Sunday, August 21, 2011

Novelis Azizi Abdullah meninggal dunia

GEORGETOWN: Novelis terkenal, Azizi Abdullah meninggal dunia pagi ini selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lalu.

Penolong Editor Utusan Pengguna, Mohd Ridzuan Mohamad ketika dihubungi, berkata Azizi, 69, meninggal dunia pukul 7.50 pagi di hospital itu.
Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac tahun ini dan menjalani pembedahan jantung April.
Namun, keadaan allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang.

Azizi, bekas guru Pendidikan Islam, terkenal dengan novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" ketika naskah itu dijadikan teks wajib sastera Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lalu.

Mohd Ridzuan berkata, jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim, Kedah dan dikebumikan selepas zohor.

Allahyarham bertugas sebagai Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) selepas bersara sebagai guru dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira.
Dua novel terbarunya "Anak Belantera" dan "Badai Cinta", baru sahaja memasuki pasaran bebeberapa bulan laLU. - BERNAMA , bharian

Tuduhan terhadap Strauss-Kahn mungkin digugurkan

NEW YORK: Tiga bulan selepas penahanan mengejut atas tuduhan serangan seksual, bekas ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn bakal mengetahui nasibnya esok ketika spekulasi timbul bahawa kesnya mungkin digugurkan.

Dalam episod terbaru yang pernah mengejutkan seluruh pelusuk Perancis, peguam pekerja hotel yang menuduh Strauss-Kahn memaksanya melakukan seks oral, berkata semua atau sebahagian tuduhan mungkin digugurkan.
Kenneth Thompson, yang mewakili Nafissatou Diallo, 32, membuat kenyataan selepas pendakwa mengatur pertemuan terbaru dengan anak guamnya esok menjelang perbicaraan berikutnya. - AFP, bharian

Akhbar Kompas mohon maaf kepada Najib dan keluarga

JAKARTA: Akhbar Kompas hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya atas satu laporan yang disiarkan pada 4 Ogos lalu yang berunsur fitnah.

Permohonan maaf itu adalah berkaitan dengan tulisan yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan sebuah syarikat perniagaan, yang dinafikan kebenarannya dan juga cincin berlian berharga AS$24 juta, yang sebenarnya tidak pernah dipesan oleh Rosmah.
Permohonan maaf itu juga merujuk kepada laporan mengenai bakal besan Perdana Menteri yang dikatakan kononnya mempunyai hubungan dengan mafia Rusia.
"Atas berita itu, Pemimpin Redaksi Kompas Rikard Bagun, Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada Ketua Kerajaan dan keluarga," kata Rikard dalam Kompas Minggu, hari ini.

Permohonan maaf itu terkandung di perenggan 10, muka surat 10 akhbar berkenaan dalam satu laporan bertajuk "PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di Malaysia", tulisan wartawan kanan Kompas Jimmy S. Harianto.

Harianto yang dihubungi Bernama pada Jumaat lalu berkata, beliau sendiri menyampaikan permohonan maaf secara lisan kepada Najib apabila beliau bertemu dengan Perdana Menteri di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Khamis.

Semasa pertemuan itu Najib menyatakan rasa terperanjat dengan laporan Kompas pada 4 Ogos itu.
"Saya terperanjat dengan laporan itu. Sebab faktanya, saya tahu itu tidak benar sama sekali," Najib dipetik akhbar itu dalam tulisan Harianto hari ini.

"Apa lagi hal ini berkaitan nama Ketua Kerajaan negara jiran, yang mana hubungan kita amat penting sekali," kata Najib.

Pada pertemuan dengan Najib itu, Harianto turut mengadakan wawancara khas dengan Perdana Menteri berkaitan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

Najib yang ditanya mengenai harapan Malaysia kepada Indonesia sebagai negara jiran dan Pengerusi Asean kali ini berkata, beliau mengharapkan hubungan dua hala yang sangat akrab, ibarat hubungan dua negara jiran yang mempunyai warisan yang sama dan erat daripada segi sejarah.

"Hubungan budaya, agama, dan hubungan kekeluargaan (Najib keturunan ke-11 daripada Kerajaan Gowa, Sulawesi Selatan).

"Sudah tentu hubungan Malaysia dan Indonesia ini diasaskan atas faktor yang lebih istimewa dan lebih unik, dan kita harus menterjemahkan apa yang kita warisi ini sebagai legasi dalam bentuk hubungan pada konteks masa kini. Saling memberi manfaat kepada kedua-dua bangsa," Najib dipetik sebagai berkata.

