Thursday, June 9, 2011

2 REMAJA GENG MINYAK DITEMBAK DALAM KEADAAN MANGSA MELUTUT? ~ Pemuda PAS Wangsa Maju


KUALA LUMPUR, 9 Jun — Peguam hak asasi N Surendran yang mewakili Lawyers For Liberty hari ini mendedahkan dua daripada tiga remaja yang ditembak mati polis di Glenmarie, Shah Alam, tahun lalu disebabkan tembakan dari arah dekat.


Surendran berkata, berdasarkan laporan bedah yang diterima beliau dua hari lepas membuktikan kedua-dua remaja itu Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, dan Mohd Khairul Nizam Tuah ditembak ketika berada dalam keadaan melutut.

Bagaimanapun laporan bedah siasatan seorang lagi mangsa Muhamad Hanafi Omar,22, masih belum diterima.

Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak 13 Disember lalu.

Menurut laporan media sebelum ini ketiga-tiga remaja ini disyaki sebagai ahli Geng Minyak dan mati ditembak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Kejadian ini berlaku di Glenmarie dan Timbalan Ketua Polis Selangor (Datuk A Thaiveegan) mengatakan ketiga-tiga remaja ini adalah penjenayah dengan parang dan ditembak ketika cuba menyerang polis.

“Namun berdasarkan kepada keterangan saintifik dan laporan bedah siasat versi yang dikatakan polis itu adalah palsu dan saya ada bukti mengatakan ketiga-tiga remaja ini telah dibunuh oleh pihak polis dengan sengaja.

“Polis kata mereka ditembak kerana cuba menyerang polis dengan parang tapi kalau benar mereka menyerang polis tapi kenapa luka tembakan Mohd Shamil dan Mohd Khairul Nizam berada di dahi dan sisi dahi... kalau mereka menyerang sudah tentu luka tembakan itu dari depan bukan dari tepi kecuali kalau peluru itu boleh melencong,” kata Surendran pada sidang media di sini.

Turut hadir dalam sidang media itu keluarga ketiga-tiga remaja malang iaitu Hamidah Kadar, 51, iaitu ibu Mohd Khairul Nizam, Norhafizah Mad Razali, 37, yang merupakan ibu Mohd Shamil dan bapa Mohamad Hanafi, Omar Abu Bakar, 58.

Thaiveegan sebelum ini berkata ketiga-tiga remaja itu yang memandu kereta jenis Proton Waja enggan berhenti lalu dikejar sehingga mereka terlanggar kenderaan polis sebelum terbabas ke kiri jalan.

Ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang kemudian keluar dan cuba menyerang polis, menyebabkan anggota polis tiada pilihan selain melepaskan beberapa das tembakan.

Dalam laporan bedah siasatan yang diedarkan kepada media, Mohd Shamil meninggal dunia kerana kecedaraan di kepala akibat luka tembakan senjata api.

Remaja malang itu mengalami dua luka yang selaras dengan luka tembakan senjata api iaitu tanda kecederaan di bahagian dahi dan di dada kanan, kedua-dua luka itu tembus keluar di bahagian tengkuk dan sisi kanan belakang badan.

Laporan itu juga menunjukkan tiada luka mempertahankan diri.
2 REMAJA GENG MINYAK DITEMBAK DALAM KEADAAN MANGA MELUTUT? ~ Pemuda PAS Wangsa Maju

Harga Jualan Hartanah Mohamad Khir RM6.5 Juta - Saksi

SHAH ALAM: Perbicaraan kes Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bermula Rabu dengan pemilik asal dua tanah lot di Seksyen 7, di sini memberitahu, tanah tersebut dijual pada harga RM6.5 juta.

Saksi pertama pendakwaan, Saiful Aznir Shahabudin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Kebangsaan Berhad memberitahu, tanah itu dijual kepada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni yang telah dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir.

Kata Saiful Aznir, 51, beliau pada mulanya berhasrat untuk menjual tanah tersebut harga RM7 juta.

"Saya mula bercadang untuk menjual tanah itu pada tahun 2004. Ini kerana saya mengambil hutang bank yang agak banyak, iaitu lebih kurang RM20,000 sebulan. Saya tidak mampu untuk tanggung lagi," katanya.

Kata Shaiful Aznir lagi, beliau telah meminta bantuan kawan-kawan dan bapanya untuk mencari pembeli hartanah tersebut.

