Saturday, July 25, 2015

Jangan sebut gaji haram, anda yang kecewakan rakyat, kata Mujahid kepada PAS

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelbagai isu termasuk makan gaji haram sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menyerang Gerakan Harapan Baru. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pelbagai isu termasuk makan gaji haram sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menyerang Gerakan Harapan Baru. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.


Kalau dengan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), ia membuatkan gaji wakil rakyat PAS haram, bagaimana pula dengan gaji mereka yang hanya mendiamkan diri apabila Pakatan Rakyat (PR) tumbang, soal Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu, yang kini pengerusi protem GHB Pulau Pinang, menuduh kepimpinan PAS gagal mengambil berat mengenai rakyat dan gabungan pembangkang.

Beliau bertanya, tidakkah itu bermakna gaji mereka juga haram kerana turut mendapat manfaat daripada sekutu mereka dengan PR sebelum ini.



Mujahid berkata, isu dimainkan bagi menentang GHB, yang dibentuk satu kumpulan serpihan PAS, dan surat khabar arus perdana seperti Utusan Malaysia, digunakan bagi menyerang gerakan baharu itu.
"Sesuatu yang menyedihkan apabila ada orang daripada parti, yang merupakan sebahagian PR, kini menyerang gerakan baharu ini.

"Mereka membuat kenyataan tidak logik, contohnya wakil rakyat yang menyertai GHB makan gaji haram kerana mereka menang pilihan raya atas tiket PAS.

"Saya ingin bertanya mereka, adakah gaji wakil rakyat yang gagal menjaga rakyat dan yang menyerang PR juga haram?

"Saya ingin bertanya, adakah mereka menang pilihan raya kerana PR atau hanya kerana mereka daripada PAS?" soalnya pada rumah terbuka Hari Raya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dan GHB di Komtar, Pulau Pinang malam tadi.

Mujahid berkata, calon PAS yang menang pada pilihan raya umum 2008 dan 2013 berhutang kemenangan mereka kepada PR, memetik kemenangan sendiri di Parit Buntar sebagai contoh.

Ahli Parlimen dua penggal itu berkata, 26,000 undi dan majoriti 8,000 yang diperolehinya bukan semata-mata kerana PAS.

Beliau berkata, hanya terdapat 4,000 ahli PAS di Parit Buntar, dan paling banyak pun, jika tiada seorang pun daripada mereka mengundinya, beliau masih dapat mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 8,000 kerana sokongan yang dia dapat dengan menjadi sebahagian daripada PR.

"Fikirkanlah. Ia merupakan satu fakta yang undi itu bukan saja datang dari PAS. Adakah saya mendapat gaji dan elaun saya secara haram?

"Hati-hati sebelum mengeluarkan fatwa menuduh orang lain makan wang haram," katanya.

Mursyidul am PAS Datuk Haron Din sebelum ini berkata, wakil rakyat parti itu yang menyokong GHB menikmati gaji dan elaun yang diperolehi secara haram kerana mereka memenangi kerusi mereka atas tiket PAS.

Beliau berkata mereka yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya itu mengangkat bai'ah untuk setia dan tidak mengkhianati parti, dan menasihatkan mereka berhati-hati kerana janji itu dibuat dengan nama Allah.

"Saya menasihatkan pihak yang berbaiah supaya merenung sedalam-dalamnya kehendak baiah itu kerana mereka berbaiah dengan Allah.

"Jika berlaku khianat, mereka khianat dengan Allah. Lebih-lebih lagi dalam baiah yang menyebut soal elaun dan gaji kerana ia haram dimakan jika berlaku pelanggaran baiah," beliau dipetik berkata akhbar Berita Harian semalam.

Mujahid, bagaimanapun, memberi amaran supaya tidak bermain dengan agama dan ajarannya atau berdepan risiko menimbulkan persepsi yang salah tentang Islam.

Beliau berkata, tidak wajar mempermainkan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan agama dan undang-undang tanpa pengetahuan dan pemahaman yang betul, membuatkan orang lain memandang serong kepada Islam.

Menyangkal dakwaan pengkritik GHB, beliau berkata, Allah hanya mengambil janji yang dibuat dengan bersungguh-sungguh, bukan yang dibuat dengan sia-sia.

Namun, katanya, sekiranya seseorang melanggar sumpahnya, dia boleh membayar denda (kaffarah) dengan memberi makan atau pakaian kepada 10 orang miskin, atau berpuasa selama tiga hari.

