Thursday, May 10, 2012

Sultan Johor murka dengan kejadian di Pulau Rawa

Sultan Johor murka dengan kejadian di Pulau Rawa - Nasional - Sinar Harian:
JOHOR BAHARU - Sultan Johor Sultan Ibrahim melahirkan rasa murka, namun telahpun memaafkan empat warga asing yang terlibat dalam pergaduhan dengan pengawal peribadi rombongan diraja Johor di sebuah pusat peranginan di Pulau Rawa pada malam Jumaat minggu lepas.
   
"Saya marah, sepatutnya insiden ini tak berlaku. Mereka dalam keadaan mabuk dan membuat kacau mengganggu pengunjung lain di pulau tersebut," titah baginda kepada pemberita di Istana Pasir Pelangi di sini, hari ini.
    
Baginda bertitah demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai kejadian pergaduhan di Pulau Rawa minggu lepas yang melibatkan empat pelancong warga asing dengan pengawal peribadi rombongan Diraja Johor.
   
Baginda difahamkan empat pelancong asing yang bekerja di Singapura itu tiba di sebuah pusat peranginan pulau berkenaan kira-kira 11 malam sebelum mabuk dan mengganggu tetamu diraja yang mengadakan satu majlis dan menginap di pusat
peranginan bersebelahan.
   
Ada di antara pelancong terbabit turut bersikap biadap dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada keluarga dan tetamu diraja sehingga mencetuskan ketegangan sehingga terjadi pergaduhan.

Salah seorang daripada mereka juga dilaporkan telah berenang dan menceroboh bot milik Sultan Johor yang ketika itu sedang berlabuh di jeti sebelum bertindak agresif mencekik krew kapal yang cuba menghalang perbuatan itu.
   
Keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa meminta tolong daripada pengawal Istana dan melihat keadaan itu, warga asing itu telah terjun ke laut dan terpijak batu karang menyebabkan dia cedera, titah baginda.
   
Dia kemudian dirawat oleh doktor peribadi baginda sendiri.
   
"Saya dimaklumkan kejadian itu kira-kira 7.30 pagi dan merasa sedih dengan kejadian seumpama itu....(tetapi) saya dah lupakan kisah ni, saya maafkan mereka.
   
"Saya maafkan mereka, tiada masalah, sila datang kembali sebagai tetamu saya," titah baginda.

Dalam masa yang sama menurut Sultan Johor, beberapa pihak termasuk pemilik pusat peranginan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan baginda menyerahkan kes itu untuk disiasat polis.
   
"Biar polis menjalankan tugas mereka, saya tak boleh kata apa saya mungkin berat sebelah dan memihak kepada satu pihak. Jadi biar polis siasat apa yang terjadi," titah baginda.
   
Baginda juga menyifatkan kes itu diperbesar-besarkan oleh akhbar Singapura dengan mengeluarkan laporan yang tidak tepat.
   
"Jangan besar-besarkan cerita yang kecil, kalau saya nak besar-besarkan, orang tu dah kena tangkap hari itu sebab menceroboh dan memanjat bot saya dan berkasar dengan krew saya," titah baginda.
   
Dalam masa yang sama baginda mengalu-alukan kehadiran pelancong di pulau-pulau peranginan di negeri ini yang sememangnya terkenal dengan keindahan dan keunikannya yang tersendiri.
   
Namun nasihat baginda kepada pelancong asing ini "berseronoklah, relaks dan jaga kelakuan." - Bernama
'via Blog this'

Polis Johor tubuh pasukan khas siasat kejadian di Pulau Rawa

Polis Johor tubuh pasukan khas siasat kejadian di Pulau Jawa - Johor - Sinar Harian:

JOHOR BHARU - Polis Johor telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan terhadap kejadian pergaduhan yang berlaku di sebuah pusat peranginan di Pulau Rawa, berhampiran Mersing Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Sharif berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 452 Kanun Keseksaan.  
"Setakat ini seramai sembilan orang saksi ini telah dirakamkan percakapan mereka untuk membantu siasatan," katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sehingga hari ini, polis telah menerima sembilan laporan berkaitan kejadian itu yang dibuat saksi rakyat Malaysia yang berada di pulau terbabit ketika kejadian.
Bagaimanapun, polis sehingga kini belum menerima laporan termasuk daripada mangsa atau pihak lain yang berkaitan, katanya.
Media melaporkan kejadian pergaduhan itu melibatkan sekumpulan warga asing yang bekerja di Singapura dan pengawal peribadi rombongan diraja. - Bernama

'via Blog this'

Waris kanak-kanak dicari

Waris kanak-kanak dicari - Utara - Sinar Harian:


Waris kanak-kanak dicari
Nor Hafiz Halify
KUALA NERANG, Padang Terap - Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah Padang Terap meminta orang ramai tampil memberi maklumat bagi mengesan ibu kandung atau waris seorang kanak-kanak lelaki, Nor Hafiz Alify, 7, yang ditinggalkan sejak 4 tahun lalu.

Pelindung kanak-kanak, Khamisah Saad berkata, kanak-kanak lelaki itu diserahkan oleh ibu kandungnya yang bernama Kamisah Barandi, 37, berasal dari Sabah kepada penjaganya, Sharipah Nik Zakaria yang tinggal di Kampung Baru Naiteh di sini tanpa sebarang dokumen.

Menurutnya, penjaga Nor Hafiz Alify mendakwa kanak-kanak itu ditinggalkan ibu kandungnya ketika berusia tiga tahun dan difahamkan sebelum itu ibu kandungnya tinggal di Bandar Puteri, Sungai Petani pada 2008.

“Sehingga kini Nor Hafiz Alify masih belum didaftarkan kelahiran­ memandangkan penjaga tiada hak sah dalam penjagaan­ kanak-kanak.

“Kes ini sudah dirujuk ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Nerang untuk mendapatkan perintah di bawah Subseksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kini dia diletakkan dalam jagaan sementara seseorang yang layak sebelum perintah tetap mengenai pemeliharaan dan jagaan diperoleh pada 28 Mei ini,” katanya.

Khamisah berkata, sehubungan­ itu, pihaknya memohon kerjasama ibu atau waris atau mana-mana individu yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kes itu dapat menyalurkannya supaya kanak-kanak itu dikembalikan kepada keluarga kandungnya.

Menurutnya, ia sekali gus bagi membolehkan kanak-kanak itu didaftarkan kelahirannya.

Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Khamisah atau Noor Suzana Mohd Noor di talian 04-7866466 atau penjaganya, Sharipah di talian 013-4313119.

4 lagi peserta perhimpunan ditahan

4 lagi peserta perhimpunan ditahan - Nasional - Sinar Harian:


Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dijamin akan diadakan dengan aman berakhir dengan ganas.
KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lagi peserta perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) disokong pembangkang, yang gambar mereka disiarkan di dalam media menjadikan jumlah keseluruhan 16 yang ditahan sehingga awal pagi ini.
Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D7A, IPK Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Aziz ketika dihubungi Bernama berkata empat peserta yang ditahan masing-masing berusia antara 20 dan 50 tahun.
"Keempat-empat mereka ditahan di lokasi berasingan antaranya di Pulau Pinang, Seremban, dan Batu Pahat," katanya.
Beliau berkata keempat-empat peserta perhimpunan itu ditahan di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terbabit dalam insiden kekacauan pada 28 April lepas.
Sebelum ini, media melaporkan daripada 141 gambar yang disiarkan dalam media, hanya 12 ditahan dan daripada 12 orang itu, lapan telah didakwa sementara empat lagi dibebaskan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah mengesahkan penahanan berkenaan namun enggan mengulas lanjut. - Bernama

Sudahlah dibelasah, nak solat tidak dibenarkan

Sudahlah dibelasah, nak solat tidak dibenarkan:


SHAH ALAM, 10 Mei: Ahmad Shukri Kamarudin, 22, memberitahu beliau bukan sahaja dibelasah dengan teruk sehingga mendapat kecederaan di muka tetapi tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.