Perdana Menteri juga percaya isu pertikaian sempadan maritim kedua-dua negara akan dapat diselesaikan namun kedua-dua pihak harus ada kompromi jika mahu mencari penyelesaian politik berhubung isu itu.

Mengenai demokrasi, Najib menjelaskan bahawa demokrasi yang diamalkan di Malaysia adalah sistem yang sudah melalui proses evolusi namun prinsipnya jelas sekali bahawa tidak ada sebarang kekebalan, walaupun kepada parti pemerintah.

"Bila ada pilihan raya, parti pemerintah senasib dengan parti pembangkang. Nasib di tangan rakyat, tak berlaku sebarang manipulasi untuk menentukan kesahihan dari perolehan suara. Undi ditentukan oleh rakyat," kata Najib.

Yang selalu menjadi polemik ialah definisi keterbukaan kerana kerajaan mempunyai pendapatnya sendiri mengenai perkara itu dan parti pembangkang ada pendapatnya juga, namun prinsip utamanya ialah hak rakyat untuk memilih kerajaan secara adil dan bebas.

"Demokrasi berlaku di Malaysia. Parti pemerintah pernah kalah di peringkat negeri dan memang belum pernah di peringkat pusat," Najib menjelaskan.

Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, Perdana Menteri berkata, rakyat kini semakin yakin dengan BN berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, namun parti itu tidak menjadikan keputusan-keputusan itu sebagai ukuran mutlak.

Oleh itu BN terus berusaha dengan segala upaya membentangkan agenda dan program yang dapat memberi kepuasan dan keyakinan kepada rakyat.

"Bukan sahaja dengan (membentangkan) program kerajaan, program ekonomi, tetapi juga program yang menyentuh rakyat. Program yang memberi kelegaan dan kepuasan kepada rakyak, terutama dalam konteks fenomena inflasi global - hubungan dengan kenaikan harga makanan dunia.

"Ini semua adalah isu-isu yang perlu kita tangani. Dan yang tak kurang penting ialah menjaga komunikasi dengan rakyat," kata Najib. - BERNAMA , bharian

Pelarian Somalia jual bantuan makanan demi duit




Keadaan penuh sesak dengan pelarian di kem Seyidka, Mogadishu, Somalia, kelmarin. Pelarian terpaksa menjual bantuan makanan yang diterima bagi mendapatkan wang untuk membeli keperluan lain. - REUTERS


MOGADISHU 20 Ogos - Penduduk Somalia yang menghadapi krisis kebuluran terpaksa menjual bantuan makanan yang diterima daripada pertubuhan kemanusiaan bagi membolehkan mereka membeli keperluan harian lain dan menampung kos rawatan perubatan.
Seorang nenek, Fatuma Abdi, 81, yang menghidap kencing manis dan memelihara empat cucu selepas kematian ibu bapa mereka berkata, dia terpaksa berbuat demikian bagi membolehkannya mendapatkan rawatan dan membeli susu.
Abdi yang tinggal di Bulla Hawa, bandar di sempadan Kenya dan Somalia berkata kepadaRadio Netherlands Worldwide, sebelum ini dia berniaga secara kecil-kecilan tetapi perniagaan itu gagal diteruskan.
Selepas dimaklumkan bantuan makanan oleh badan bukan kerajaan (NGO) akan diedarkan di Mandera, Kenya yang terletak lebih satu kilometer dari rumahnya, nenek itu pergi mendapatkan bantuan berkenaan.
Dia memperoleh 50 kilogram beras dan kurma, 50 kilogram tepung gandum, tiga liter minyak masak dan tiga paket susu.
Beberapa minit kemudian, Abdi berunding dengan seorang peniaga untuk menjual makanan di luar sebuah sekolah, di mana bantuan itu diagihkan.
"Saya sakit dan perlukan rawatan. Saya jual beras dan kurma bagi mendapatkan wang untuk membeli ubat selain susu untuk cucu saya,'' jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Mohamud Ali, 65, berkata, perbuatan berkenaan bukan satu perkara baru.
"Keperluan setiap orang berbeza, namun ia bukan alasan untuk tidak menyediakan bantuan makanan,'' katanya.
Sebuah pertubuhan kemanusiaan berkata, mereka tidak dapat memantau dan mengawal penjualan bantuan makanan berkenaan. - Agensi