Seterusnya, saksi memberitahu, kawan kepada bapanya yang bernama Datuk Sumadi Ismail telah membawa dua pembeli berpotensi iaitu Shamsuddin dan Mohamad Khir berjumpanya.

"Mohamad Khir datang melihat rumah saya bersama isterinya, Zahrah Kechik dan tanya harga. Mereka kata RM7 juta terlalu mahal," tambahnya.

Saksi seterusnya berkata, Shamsuddin juga ada datang ke rumah untuk berbincang dan beliau akhirnya bersetuju untuk menjual tanah seluas kira-kira 4,645 meter persegi pada harga yang lebih rendah.

Tanah tersebut yang mengandungi sebuah banglo berkeluasan 1,393 meter persegi, garaj yang boleh memuatkan empat buah kereta, kolam renang, kolam ikan dan lanskap dijual kepada Ditamas menerusi Shamsuddin pada 23 Disember 2004.

Pada keterangan lain, Shaiful Aznir mengakui dua tanah tersebut dibeli pada tahun 1995 dan 1996 pada harga RM1.3 juta.

Bagaimanapun, menjawab soalan peguam Mohamad Khir, M. Athimulan, saksi bersetuju bahawa berdasarkan surat pindah milik, tanah itu dijual pada harga RM5 juta.

"Saya tidak ingat siapa yang mencadangkan harga tersebut tetapi saya bersetuju dengannya," katanya dan menambah tidak dipaksa untuk menjual pada harga itu.

Beliau juga mengakui bahawa tidak mendapatkan sebarang khidmat untuk menilai harga pasaran hartanah tersebut

Mohamad Khir, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 6 Disember tahun lalu atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

mStar Online : Harga Jualan Hartanah Mohamad Khir RM6.5 Juta - Saksi

Shamsudin Berurusan Secara Terus Dengan Mohamad Khir

SHAH ALAM: Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa beliau berurusan secara terus dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Shamsuddin, 55, yang merupakan saksi kedua pada perbicaraan dakwaan salah guna kuasa oleh Mohamad Khir menambah, beliau mula mengenali Mohamad Khir sejak beliau mula menjawat jawatan tertinggi di Selangor itu.

"Saya seorang ahli perniagaan dan biasa berjumpa dengan Mohamad Khir atas urusan kerja untuk memperkenalkan syarikat dan membuat cadangan tentang projek oleh syarikat," katanya.

Selain itu, Shamsuddin juga mengakui turut berurusan dengan Datuk Abu Hassan Omar yang menjawat jawatan Menteri Besar sebelum Mohamad Khir.

Shamsuddin yang mempunyai pelbagai syarikat yang berkaitan dengan pembangunan hartanah dan pembinaan juga mengakui syarikatnya banyak berurusan dengan kerajaan Selangor.

Antaranya ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodakan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Beliau seterusnya memberitahu, antara projek yang dijalankan adalah projek pembangunan hartanah untuk mendirikan rumah kediaman di Bandar Baru Bangi, dekat sini di bawah syarikat miliknya, Roniaga Sdn Bhd.

"Alhamdulillah, projek tersebut berjalan lancar. Terdapat tiga fasa kesemuanya dan fasa pertama serta fasa kedua telah siap manakala kerja-kerja fasa ketiga sedang berjalan," tambahnya.

Bagaimanapun, apabila disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahad Mohamed, saksi mengakui berdasarkan surat perjanjian yang ditandatangani bersama PKNS pada 9 Mei 2002 projek itu sepatutnya siap pada tahun 2006.

"Saya ada membuat permohonan lanjutan masa secara bersurat dan dialamatkan kepada Pengurus Besar PKNS, iaitu Menteri Besar dan dinyatakan sebab-sebab permohonan.

"Saya menghantar surat itu dengan cara menghubungi dan diserahkan sendiri kepada Mohamad Khir," katanya.

Menjawab soalan mengenai dua lot tanah dan sebuah rumah yang didakwa dibeli oleh Mohamad Khir daripada saksi pada harga yang murah, Shamsuddin memberitahu hartanah tersebut adalah milik Shaiful Aznir Shahabudin.

Katanya, beliau mengetahui Shaiful Aznir, 51, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Permodalan Kebangsaan Berhad berhasrat menjual hartanah tersebut daripada seorang kawan, Datuk Sumadi Ismail.

