Tuesday, February 18, 2014

Tempat selamat ‘buang’ anak


2014/02/18

Beijing: China akan menyediakan tempat selamat untuk ibu bapa menyerahkan anak yang tidak dimahukan di seluruh negara itu, walaupun terdapat pertikaian sama ada ia akan menyaksikan lebih banyak bayi dibuang, demikian menurut laporan media.

Kerajaan negara itu sudah menubuhkan 25 pusat bayi di 10 wilayah dan bandar utama sejak Jun 2011, menurut agensi berita rasmi Xinhua, kelmarin.


Lebih banyak akan dibina di 18 wilayah lain, kata laporan itu yang memetik Pusat bagi Kebajikan dan Anak Angkat Kanak-Kanak China (CCCWA).

Pusat berkenaan mempunyai inkubator, penggera, penyaman udara dan katil bayi, menurut laporan itu.

Kakitangan kebajikan mendapatkan bayi antara lima ke 10 minit selepas ditinggalkan dan menekan butang penggera, membolehkan keluarga menyerahkan anak mereka dengan selamat dan tanpa diketahui orang lain.

Tak mampu tanggung kos perubatan

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak berkenaan mempunyai kecacatan atau penyakit kronik seperti sindrom down atau ‘cerebral palsy’.
Banyak bayi dibuang kerana ibu bapa tidak mampu menanggung kos perubatan dan pendidikan khas yang mahal.

Kemudahan berkenaan sering dipuji kerana membantu menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang mungkin ditinggalkan di jalanan.

Cetus kebimbangan

“Tetapi ia turut mencetuskan kebimbangan bahawa kewujudannya menggalakkan ibu bapa untuk membuang anak yang tidak dimahukan, iaitu ia salah dari segi undang-undang,” kata Xinhua.

Tetapi ketua CCCWA, Li Bo menolak kebimbangan berkenaan dengan menambah bahawa sejak kemudahan berkenan dibuka di bandar utara Shijiazhuang, ia sudah menerima kanak-kanak pada kadar sama yang dilaporkan institusi kebajikan bandar dalam dua tahun lalu.
AFP

NSTP diperintah bayar Husam RM360,000


KUALA LUMPUR 17 Feb. - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan syarikat penerbitan akhbar, New Straits Times (M) Bhd. (NSTP) membayar ganti rugi RM360,000 kepada Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kerana menyiarkan artikel berbaur fitnah terhadap beliau, hampir tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan jumlah tersebut di kamar beliau di sini setelah mahkamah pada 12 April tahun lalu memutuskan bahawa satu kenyataan akhbar pada penghujung November 2007 telah memfitnah Husam.
Menurut peguam, Md. Yunos Shariff yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu, jumlah tersebut meliputi ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos.
Mahkamah turut membenarkan permohonan NSTP untuk menangguhkan sementara bayaran ganti rugi tersebut dengan syarat notis berhubung perkara itu difailkan pada atau sebelum 17 Mac ini.
Hadir bagi pihak NSTP ialah peguam Rishwant Singh.
Husam asalnya memfailkan saman RM6 juta pada 31 Januari 2008 terhadap ADUN Bukit Bunga, Mohd. Adhan Kecik dan ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua serta NSTP defendan ketiga.
Bagaimanapun, pada 9 November 2009, bekas Exco kerajaan Pas Kelantan itu telah menarik balik saman tersebut terhadap Mohd. Adhan dan Nozula selepas kedua-dua ADUN itu membuat permohonan maaf secara terbuka pada awal Jun tahun sama di akhbar berbahasa Melayu (bukan Utusan Malaysia).
Kes terhadap NSTP diteruskan dengan perbicaraan dan pada 12 April 2013 mahkamah memutuskan bahawa Husam berjaya membuktikan tuntutannya terhadap syarikat penerbitan akhbar itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140218/ma_05/NSTP-diperintah-bayar-Husam-RM360000#ixzz2te78qSYr
© Utusan Melayu (M) Bhd