Showing posts with label Batu Sapi. Show all posts
Showing posts with label Batu Sapi. Show all posts

Friday, November 26, 2010

Batu Sapi perlu dinaik taraf






Batu yang menyerupai lembu atau sapi ini dikatakan terjadi akibat sumpahan ke atas seekor lembu. - utusan/MOHD. NAIM AZIZ


SANDAKAN 25 Nov. - Selain Kota Kinabalu, Sandakan yang merupakan bandar kedua terbesar di negeri ini juga terkenal dengan pelbagai destinasi pelancongan.
Antara yang utama ialah Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok, Pulau Penyu serta Pulau Berhala.
Namun terdapat satu lagi tarikan yang pastinya mampu menggamit pelancong ke daerah ini iaitu formasi batu yang menyerupai lembu atau sapi mengikut panggilan masyarakat tempatan.
Batu yang terletak berdekatan pantai dekat sini dikatakan terjadi akibat sumpahan ke atas seekor lembu.
Di bawah batu berkenaan terdapat batu seakan seekor buaya yang dikatakan turut terkena sumpahan.
Kewujudan formasi batu itu sendiri cukup signifikan kepada penduduk hinggakan daerah kecil di sini dinamakan Batu Sapi.
Jadi sebagai nama dan replika daerah kecil Batu Sapi, batu berkenaan pastinya amat bermakna sekali bagi penduduk.
Malah bagi pelancong yang berkunjung ke Batu Sapi, pastinya tidak sah jika tidak pergi ke lokasi batu berkenaan yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari bandar ini untuk bergambar kenangan.
Maka atas dasar itulah sebuah taman yang dikenali sebagai Taman Warisan Batu Sapi diwujudkan di daerah itu.
Namun taman yang dibuka enam hari seminggu itu dilihat masih perlu diperbaiki bagi menarik lebih ramai pelancong.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati taman berkenaan mempunyai kemudahan asas seperti pondok rehat dan tandas.
Namun infrastruktur di kawasan itu tidak diselenggara dengan baik.
Laluan menuju ke formasi Batu Sapi juga dilihat tidak berturap dan menyukarkan pengguna apabila hujan.
Malah, kawasan berkenaan khususnya di pantai yang menempatkan Batu Sapi juga dilihat begitu kotor dengan dipenuhi sampah seperti botol, plastik dan sisa-sisa kayu.
Seorang pengunjung, Nuri Jamin, 30, berkata, batu berkenaan amat menarik dan kawasan berkenaan amat sesuai menjadi lokasi riadah.
Namun katanya, dia agak kecewa kerana kawasan berkenaan tidak diselenggara dengan baik khususnya dari aspek kebersihan.
"Inilah pertama kali saya datang ke sini, saya memang teruja apabila sampai di sini tetapi agak terkejut apabila melihat sampah memenuhi pantai di sini.
"Jadi saya berharap satu tindakan dibuat dengan segera bagi membersihkan sampah di sini di samping menyelenggara kemudahan yang ada dengan baik," katanya.
Beliau memberitahu, keadaan sampah tersebut tidak harus dipandang ringan kerana akan memberikan gambaran buruk kepada pelancong tentang keadaan negeri ini.
Seorang lagi pengunjung, Awang Pasih Abdul Kahar, 33, berkata, kawasan itu perlu diselenggara dengan baik bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan pengunjung.
Dia memberitahu, tandas yang ada harus dibersihkan dan dipastikan dapat digunakan pengunjung.
"Tandas di sini saya lihat telah rosak menyebabkan pengunjung sukar untuk menggunakannya.
"Selain itu saya melihat rumput di kawasan lapang yang ada berhampiran juga harus dibersihkan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung," katanya.
Tambahnya, beliau juga berharap pelbagai lagi kemudahan infrastruktur dapat diwujudkan di sini seperti taman permainan kanak-kanak dan sebagainya.
Dalam pada itu katanya, pihak terbabit juga perlu meletakkan papan kenyataan memaparkan maklumat mengenai batu tersebut bagi kemudahan pengunjung.
"Pada masa ini agak sukar bagi kami untuk mendapatkan maklumat mengenai kewujudan batu ini termasuk legenda batu ini yang sering diperkatakan," katanya.
Seorang pekerja swasta, Rubiah Derais, 29, berkata, selain menaik taraf kawasan itu, pihak terbabit juga harus menggiatkan usaha mempromosi kawasan itu.
Ujarnya, tapak warisan itu harus dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah.