"Saya dan Sumadi ada melawat rumah tersebut dan Shaiful Aznir menawarkan mahu menjual pada harga RM7 juta. Saya rasa ia terlalu mahal...," katanya.

Percakapan saksi terhenti pada saat itu dan beliau dilihat tidak dapat meneruskan percakapannya dan sering mengulangkan jawapan bagaimana beliau berjumpa Shaiful Aznir.

Apabila ditegur oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, saksi berulang kali memohon maaf.

"Dah banyak sangat kamu minta maaf. Kamu sihat atau ada masalah kesihatan?," kata Mohtarudin.

Peguam Tan Hock Chuan yang bertindak sebagai peguam pemerhati kepada Shamsuddin kemudiannya memohon agar prosiding ditangguhkan sementara untuk membolehkan anak guamnya berehat.

Bagaimanapun, pihak media kemudiannya dimaklumkan bahawa perbicaraan akan bersambung pada Khamis.

Dalam kes ini, Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas pertuduhan mendapatkan bagi dirinya isteri, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

mStar Online : Shamsudin Berurusan Secara Terus Dengan Mohamad Khir

PM Thai tuduh pembangkang menutup jenayah Thaksin

BANGKOK: Perdana Menteri Thailoand, Encik Abhisit Vejjajiva, semalam menuduh pihak pembangkang menimbulkan ketegangan politik dengan menutup keburukan jenayah pemimpin de facto mereka, mantan PM, Encik Thaksin Shinawatra.

Encik Abhisit sedang berada di tengah-tengah saingan merebut kawasan undi yang sengit, menentang para penyokong Encik Thaksin dari Parti Puea Thai.

Para penyokong Encik Thaksin inginkan pengampunan diberikan kepada ahli politik yang dituduh atau didapati bersalah, jika mereka memenangi Pilihan Raya Umum Thai pada 3 Julai depan.

Langkah itu mungkin merintis jalan bagi kepulangan Encik Thaksin, yang digulingkan dalam rampasan kuasa 2006.

Encik Thaksin kini tinggal di luar negara kerana mengelak menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah.

Encik Abhisit, yang mengetuai Parti Demokrat, berkata ia tidak masuk akal bagi parti-parti politik untuk cuba memperkenalkan isu perbalahan baru seperti menutup keburukan Encik Thaksin.

'Saya tidak fikir rancangan mereka (Parti Puea Thai) adalah untuk berdamai,' ujar Encik Abhisit kepada media luar negara di ibu kota negara itu semalam.

Katanya, salah seorang pemimpin Parti Puea Thai, Encik Chalerm Yubamrung, agak jelas tentang hal itu.

'Dia mahu Encik Thaksin kembali dan pada dasarnya, menutupi keburukan Encik Thaksin, dan kami tawarkan kepada negara ini untuk bergerak melangkaui masalah itu.

Adik perempuan Encik Thaksin, pendatang baru politik, Cik Yingluck Shinawatra, adalah calon utama Parti Puea Thai bagi jawatan perdana menteri.

Ia menunjukkan penguasaan abangnya dalam arena politik Thai yang berpecah-belah. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Buat kerja tapi tak dibayar gaji




BERBULAN TANPA GAJI: Haji Ahmad yang sibuk menelefon rakan-rakan senasib, berharap MOM akan bantu mendapatkan semula gaji yang tersangkut daripada majikan mereka, Active Security and Investigation Services Pte Ltd. -- Foto SAINI SALLEH


