Tuesday, July 20, 2010

UMNO Desperado

Oleh Zaid Ibrahim

Sebagai seorang bekas ahli parti UMNO yang telah lama memberi sumbangan dan khidmat sokongan pada parti tersebut — dan walaupun telah dipecat dan dimaki hamun setiap masa dan ketika — saya berasa kasihan melihat UMNO yang begitu lemah atau ‘pathetic’ dan hilang maruah sejak kebelakangan ini.

Setiap hari mereka meminta belas kasihan PAS untuk menyelamatkan mereka. Mereka tidak berhenti-henti bercakap pasal ‘Selamatkanlah Melayu dan Islam’ sedangkan kita semua tahu maksud yang tersirat ialah ‘Selamatkanlah UMNO yang sudah hilang kepercayaan Rakyat sambil bergelumur dengan masalah dalaman hari ini.’

Yang terakhir sekali, Presiden UMNO meminta PAS bersetuju bertemu tanpa sebarang syarat. Ini menunjukkan betapa terdesaknya parti yang pada suatu masa dahulu disebut oleh Sanusi Junid sebagai parti Melayu Islam yang terbesar di dunia. (Buktinya tidak lain dari bangunan UMNO yang tersegah besar itu yang dibiayi oleh Malayan Banking). Ahli-ahli mereka sudah hilang keyakinan sehingga nak buat mesyuarat pun tak dapat dilakukan dengan sempurna. Mereka juga sendiri tertanya-tanya apakah relevennya parti itu pada zaman sekarang ini.

Mereka tidak mahu menerima hakikatnya bahawa: budaya politik dan perjuangan serta cara mereka itu sudah tidak boleh digunapakai lagi pada masa kini. Mereka percaya dengan menggunakan kekerasan, meningkatkan propaganda, dan menakutkan orang Melayu tentang kehilangan hak dan kedudukan mereka dalam negara jika tiada UMNO, akan menarik kembali sokongan orang Melayu kepada mereka.

Betapa silapnya teori politik mereka.

Ada lima perkara, jika ianya dilaksanakan, mungkin boleh memberi sedikit ruang untuk UMNO dihidupkan kembali dan menyelamatkan parti tersebut di PRU 13:

Pertama, kes terhadap Anwar Ibrahim itu tidak diteruskan; kedua, memansuhkan ISA dan segala kuasa yang menahan orang politik; ketiga, bertindak dengan kata sepakat dan secara terhormat dengan Parti Pembangkang (Pakatan Rakyat) tentang dasar-dasar utama ekonomi negara dan pelaksanaannya; keempat, menyerahkan kepada kerajaan Negeri kuasa dan hak mereka yang sah dan wajar; dan terakhir, memberi kebebasan kepada akhbar dan TV supaya berita menjadi sumber maklumat sebenar dan bukan alat dakyah politik.

Sebagai bonus, ketua-ketua UMNO dan yang berjawatan Menteri atau Ketua Menteri yang jelas korup dan sekian lama menyalahgunakan kuasa, diberhentikan serta merta dan digantikan dengan pemimpin yang boleh diterima rakyat.

Ini adalah cara terhormat untuk sebuah parti sebesar itu berubah atau bertindak untuk memberi nafas dan iltizam baru kepada ahli-ahli mereka yang sekarang ini tenat dan bosan dengan keadaan. Ubahlah cara mereka mentadbir negara ini. Bukan dengan setiap hari menangis dan meminta supaya PAS menyelamatkan mereka.

Walaubagaimanapun, saya juga yakin bahawa semua cadangan cadangan ini tidak akan dilaksanakan.

Orang yang dalam ketakutan selalunya tidak dapat berfikir dengan wajar dan inilah keadaan sebenar Parti Keramat ini.

Biarlah si lunchai lompat dengan labu-labunya.

