PUAK UBN di bawah gembira bila BN berjaya mempertahankan kerajaan di Sarawak dalam pilihan raya 16 April lalu. Berbagai istilah atau pun gambaran dibuat atas kemenangan itu. Kononnya Pakatan Rakyat ditolak rakyat dan Anwar Ibrahim sudah tidak mendapat sokongan rakyat lagi.
UMNO pula membuat berbagai tafsiran dan konklusi yang hampir makna dan ertinya dengan pendapat mereka. Apakah benar pendapat mereka dan kesimpulan yang dibuat itu tepat? Bagi mereka yang tidak kenal ilmu hisab dan hanya tahu kemenangan dari segi angka sahaja, memang iya, dan akan menerima apa yang dilaungkan itu.
Tetapi mereka yang tahu membilang, menghitung dan membuat gambaran dan analisa di masa depan sukar untuk menerima apa yang didakwakan itu. Apa yang berlaku di Sarawak itu meresahkan mereka yang memahami alunan politik.
Najib Razak sendiri rasanya tidak menerima kemenangan itu sebagai sebuah kemenangan mutlak. Kemenangan mutlak ialah memberi keselesaan dan rasa tenang hati berpanjang. Kita bergembira dan berpuas hati dengan kemenangan. Dalam konteks politik kemenangan dicapai itu boleh mengekal dan menguatkan kedudukan kita di masa hadapan. Memberi kekuatan untuk berhadapan dengan musuh.
Tetapi tidak begitu dengan kemenangan BN di Sarawak itu. Dari segi bilangan kerusi iya BN masih menang. PBB yang bertanding di 35 kerusi tidak kalah setengah kerusi pun. Kehilangan kerusi BN tidak sampai sesuku pun. Tetapi mungkin ada yang tidak sedar bahawa undi popular BN merosot sebanyak 8 peratus. Dalam perkiraan hisab orang politik dan ahli statistik 8 peratus adalah besar dan membahayakan kedudukan di masa depan.
Perbezaan peratus undi popular di antara BN dengan Pakatan Rakyat sangat kecil. Perselisihannya tidak sampai 10 peratus. Kalau Najib atau mereka yang tahu menghitung dalam UBN tidak seronok dengan pencapaian itu adalah logiknya. Peratus itu tidak menjadi benteng untuk memastikan BN akan menang dalam pilihan raya umum kelak. Hakikat yang perlu diterima pengaruh dan sokongan BN merosot bukan menambah.
BN sendiri tahu kenapa mereka menang dalam pilihan raya itu. Apa yang dapat disumbat dan digunakan semasa pilihan raya umum itu tidak akan dapat dilakukan pada pilihan raya umum ke-13 kelak. Masa inilah BN akan mulai gelisah. Misalnya soal taburan wang dan segala macam kemudahan datuk nenek lain tidak akan dapat dilakukan, kerana tumpuan bukan saja kepada Sarawak saja lagi tetapi seluruh negara. Mustahil BN mampu melakukan apa dilakukan di Sarawak ke seluruh negara.
Boleh diibaratkan pilihan raya Sarawak itu sebagai pilihan raya kecil di mana BN boleh menyediakan apa saja kemudahan, memenuhi keinginan pengundi. Sebagai pilihan raya kecil oposisi akan tertekan dan ditekan dengan seluruh kekuatan yang ada. Tetapi pilihan umum ke-13 adalah pilihan besar yang mana BN tidak dapat memberi tumpuan khusus seperti Sarawak itu. Oposisi tidak boleh ditekan sebegitu rupa lagi. Keadaan ini menyebabkan Najib tidak banyak sangat mengulas kemenangan itu. Apabila Taib Mahmud sekali lagi angkat sumpah ia mematikan seluruh pancaindra Najib untuk membuat previu kononnya kemenangan itu adalah kemenangan BN seluruhnya.