SINGAPURA
Syarikat diarah bayar $66,486 kepada 21 pengawal keselamatan

Oleh
Saini Salleh

ADA kerja ada gaji.
Tetapi, bagi Haji Ahmad Sinan dan rakan-rakannya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan, mereka terpaksa menggigit jari.Keadaan itu berlaku setelah majikan mereka tidak memberikan gaji bukan sehari dua tetapi sampai berbulan walaupun mereka memerah keringat dan menyengkang mata.Majikan mereka, Active Security and Investigation Services Pte Ltd, dikatakan telah memberikan pelbagai alasan mengapa ia tidak memberikan gaji apabila tiba harinya.Haji Ahmad, 73 tahun, ayah empat anak, hanya diberi sebahagian daripada gajinya pada November dan Disember tahun lalu. Bagai Januari dan Feruari lalu, beliau mendakwa tidak diberikan gaji langsung.Tunggakan gajinya dikatakan mencecah $3,477.Tetapi, jika tunggakan gaji bagi 20 lagi rakannya diambil kira, jumlahnya mencecah hampir $66,500.'Kami bekerja mengharapkan gaji bagi menyara hidup keluarga. Bayangkan kalau kami dah bekerja dengan bersengkang mata tetapi apabila tiba hari gaji tiba, majikan buat bodoh dan memberi macam- macam alasan.'Apakah yang patut kami katakan kepada anak isteri kami yang bergantung kepada mata pencarian kami?' tanya Haji Ahmad, yang bekerja syif malam - dari 8 malam hingga 8 pagi - setiap hari di sebuah kilang di Senoko, Sembawang.Menyingkap masalah yang dihadapinya itu, beliau berkata para pekerja sepertinya yang berpendapatan kecil, terus bekerja meskipun dibayar sebahagian gaji pada November dan Disember lalu.Pada bulan berikutnya, beliau dan rakan-rakan bertambah marah kerana tiada sesen pun gaji yang diberi.'Seorang pengurus pihak majikan berkata mereka belum mendapat bayaran daripada pihak pengurusan.'Tetapi apabila saya tanya pihak pengurusan, mereka kata telah bayar. Sekarang mana satu yang betul?' tanya Haji Ahmad, sambil berkata beliau bingit dengan pelbagai alasan pihak majikan.Haji Ahmad dan beberapa rakan senasib kemudian meletakkan jawatan pada 15 Februari lalu.Beliau, yang menyertai sebuah syarikat pengawal keselamatan lain sehari dua kemudian, tidak berdiam diri.Mereka mengadu nasib kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Februari lalu.Rakan-rakannya, yang kebanyakannya warga senja, juga telah mencari pekerjaan lain untuk terus mencari rezeki.Hasil tuntutan yang dibuat di bawah Akta Pekerjaan, MOM merujukkan kes tersebut kepada Mahkamah Buruh yang mengadakan persidangan bagi mendengar masalah para pekerja itu pada 1 April lalu.Majikan mereka tidak menghadiri sesi tersebut.Hasil daripada sesi tersebut, Active Security telah diarah supaya membayar $66,486.72 kepada para pekerja terlibat.'Kami mulanya gembira apabila dimaklumkan Mahkamah Buruh telah mengeluarkan perintah yang menyebelahi kami. Perintah itu bermakna bekas majikan kami mesti membayar hutang gaji kami.'Tetapi hingga sekarang, sesen pun kami belum terima. Kami berharap MOM akan bantu menuntut hak kami,' kata Haji Ahmad ketika datang ke pejabat Berita Harian baru-baru ini.Cyberita Online Singapura

Penubuhan Kelab Isteri Taat dikecam

Puteri UMNO bidas organisasi pentingkan nafsu untuk kekal keharmonian rumah tangga

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mengecam penubuhan Kelab Isteri Taat yang dilihat hanya mementingkan nafsu semata-mata untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, berkata penubuhan kelab yang kononnya untuk mengajar wanita menjadi setia dan menjalankan tanggungjawab terhadap suami adalah usaha sia-sia serta tidak sejajar dengan tuntutan Islam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, Islam menuntut suami menghormati isteri dan bukannya menjadikan isteri objek seks dalam rumah tangga.
“Adakah dengan hanya pandai melayan suami di atas katil menjadikan rumah tangga bahagia dan adakah hanya isteri saja yang mesti pandai melayan suami, bagaimana pula dengan peranan suami di atas katil,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed baru-baru ini mengingatkan golongan isteri supaya patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’.

Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak sehingga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim meminta Pendaftar Pertubuhan meneliti semula kelulusan pendaftaran kelab berkenaan.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa wanita tidak menyertai kelab berkenaan kerana menyamakan tugas isteri melayan suami seperti tugas pelacur melayan pelanggan.
Sambil menyifatkan kenyataan itu ibarat meletakkan martabat seorang isteri serendah pelacur, Timbalan Presiden PGSM, Musa Awang, berkata isteri bukan pekerja seks bagi suami kerana tugas isteri melayan suami adalah satu ibadat yang diberi ganjaran pahala daripada Allah.

“Walaupun suami diwajib memberikan nafkah kepada isteri dalam bentuk tempat tinggal, makan minum, pakaian atau wang ringgit, ia bukanlah sebagai ganti kepada khidmat seks yang isteri berikan,” katanya.
Berita Harian Online | Penubuhan Kelab Isteri Taat dikecam