Ahmad Shukri yang ditemui Harakahdaily turut menyatakan pada hari kejadian himpunan Bersih, beliau telah ditangkap pada jam 7 malam di sekitar Masjid India.

Namum ketika itu beliau sedang berehat serta tidak mempunyai apa-apa bukti yang mengatakan beliau menyerta himpunan tersebut, malah ketika itu sudah ramai orang awam datang untuk membeli belah di kawasan berkenaan.

"Saya berhenti rehat di kawasan tersebut bersama adik saya sekitar jam 7 malam dan ketika itu peserta himpunan telah bersurai malah terdapat orang ramai yang menghampiri kawasan tersebut untuk membeli belah.

"Namun ketika saya sedang rehat, saya perhatikan terdapat sekumpulan polis lebih kurang dua puluh orang sedang berjalan di kawasan tersebut dan saya beranggapan segalanya telah selesai," jelasnya yang ditemui di Kota Kemuning.

Tambahnya lagi, tetapi jangkaan itu meleset apabila kumpulan polis tersebut telah menghampirinya dan terus memukulnya serta adiknya.

"Saya dibelasah teruk oleh sekumpulan sepuluh orang polis begitu juga adik saya, ditumbuk mahupun ditendang di badan.

"Malah ketika saya jatuh mereka turut menendang muka saya menyebabkan cermin mata saya patah dan lebam di bahagian muka serta kecederaan pada bahagian hidung," cerita beliau.

Ahmad Shukri berkata, keganasan polis tidak hanya sewaktu beliau ditangkap malah beliau terus dipukul apabila melintasi mereka.

"Kebanyakan polis yang sedang duduk di tepi-tepi jalan juga tidak melepaskan peluang memukul saya, malah cacian juga dilemparkan.

"Sepanjang saya ke Kelab Diraja Selangor dari Masjid India sepanjang itulah saya terus dipukul sehinggakan beberapa gigi saya telah longgar akibat ditumbuk," katanya.

Beliau turut didesak oleh pihak polis yang mahu mengetahui berapa ringgit dibayar bagi menyertai himpunan tersebut.

Katanya, jika mengatakan tidak dibayar dan tidak menyertai himpunan beliau terus dipukul kerana polis tidak berpuashati dengan jawapan itu.

Menurutnya lagi ketika sampai ke Kelab Diraja Selangor beliau terus dipukul dengan teruk sehinggalah ditempatkan bersama-sama tahanan yang lain.

"Saya teruk dipukul dengan kejam tanpa belas kasihan tetapi kekejaman mereka tidak terhenti setakat itu sahaja, malah saya juga tidak dapat menunaikan solat Maghrib sedangkan ketika itu waktu Maghrib akan habis.

"Kecewa dengan sikap polis yang beragama Islam kerana tidak peka dalam soal ibadat, mereka sepatutnya beri peluang bukan menafikan," sambungnya lagi.

Beliau yang cedera di muka telah membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), kecederaan di hidung menyebabkan darah terus keluar dua hari selepas himpunan tersebut.

Mahathir selar Marina, apa keganasan polis?

Mahathir selar Marina, apa keganasan polis?:

Harakahdaily,10 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mei: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyelar tulisan anak perempuannya Datin Paduka Marina dalam akhbar The Star yang mengecam keganasan polis semasa perhimpunan Bersih 3.0.

Tulisan terbaru Marina di kolumnya Musings, beliau berkata situasi kini kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan dalam insiden keganasan ketika Bersih 3.0.

“Tapi keganasan itu, terutamanya daripada mereka yang sepatutnya melindungi kita susah untuk dinafikan, apatah lagi dengan beribu video, gambar and saksi kejadian. Saya turut terbinggung sebentar atas hal ini. Bagaimana polis bertukar daripada tidak berbahaya kepada ganas tanpa alasan tertentu,” tulis beliau.

