Thursday, February 23, 2012

Dr Rani nasihat Hasan Ali tidak buat tuduhan

Dr Abdul Rani Osman

SHAH ALAM - Pesuruhjaya Pas Selangor menasihatkan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya tidak membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas kononnya Menteri Besar pernah mewakilkan Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu agar mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa Masjid Nurul Iman, Rawang berhubung isu kepala babi, akhir bulan lalu.

Dr Abd Rani Osman berkata, maklumat yang diterima pihaknya menunjukkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian.Kata beliau, perkara tersebut juga disahkan oleh beberapa Exco yang dihubunginya baru-baru ini.

"Saya sudah berhubung dengan Exco-exco Kerajaan Negeri termasuk Exco dari Pas sendiri. Mereka menafikan ada arahan atau keputusan minta Ronnie Liu menjadi wakil Menteri Besar," kata beliau kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Liu menafikan dakwaan Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor bahawa Abdul Khalid mewakilkan beliau bagi meyelesaikan isu kepala babi di masjid tersebut.

Menurutnya, beliau sememangnya hadir di masjid berkenaan sejurus mendapat maklumat insiden yang berlaku, 31 Januari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran itu menjelaskan, kehadiran beliau adalah atas keprihatinan dan inisiatif sendiri tanpa mewakili Menteri Besar.

Menurut Hasan, sekiranya maklumat tersebut yang diperoleh menerusi panggilan telefon itu benar, beliau menggesa agar satu bantahan besar-besaran diadakan.

Mengenai kehadiran Liu di masjid itu, Dr Abd Rani, yang juga Adun Meru berkata, kemungkinan beliau mengadakan lawatan atas kapisiti peribadi.

"Kemungkinan Ronnie Liu hadir atas kapasiti peribadi, bukannya sebagai wakil Menteri Besar yang juga Exco bagi hal ehwal agama," katanya lagi.

Dr Rani nasihat Hasan Ali tidak buat tuduhan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mahkamah tolak permohonan Mat Sabu

Rayuan-mat-sabu

GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu untuk mengetepikan kes fitnah mengenai isu komunis Bukit Kepong terhadapnya.

Beliau didakwa memfitnah anggota polis berkenaan dan keluarga mereka di Bukit Kepong, dalam satu ceramah di Tasek Gelugor Ogos tahun lepas.

Hakim Mohd Amin Firdaus Abdullah dalam membuat keputusan itu juga menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan kes bicara itu sehingga rayuan dikemukakan di Mahkamah Rayuan.

Hakim itu memerintahkan perbicaraan kes itu diteruskan di Mahkamah Sesyen, Butterworth. Mohamad Sabu, 57, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, memohon mengetepikan pertuduhan itu pada Januari lepas.

Pada 21 September tahun lepas, Mohamad Sabu dari Guar Petai, Tasek Gelugor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Butterworth dan meminta dibicarakan.

Pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau didakwa memfitnah anggota polis berkenaan dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan
merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Mohamad Sabu didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 23 Ogos tahun lepas di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Sementara itu, peguam yang mewakili Mat Sabu, Muhammed Hanipa Maidin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim dan Yusaini Amer Abd Karim. - Bernama

Mahkamah tolak permohonan Mat Sabu - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Facebook bagai pisau

SEORANG mahasiswa dalam jurusan teknologi maklumat mendapat idea untuk mewujudkan rangkaian jaringan perkongsian maklumat di kalangan penuntut Universiti Harvard berhubung silibus pelbagai mata pelajaran yang diajar.

Pada asalnya mahasiswa berkenaan, Mark Zuckenberg sekadar menjadikan idea itu sebagai projek akhir tahun pengajiannya. Namun, facebook atau fb akhirnya berkembang menjadi satu platform interaksi sosial yang membolehkan jutaan individu dari seluruh dunia berkomunikasi antara satu sama lain.


Sehingga awal 2012 bilangan pengguna fb seluruh dunia mencecah angka 845 juta, seramai 9.5 juta daripadanya adalah pemilik akaun dari Malaysia.

Jika diimbau kembali aplikasi komunikasi sosial sudah mengalami evolusinya tersendiri sejajar dengan peredaran zaman. Sekitar tahun 90-an dahulu laman sembang seperti MIRC dan Yahoo Messenger adalah dua contoh medium interaksi sosial yang popular.


Hari ini fb mengambil alih kedudukan sebagai medium interaksi sosial yang dominan. Lantaran, penggunaan fb banyak mempengaruhi gaya hidup individu masa kini, terutama generasi muda yang kebanyakannya lahir pada dekad 90-an atau lebih popular dikenali sebagai generasi Y.


Sepanjang waktu, pengguna Internet tidak lekang menyemak status terkini rakan fb atau mengemas kini laman fb milik sendiri.

Sesungguhnya fb mencetuskan fenomena bukan saja di Malaysia bahkan seluruh dunia. Keupayaannya mendapat tempat sebagai budaya popular di kalangan masyarakat global dalam tempoh singkat selepas diperkenalkan pada 2004 adalah menakjubkan.


fb benar-benar mewujudkan keadaan dunia tanpa sempadan dan berjaya menampilkan elemen globalisasi tanpa membezakan budaya, bangsa, warna kulit dan taraf hidup seseorang itu.

Sebagai contoh, menerusi interaksi dalam fb tiada sebarang protokol diperlukan antara seorang Perdana Menteri dengan rakyat jelata. Hal ini mendekatkan diri seorang pemimpin tertinggi negara dengan rakyatnya dan memudahkan orang ramai menyuarakan pandangan atau melontarkan buah fikiran yang boleh diambil kira oleh pihak kerajaan dalam merangka sesuatu dasar untuk kemajuan dan kemakmuran negara.


Bagaimanapun, sebagai aplikasi yang digunakan oleh jutaan manusia di seluruh dunia, penggunaan fb tidak terlepas daripada sisi negatif yang boleh menjejaskan hubungan dalam masyarakat itu sendiri.


Oleh yang demikian tidak hairanlah kebelakangan ini kes perceraian suami-isteri dan perbuatan fitnah memfitnah terhadap individu tertentu semakin berleluasa di dalam fb.


Sebagai contoh seorang kakitangan yang ditegur oleh majikannya akan terus membuat komen dalam fb rasa tidak puas hatinya selang beberapa minit selepas beredar daripada pejabat bos.


Kakitangan itu akan menggunakan kesempatan memasuki fb untuk melepaskan perasaannya hingga akan memuntahkan segala perkataan yang kurang sopan dan boleh menjatuhkan maruah seseorang itu.


Kenyataan yang dihamburkan dalam fb kemudian dapat dibaca oleh rakan sepejabat dan tidak mustahil ia akan tersebar ke telinga majikan kakitangan berkenaan.


Kakitangan tersebut berkemungkinan akan dikenakan surat tunjuk sebab atau berlaku ketegangan antara beliau dan majikannya. Setakat ini pengendali laman sosial fb belum lagi mewujudkan sebarang mekanisme yang boleh mencegah sebarang elemen negatif dalam komunikasi di fb.


Walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang khusus bagi mendisiplinkan pengguna fb, namun ia tidak memadai andai pengguna fb itu sendiri tidak mempunyai kesedaran mengenai nilai-nilai etika dan budi bahasa semasa berinteraksi di laman sosial maya.


Seorang pengguna fb yang matang dan berhemah pasti akan memikirkan sebarang akibat yang akan timbul natijah daripada setiap patah perkataan tertulis atau gambar tersiar di fb miliknya.


Dalam hal ini marilah kita teladani satu daripada tujuh tabiat orang yang paling berkesan seperti diperkenalkan oleh pengasasnya, Stephen Covey iaitu fikirkan pengakhiran sesuatu tindakan yang bakal diambil sama ada positif atau negatif.


