih dikenali sebagai Qayyum meninggal dunia akibat serangan jantung, di rumahnya, di Fair Ville, USJ 22, dekat sini, malam kelmarin.

Isterinya, Suhaila Samsudin, 32, berkata, sebelum kejadian dia bersama suami dan anak ke ibu kota petang kelmarin atas urusan keluarga sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 9 malam.


Katanya, sewaktu menaiki tangga rumah suaminya tiba-tiba mengalami serangan jantung dan terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun doktor mengesahkan suaminya meninggal dunia kira-kira jam 9.28 malam.

myMetro | Editor Ujang meninggal

Penculik Nazar sedia bincang pembebasan

Pemuda UMNO tunggu tempoh 7 hari sebelum bertolak ke Jolo

KUALA LUMPUR: Kumpulan penculik yang menahan rakyat Malaysia, Mohd Nazarrudin Saidin, 38, di Pulau Jolo, selatan Filipina meminta tempoh tujuh hari untuk memberi kata putus sama ada akan membenarkan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO menjadi orang tengah merundingkan pembebasan lelaki itu.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata perkara itu dinyatakan sendiri oleh perantara kumpulan penculik berkenaan menerusi panggilan telefon kelmarin.
“Biro ini sedia memulakan rundingan pada bila-bila masa dan sudah membuat persiapan berlepas ke Pulau Jolo minggu ini. Bagaimanapun, disebabkan belum ada kata putus ini, kita terpaksa menangguhkan penerbangan ke sana, ” katanya pada sidang media di ibu negara, semalam.
Mohd Nazarrudin, seorang penganggur dari Sungai Buluh, diculik oleh 10 lelaki bersenjata yang menyerbu rumah penginapannya di Indanan, Jolo pada 8 Mei lalu, ketika dalam proses melakukan urus niaga membeli tokek, sejenis cicak yang ditawarkan dengan harga tinggi di pasaran gelap.

Kumpulan penculik berkenaan sebelum ini menuntut wang tebusan sebanyak RM5.6 juta bagi membebaskan Nazarrudin.

Berita Harian dihubungi kumpulan penculik berkenaan semalam mengesahkan, Nazarrudin semakin pulih selepas diberikan ubat yang dibeli kumpulan terbabit.
Beliau dilaporkan tenat sejak dua minggu lalu selepas tidak lalu makan kerana terlalu merindui enam anak dan keluarganya di Malaysia.
“Beliau OK, kesihatannya sudah bertambah baik,” kata jurucakap kumpulan penculik itu menggunakan dialek Sabah.
Berita Harian Online | Penculik Nazar sedia bincang pembebasan

Pejabat ADUN Petagas musnah terbakar

KOTA KINABALU: Beratus-ratus fail dan pelbagai kelengkapan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Yahya Hussin di tingkat dua sebuah bangunan kedai di pekan Putatan, kira-kira 15 kilometer (km) dari sini, musnah dalam kebakaran pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, pejabat yang menjadi pusat pentadbiran kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas dan tempat untuk orang ramai, terutama pengundi bertemu wakil rakyat terbabit musnah, dipercayai akibat litar pintas.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian, 11 kakitangan di pejabat itu dikatakan bertugas di luar pejabat, selain ada yang bercuti.
Penolong Penguasa Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Razali Awang Mat Salleh, berkata bomba yang menerima panggilan jam 11.54 pagi segera menghantar empat jentera dari Penampang dan Sembulan dengan 35 anggota ke tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati api bermula dari bilik berkenaan. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang kakitangan pejabat berkenaan, Faridah Abdullah, 42, berkata ketika kejadian dia baru keluar dari pejabat kerana ingin ke pejabat UMNO Bahagian Putatan.

"Kira-kira lima minit keluar dari pejabat, saya menerima panggilan seorang kawan yang memaklumkan kejadian itu. Saya bergegas semula ke pejabat dan terkejut apabila melihat api marak," katanya.
Sementara itu, pekerja sebuah syarikat bersebelahan pejabat berkenaan, Ronald Key, 30, berkata ketika kejadian dia dan dua rakannya berada di pejabat mereka.