“Dan jika Menteri Dalam Negeri berkeras bahawa tiada siapa yang mengarahkan polis untuk bertindak ganas, jadi apa yang menyebabkan mereka melakukan demikian, sehingga situasi yang begitu teruk? 65 orang masuk di hospital, hanya dua sahaja polis. Ini memberitahu sesuatu,” kata Marina lagi.

Marina berkata insiden tersebut perlu disiasat dan salah satu caranya ialah menubuhkan suruhanjaya penyiasatan yang bebas.

“Ramai yang tercedera bukan disebabkan polis. Para pendemo, juga melakukan serangan terhadap orang ramai yang mereka sangka sedang menyaksikan atau merakam apa yang berlaku,” selar Mahathir yang dipetik The Star.

Mahathir turut mendakwa Unit Amal PAS “yang berbaju merah” dan “dilatih khas oleh PAS untuk menggunakan keganasan” turut terlibat.

Mahathir turut berkata bahawa Marina tidak tercedera walaupun menyertai Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 kerana beliau mengikut “arahan”.

“Ini kerana beliau tidak cuba untuk merobohkan benteng yang dibina pihak berkuasa. Beliau duduk apabila tiba di benteng. Kalau semua pendemo ikut cara beliau, semua tidak akan cedera,” hujah Mahathir lagi.

Marina, kata ayahnya, sudah pasti tahu akan peristiwa “benteng diceroboh”, “cermin kereta polis pecah” dan “kereta polis diterbalikkan”.

Membela pihak polis yang terbukti keganasannya daripada video-video yang dimuat oleh para peserta Bersih 3.0, Mahathir berkata polis yang diberi latihan khas untuk menangani keganasan ramai “akan menggunakan apa yang diajar untuk menangani sebarang situasi.”

Kes status agama: Bantahan MAINPP ditolak

Kosmo! Online - Terkini:

GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang menolak permohonan notis bantahan awal Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terhadap kes dua beradik yang memohon pengisytiharan status agama mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Othman Ibrahim berkata, mahkamah boleh mendengar kes itu dan mengarahkan pemohon iaitu Roslina Abdul Rashid dan adiknya, Rosli Abdul Rashid memasukkan pendaftar mualaf sebagai responden kedua.
Roslina dan Rosli, masing-masing berusia 30-an membuat permohonan itu pada akhir 2010.
Tuntutan pengisytiharan bahawa pemohon bukan lagi seorang beragama Islam adalah tertakluk di bawah Seksyen 61(3) (b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.
Di bawah enakmen itu mahkamah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskan semua tindakan serta prosiding membabitkan perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.
Kedua-dua beradik diwakili peguam, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff, manakala Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) diwakili peguam, Faizal Arif Tajul Ariffin.
Othman menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi memasukkan semua pindaan yang diarahkan oleh mahkamah. – BERNAMA

Siapa Syarip Dol Samseng Felda? -Tuan Ibrahim


Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man 

Cerita Syarip Dol, samseng Kampung Dusun

Syarip Dol memang terkenal sebagai samseng Kampung Dusun, selain dari kerja rompakan dan samun beliau juga adalah pembeli hasil sawit penduduk Kampung Dusun.

Oleh kerana tiada pembeli lain di kampung tersebut, maka penduduk mahu tak mahu terpaksa menjual juga hasil ladang mereka kepada Syarip Dol.

Tambahan pula, beliau sering mengugut penduduk yang cuba menjual kepada peniaga lain. Namun kerana tidak mengetahui kadar perahan sebenar, maka penduduk hanya terima berapa sahaja kadar perahan yang diberitahu.

Mereka berasa ok juga Syarip Dol ini kerana walaupun samseng tetapi ia masih membeli sawit penduduk kampung. Ada yang terfikir kalau Syarip Dol tak beli lagi daripada mereka, nanya jadinya.

Hasil penipuan kadar perahan ini, Syarip Dol berjaya mengumpul RM200,000 setahun. Ia hidup senang-lenang hasil penipuan tersebut.

Suatu hari penduduk diberitahu sebenarnya kadar perahan yang sepatut diberi jauh lebih tinggi dari yang mereka perolehi sebelum ini.