Tidak keterlaluan jika fb diibaratkan sebagai sebilah pisau. Sebilah pisau yang tajam boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan bergantung kepada niat orang yang menggunakannya.


Demikianlah halnya dengan penggunaan fb, ia akan menjadi satu medium komunikasi yang sangat berguna apabila setiap maklumat sama ada bercorak umum atau peribadi disampaikan dengan penuh adab tanpa menyinggung mana-mana pihak.


Sebaliknya nilai fb sebagai satu bentuk teknologi sosial yang kontemporari akan hilang apabila menjadi gelanggang pihak tertentu untuk mencetuskan permusuhan atau ketegangan antara individu atau kaum.


Penulis ialah seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian), University Multimedia


myMetro | Facebook bagai pisau:

'via Blog this'

Anak Amir Ukays meninggal

KUALA LUMPUR: “Abah, ini nombor telefon baru abang. Itulah, kata-kata terakhir, arwah ketika bercakap dengan saya empat hari lalu. Walaupun arwah tinggal dengan bekas isteri di Taman Tun Dr Ismail, hubungan kami cukup rapat,” kata penyanyi Amir Ukays yang kehilangan seorang anak kembarnya, malam kelmarin.

Amir berkata, anaknya, Mohammad Imran, 15, yang mempunyai komplikasi jantung sejak lahir meninggal dalam perjalanan ke Hospital Gleneagles, Ampang.


“Dia memang kurang selera makan sejak kebelakangan ini. Arwah sudah menjalani tiga pembedahan sejak lahir hingga berusia tiga tahun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kesihatan anaknya itu baik selepas pembedahan itu hingga sekarang.


Jenazah dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Taman Tun Dr Ismail kerana menunggu kepulangan bekas isterinya, Nini yang bertugas sebagai pramugari.


“Ketika anak saya menghembuskan nafas terakhir bekas isteri berada di London kerana tugas dan meminta dikebumikan lewat sikit kerana mahu menatap wajah anak,” katanya.

Sebelum ini, masalah komplikasi jantung yang dideritai Allahyarham mendapat liputan luas di akhbar.


myMetro | Anak Amir Ukays meninggal:

'via Blog this'

Yahya Sulong masuk ICU

AMPANG: Nasib pelakon veteran, Datuk Yahya Sulong, 84, atau Pak Ya yang kini terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang mendapat perhatian Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Pemuda Umno Malaysia yang berkunjung menghulurkan sumbangan ihsan di sini, semalam.

Pelakon yang nama sebenarnya Yahya Loong dimasukkan ke Hospital Ampang sejak petang Isnin lalu selepas terjatuh dalam bilik air. Dia dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur oleh isterinya, Datin Alisah Ali, 65, dengan bantuan jiran, sebelum dipindahkan ke Hospital Ampang. Menurut isterinya, selepas mendapati suaminya senyap dalam bilik air kira-kira 10 minit ketika membuang air besar, dia membuka pintu dan mendapati suaminya yang sememangnya uzur terkulai dipercayai menghadapi kesukaran bernafas.


Bagaimanapun keadaan di dalam bilik air ketika itu tidak berselerak. “Doktor belum dapat mengesahkan penyakit sebenar suami, namun keadaannya stabil,” katanya yang menetap di Bandar Baru Sentul.

Selain berlakon, Yahya juga pernah dikenali sebagai pemain drum sekitar 1970-an dan sering mengadakan persembahan pentas. Sumbangan untuk pelakon yang sudah membintangi 20 filem antaranya Gila-Gila dan Da Di Du ini disampaikan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Pemangku Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi dan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian, Pemuda Umno, Jamawi Jaafar. Sumber hospital memberitahu, Yahya menghadapi masalah paru-paru dan keadaannya stabil.


myMetro | Yahya Sulong masuk ICU:

'via Blog this'