"Tiba-tiba kami terbau benda terbakar. Kami terus mengesan bau itu datang. Saya terkejut apabila mendapati api marak di pejabat sebelah. Kami terus menghubungi bomba," katanya.
Berita Harian Online | Pejabat ADUN Petagas musnah terbakar

Pancing Melayu main judi


MUHD KHAIRUN (tengah) bersama Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong (kanan) pada sidang media di Wisma MCA, semalam.
MUHD KHAIRUN (tengah) bersama Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong (kanan) pada sidang media di Wisma MCA, semalam.
Taktik guna risalah iklan tawar khidmat sami Buddha bantu menang didedah

KUALA LUMPUR: Sindiket ramalan nombor ekor kini menjadikan orang Melayu sebagai sasaran baru kegiatan penipuan dengan memperdayakan mereka melalui risalah iklan menawarkan khidmat sami Buddha yang menjanjikan kemenangan kepada pembeli permainan judi itu.

Perubahan taktik itu selepas kegiatan mereka memperdaya orang Cina dan India sebelum ini sudah terbongkar.
Terbaru, satu sindiket yang aktif di sekitar Lembah Klang dikesan cuba mengedarkan risalah itu dengan meletakkannya pada cermin kenderaan milik orang Melayu di sekitar kompleks beli-belah terkemuka di ibu negara dan Selangor.
Anggota sindiket berkenaan dipercayai bijak mengesan kenderaan milik orang Melayu melalui pelekat pada cermin kenderaan yang menunjukkan pemiliknya orang Melayu atau mereka yang beragama Islam sebelum meletakkan risalah berbahasa Melayu.

Mangsa yang terpedaya kemudian akan menghubungi nombor telefon yang tertera pada risalah sebelum diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank berdasarkan jumlah wang yang ingin dimenangi mangsa sebelum memaklumkan nombor yang diramalkan menang dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Difahamkan, sindiket berkenaan disyaki mempergunakan individu yang kesempitan wang untuk membuka akaun simpanan sebagai cara mengelirukan pihak berkuasa yang cuba mengesan kegiatan mereka.

Pengerusi Biro Aduan dan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh Che Mat berkata, pihaknya memandang berat perkara itu selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai yang terkejut dengan perkembangan terbaru itu.
“Sebagai orang Islam, mereka diharamkan berjudi dan membeli nombor ekor namun kita tidak menolak kemungkinan ada di antara mereka yang rambang mata untuk mendapat wang dengan cara yang cepat sehingga terpedaya dengan taktik licik sindiket terbabit.

“Jika sebelum ini sindiket itu menyasarkan orang bukan Islam sebagai mangsa tetapi kini modus operandi mereka sudah berubah dengan menyasarkan orang Melayu dan kita anggap ini sebagai penghinaan pada umat Islam,” katanya pada pemberita di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di Wisma MCA di sini, semalam.

Beliau berkata, biro itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa selain menggerakkan jentera memantau kegiatan sindiket itu.
Berita Harian Online | Pancing Melayu main judi

Ketua Puteri UMNO Jerlun nafi khalwat

JITRA: Ketua Puteri UMNO Jerlun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam atas tuduhan berkhalwat dengan Setiausaha UMNO bahagian itu, Jasmi Muhd Ismail, 47, di Taman Tunku Sarina di sini, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Yusmawati Yaacob, 31, didakwa bersekediaman, bersekedudukan, berkurung dan bersembunyi bersama Jasmi, di rumahnya di Lot 807 Jalan Liana 5, Taman Tunku Sarina di sini, jam 1.20 pagi pada 11 Mei lalu.
Bagi pertuduhan itu, Yusmawati didakwa mengikut Seksyen 9 (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 manakala Jasmi di dakwa mengikut Seksyen 9 (1) enakmen sama kerana berkhalwat.
Yusmawati berbaju kurung putih dan tudung berbunga merah manakala Jasmi berkemeja putih berserta seluar berwarna gelap kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atas mereka di depan Hakim Syarie, Syeikh Kamaruslan Mustapha.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Shukri Zakaria, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Berita Harian Online | Ketua Puteri UMNO Jerlun nafi khalwat

Raja Azmi mahu saman Jawi



KERATAN Kosmo! 20 April 2011.


KUALA LUMPUR - Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 51, tidak teragak-agak untuk menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sekiranya keputusan kes khalwat yang membabitkan dirinya dan Muhammad Roslin Hashim, 39, berterusan ditangguhkan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia mengalami trauma selain terpaksa menanggung malu atas perkara dia tidak melakukannya.

"Jika sampai sekarang belum ada keputusan sehingga beberapa kali ditangguhkan, hidup saya terus menjadi tidak tenteram.

"Pihak Jawi sengaja melengahkan siasatan malah perkara (dakwaan khalwat) itu sebenarnya telah berlaku lebih setahun lalu," kata Raja Azmi ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara