DAPAT SAMBUTAN: Hikayat Merong Mahawangsa yang dibintangi (dari kiri) Stephen Rahman-Hughes, Rahim Razali dan pelakon dari China, Jeng Lu, akan ditayangkan di pawagam tempatan pada 28 April ini. - FotoKRU STUDIOS |
Yusry sibuk dengan pembikinan filem Hikayat Merong Mahawangsa hingga tak cuti selama dua tahun
FILEM buatan Malaysia kedua termahal selepas Puteri Gunung Ledang - Hikayat Merong Mahawangsa - adalah sebuah filem yang telah berjaya mengubah persepsi ramai tentang filem Melayu.Buat saya, ia sebuah filem yang keluar daripada aliran tradisi filem Melayu biasa kerana menampilkan kisah sejarah dan kebudayaan sebuah negeri di Tanah Melayu.Ini yang selalunya menjadi kejayaan bagi filem-filem besar bertaraf antarabangsa di serata dunia.Syabas kepada pengarah muda, Yusry Abdul Halim, yang jelas memperlihatkan kematangannya dari era Cicakman.Anda tentunya akan kagum dengan kerja tangan beliau yang terbaru ini yang mampu menghidupkan sebuah prosa Melayu klasik dalam bentuk visual yang menarik.Rata-rata filem ini mendapat pujian dan pandangan yang sangat positif, bukan saja di kalangan peminat filem Melayu, bahkan generasi muda yang kurang minat menonton filem Melayu di pawagam.Ini tentunya sedikit sebanyak disebabkan keyakinan mereka pada pengarah muda seperti Yusry kerana KRU mempunyai rekod pencapaian yang cukup baik dalam industri hiburan sebagai karyawan yang sentiasa menghasilkan 'lain dari yang lain.'Seperti mana lagu dan hasil muzik KRU, begitu juga dengan filem mereka.Mereka sentiasa mahu menghasilkan kelainan. Dan ini diakui sendiri oleh Yusry dalam satu temubual dengannya baru-baru ini.'Memang saya akui kami tidak mahu buat apa yang orang lain sudah buat. Sejak dulu lagi saya dan abang-abang saya suka buat lain dari yang lain, terutama filem.'Kita kena peka dengan teknologi dan jika kita tidak selari dengan perkembangan semasa, agak sukar untuk menarik perhatian orang menonton filem kita,' katanya.Hikayat Merong Mahawangsa bertujuan memperkenalkan sejarah dan kebudayaan Melayu ke mata dunia. Ia diadaptasikan daripada prosa yang meriwayatkan sejarah terawal negeri Kedah.Seperti filem Magika yang mereka hasilkan sebelum ini, filem Hikayat Merong Mahawangsa juga banyak menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI), selain prop dan set utama dengan tujuan mengurangkan kos pembikinan filem, sambil menghidupkan suasana abad ke-2 Masehi.Kos pembikinan filem ini adalah sekitar RM8 juta ($3.33 juta), dengan RM2 juta diperuntukkan untuk set, prop dan busana bagi menggambarkan suasana ketika abad tersebut.Apabila ditanya apakah beliau berpuas hati memandangkan filem itu mendapat sokongan dan sambutan baik di kalangan penonton dan pengkritik filem, Yusry menjawab begini:'Dalam kerja-kerja kreatif memang sukar untuk berasa puas 100 peratus.'Ini kerana filem itu telah dibuat kira-kira dua tahun lalu. Sebagai manusia biasa, tentulah saya tidak puas kerana pemikiran kita berubah-ubah. Mungkin jika filem itu dibuat pada tahun ini ia jadi lain. Tapi dari segi genre, ia nampak berbeza.'Biarpun ketika sekolah beliau tidak pernah mengambil pengajian sastera, tetapi judul hikayat ini bukan asing baginya.Ia sebuah cerita besar yang ada sentuhan global di dalamnya kerana kisahnya bukan saja berkisar tentang sejarah Melayu, bahkan Empayar Rom yang diwujudkan di dalam kisah tersebut.'Banyak kali kami olah cerita, tetapi setiap olahan tidak tersasar jauh dan kerana itu intipatinya masih kekalkan cerita asal.'Jika tidak silap saya, sebanyak 17 kali ia diolah oleh Amir Hafizi dan sebagai pengarah, saya hanya komen kerana saya meletakkan diri saya dari sudut kacamata pencerita zaman moden. Ada banyak cerita penglipur lara dalam prosa klasik.'Yang penting dalam tugas saya ialah ia disampaikan dengan cara yang dapat difahami dan disesuaikan dengan masa kini. Kalau dulu-dulu, cerita tentang garuda macam tak lojik, jadi banyak yang mesti diubahsuai,' tambahnya.Setakat minggu ini, filem itu telah pun mencapai kutipan RM6.3 juta, agak kecil berbanding kos pembikinannya. Kerana itulah, kata Yusry, KRU Studios dari awal lagi mensasarkan filem Hikayat Merong Mahawangsa untuk pasaran luar negara yang lebih besar.'Kos membuatnya RM8 juta dan tentulah kita mengharapkan pulangtan yang dua kali ganda lebih besar. Jadi, jika hanya untuk pasaran dalam negara, Malaysia sahaja, amatlah tidak wajar.'Kerana itu kita melihat pada pasaran luar negara dan Singapura bakal menayangkan filem ini pada 28 April akan datang dan negara lain sudah pun dalam jadual,' katanya merujuk pada hak pengedaran filem pada syarikat-syarikat di United Kingdom, Perancis, Jerman, Russia dan negara Asia Barat selepas penayangan di European Film Market di Berlin , Februari tahun lalu.Bagaimanapun, jelas Yusry, KRU Studios juga tidak terkecuali menerbitkan filem bajet kecil untuk pasaran dalam negara. Setakat ini, sudah tersedia menanti tiga judul untuk pra dan pasca produksi.'Pada 25 Mei, filem terbaru kami berjudul Karak akan dikeluarkan untuk pasaran dalam negara. Ia adalah cerita seram kerana itu genre yang disukai oleh masyarakat tempatan ketika ini,' jelasnya.Pengarah berusia 37 tahun ini mengakui, dunianya sejak dua tahun lalu hanyalah studio, filem dan Hikayat Merong Mahwangsa.'Saya memang tumpukan banyak masa pada kerja filem sejak tahun 2009. Memang hampir tidak ada rehat langsung hinggakan tidak ada masa untuk diri sendiri,' katanya dalam ketawa yang penuh makna.'Itulah...macam mana nak kahwin? Sekarang ini pun otak saya seperti sudah jam. Saya kena pergi bercuti untuk berehat,' katanya.Sejak dulu saya sentiasa yakin dengan 'budak-budak' KRU bertiga dalam kerja seni mereka. Tetapi, saya mungkin bias dan anda tidak perlu percaya 100 peratus cakap saya.Jadi, kenalah saksikan sendiri filem ini pada 28 April di sini.Kalau tidak suka cerita pun sekurang-kurangnya anda masih dapat menikmati keindahan skor muzik asli yang dirakam pertama kali dalam skala besar iaitu dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang tersohor itu.Ia menggunakan seramai 105 pemuzik pakar yang mendendangkan skor asli.Filem ini juga menjadi filem Melayu pertama menggunakan skor penuh untuk keseluruhan jalan cerita. Dan, tentunya anda akan terpesona dengan Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain yang sedang meletup ketika ini.Hikayat Merong Mahawangsa dibintangi oleh Stephen Rahman Hughes, Datuk Haji Rahim Razali, Khir Rahman dan Ummi Nazeera.
Cyberita Online Ekstra!