UMNO Desperado at Anwar Ibrahim

Seorang lagi ditahan dibawah ISA


KUALA LUMPUR, 20 Julai: Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menahan seorang lagi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kononnya demi memerangi keganasan Jemaah Islamiah (JI) dalam negara.
Mohammad Fadzlullah Abdul Razak, 28, ditahan di Sungai Buluh, Selangor pada Khamis lalu sekitar jam 11 malam oleh seorang pegawai polis berpakaian seragam serta 14 pemuda berpakaian biasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.
"Polis cakap dia ditahan kerana keganasan antarabangsa," ujar Hasnol Hadi Abdul Razak, 25, ketika ditemui pagi tadi, di sini.
Menurut beliau, pihak terbabit kemudiannya menggeledah rumah bapanya ala-ala samseng tanpa waran.
Dalam penggeledahan tersebut, katanya, mereka merampas dua komputer riba, topeng, tali, kompas serta sebilah pisau, sehingga menakutkan beliau sekeluarga.
Mereka turut menuduh abangnya masih bergiat dalam aktiviti keganasan di Thailand sejak beberapa hari lalu.
Sedangkan, katanya lagi, abangnya yang juga graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu sudah setahun bekerja dan hidup aman damai bersama-sama beliau sekeluarga, di sini.
"Dia bukan baru sehari dua balik sini (Malaysia), sudah setahun dia bekerja di sini, tapi polis kata dia baru sehari dua balik ke Malaysia selepas berjihad," katanya yang juga juruteknik IT sebuah firma di Shah Alam.
Tidak cukup dengan itu, ujarnya, mereka turut mengugut bapanya sehari selepas abangnya ditahan tanpa bicara.
"Ada (kecam), dia telefon bapa saya dan ugut, saya boleh ditahan 5 tahun kerana saya tanya tentang abang saya," beliau menambah.
Menurut beberapa sumber, Mohammad Fadzlullah dipercayai ditahan menurut Seksyen 73(1) ISA untuk disoal siasat selama 60 hari.
Pun begitu, kebiasaannya, mereka yang ditahan tanpa bicara melewati tempoh masa tersebut, bergantung pada keputusan Najib dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam perkembangan berkaitan, difahamkan keluarga mangsa telahpun membuat aduan kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sabtu lalu.
Dilaporkan, Suaram telahpun bersetuju untuk menyediakan khidmat guaman secara percuma.
"Suaram akan bantu, minta dia boleh diwakili peguam, keluarkan abang dulu," jelasnya.
-harakahdaily
sumber

Awas! UMNO dah kena penyakit ' gila meroyan ' , hari-hari asyik nak perpaduan.

Pas dan UMNO perlu bertemu bincangkan soal perpaduan

20/07/2010 7:48pm

PETALING JAYA 20 Julai – Pas dan UMNO perlu berjumpa dan duduk bersama bagi membincangkan hal perpaduan umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata, ini amat perlu kerana Islam sendiri sememangnya menuntut supaya umatnya bersatu padu dan bekerjasama.
"Kita nak cakap soal perpaduan ummah, perpaduan umat Islam dan saya rasa ajaran Islam sendiri amat menuntut kepada kesepaduan umat... saya nak ajak mari kita duduk bersama.
"Kita buktikan ayat al-Quran yang turun kepada kita. Kalau kita letak syarat, sampai bila perpaduan tidak akan selesai... kita duduk bincang dulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan II (Pemikir II) di sini hari ini.
Jamil Khir, yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam, berkata, pintu sentiasa terbuka bagi Pas untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membincangkan tentang perpaduan.
Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, beliau bersedia membantu ke arah menyatukan umat Islam dan orang Melayu di negara ini setelah didatangi beberapa pemimpin meminta pandangan beliau berhubung cara menyatupadukan Pas dan UMNO. – Bernama