Friday, November 5, 2010

BN kekal kerusi Batu Sapi dengan majoriti besar



Linda Tsen Thau Lin mengangkat tangan setelah diumumkan menang oleh Pengurus Pilihan Raya Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain (dua kanan) sambil diperhatikan calon PKR, Ansari Abdullah dan calon SAPP, Yong Teck Lee di Dewan Masyarakat Sandakan, Sabah, malam tadi.


SANDAKAN 4 Nov. - Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti besar, 6,359 undi, walaupun terpaksa berdepan dengan dua parti lawan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin memperoleh 9,773 undi mengalahkan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee 2,031 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansaari Abdullah 3,414 undi.
Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain pada pukul 8.33 malam di Dewan Majlis Perbandaran Sandakan di sini hari ini.
"Dengan ini saya mengumumkan Ahli Dewan Rakyat yang dipilih bagi kerusi P.185 Batu Sapi ialah Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.
Sebanyak 372 undi rosak manakala 61.47 peratus atau 15,774 daripada 25,582 pengundi telah keluar mengundi.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah meninggal dunia pada 9 Oktober lalu setelah terbabit dalam kemalangan maut di Kota Kinabalu.
Proses pengiraan 46 kotak pembuangan undi termasuk undi pos di 12 pusat pengundian selesai pada pukul 7.45 malam sebelum pengumuman calon yang menang dibuat oleh Mohamad Hamsan.
Kemenangan Linda Tsen turut diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan pemimpin parti komponen BN lain.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan rakyat Sabah masih berdiri teguh di belakang kerajaan BN dan menyokong gagasan 1 Malaysia.
Keupayaan calon BN mengumpul majoriti besar, walaupun jumlah peratusan mengundi rendah, hanya 61.47 peratus berbanding 63.06 peratus pada Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan rakyat di Batu Sapi masih setia bersama BN.
Pada pilihan raya umum 2008, calon BN, mendiang Edmund menang dengan majoriti 3,708 setelah mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing (Bebas) yang hanya mengumpul 5,771.

Tuesday, October 26, 2010

PRK Batu Sapi: Pertandingan 3 penjuru


DATIN Linda Tsen Tsau Lin, calon Barisan Nasional (tengah), bersama Datuk Yong Teck Lee (kanan), calon dan merangkap Presiden SAPP dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan, hari ini. - Foto Edmund Samunting. 

26/10/2010 11:55am

SANDAKAN 26 Okt. - Seperti dijangkakan, Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berhadapan dengan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah, dan PKR diwakili peguam terkenal Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.

Senarai calon pilihan raya kecil pada 4 November itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Sandakan.

Mohamad Hamsan menerima borang pencalonan ketiga-tiga calon selepas tiada isu dibangkitkan semasa tempoh bantahan selama sejam.

Ansari mendahului calon-calon lain apabila tiba di Dewan Komuniti Sandakan pada pukul 9.02 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti oleh Yong pada 9.05 pagi dan selepas itu calon BN, Tsen pada pukul 9.06 pagi.
Ribuan penyokong hadir berkumpul seawal pukul 5.45 pagi untuk mengiringi calon masing-masing.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu di Kota Kinabalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai penyokong BN bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan para penyokong mengiringi calon parti itu, Linda di pusat penamaan calon.
Antara pemimpin parti komponen BN adalah Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas dan wakil wakil parti komponen. - Bernama

Monday, October 25, 2010

Linda Tsen calon BN Batu Sapi





MUSA Aman berganding tangan dengan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Linda Tsen Thau Lin (tengah) ketika sidang akhbar di Sandakan, semalam. Turut sama Joseph Pairin Kitingan (dua, kiri), Presiden Parti LDP, Datuk VK Liew dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.