Mereka mulai siasat dan ternyata betul laporan tersebut. Ini menyebabkan ada di kalangan penduduk Kampung Dusun mulai merancang untuk menjual kepada kilang lain, yang akan membayar lebih tinggi dan kebajikan lebih baik.

Berita ini membimbangkan Syarip Dol, menyebabkan ia mulai memikir bagaimana untuk menghalang penduduk Kampung Dusun dari menjual ke kilang lain.

Lalu, ia kumpulkan penduduk kampung kononnya untuk memberi anugerah jasamu dikenang. Syarip Dol fikir dari RM200,000 yang berjaya dikumpul selama setahun hasil penipuan perahan, apa salahnya kalau diberi RM100,000 kepada penduduk Kampung Dusun.

“Aku masih ada RM100,000 lagi. Apa yang penting penduduk tidak menjual kepada kilang lain,” katanya di hati.

Maka diadakan majlis anugerah, diwar-war seluruh Kampung Dusun bahawa Syarip Dol nak anugerah wang kepada semua penduduk Kampung.

Pada hari dijanjikan itu, ia mulai mengangkut penduduk kampung, tua muda, lelaki perempuan, Melayu, Cina, Asli dijamu dengan nasi bungkus dan disediakan pasukan nyanyian, kompang bagi memeriahkan majlis anugerah hasil rompakan dan penipuan dari penduduk Kampung Dusun.

Sarip Dol cukup seronok apabila penduduk kampung keluar beramai ramai, ada yang bertempik hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Dia tersenyum lebar. Penduduk mula terngaga apabila Sarip Dol menceritakan pengorbanannya selama ini, dan ingatkan penduduk agar kenang jasa dia.

Maka sampai masa dinanti nanti, Syarip Dol umumkan durian runtuh RM100,000 akan berikan kepada penduduk Kampung Dusun lelaki, perempuan dan anak anak.

Lalu bertempik soraklah penduduk kampung - ada yang pengsan terkejut, ada yang selak tak terkata, ada yang menangis kesyukuran, ada yang mengiling kepala tak percaya Syarip Dol baik sunggguh.

Lalu bergemalah lagi jeritan ucapan hidup Syarip Dol! Hidup Syarip Dol!

Lalu Syarip Dol dengan lantang bertanya penduduk Kampungg Dusun, “Apakah tuan-tuan nak jual di kilang lain lepas ini??!!”

Serentak jawapannya “TIDAK! Tidak! Kami sokong Syarip Dol.”

Mendengarkan kata kata itu, Syarip Dol tersenyum puas hati. Walaupun hakikat apa yang diberi hanyalah hasil penipuan kadar perahan, perahan keringat penduduk kampung, hasil penipuan yang dikembalikan kepada mereka semula.

Syarip Dol kagum bila ada seorang tua berkata mana nak cari tokeh baik macam Syarip Dol di dunia ini.....
Sekadar renungan untuk senyuman hari ini.
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat

Pelajar UiTM: Lelaki tendang polis bukan saya

Pelajar UiTM: Lelaki tendang polis bukan saya - Nasional - Sinar Harian:


Pelajar UiTM: Lelaki tendang polis bukan saya
Khalid Ismath (tengah)
PETALING JAYA - Pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Ismath, 22, menafikan gambar seorang individu menendang anggota polis trafik yang disiarkan dua akhbar harian baru-baru ini adalah beliau.
Khalid berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar-akhbar terbabit dalam masa terdekat. katanya pemberita di pejabat Lawyer of Liberty, di sini, sebentar tadi.

"Pada ketika itu saya tidak pernah memiliki atau memakai pakaian seperti ini, dan sepanjang hidup saya tidak pernah memakai pakaian seperti itu. 

"Kalau kita tengok pun kalau orang yang waras tengok secara jelas berbeza dari segi warna rambut, warna kulit dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat Laywer of Liberty di sini, petang ini.