15,000 mohon lesen Bazar Ramadan



BEBERAPA orang peniaga kecil yang berjaya ditemuduga dalam cabutan undi bagi memohon lesen sementara di tapak Bazar Ramadan di Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 19 Julai - Lebih 15,000 peniaga kecil di sekitar Lembah Klang hari ini membanjiri Stadium Titiwangsa untuk memohon lesen sementara Bazar Ramadan di kawasan Lorong Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagaimanapun hanya memperuntukkan 400 tapak di lokasi yang menjadi tumpuan warga kota setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Proses pengundian untuk memiliki tapak bazar Ramadan dibuat secara terbuka dan telus serta melibatkan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Permohonan bagi mendapatkan tapak Bazar Ramadan di lokasi berkenaan sering kali mendapat permintaan yang tinggi daripada peniaga kecil setiap tahun.
''Namun tempat yang boleh disediakan DBKL adalah terhad," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Raja Nong Chik berkata, dalam proses pengundian itu, terdapat beberapa peniaga yang tidak berpuas hati disebabkan borang permohonan mereka ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
''Kita memahami hasrat peniaga-peniaga kecil ini untuk berniaga sepanjang bulan Ramadan, namun tempat yang ditawarkan di lokasi itu amat terhad.
''Walaupun menimbulkan sedikit kekecohan namun semuanya terkawal kerana peniaga-peniaga ini memahami keputusan berdasarkan proses pengundian yang adil dan saksama," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Che Norini Che Mat, 62, berkata, dia tiba seawal pukul 8 pagi untuk menghadiri proses pengundian tersebut.
"Saya bersyukur kerana berjaya mendapat tapak di lokasi tersebut setelah tiga tahun mencuba. Mungkin rezeki berpihak pada Ramadan tahun ini," katanya.
Bagi Zainudin Zakariah, 43, pula, ini kali pertama dia berjaya mendapat tapak berniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India setelah mencuba selama 10 tahun.
"Undian secara terbuka ini bagus kerana ia lebih telus dan semua peniaga yang layak mempunyai peluang. Walaupun terpaksa bersesak-sesak dan menunggu lama, ia sangat berbaloi," katanya.

Taek Jho Low jutawan Malaysia bersama selebriti Paris Hilton



GAMBAR yang beredar di Internet menunjukkan Taek Jho Low (kanan) bersama penyanyi Usher pada parti sambutan Tahun Baru pada 31 Disember 2008 di Las Vegas.


NEW YORK – Beberapa laman web selebriti mendedahkan bahawa jutawan yang bersama dengan selebriti Paris Hilton di Paris ialah Taek Jho Low.
Beberapa laman web termasuk majalah OK! melaporkan Jumaat lalu, Paris menjalani sesi fotografi di atas sebuah bot di Paris dengan memakai baju seksi berwarna merah jambu.
Selebriti itu berada di Paris bersama adiknya, Nicky Hilton semasa sesi fotografi tersebut.
Menurut majalah OK!, jutawan Malaysia itu dilabelkan sebagai seorang lelaki misteri dan dia dilaporkan membelanjakan sejumlah besar wang di kelab-kelab di seluruh dunia.
Sebelum ini, Paris menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan dengan menaiki sebuah jet peribadi dari London dengan rombongan jutawan Malaysia.
Siapakah jutawan Malaysia itu yang mendapat perhatian majalah dan laman-laman selebriti di Barat?
Pada 8 November 2009, akhbar New York Post melaporkan kehadiran Low, berusia 20-an, yang merupakan lulusan Sekolah Perniagaan Wharton di Philadelphia, AS di kelab-kelab malam di New York dengan membelanjakan ribuan dolar dalam tempoh tiga bulan.
Low mendapat tumpuan akhbar itu apabila dia bersama dengan beberapa selebriti seperti penyanyi P. Diddy berada di sebuah lokasi terkenal di bandar raya ini.
Akhbar itu turut melabelkan Low sebagai seorang lelaki misteri dari Malaysia.
Menurut akhbar itu, Low yang bertubuh gempal dan berkaca mata dilaporkan pernah menghantar 23 botol minuman keras Cristal kepada pelakon Lindsay Lohan bagi meraikan hari lahirnya.
Pemilik kelab Pink Elephant di 27th Street, New York, David Sarner berkata kepada akhbar itu, Low selalunya membelanjakan AS$50,000 (RM161,150) hingga AS$60,000 (RM193,380) semalam.
Menurutnya, Low pernah menerbangkan lapan pelayan kelab itu untuk menghadiri satu parti di Malaysia.
Menurut akhbar itu, Low pernah meraikan ulang tahun kelahirannya dalam satu parti mewah di Las Vegas manakala pelakon Megan Fox dilaporkan diterbangkan untuk menghadiri parti tersebut.
Akhbar New York Post melaporkan, adalah amat ganjil kerana tidak banyak maklumat mengenai lelaki yang mendapat perhatian meluas itu.
Menurut akhbar itu, berdasarkan biografi rasmi lelaki tersebut, dia berkhidmat sebagai penasihat untuk beberapa syarikat antarabangsa.
Namun, apabila pihak New York Post cuba menemu bual pakar-pakar Malaysia seperti kumpulan pemikir Majlis Hubungan Asing, nama Low tidak pernah didengari.
Menurut sumber-sumber akhbar itu, Low tinggal di sebuah apartmen yang mempunyai kadar sewa AS$100,000 (RM322,300) sebulan di Park Imperial yang merupakan lokasi penginapan pelakon James Bond, Daniel Craig dan P. Diddy.
Dia tidak akan pergi ke mana-mana kecuali ditemani oleh seorang pengawal keselamatan.
Pada 24 Mac lalu, akhbar New York Post melaporkan Low membayar AS$33 juta (RM106.35 juta) untuk sebuah penthouse di 1 Central Park West yang mencatatkan rekod jualan di New York.
Bilionair AS, Donald Trump membeli apartmen itu pada harga AS$5 juta (RM16.11 juta) pada 1997 sebelum menjualnya setahun kemudian pada harga AS$10.4 juta (RM33.51 juta) kepada penerbit filem Itali, Vittorio Checchi Gori.
Akhbar itu melaporkan Low membeli penthouse itu menerusi sebuah syarikat.
Pada 1 Julai lalu, akhbar New York Post melaporkan bahawa lelaki misteri itu telah meninggalkan apartmen di Park Imperial menuju ke sebuah lokasi yang tidak diketahui.
Namanya itu kemudian mendapat tempat sekali lagi di majalah dan laman selebriti Hollywood selepas dia dilaporkan berada bersama dengan Paris. – Agensi