SANDAKAN 24 Okt. - Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini.
Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pemilihan Linda Tsen dibuat berasaskan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu kepada empat anak itu.
''Beliau bukan asing di Batu Sapi dan bukan juga asing dalam bidang politik.
''Apa yang lebih penting beliau sedia berkhidmat untuk rakyat Batu Sapi sekali gus meneruskan perjuangan mendiang suaminya," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon BN di Hotel Sanbay di sini hari ini.
Hadir sama Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan timbalannya, Datuk Yee Moh Chai serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsuddin Yahya.
Musa yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Batu Sapi memberitahu selain aktif dalam politik sebagai Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura, Linda Tsen juga banyak terbabit dalam kegiatan kemasyarakatan di daerah ini.
Menurutnya, pemilihan beliau juga adalah isyarat jelas kerajaan dalam mengiktiraf keupayaan seorang wanita di negeri ini.
''Di negara ini telah terbukti ramai wanita yang layak dan mempunyai keupayaan untuk menjadi pemimpin yang baik dan sehebat lelaki," katanya.
Ditanya sama ada pemilihan Linda Tsen sebagai satu strategi meraih simpati pengundi, Musa berkata, terpulang kepada pengundi untuk membuat tafsiran.
''Apa yang penting adalah dia boleh bekerja dan ada pengalaman dalam politik," katanya.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi akan diadakan pada 4 November ini manakala proses penamaan calon akan diadakan pada 26 Oktober di Dewan Masyarakat di sini.
Parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih termasuk pengundi pos.
Daripada jumlah itu 15,099 orang atau 59 peratus merupakan bumiputera Islam, 9,737 atau 38 peratus Cina, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam dan 57 orang etnik lain.
Sehingga kini sebanyak tiga parti politik termasuk BN telah mengumumkan calon masing-masing.

Sunday, October 24, 2010

Ansari calon PKR bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi



SANDAKAN - Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi. 

Pengumuman pemilihan Ansari sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka di sini.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang PKR Tuaran.

Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan pada Selasa ini dan pengundian pada 4 Nov.

Saturday, October 23, 2010

Teck Lee diumum calon SAPP PRK Parlimen Batu Sapi



23/10/2010 11:14am



SANDAKAN 23 Okt. – Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee hari ini diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini. - Utusan

Monday, October 18, 2010

Borang pencalonan kerusi Batu Sapi mula dijual




2010/10/18

KOTA KINABALU: Borang pencalonan untuk pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi mula dijual hari ini, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Datuk Mohd Idrus Ismail. 

Beliau berkata, setakat ini seorang individu telah membeli dua keping borang tersebut yang berharga RM20 sekeping."Dia datang sebagai bebas dan bukan dari mana-mana parti," katanya kepada pemberita di sini selepas menyerahkan writ pilihan raya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Batu Sapi, Mohamad Hamsan Awang Supain.Mengulas isu berkaitan, Mohd Idrus berkata jumlah pengundi berdaftar yang digazetkan bagi kawasan Parlimen tersebut sehingga 9 Oktober lalu ialah 25,582 orang iaitu 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pengundi pos. 

Beliau berkata, jumlah pengundi itu adalah berkurangan jika dibanding pada pilihan raya umum lalu iaitu 26,004 orang disebabkan faktor seperti kematian selain ada yang menukar kewarganegaraan. 

"Kali ini juga ada sedikit pengubahsuaian iaitu (kategori pengundi) adalah berdasarkan Bumiputera Islam (BI), Bumiputera Bukan Islam (BBI), Cina dan lain-lain. 

"Untuk Bumiputera Islam, jumlahnya adalah 15,099 orang mewakili 59.02 peratus, BBI seramai 689 orang (2.69 peratus), Cina seramai 9,737 orang (38.06 peratus), dan lain-lain seramai 57 orang (0.22 peratus)," katanya. 
Mohd Idrus berkata, Dewan Masyarakat Sandakan akan dijadikan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi. 

Sebanyak 12 pusat mengundi iaitu enam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong dan enam lagi di DUN Karamunting dibuka, dan sebuah bot akan disediakan untuk kegunaan petugas ke satu pusat mengundi yang terletak di sebuah pulau, iaitu Pulau Timbang. 

"Ia mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot dari bandar Sandakan. Pusat mengundi paling jauh ialah Sekolah Kebangsaan Segaliud yang mengambil masa perjalanan hampir sejam dari pusat bandar," katanya. 

Beliau juga meminta pengundi membuat semakan daftar pemilih sama ada datang sendiri ke pejabat SPR ataupun menerusi talian 088-484766/550 yang dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. 

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Edmund Chong Ket Wah terbunuh dalam satu nahas jalan raya pada 9 Oktober lalu. 

SPR menetapkan penamaan calon pada 26 Oktober ini manakala pengundian pada 4 November. - BERNAMA