"Nabi juga berkata jika ada sesuatu yang lebih baik daripada sumpah yang lebih awal, seseorang itu perlu memilih untuk memenuhi perkara yang yang lebih baik itu dengan membayar denda yang diperlukan.

"Inilah apa yang kita (GHB) cuba lakukan, bukan untuk kesejahteraan kita sendiri tetapi untuk kepentingan semua orang di negara ini.

"Ajaran Islam tidak bermaksud untuk membebankan rakyat... Walaupun sumpah dilanggar, ia tidak bermakna seseorang itu hilang kepercayaan atau mati kerana kejahilan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap kepada pengunjung di rumah terbuka itu, Mujahid berkata perjuangannya kini adalah terhadap sebuah kerajaan yang korup.

Beliau berkata, penggantungan tiga bulan The Edge dan The Edge Financial Daily berhubung pendedahan penerbitan itu mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap ahli parlimen DAP Tony Pua dan beberapa orang lain, tidak boleh diterima. – 25 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-sebut-gaji-haram-anda-yang-kecewakan-rakyat-kata-mujahid-kepada-pas#sthash.uc67Hq7o.dpuf

Berbekal RM15 balik kampung

Port Dickson: Hanya berbekalkan RM15, seorang ibu nekad membawa dua anaknya menaiki sebuah motosikal dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung halaman di Tebrau, Johor selepas mendakwa ditinggalkan suami.
Difahamkan, Normaliza Mustafa, 36, bersama suami dan dua anak lelaki Muhamad Shariz Daniel Abdullah, 11, dan Muhamad Shafiz Daniel, 10, hidup sebagai gelandangan di ibu kota, sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, suami yang berusia 37 tahun dikatakan menghilangkan diri sebelum Ramadan lalu dan gagal dikesan sehingga kelmarin, menyebabkan dia membuat keputusan membawa dua anak lelakinya itu pulang ke kampung untuk memulakan kehidupan baru.
Tiga beranak terbabit menaiki motosikal Honda Wave menempuh perjalanan sejauh 90 kilometer melalui Sepang sebelum terpaksa berhenti di Surau Al Hijrah Bandar Springhill dekat sini, selepas kehabisan petrol dan tiada wang.
Mengimbau kembali kisah hidupnya, Normaliza, suami dan anak sememangnya menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Desa Mutiara, Tebrau, Johor sebelum datang ke Kuala Lumpur pada Oktober 2013 untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya bagi menguruskan surat beranak anak.
Namun, sebaik tiba di ibu kota, pelbagai dugaan ditempuhi kerana tiada tempat tinggal dan dua anaknya iaitu Nordiana Shafiza, 12, yang ketika itu berusia 10 tahun manakala Shafiz baru berusia lapan tahun hilang.
Dengan bantuan pelbagai pihak, kedua-dua anaknya itu ditemui semula sebulan kemudian sebelum keluarganya dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk menempatkan empat anaknya di sebuah rumah kebajikan di Cheras, Kuala Lumpur, sementara dia dan suami mencari kerja.
“Lebih dua tahun kami hidup merempat. Saya mempunyai enam anak berusia 11 bulan sehingga 12 tahun, tetapi empat daripadanya saya tempatkan di sebuah rumah kebajikan kerana tidak mampu. Saya mengambil upah membasuh pinggan di beberapa restoran dan kadangkala mengemis demi sesuap nasi.
“Secara tiba-tiba suami menghilangkan diri beberapa hari sebelum menyambut Ramadan. Saya cuba mencarinya tetapi gagal, mungkin dia sudah tidak sanggup lagi hidup susah dengan saya,” katanya ketika ditemui di Surau Al Hijrah, malam kelmarin.
Normaliza, Shariz dan Shafiz tiba di surau berkenaan kira-kira jam 8 malam sebelum dibantu jemaah surau yang membuat kutipan dan berjaya mengumpulkan lebih RM200 untuk membantu tiga beranak terbabit meneruskan perjalanan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 8:43 AM


NORMALIZA bersama dua anaknya hanya menaiki motosikal dari Kuala Lumpur ke Tebrau.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/65815#sthash.lEKmgIpI.dpuf

