|
WAN AZLEELA memeluk anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama.
|
|
Belum putus asa: Wan Azleela Wan Abdullah (depan) menyertai gerakan mencari mayat anak bongsunya, Nurshaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang lemas dalam kejadian fenomena 'kepala air' di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat Kuala Pilah, Selasa lalu. - Foto Owee Ah Chun ,bharian |
Wan Azleela redah sungai cari puteri bongsu
KUALA PILAH: Ketika ibu lain di seluruh dunia bergembira menerima pelbagai hadiah daripada anak masing-masing sempena Hari Ibu semalam, Wan Azleela Wan Abdullah, 33, hanya mengharapkan satu 'hadiah' – menemui semula jasad anak bongsunya, Nurshaza Sakinah Said Ahmad, 2, tidak kira dalam apa keadaan sekali pun.
Malah, dia kini mengetepikan kesedihan kehilangan tiga anaknya serentak dalam kejadian fenomena 'kepala air' di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini, Selasa lalu, untuk turut sama turun ke sungai bagi mencari anak bongsunya yang belum ditemui.
Walaupun perit hatinya menerima hakikat tiada lagi kucupan Hari Ibu serta tidak lagi dapat mendengar ketawa dan rengekan manja mereka selepas ini, Wan Azleela bertekad mahu memastikan kematian anaknya itu berpusara.
“Saya berharap sangat jasad Sakinah ditemui. Bila ada jasad, maksudnya akan ada kuburnya... saya boleh pergi melawat kubur untuk mengubat kerinduan saya yang mendalam terhadap mereka,” katanya menahan kesedihan.
Wan Azleela semalam kelihatan berbeza daripada beberapa hari lalu dengan keazaman untuk menemui Nurshaza Sakinah jelas terpancar pada wajahnya yang sugul dan bengkak akibat terlalu banyak menangis.
Sebelum ini, dia lebih kerap termenung dan menghabiskan masa merenung ke sungai, namun kini saudara mara memberitahu sifat keibuannya yang sebenar sudah mengambil alih dirinya untuk mula bertindak daripada pasif menunggu berita tanpa melakukan apa-apa.
Ketika menerima lawatan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek dan isterinya, Datin Norainee Mohd Yatib, Wan Azleela berkata, sudah kering air matanya menangisi pemergian ketiga-tiga anaknya termasuk Nurshaza Alisa, 5 dan Nurshaza Azira, 4.
Justeru, sejak kelmarin, dia menyertai gerakan mencari Nurshaza Sakinah, tidak kira siang atau malam tanpa mempedulikan kesejukan air sungai yang mencengkam tulang demi membuktikan kasih sayangnya.
"Saya sentiasa mendoakan arwah tiga anak ditempatkan di tempat yang elok dan baik... saya juga berharap, mereka mendoakan saya tabah menjalani hidup di dunia ini tanpa kehadiran mereka di sisi," katanya yang kemudian memeluk anak sulungnya hasil perkongsian hidup dengan suami pertama, Mohd Adib Norazman, 11.
Hasan pula berkata, seorang kaunselor Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah ditugaskan memberi khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa supaya dapat menerima hakikat kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba, berkata pihaknya kini membahagikan kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) kepada dua kumpulan membabitkan kawasan sungai yang dalam dan tempat berkelah.
"Selain meluaskan kawasan pencarian kepada 15 kilometer, kita turut mencari semula di kawasan pernah dilalui sebelum ini kerana berdasarkan pengalaman beberapa kejadian lain, mayat selalunya ditemui di kawasan yang pernah dilalui beberapa kali," katanya.
bharian