Tazkirah saya bersandar al-Qura

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pelakon yang kini menjadi pendakwah bebas, Azmil Mustapha berkata, tazkirah yang disampaikannya di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, kelmarin adalah bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran.
Menurutnya, antara perkara disampaikannya adalah umat Islam wajib mengutamakan Allah berbanding manusia, tidak kira siapa orang itu.
Beliau seterusnya menafikan ada mengkafirkan kerajaan dan menyampaikan ceramah berbaur hasutan politik supaya rakyat membenci Yang di-Pertuan Agong ketika memberi tazkirah sebelum solat sunat tarawih di masjid itu.
Pelakon filem Ali Setan dan Kepala Angin itu terkejut apabila laporan polis dibuat oleh bilal masjid itu, Mohd. Sani Nasib di Balai Polis Kampung Baru Subang pada pukul 11.30 pagi semalam yang mengatakan dia ada mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Saya tidak mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan apatah lagi mahu menghina Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan itu tidak berasas kerana ia tiada kena mengena dengan politik.
"Saya bukan sahaja tidak pernah mengundi pada pilihan raya umum, malah tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik di negara ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysiahari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sedang meneliti laporan polis yang dibuat dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1948.
Beliau berkata, setakat ini, siasatan kes berkenaan masih lagi di peringkat awal dan dia meminta orang ramai memberi peluang kepada polis untuk menyiasat kes itu secara terperinci.
"Dalam siasatan, kita memang akan panggil siapa yang berkenaan termasuk Azmil dan beberapa individu.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh mendedahkan semua maklumat terperinci seperti bila dan di mana sesi merakam percakapan itu akan dilakukan. Biar pihak polis jalankan siasatan dulu," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Sani Nasib memaklumkan bahawa adiknya, Mohd. Shafie mempunyai pita rakaman kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan Azmil dalam satu tazkirah di masjid berkenaan malam kelmarin.
Menurut Mohd. Sani, pita rakaman itu diserahkan oleh Mohd. Shafie kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, tindakan Azmil membuat penafian adalah dianggap sebagai menutup kesalahannya.
"Selain pita rakaman itu, terdapat puluhan jemaah yang boleh dijadikan saksi berhubung kenyataan Azmil," katanya.
"Biarlah, dia mahu menafikan dan kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

9 tahun 'dipenjara' azab dunia - Kudus

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Berbaju kemeja, seluar panjang lusuh ditambah dengan selipar buruk yang sudah dua tahun tidak berganti, tiada siapa menyangka itulah penampilan terkini bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad.
Destinasi yang hendak dituju lelaki yang cukup digeruni ramai peniaga haram di sekitar Ampang suatu ketika dahulu bukan ke rumah jiran, sebaliknya ke Seremban bagi menziarahi bapa mertuanya dan satu-satunya pilihan untuk ke sana adalah dengan menaiki bas ekspres.
Ini kerana selepas sembilan tahun turun naik mahkamah atas tuduhan rasuah selain turut diisytiharkan muflis, Abdul Kudus hilang segala-galanya sehingga memaksa beliau bergantung kepada pengangkutan awam untuk bergerak.
Namun, selepas hampir sedekad melalui azab dunia, kebenaran akhirnya berpihak kepadanya apabila terbaru, Mahkamah Rayuan memutuskan pemecatan beliau sebagai Pengarah Penguat Kuasa MPAJ lapan tahun lalu tidak sah dan bekas pegawai tentera itu layak menerima pampasan.
"Saya bersyukur kerana akhirnya kebenaran tetap mengatasi kebatilan walaupun kehidupan saya sudah musnah sejak sembilan tahun lalu. Sebenarnya tiada sebab untuk saya bergembira dengan keputusan ini kerana sepanjang sembilan tahun turun naik ke mahkamah, saya sudah 'dipenjara' secara terbuka.
"Saya hilang segala-galanya. Saya hilang isteri (bekas isteri) dan anak-anak (lima orang). Mereka dipisahkan daripada saya kerana bekas isteri malu padahal saya tidak bersalah. Sanak-saudara juga membuang saya daripada hidup mereka sehingga pernah suatu ketika saya hidup sebatang kara.
"Saya juga kehilangan ibu, iaitu satu-satunya insan yang yakin saya tidak bersalah kerana kes ini. Rumah dan kereta juga terpaksa dijual bagi melangsaikan hutang bank sehingga saya terpaksa berjalan kaki," katanya kepada Mingguan Malaysia sambil cuba menahan air mata daripada bercucuran.
Abdul Kudus ketika ditemui di rumah dua bilik yang dihuni bersama isteri dan dua anak berkata, beliau tidak boleh bercerita banyak mengenai arwah ibunya kerana tidak yakin mampu mengawal emosi memandangkan terlalu banyak pengorbanan dibuat sehingga wanita itu 'tewas' akibat terkejut dengan ugutan bunuh yang diterima anaknya.
Ditanya tidakkah keputusan Mahkamah Rayuan itu mampu melegakan beban yang terpaksa ditanggungnya selama ini, beliau yang ketika ini menyara kehidupan dengan memandu teksi berkata, azab belum berakhir kerana kesan daripada pertuduhan rasuah terus menghantui keluarganya (dengan isteri baru).
"Saya masih tidak memiliki kerja tetap yang mampu memberi pendapatan lebih stabil. Kehidupan sebagai pemandu teksi (teksi sewa) cuma cukup untuk tanggung makan dan minum. Sehingga hari ini, yuran sekolah anak-anak masih tertunggak, jauh sekali untuk bercakap soal baju raya baru," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Kudus berkata, beliau sedia untuk kembali membuktikan kepada masyarakat yang dirinya menjadi mangsa perangkap dan percaturan pihak tertentu jika ditawarkan oleh MPAJ bagi menerajui kembali unit penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.-utusan

