Showing posts with label pembangkang. Show all posts
Showing posts with label pembangkang. Show all posts

Thursday, December 2, 2010

Pembangkang di Mesir kalah



PENUNJUK perasaan membakar poster Ahmed Ezz, calon parti pemerintah NDP sambil melaungkan slogan anti-kerajaan di Kaherah, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 1 Dis. - Parti pemerintah Mesir memenangi 209 daripada 508 kerusi yang dipertandingkan pada pusingan pertama pilihan raya Parlimen manakala parti-parti pembangkang hanya mendapat lima kerusi.
Akhbar milik kerajaan, al-Akhbarhari ini melaporkan keputusan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya, sekali gus mengesahkan Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) pimpinan Presiden Hosni Mubarak memperoleh kemenangan besar seperti dijangka.
Pembangkang, Ikhwanul Muslimin yang menguasai satu perlima kerusi Parlimen sebelum ini berkata, tiada seorang pun calonnya memenangi kerusi pada pusingan pertama.
Pertubuhan hak asasi manusia dan pembangkang menuduh pihak berkuasa menggunakan undi palsu, membuli dan taktik penipuan lain pada pusingan pertama pengundian pada Ahad lalu.
Kerajaan bagaimanapun berkata, pilihan raya dikendalikan secara adil.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah membatalkan kiraan daripada lebih 1,000 peti undi tetapi berkata, pembatalan itu tidak menjejaskan angka keseluruhan.
Al-Akhbar menyenaraikan keputusan seperti berikut: 209 kerusi untuk NDP, tujuh untuk calon bebas, lima untuk parti pembangkang manakala 283 kerusi akan dipertandingkan pada pusingan kedua.
Keputusan bagi empat kerusi dimansuhkan.
Pengundian pusingan kedua untuk kerusi di mana tiada calon memenangi lebih daripada 50 peratus undi akan diadakan pada 5 Disember ini.
Calon-calon NDP akan menentang satu sama lain dalam banyak pertarungan pada pusingan kedua. - Reuters

Wednesday, April 14, 2010

Parti pembangkang Britain janji revolusi kuasa rakyat




CAMERON menyampaikan ucapan semasa pelancaran manifesto Parti Konservatif di London semalam.


LONDON - Ketua Pembangkang Britain, David Cameron menjanjikan revolusi 'kuasa rakyat' sekiranya memenangi pilihan raya umum pada 6 Mei depan selain turut berikrar akan membaiki hubungan Britain di peringkat antarabangsa terutamanya di luar Eropah.
Semasa melancarkan manifesto Parti Konservatif pimpinannya semalam, beliau menjanjikan hubungan baru yang istimewa dengan India dan China.
Di arena tempatan pula, Cameron berkata, Parti Konservatif yang mendahului tinjauan populariti, hanya dapat memulihkan masalah kewangan dan sosial Britain sekiranya rakyat bersama-sama memainkan peranan bagi membantu memakmurkan negara setelah 13 tahun diterajui Parti Buruh.
"Sekiranya anda mengundi Parti Konservatif, anda mengundi bukan sahaja untuk mengubah kerajaan tetapi mengubah keseluruhan sistem pentadbiran negara," kata Cameron di selatan London, semalam.
"(Manifesto kami) adalah kuasa rakyat, bukan kuasa kerajaan. Masyarakat besar, bukan kerajaan besar. Kita semua mampu mengubahnya," tambah pemimpin tersebut.
Antara perubahan drastik yang dijanjikan Parti Konservatif termasuk memberikan kuasa veto kepada orang ramai bagi menentukan kenaikan cukai tempatan dan mengadakan referendum untuk sebarang isu jika partinya memperoleh sokongan lima peratus rakyat Britain.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown melancarkan manifesto Parti Buruh kelmarin dan turut berjanji akan melakukan pembaharuan termasuk memulihkan ekonomi, mengurangkan defisit dan melindungi perkhidmatan awam. - AFP

Thursday, April 1, 2010

Provokasi pembangkang gagal





Beberapa wakil pembangkang mencetuskan kekecohan sebaik sidang Dewan Undangan Negeri Perak bermula, semalam.



SEPERTI biasa, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Ipoh semalam berlangsung dalam suasana kecoh berikutan tindakan kurang sopan wakil-wakil rakyat pembangkang.
Namun berbeza dengan dua sidang sebelum ini, kekecohan yang cuba dicetuskan oleh pembangkang kali ini ternyata gagal.
Gagal kerana mereka bukan sahaja tidak berjaya mengheret rakyat mengadakan demonstrasi untuk mempertikaikan kerajaan negeri sedia ada malah, sedikit pun tidak menggugat 'kekuatan' emosi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang bersidang.
Kekecewaan jelas tergambar di wajah mereka apabila provokasi-provokasi yang dilakukan hanya memakan diri sendiri.
Akhirnya, tanpa disuruh, dengan perlahan-lahan mengambil beg masing-masing, berjalan keluar Dewan secara beramai-ramai.
Sikap yang ditunjukkan oleh wakil rakyat pembangkang ini hakikatnya jelas hanya mempermainkan hasrat dan harapan rakyat.
Dalam hal ini DUN bukanlah tempat untuk menunjuk lagak atau lakonan hebat, sebaliknya tempat menentukan nasib rakyat.
Rakyat mengundi mereka dengan harapan setinggi gunung agar dapat bersama-sama membantu menggapai bintang-bintang di langit.
Malangnya semakin hari semakin jelas bahawa bintang-bintang yang diharap bukan sahaja kian menjauh malah bertambah kelam.
Dengan sikap dan perangai yang dipertontonkan sejak pembangkang kehilangan kuasa di Perak, apakah ada lagi harapan rakyat yang menggunung ini?
Tiada salahnya tugas pembangkang kerana itu adalah saluran terbaik untuk menjadi pengimbang kepada kerajaan sedia ada.
Malangnya, peranan murni pembangkang ini tidak difahami oleh kebanyakan wakil rakyat pembangkang itu sendiri.
Akhirnya, jadilah apa yang disaksikan semalam apabila pembangkang hanya tahu membangkang sehingga kewarasan berfikir dan matlamat asal menjadi wakil rakyat semakin terpinggir.
Sedarlah bahawa rakyat bukan bodoh sepanjang masa. Mereka juga bukan penonton yang setia. Jika sikap pembangkang berterusan begini, tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada mereka.
Maka, jangan salahkan sesiapa jika suatu masa nanti kewujudan pembangkang di negara ini hanyalah dilihat sebagai 'badut-badut' yang hakikatnya tidak mampu memperjuangkan apa-apa pun.