Pola pengundi di Sarawak itu membimbangkan BN yang patut juga dibimbangi oleh orang Melayu. Yang pastinya kerusi didominasi orang Cina akan terlepas kepada orang Cina (DAP). Orang Cina telah melakukan perubahan besar bukan saja setakat evolusi dan transformasi semangat tetapi sudah melakukan revolusi perubahan. Orang Cina sudah sepakat untuk merampas semua kerusi yang mereka dominasi tanpa berkongsi dengan siapa lagi. Mereka mula berbuat begitu kerana mereka sudah ada kekuatan, sudah ada ruang yang dibuka oleh pacar-pacar politik Melayu.
Kalau ingin tahu berapa kerusi yang akan menjadi milik Cina dalam pilihan raya akan datang cuba hitung sendiri dan lihat kedudukan taburan kaum di dalam sesuatu kawasan parlimen. Dari situ nanti akan diketahui berapa kerusi yang bakal dirangkul oleh Cina. Parti yang akan menjuainya ialah DAP.
Dalam hal ini DAP akan menjadi juara. Kalau kerusi milik Cina sebanyak 50 kerusi, maka dalam pilihan raya akan datang kesemua kerusi itu akan menjadi milik DAP. Melihat keadaan sekarang, trend sokongan dan kesungguhan serta keinginan orang Cina, DAP bakal menjadi parti besar dinegera ini yang memiliki kerusi di Parlimen.
Gerakan, MCA, SUPP atau apa saja parti Cina lain sudah tidak menjadi parti pilihan masyarakat Cina lagi. Mereka semua akan bersatu atas satu parti. Apakah ada persepakatan secara semula jadi di kalangan kaum ini, ianya boleh dikaji dan diulas di lain masa dari berbagai sudut dan aspek sosial dan siasah.
Berbalik kepada Sarawak tadi, apa yang dapat disimpulkan yang berlaku dalam pilihan raya tempoh hari, Taib Mahmud menang. Taib Mahmud mengangkat sumpah semula menjadi Ketua Menteri. Tujuan Taib Mahmud bertanding bukan ada yang lain melainkan untuk menang dan kekal sebagai Ketua Menteri. Taib Mahmud tidak akan peduli apakah Malaysia akan terus diperintah BN atau tidak kerana baginya yang penting dia menang di Sarawak.
Beliau tidak bimbang sama sekali akan kehilangan kedudukan dalam tempoh setahun dua ini. Seandainya Najib dan UMNO tidak senang dengan sikapya, Taib boleh buat koner baring dengan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Baginya apa yang penting dia terus jadi KM.
Ini berbeza dengan Najib. Beliau mahukan kemenangan itu menjana kemenangan berterusan dan menyeluruh. Taib sudah mendapat mandat baru untuk lima tahun lagi, tetapi Najib masih hidup dengan mandat pinjaman dan pesaka dari Abdullah Badawi. Di sinilah perbezaan Najib dengan Taib. Kedudukan Najib sebagai PM masih belum selamat seutuhnya. Apa yang menjadi buruan Najib ialah kemenangan dua pertiga bukannya kemenangan tipis.
Tambahan pula pilihan raya bakal datang adalah yang pertama untuk Najib. Dalam pilihan raya ini dia perlukan kecemerlangan. Kalau dalam pilihan raya pertama itu BN sudah gagal mendapat majoriti dua pertiga, ibarat kata tidak lamalah Najib menjadi perdana menteri. Inilah yang merisaukan Najib menyebabkan keputusan pilihan raya Sarawak itu ditatap dan dihitung sepanjang malam kerana sudah terbayang bahawa beliau akan berhadapan dengan masalah.
Benarlah kata seorang aktivis politik veteran malam tadi; pola pengundian di Sarawak menyebabkan Najib tidak nyenyak tidur. Itulah yang dikatakan kemenangan yang tidak membawa ketenangan!
Dipetik daripada blog Mohd Sayuti Omar