Bapa hantar lima beradik ke rumah amal gereja

PETALING JAYA: Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak sampai dua minggu lagi, lain pula dengan nasib lima beradik beragama Islam yang terpaksa menyambut 1 Syawal di bawah pengawasan sebuah gereja, dekat sini.
Semuanya gara-gara tindakan bapa mereka menyerahkan lima beradik terbabit kepada gereja itu selepas dia dikatakan mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.

Yang menyedihkan, lelaki itu yang juga doktor, enggan menyerahkan anaknya kepada pusat jagaan kerajaan atau organisasi swasta beragama Islam biarpun pihak gereja bersedia berbuat demikian.

Menyedari masalah itu, sebuah badan kebajikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini berusaha mengeluarkan lima beradik berusia lima hingga 15 tahun itu daripada jagaan gereja.

Kes itu terbongkar selepas pengurusan gereja menghubungi pusat kebajikan terbabit kerana tidak mahu berlaku isu berbangkit, terutama selepas isu serbuan di Gereja Methodist, Damansara Utama, dekat sini, dilaporkan 4 Ogos lalu.

Mendedahkan perkara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah, berkata pengurusan gereja memaklumkan kehadiran lima beradik itu kepadanya dan ingin menyerahkan mereka kepada rumah kebajikan Baitul Fiq.


“Selepas beberapa kali membuat perbincangan dengan pengurusan gereja, mereka bersetuju menyerahkan kanak-kanak terbabit, namun hasrat itu dihalang bapa mereka dengan alasan tidak mahu anaknya diserahkan kepada pihak lain.

“Pihak gereja pula tidak mahu kehadiran kanak-kanak itu menjadi isu sensitif dan meminta mereka diserahkan kepada pihak lain (pengurusan beragama Islam),” katanya.

Menurutnya, pendirian bapa kanak-kanak terbabit menyebabkan pengurusan gereja dalam dilema dan meminta jalan penyelesaian daripada pengurusan Baitul Fiqh.

“Inilah permuafakatan yang wujud dalam konteks bebas beragama di negara kita, tetapi masalah lain pula timbul apabila waris kanak-kanak itu enggan menyerahkan anaknya kepada pihak kita.

“Sebenarnya, saya tidak pasti apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak pernah mengendalikan kes seperti ini selain tiada kuasa mengambil hak penjagaan daripada waris yang memberi amanah kepada pihak lain.

“Yang saya khuatir ialah soal akidah lima beradik itu dan saya sedih dengan tindakan si bapa menempatkan mereka dalam gereja,” katanya.

Juhaidi Yean berkata dia bersedia memberi maklumat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika diminta berbuat demikian, malah pengurusan gereja turut bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.

Katanya, lebih menyedihkan, anak sulung keluarga itu bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), tahun ini, dan kemelut yang berlaku dikhuatiri turut menjejaskan persiapan peperiksaannya.

Difahamkan, setakat ini lima beradik terbabit masih beragama Islam tetapi dikhuatiri menukar agama jika waris atau penjaga mengarahkan mereka berbuat demikian kerana hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun terletak di tangan waris. -hmetro