Khalid juga merasa teraniaya apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tiba-tiba menahan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Ketika itu saya hadir (ke IPK Kuala Lumpur) dengan kerelaan diri saya untuk membantu polis dan menunjukkan bukti kepada mereka bahawa pada ketika itu saya memakai pakaian lain.

"Tetapi media arus perdana begitu rancak memaparkan kononnya saya adalah seorang yang ganas dan ini mencemarkan imej saya sebagai seorang mahasiswa," katanya yang juga Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen. 

Khalid ditahan polis sebaik tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur 5 Mei lalu yang hadir untuk direkodkan percakapan berhubung tulisannya pada laman sosial Facebook miliknya, yang dikatakan menyokong tindakan supaya semua anggota polis dibunuh.

Beliau juga turut ditahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan serta memusnahkan harta benda sewaktu menyertai perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Beliau dibebaskan 6 Mei lalu setelah majistret menolak permohonan polis untuk meremannya selama empat hari dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Saya telah berbincang dengan peguam bahawa saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menyaman media arus perdana dalam masa terdekat yang terus memaparkan berita yang tidak benar ini yang telah mencemarkan nama baik keluarga saya," katanya.

Obama sokong kahwin sama jantina

Obama sokong kahwin sama jantina - Global - Sinar Harian:

 Presiden Barack Obama
Presiden Barack Obama
WASHINGTON - Presiden Barack Obama, yang minggu lalu melancarkan kempen mempertahankan jawatannya buat penggal kedua, menjelaskan secara terbuka pendiriannya semalam - menyokong perkahwinan sama jantina.
Katanya, pasangan sama jantina wajar diberikan peluang untuk berkahwin.
Bercakap dalam temu bual bersama ABC News: "Adalah penting bagi saya melangkah ke depan dan menegaskan bahawa saya fikir pasangan sama jantina seharusnya boleh berkahwin."
Dengan pendirian itu, Obama muncul presiden Amerika Syarikat (AS) yang pertama menyokong perkahwinan di kalangan golongan gay.
Sebelum ini, Naib Presiden Joe Biden dan anggota Kabinet pentadbiran Obama, Arne Duncan juga ada melahirkan sokongan ke arah itu.
Laporan BBC menyebut, pungutan suara Gallup menunjukkan 50 peratus rakyat AS memihak kepada usaha menjadikan perkahwinan sama jantina sah di sisi undang-undang - paras sokongan yang sedikit rendah berbanding tahun lalu manakala 48 peratus menentang.
Laporan itu juga berkata, temu bual dengan ABC News diaturkan secara tergesa-gesa untuk Obama, yang berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat, untuk menjelaskan pendiriannya dalam isu ini.
Obama juga menekankan komitmen pentadbirannya memperbaiki hak bagi golongan gay.

Nekad mogok lapar untuk kebebasan

Nekad mogok lapar untuk kebebasan - Global - Sinar Harian:


Nekad mogok lapar untuk kebebasan
Dianggarkan kini, lebih 1,600 daripada tahanan Palestin menyertai mogok lapar secara besar-besaran untuk kali kedua sejak 17 April lalu.
SEJAK pencerobohan Israel di Palestin 60 tahun lalu, sekurang-kurangnya 700,000 penduduk di wilayah Islam itu didakwa tanpa usul periksa di bawah undang-undang rejim Zionis dan dibicarakan secara tidak adil di Mahkamah Tentera Israel.
Penganiayaan itu menyebabkan tahanan Palestin memulakan mogok lapar ketika dikurung di dalam penjara Zionis, seperti pejuang Khader Adnan dan Hana Al-Shalabi.
Terbaru, mogok lapar besar-besaran kali kedua diadakan selepas sambutan Hari Tahanan pada 17 April lalu dan mogok kali ini disertai ribuan tahanan Palestin sebagai protes terhadap ketidakadilan rejim Zionis.
Namun, mereka tidak berjuang sendirian apabila turut menerima sokongan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan menerusi pelancaran kempen Hunger 4 Freedom (Berlapar Untuk Kebebasan).
Sokongan itu dizahirkan melalui mesyuarat anjuran Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) untuk menandatangani deklarasi perpaduan antara tahanan Palestin dan rakyat Malaysia, Ahad lalu.
Majlis itu dihadiri wakil 12 NGO tempatan dan agensi kerajaan termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Angkatan Belia Islam Malaysia, Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Mereka turut bertukar pandangan mengenai usaha untuk menyampaikan maklumat tepat ke seluruh dunia terutamanya umat Islam mengenai penderitaan dan pencabulan hak asasi yang ditanggung kira-kira 4,700 tahanan Palestin.
Menurut penjelasan Pengarah Eksekutif PCOM, Muslim Abu-Umar, ribuan tahanan Palestin menuntut pihak berkuasa Israel untuk memberikan mereka hak asasi yang diakui oleh Konvensyen Geneva dan Undang-undang Hak Asasi Antarabangsa.
Antara tuntutan termasuk menghentikan dasar gangguan harian, serangan ganas, kehilangan hak lawatan, pemeriksaan tahanan secara berbogel, pengabaian perubatan dan pengurungan berasingan.
Muslim berkata, deklarasi ditandatangani itu akan diserahkan kepada pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Damansara, pada bulan ini sebagai tanda sokongan terhadap ribuan tahanan Palestin tersebut.
Tahanan Palestin di penjara rejim Zionis sehingga kini terdiri daripada 185 kanak-kanak, 27 Ahli Parlimen dan 320 lagi ditempatkan di bawah tahanan pentadbiran.
“Krisis kemanusiaan tahanan ini tidak mendapat perhatian media antarabangsa seperti kes konflik diplomatik walaupun ada tahanan Palestin yang telah ditahan selama 25 tahun.
“Saya harap media di Malaysia dan antarabangsa boleh membuat laporan susulan perkembangan tahanan yang sanggup mengorbankan nyawa untuk memberitahu seluruh dunia, ‘Kami (tahanan Palestin) di sini ( penjara Israel) telah ditahan tanpa sebab,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Hasil perbincangan awal PCOM dan NGO negara ini menyaksikan mereka mahu lebih banyak NGO menyertai deklarasi itu dan merancang pelbagai aktiviti terutamanya melibatkan golongan pelajar termasuk di luar negara bagi menyokong perjuangan tahanan Palestin.
Tujuan utama deklarasi itu bukan untuk menggesa tahanan Palestin menamatkan mogok lapar tetapi mahu mendedahkan layanan buruk Israel terhadap tahanan Islam.
Pada masa ini, kebanyakan penduduk dan pertubuhan Islam di kebanyakan negara Arab dan di Eropah telah menujukkan sokongan menerusi kempen perpaduan dengan tahanan Palestin di negara masing-masing.
Kini, tanggungjawab kita adalah menyokong insan teraniaya itu supaya mendapat semula hak mereka.

DAP tak sambung khidmat senator Tunku Aziz

Berita Harian Online | DAP tak sambung khidmat senator Tunku Aziz:
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim



KUALA LUMPUR: DAP tidak menyambung perkhidmatan Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai Senator kerana menganggap kenyataan terbukanya membantah perhimpunan BERSIH 3.0 yang disokong parti itu pada 28 April lalu memalukan parti. 

Ahli Dewan Negara itu berkata, dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, baru-baru ini beliau bersetuju menyambung semula perkhidmatan itu, tetapi bertukar sebaliknya selepas kenyataan itu.
Tunku Abdul Aziz berkata, beliau tidak akan menarik balik kenyataan berkenaan atau memohon maaf dan tetap dengan pendiriannya.
“Saya bukan menolak perhimpunan itu, tetapi tidak bersetuju jika kita melanggar undang-undang. 

Selepas kenyataan itu, DAP berasakan saya buat salah dan memalukan parti. 

“Justeru, saya memberi mereka pilihan sama untuk melantik saya atau tidak dan jika mereka was-was, saya akan berundur. Saya tidak mahu jika orang tidak mahu saya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam. 