Ulama cadang UMNO dan Pas berdialog

KUALA LUMPUR 19 Julai - UMNO dan Pas disaran berdialog dalam suasana penuh ikhlas dengan hati terbuka demi memastikan Melayu tidak hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Para ulama di negara ini berpendapat, cara berdialog sahaja dapat menghapuskan persengketaan antara dua parti terbesar orang Melayu itu.
Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, menerusi dialog juga boleh memberi peluang kepada UMNO menjelaskan secara konkrit mengenai dasarnya yang selama ini dituduh sebagai parti sekular.
Beliau berkata, realitinya UMNO selama ini mendokong Perlembagaan yang mendaulatkan Islam termasuk memperuntukkan kewangan yang banyak untuk pendidikan agama, ekonomi umat dan juga kewangan Islam.
"Isu-isu seperti ini antara yang harus dibincangkan supaya rakyat tidak lagi keliru dengan persoalan pihak mana yang lebih Islam dan tidak Islam sedangkan umat Islam mengucap dua kalimah syahadah, ibadah yang sama dan tidak mengamalkan fahaman sekular," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu boleh hilang kuasa sekiranya UMNO dan Pas enggan bersatu.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saranan Harussani itu harus dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya lebih mengutamakan perpaduan.
Ismail berkata, menerusi dialog akan dapat memberi kefahaman jelas kepada orang Melayu tentang Islam, makna Islam, perjuangan Islam dan sebagainya.
"Apabila hal-hal ini diselesaikan maka orang Melayu beragama Islam ini akan menjadi orang yang terbuka mentalitinya dan tidak lagi taksub dengan individu tertentu dalam politik negara ini," katanya.
Pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz berkata, hanya dengan perbincangan sahaja dapat menghuraikan segala permasalahan antara kedua-dua belah pihak ini.
"Ketepikan dahulu fahaman parti masing-masing sebaliknya gunakan peluang ini sebagai jalan terbaik untuk mengukuhkan perpaduan ummah supaya Melayu dan Islam terus berkuasa di negara ini," katanya.
Abu Hassan menyarankan UMNO dan Pas perlu mengambil iktibar sejarah puak Aus dan Khazraj di Madinah yang telah bersengketa selama berpuluh tahun tetapi akhirnya kembali bersatu demi perpaduan ummah.
"Jika umat Islam bersatu maka mana-mana pihak yang mahu melihat umat ini saling bertelagah tidak akan berjaya," katanya.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut pula mahukan orang Melayu bersatu dengan mengambil falsafah bahawa seekor harimau itu digeruni hanya kerana kelebihan taring dan belangnya.
"Begitu juga dengan orang Melayu maka perlu bersatu supaya Islam ini terus digeruni oleh bangsa lain," katanya.
Nooh berkata, Islam juga menyarankan umatnya tidak berpecah belah kerana kelemahan ini akan digunakan oleh musuh untuk memusnahkan perpaduan yang disemai selama ini dengan mudah.