Monday, February 14, 2011

Tentera janji patuh segala tuntutan rakyat Mesir

SH: "


KAHERAH - Kepimpinan tentera Mesir sedang berusaha untuk meyakinkan rakyat negara itu dan seluruh dunia bahawa mereka akan menurut segala tuntutan awam dan menghormati komitmen antarabangsa seperti perjanjian pendamaian dengan Israel, kelmarin.

Penunjuk perasaan antikerajaan mendakwa peranan mereka dalam masa depan negara, menekan tentera untuk menarik balik arahan perintah berkurung yang dilancarkan ketika pertempuran antara dua kumpulan penyokong berlaku, 3 Februari lalu.

Selain itu, mereka turut berjanji akan kembali ke Dataran Tahrir untuk menyambut kemenangan dan memperingati mereka yang terkorban dalam protes 18 hari yang berjaya menggulingkan Presiden Hosni Mubarak selepas memerintah selama 30 tahun.

Jurucakap tentera menyatakan, kerajaan Mesir akan terus mematuhi segala perjanjian antarabangsa dan tempatan serta mereka akan menguruskan segala urusan negara sehingga kerajaan baru dibentuk.

'Kami akan memastikan peralihan kuasa dibuat secara aman dalam rangka sistem demokrasi bebas yang membolehkan rakyat memilih sesiapa sahaja untuk memerintah negara itu,' menurut kenyataannya.

Kesan pemberontakan Mesir turut tersebar ke seluruh benua Arab, seperti di Algeria dan Yaman."

Pak Belang lari dihentak senduk kayu isteri


2011/02/14

 TAMBUN  menceritakan pengalamannya bergelut dengan seekor harimau kepada Dr Mah   (tiga dari kiri) dan  Shabrina (kiri)  ketika menerima rawatan di Hospital Permaisuri Raja Bainun Ipoh, semalam.
TAMBUN menceritakan pengalamannya bergelut dengan seekor harimau kepada Dr Mah (tiga dari kiri) dan Shabrina (kiri) ketika menerima rawatan di Hospital Permaisuri Raja Bainun Ipoh, semalam.
IPOH: Tindakan berani seorang wanita Orang Asli mengetuk kepala seekor harimau menggunakan senduk kayu, menyelamatkan nyawa suaminya dalam kejadian di Kampung Sungai Tiang, Hutan Belum, kira-kira 200 kilometer dari sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Tambun Gediu, 60-an, bergelut dengan haiwan itu sebelum isterinya, Han Besau, menyedari kejadian itu dan bertindak memukul kepala harimau berkenaan dengan sebatang senduk kayu bagi menyelamatkan suaminya.
Tambun berkata, dia tidak menyedari kehadiran haiwan pemangsa itu kerana terlalu asyik memerhatikan binatang buruan iaitu tupai yang berada di atas pokok berhampiran rumahnya.
Katanya, dia hanya sedar kehadiran haiwan itu sewaktu memandang ke belakang apabila melihat harimau berkenaan berada tidak jauh dengannya.

“Saya terkejut dan segera melarikan diri dengan cuba memanjat sebatang pokok berhampiran tetapi gagal apabila harimau itu lebih pantas mencakar kaki, sekali gus menarik saya ke bawah sebelum jatuh tersembam ke atas tanah.

“Harimau itu kemudian cuba membaham kepala dan leher saya, namun saya cuba melawan dengan menumbuknya beberapa kali di kepala, manakala tangan sebelah lagi mencengkam bibir harimau berkenaan sambil menjerit meminta tolong.

“Saya bernasib apabila isteri bergegas datang setelah mendengar jeritan dan memukul haiwan itu dengan senduk kayu, sekali gus berjaya menghalau haiwan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.
Pemangku Ketua Polis Grik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Grik kira-kira jam 8 malam kelmarin sebelum dihantar HRPB awal pagi semalam.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang pergi menyumpit tupai di hutan Sungai Tiang diterkam seekor harimau dari belakang.

“Mangsa digigit di belakang tengkuk dan beberapa gigi haiwan itu dikesan menembusi bahagian bawah tengkuk mangsa serta parah di muka dan kepala,” katanya.

Difahamkan, mangsa lewat dibawa ke Hospital Grik kerana kesukaran perjalanan berikutan kedudukan kampung berkenaan yang terpencil di hutan berkenaan.

Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pada kesan luka akibat cakaran haiwan berkenaan.

Hadir melawat mangsa semalam ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Shabrina Mohd Shariff.
Berita Harian Online | Pak Belang lari dihentak senduk kayu isteri

Bersatu lepas 66 tahun

KULAIJAYA: “Selepas 66 tahun terputus hubungan, impian untuk bersatu kembali dengan saudara kandung tercapai,” kata bekas pekerja ladang kelapa sawit, Zaiton Abdullah, 68, ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tenggara, di sini, semalam.
Zaiton terpisah daripada keluarga kandung sejak berusia dua tahun sebelum iklan mencari keluarga kandung berkenaan disiarkan di akhbar berbahasa Cina pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina lalu berjawab.

Kelmarin, keluarga abang kedua Zaiton, Ng Yan Lai, 70, yang menetap di Jurong West, Singapura, berkunjung ke kediaman wanita berkenaan bersama 25 ahli keluarga lain.

“Saya seperti bermimpi apabila keluarga abang sulung, Ng Yan Nee yang sudah meninggal dunia enam tahun lalu, menghubungi keluarga kami.

“Mereka yang tinggal di Parit Sulong, Batu Pahat, mengatakan saya individu yang dicari selama ini,” katanya.


Mengimbau kenangan lalu, Zaiton berkata, ibu kandung yang dikenali sebagai Tek terpaksa menyerahkannya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik kepada sebuah keluarga Melayu di bandar Muar kerana kesempitan hidup.

Katanya, keluarga Melayu itu menyerahkannya kepada sebuah keluarga Melayu lain di Kampung Sungai Sudah, Muar sebelum dia mendirikan rumah tangga pada usia 15 tahun dan berpindah ke Ladang Bukit Badak, Renggam.

Sementara itu, Lai yang mempunyai enam anak berkata, pertemuan semula dengan Zaiton adalah kejutan gembira sempena Tahun Baru Cina.

“Saya rindu pada adik dan kini impian untuk kami bertemu semula tercapai, walau apa yang berlaku sebelum ini, kami tetap adik-beradik.

“Keluarga kami bertambah besar dan saya pasti akan sentiasa mengunjunginya,” katanya.
myMetro | Bersatu lepas 66 tahun