Tempoh Tunku Abdul Aziz sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada 30 Mei ini selepas dilantik pada 2009. Beliau menyertai DAP pada Ogos 2008. 
Baru-baru ini, Tunku Abdul Aziz secara terbuka menentang penganjuran perhimpunan BERSIH 3.0 kerana berdasarkan pengalaman serta pemerhatiannya dalam perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman, berakhir dengan keganasan. Bantahannya itu menjadi kenyataan apabila penganjur BERSIH 3.0 gagal mengawal peserta sehingga menimbulkan rusuhan. 

Diminta mengulas hubungannya dengan pemimpin DAP, Tunku Abdul Aziz berkata, beliau masih bersama parti tetapi menegaskan semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan. 

“Saya belum sampai mahu keluar parti. Setiap kita pasti memiliki pandangan yang berbeza dan saya seorang yang terbuka. Walaupun saya bersama parti, jika saya tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, saya tidak mahu berdiam. Saya ada pandangan sendiri,” katanya. 

Tunku Abdul Aziz juga berkata, walaupun tidak dilantik sebagai Senator, beliau tetap akan berkhidmat untuk rakyat dan matlamat utamanya adalah untuk mengintegrasikan rakyat pelbagai kaum di negara ini. 

“Negara ini berbeza dengan negara lain. Kita negara berbilang bangsa dan budaya. Kita harus mencari jalan untuk menyatukan semua bangsa dan berharap DAP juga melakukan perkara yang sama,”' katanya. 

Di GEORGETOWN, Guan Eng mengusulkan bekas Presiden Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Dr Ariffin SM Omar sebagai Senator menggantikan Tunku Abdul Aziz pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa kehadiran ADUN pembangkang yang memulau persidangan sejak kelmarin. 

Ariffin yang juga pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyertai DAP tahun lalu. Beliau adalah pakar sejarah Melayu dan pernah menghasilkan beberapa buku kajian mengenai bangsa Melayu. 

Guan Eng juga mengusulkan untuk melantik bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mahamud sebagai Ahli Dewan Negara. 

Syed Shahir, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggantikan Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff, yang tamat perkhidmatan akhir bulan ini.

Haniff ketuai panel bebas siasat BERSIH

Berita Harian Online | Haniff ketuai panel bebas siasat BERSIH:

pix_gal0
Majlis Peguam, SUHAKAM tiada dalam senarai 6 ahli

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan senarai enam ahli Panel Penasihat Bebas dipengerusikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar bagi menyiasat kejadian rusuhan ketika perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata panel itu akan mengadakan mesyuarat pertama dalam waktu terdekat bagi menentukan terma rujukan dan fungsinya.
Ahli lain panel itu ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Ketua Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Husammuddin Yaacob; Penasihat Undang-Undang Kumpulan Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat PETRONAS, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.

“Matlamat utama panel penasihat ini ialah untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian 28 April lalu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, semalam.

Beliau berkata, panel itu memberi ruang kepada semua pihak mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas dan bahan bukti berkaitan kejadian berkenaan.

Katanya, kerajaan berharap hasil siasatan panel itu akan mendedahkan perkara sebenar secara menyeluruh di sebalik pelbagai hujah dan dakwaan oleh banyak pihak pada masa ini. 
Hishammuddin juga berkata, terpulang kepada panel itu juga sama ada mahu mencadangkan untuk menjemput ahli panel dari luar negara dalam siasatan mereka.

Mengenai ketiadaan wakil Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam panel itu, Hishammuddin berkata: 

“Majlis Peguam mempunyai masalah mereka sendiri, maksud saya kita melihat banyak perbahasan berkaitan laporan mereka, akan ada perbahasan dalam mesyuarat agung luar biasa dan daripada yang saya dengar, lebih baik mereka selesaikan itu dulu.”

Mengenai penyertaan SUHAKAM, katanya, beliau terbuka jika panel mahu menjemput wakil suruhanjaya itu.

Sementara itu, Haniff yang dihubungi Berita Harian semalam memberi jaminan siasatan akan dilakukan berdasarkan fakta dan bukti, bukannya dipengaruhi emosi.