KIEV - UKRAINE. Presiden Ukraine Petro Poroshenko kelmarinmemberitahu, Rusia dilaporkan menarik balik ribuan tentera di timur negara itu selain berjanji memberi kuasa autonomi lebih besar kepada puak pemisah bagi mengekalkan gencatan senjata.

Kenyataan pemimpin pro-Barat itu disusuli dengan keputusan Kesatuan Eropah melanjutkan sehari lagi rundingan terhadap sekatan baharu yang bertujuan menghukum Rusia kerana melakukan pencerobohan tentera secara terang-terangan di bekas negeri Soviet itu.

"Menurut maklumat terkini diterima dari ibu pejabat perisikan, sebanyak 70 peratus daripada tentera Rusia telah keluar. Ini memberi harapan kepada kita untuk inisiatif perdamaian," katanya dipetik menerusi laman web presiden.

Sebelum ini, Moscow menafikan telah menempatkan tentera atau senjata di sempadan, dan Presiden Vladimir Putin turut menolak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dengan mendakwa sebagai cubaan melulu untuk menghidupkan semula Perang Dingin dalam laporan AFP.