Ahli Parlimen susukan bayi cetus kontroversi


Tindakan ahli Parlimen Argentina, Victoria Donda Perez menyusukan
TINDAKAN ahli Parlimen Argentina, Victoria Donda Perez menyusukan bayinya ketika sidang Parlimen baru-baru ini, mengundang kontroversi apabila ada pihak merasakan aksi itu kurang sopan. AGENSI
BUENOS AIRES 24 Julai - Naluri seorang ibu tidak akan dapat disembunyikan, walau dalam situasi apa sekalipun, dan keadaan itu dibuktikan oleh seorang anggota Parlimen wanita di Argentina, yang sanggup melakukan apa sahaja demi anak kecilnya yang kelaparan, walaupun perbuatannya itu memalukan dirinya sendiri.
Portal Mail Online melaporkan, anggota Parlimen berkenaan, Victoria Donda Perez, bertindak ‘membuka bajunya’ di Parlimen, di sini awal bulan lalu ketika dewan bersidang semata-mata untuk menyusukan anak perempuannya yang berusia lapan bulan.
Bagaimanapun tindakan Perez, 37, mengundang kritikan pelbagai pihak yang menganggapnya tidak sesuai pada majlis rasmi.
Beberapa keping gambar Perez sedang menyusukan bayinya di Parlimen tersebar di media sosial awal bulan ini dan menimbulkan keadaan kurang selesa, namun tidak kurang juga yang memuji sikapnya yang sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya.
Perez yang asalnya seorang aktivis hak asasi dan juga seorang peguam, muncul sebagai wanita pa­ling muda dipilih menjadi nggota Kongres Kebangsaan Argentina pada 2007 dan sejak itu, ahli politik itu dikenali sebagai ‘Dipusex’ atau anggota Parlimen seksi.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Juana melahirkan rasa kagum dengan sikap Perez itu di Twitter,
“Saya mengagumi Perez kerana ramai ibu muda hari ini sanggup meninggalkan anak mereka, walaupun masih menyusu badan sedangkan mereka mengetahui susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi,” tulisnya.
Ada juga pengguna media sosial yang tidak selesa dengan tindakan Perez yang dianggap kurang sopan.
“Anda sepatutnya lebih sopan walaupun mahu menyusukan bayi,” ujar Zuzanne.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ahli-parlimen-susukan-bayi-cetus-kontroversi-1.116613#sthash.NqsVl3rd.dpuf

MH370 akan dijumpai - Australia


kehilangan pesawat MH370 turut mendapat perhatian negara India,
KEHILANGAN pesawat MH370 turut mendapat perhatian negara India, apabila satu ukiran pasir bertemakan jet penumpang tersebut dihasilkan di Pantai Puri, kira-kira 65 kilometer dari Bhubaneswar pada 14 Mac tahun lalu. AFP
SYDNEY 24 Julai – Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berikrar pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi sejak 8 Mac tahun lepas akan ditemukan dalam tempoh setahun.
Laman web Ekspress melaporkan, pegawai biro tersebut yang mengetuai operasi mencari pesawat berkenaan, Martin Dolan melahirkan keyakinan bangkai pesawat berkenaan akan ditemukan tidak lama lagi.
“Apabila kami mulakan operasi dan mendefinisikan kawasan mencari, jelas operasi ini akan memakan masa dalam tempoh dua tahun.
“Kami masih yakin pesawat itu akan dijumpai menjelang tahun depan,’’ katanya.
Beliau berkata, semua analisis yang telah dilakukan menempatkan pesawat MH370 berkenaan dalam zon mencari tersebut.
“Kami tiada maklumat lain yang membenarkan kami untuk melibatkan kawasan lain dan kerajaan menerima keputusan ini,’’ katanya.
Misi pencarian setakat ini telah meliputi separuh daripada zon seluas 120,000 kilometer persegi dengan operasi di baki kawasan tersebut dijangka dilakukan pada tahun depan.
Terdapat sejumlah teori menyatakan lokasi pesawat tersebut hilang termasuk di Teluk Bengal selepas penduduk Maldives melihat sebuah pesawat terbang rendah ketika kehilangan pesawat MH370.
Bagaimanapun, Dolan menolak semua teori berkenaan dan menyatakan semua maklumat menunjukkan pesawat MH370 berada di zon kawasan pencarian.
Kehilangan pesawat Boeing 777 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hari ini memasuki hari ke-500.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mh370-akan-dijumpai-australia-1.116604#sthash.etdlANnV.dpuf