Saturday, December 31, 2011

Tunai haji melalui caruman KWSP



Nik Affendi Jaafar


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Bermula 3 Januari ini, semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam yang mempunyai simpanan minimum RM1,300 di dalam Akaun 1 boleh membuat pendaftaran menunaikan haji dengan Lembaga Tabung Haji.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan di semua kaunter Tabung Haji, cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan penyata terkini KWSP masing-masing.
“Mereka yang layak mesti warganegara Malaysia atau pemastautin tetap yang belum mencapai usia 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan Tabung Haji. Ahli yang tidak mempunyai akaun, mereka boleh membukanya dengan deposit minimum RM2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mana-mana ahli yang telah mendaftaran haji di bawah prosedur Tabung Haji boleh menukar pendaftaran tersebut kepada Pendaftaran Haji Ahli KWSP.
“Penukaran itu tidak melibatkan tarikh giliran haji yang telah diberikan dan tidak melibatkan sebarang urusan berkaitan tarikh kerana ia akan ditentukan oleh Tabung Haji,” tegasnya.
Maklumat lanjut boleh layari www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my dan menghubungi talian 03-89226000 serta 03-62071919.
-utusan

Banduan ternak lembu secara komersial




BANDUAN memberi makanan kepada lembu menerusi program merentasi lautan biru antara Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Penjara Kluang, semalam.


KLUANG 30 Dis. - Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bekerjasama menerusi strategi lautan biru dalam mewujudkan program perintis penternakan lembu berskala besar yang diusahakan banduan secara komersial di samping memenuhi keperluan di penjara.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Hassan Sakimon berkata, projek perintis itu yang bermula tahun ini merupakan program pemulihan melalui latihan sebagai persediaan supaya banduan dapat berdikari selepas hukuman tamat.
Katanya, projek itu kini dijalankan di beberapa penjara dan pusat tahanan termasuk Penjara Kluang, Johor; Penjara Pokok Sena, Kedah; Pusat Tahanan dan Perlindungan Taiping, Perak; Institut Pemulihan Dadah Jelebu, Negeri Sembilan dan Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah.
"Program ini adalah strategi lautan biru antara Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bertujuan melatih banduan dengan kemahiran baru seterusnya memenuhi keperluan makanan di penjara.
"Ia juga selaras dengan Pelan Induk Jabatan Penjara untuk menggiatkan penternakan berskala besar bagi meningkatkan pendapatan dan kemahiran penghuninya serta menjana pendapatan kepada jabatan," katanya pada majlis pengagihan induk lembu baka Zebu Myanmar di Penjara Kluang hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Datuk Dr. Ibrahim Che Embong secara rasmi menyerahkan 120 ekor lembu betina baka tersebut kepada Hassan.
Ibrahim memberitahu, menerusi program berbentuk perkongsian pintar itu, jabatan menyerahkan lembu itu secara 'pinjaman' iaitu pihak penjara dikehendaki memulangkan semula 120 ekor lembu setelah lima tahun, manakala anak-anak lembu yang dilahirkan menjadi milik penjara.
Menurut beliau, sejumlah 120 lembu betina yang diserahkan di ladang ternakan Penjara Kluang seluas 32 hektar itu dijangka mampu membiakkan 80 ekor anak lembu dalam tempoh setahun.
"Buat masa ini semua lembu betina daripada baka Zebu Myanmar itu sedang dikuarantin selama dua bulan di ladang ternakan ini sebelum lima lembu jantan dibawa masuk bagi proses pembiakan," katanya.
Ibrahim berkata, terpulang kepada pihak penjara cara untuk menjual lembu itu dan mereka berpeluang meminta lebih banyak peruntukan berdasarkan indeks petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan, keluasan ladang serta kemampuan menyediakan makanan lembu.
Sementara itu, Hassan berkata, buat masa ini 120 banduan yang berminat dipilih menjalani program itu di Penjara Kluang.
-utusan