Sunday, October 14, 2012

Nasharudin 'lidah panjang' - Nik Aziz

Nasharudin 'lidah panjang' - Nik Aziz:

KOTA BHARU 13 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai seorang yang 'lidah panjang' iaitu orang yang suka menghasut ekoran tindakannya sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan keputusan parti.
Pada masa yang sama, Nik Abdul Aziz juga mempersoalkan tindakan Nasharudin kerana tidak berhenti daripada mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan isu yang boleh melemahkan parti itu.
"Dia ini mengarut, mengapa timbul sekarang mengapa tak timbul dulu. Buat apa sekarang baru timbul, masa menjadi calon Pas di Bachok, kenapa tidak timbulkan masa itu. Dasar lidah panjang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Keluarga Mawaddah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nasharudin yang sering mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan parti itu sejak isu penubuhan kerajaan perpaduan timbul.
Sebaik sahaja menjawab soalan tersebut, Nik Abdul Aziz terus berlalu pergi malah sebelum 'diterjah' wartawan, seorang pegawai beliau beberapa kali mengingatkan sidang akhbar tidak akan diadakan.
Sejak kebelakangan ini, pegawai Nik Abdul Aziz sering menghalang wartawan daripada mendekati Nik Abdul Aziz dan sidang akhbar akan dipendekkan sekiranya ada soalan 'panas'.
Difahamkan tindakan itu dilakukan kerana pemimpin Pas bimbang perkara tersebut dijadikan isu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Nik Abdul Aziz tetap mahu Pas bekerjasama dengan DAP untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun mendapat tentangan daripada ahli akar umbi termasuk Nasharudin sendiri.
Ekoran daripada kenyataan itu, Nik Aziz telah dibidas oleh beberapa tokoh Islam kerana terlalu taksub untuk bekerjasama dengan DAP walaupun mendapat bantahan daripada umat Islam dan ahli akar umbi parti itu.
Sebelum ini, Nasharudin turut menyelar pemimpin Islam yang sanggup mengetepikan kepentingan agama demi kuasa.
Ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Dakwah Islamiyah Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia' dalam Seminar Dakwah Nasional di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC) semalam, Nasharudin berkata, golongan tersebut lebih mementingkan maslahah dan strategi daripada melaksanakan prinsip asas dalam Islam semata-mata disebabkan percaturan politik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121014/po_01/Nasharudin-lidah-panjang---Nik-Aziz#ixzz29Lg2jyrF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Militan Filipina terancam

Militan Filipina terancam:


MANILA 13 Okt. - Perjanjian damai antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang dicapai awal minggu ini, dilihat memberi tamparan hebat kepada kumpulan militan di negara ini.
Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire Gazmin berkata, perjanjian damai awal tersebut diharap akan 'mengubah' kumpulan pemisah yang mempunyai kekuatan 11,000 orang itu, kepada pasukan menggerunkan dalam membantu menumpaskan saki-baki kumpulan militan Abu Sayyaf.
Beliau berkata, keadaan itu juga akan membantu Filipina menggempur beberapa anggota militan dari Indonesia dan Malaysia yang masih bersembunyi di wilayah Mindanao, selatan negara ini.
"Kita boleh berperang dengan bantuan MILF. Keadaan ini boleh meminggirkan kumpulan seperti Abu Sayyaf,'' kata Gazmin.
Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia memuji perjanjian tersebut yang diumumkan oleh Presiden, Benigno Aquino III pada 7 Oktober lalu.
Perjanjian tersebut akan ditandatangani secara rasmi di Manila, Isnin ini.
Wakil Kumpulan Krisis Antarabangsa yang beribu pejabat di Brussels, Belgium, Bryony Lau berkata, kerajaan asing menyokong proses damai itu kerana polisi antikeganasannya.
"Walaupun MILF memutuskan hubungan dengan kumpulan pelampau asing demi perjanjian damai itu, tetapi ada komander masih meneruskan hubungan.
"Perjanjian itu akan meningkatkan insentif kepada kepemimpinan MILF untuk memastikan anggota mereka masih tidak menyembunyikan orang berkenaan,'' katanya.
Di bawah perjanjian itu, MILF akan menutup unit bersenjatanya sehingga perjanjian akhir iaitu pembentukan wilayah autonomi dicapai, yang dijangka dalam tempoh tiga tahun. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_02/Militan-Filipina-terancam#ixzz29Ldvtr77
© Utusan Melayu (M) Bhd 

110 cedera pertempuran di Kaherah

110 cedera pertempuran di Kaherah:

Penduduk memerhatikan rangka bas yang dibakar dalam satu pertempuran antara penyokong Presiden Mesir, Mohammed Mursi dengan penunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tahrir, Kaherah, kelmarin. - AFP
KAHERAH 13 Okt. - Sekurang-kurangnya 110 orang cedera apabila penyokong Presiden Mesir, Mohammed Mursi dan penyokong parti pembangkang bertempur di Dataran Tahrir di sini semalam.
Pegawai berkata, kejadian berlaku selepas penyokong pergerakan Ikhwan Muslimin pimpinan Mursi meruntuhkan satu pentas di dataran berkenaan, lokasi parti pembangkang mengadakan perhimpunan bagi mengkritik Presiden Mesir itu.
Pertempuran berlaku ketika kedua-dua kumpulan itu mengadakan perhimpunan berasingan di Dataran Tahrir.
Satu perhimpunan terdiri daripada aktivis berfahaman liberal dan sekular mengkritik kegagalan Mursi mengotakan janjinya dalam tempoh 100 hari sejak memegang jawatan Presiden, manakala satu lagi perhimpunan diadakan oleh Ikhwan Muslimin.
Kementerian Kesihatan melaporkan, sekurang-kurangnya 110 orang cedera apabila kedua-dua kumpulan itu melempar batu dan bom petrol antara satu sama lain.
Penunjuk perasaan turut membakar dua buah bas yang digunakan oleh penyokong Ikhwan Muslimin, kata saksi.
Walaupun pemimpin Ikhwan Muslimin menyatakan mereka akan menghadiri perhimpunan itu, pergerakan tersebut menafikan di laman Twitter bahawa anggota mereka terlibat dalam pertempuran tersebut.
Seorang koresponden AFP berkata, pertempuran tersebut berakhir selepas pergerakan Islam itu berundur dari Dataran Tahrir petang semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_01/110-cedera-pertempuran-di-Kaherah#ixzz29LdnGlvL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gara-gara RM3.10, 4 murid lari nampak polis

Gara-gara RM3.10, 4 murid lari nampak polis:


WATAMPONE, Sulawesi Selatan - Gara-gara melihat kelibat pengunjung pasar raya berpakaian seperti polis, empat murid perempuan dari sebuah sekolah rendah di sini bertindak melarikan diri daripada tahanan pengawal keselamatan premis berkenaan.
Menurut Tribunnews.com. murid perempuan yang melepaskan diri itu berlari sambil menangis kerana khuatir akan ditahan polis.
Murid-murid tersebut telah ditahan lebih sejam oleh pengawal keselamatan pasar raya berkenaan kerana gagal membayar wang untuk permainan video, dalam kejadian Isnin lalu.
Usaha pengawal keselamatan untuk mengejar kesemua murid perempuan itu tidak berjaya.
Murid perempuan itu ditahan setelah gagal membayar wang untuk permainan video di sebuah pusat permainan berbayar di tingkat dua premis tersebut.
Kesemua mereka didapati terlalu asyik bermain permainan video sebelum pemilik premis meminta setiap daripada mereka membayar sejumlah Rp10,000 (RM3.10) untuk permainan itu.
Pemilik premis itu kemudian menyerahkan murid-murid tersebut kepada pengawal keselamatan pasar raya.
Mereka dipercayai telah kehabisan wang setelah berbelanja terlebih dahulu di tingkat bawah pasar raya tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_09/Gara-gara-RM310-4-murid-lari-nampak-polis#ixzz29LdIhLF6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hanya bawa alat ganti radar

Hanya bawa alat ganti radar:

Para penumpang keluar dari pesawat Syrian Air yang didakwa membawa senjata, selepas ia dipaksa mendarat di lapangan terbang Esenboga, Ankara, Rabu lalu. - AFP
MOSCOW 12 Okt. - Pesawat penumpang Syria dari Moscow yang dipintas dan ditahan Turki, hanya membawa alat peralatan radar untuk sistem pertahanan peluru berpandu Syria namun tiada senjata api dalam kargo tersebut, lapor akhbar Rusia hari ini.
Akhbar Kommersant yang memetik sumber dalaman industri eksport senjata sebagai berkata, pesawat itu membawa 12 kotak mengandungi peralatan radar untuk digunakan dalam sistem pertahanan tentera Syria.
Pendedahan itu menafikan tuduhan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bahawa kargo pesawat berkenaan turut memuatkan peluru.
Sumber itu berkata, kargo berkenaan tidak memerlukan dokumen khas kerana tidak menimbulkan sebarang risiko kepada anak kapal dan pesawat.
"Pesawat itu tidak membawa senjata. Jika seseorang membawa alat pemancar radio yang ditutup dalam pesawat, adakah tindakan itu mengancam pesawat atau penumpangnya?
"Tiada sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa berlaku,'' kata sumber itu.
Jurucakap agensi eksport senjata Rosoboronexport, Vyacheslav Davidenko menafikan terdapat kargo yang dimiliki agensi itu seperti didakwa Erdogan.
Pesawat Syrian Air yang berlepas dari Moscow ke Damsyik itu dipaksa mendarat di lapangan terbang Esenboga di Ankara oleh tentera udara Turki dan kemudian dibenarkan berlepas semula ke destinasinya.
Bagaimanapun, Turki merampas kargo berkenaan.
Erdogan mendakwa pesawat itu membawa peralatan dan peluru untuk Kementerian Pertahanan Syria dan dipercayai disediakan oleh Rosoboronexport. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_02/Hanya-bawa-alat-ganti-radar#ixzz29LcpXGFq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 tentera Syria maut serangan pemberontak

14 tentera Syria maut serangan pemberontak:


Anggota pemberontak Syria berlindung di balik benteng diperbuat daripada batu bata semasa bertempur di bandar Aleppo, Syria, kelmarin. - Reuters
BEIRUT 12 Okt. - Sekurang-kurangnya 14 anggota tentera Syria terbunuh dalam satu serangan yang dilakukan kumpulan pemberontak di sebuah pos kawalan di wilayah Daraa, hari ini.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, serangan yang berlaku di pos kawalan di Khirbata itu turut meragut enam nyawa pemberontak, selain pertempuran juga dilaporkan berlaku di utara wilayah Idlib dan Aleppo.
Serangan itu berlaku sehari selepas kira-kira 240 orang terkorban dalam beberapa siri serangan di Syria melibatkan 92 anggota tentera, 67 anggota pemberontak dan 81 penduduk awam.
Di Idlib, beberapa jet pejuang tentera Syria dilaporkan membedil dua buah bangunan di bandar Maaret al-Numan, manakala di Aleppo, kumpulan pemberontak melancarkan serangan ke atas pasukan tentera udara di sebuah lebuh raya yang menghubungkan wilayah tersebut ke Raqa.
"Kumpulan pemberontak bertempur dengan pasukan tentera udara Syria bermula tengah malam semalam sehingga subuh ini," kata ketua pertubuhan tersebut, Rami Abdel Rahman.
Lapangan terbang ketenteraan sering dijadikan sasaran serangan pemberontak ketika pasukan tentera meningkatkan penggunaan jet pejuang dan helikopter bagi melancarkan serangan.
Di bandar raya Aleppo, pasukan tentera Syria melancarkan serangan di beberapa daerah termasuk Haidariyah, Sukari dan Fardoss. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_01/14-tentera-Syria-maut-serangan-pemberontak#ixzz29LcbiyDD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

200 cedera dalam tunjuk perasaan di Mesir

200 cedera dalam tunjuk perasaan di Mesir: "KAHERAH 13 Okt. - Sekurang-kurangnya 200 orang cedera dalam satu tunjuk perasaan melibatkan beribu-ribu penyokong dan pembangkang Presiden Mesir, Mohammed Mursi di Dataran Tahrir, di sini semalam.

Penunjuk perasaan membaling batu dan botol, sebagai tanda tidak puas hati terhadap corak pentadbiran Mursi.

Kejadian itu merupakan yang pertama berlaku sejak Mursi menjawat jawatan sebagai Presiden. - REUTERS"

'via Blog this'

Iraq beli 28 pesawat tempur dari Republik Czech

Iraq beli 28 pesawat tempur dari Republik Czech: "PRAGUE 13 Okt. - Iraq semalam, bersetuju untuk membeli sebanyak 28 pesawat tempur dari Republik Czech bernilai AS$1 bilion (RM3.1 bilion) dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Pertahanan Republik Czech, Alexander Vondra berkata, Iraq akan membeli sebanyak 28 pesawat tempur jenis L-159.

"Sebanyak 24 daripada 28 pesawat tersebut merupakan stok baharu manakala empat lagi merupakan lebihan pesawat tentera negara ini," katanya. - AFP"

'via Blog this'

Letupan di pasar sebabkan 16 maut

Letupan di pasar sebabkan 16 maut:

Seorang lelaki yang cedera akibat letupan bom dibawa menerima rawatan di sebuah hospital di Peshawar, Pakistan, semalam. - AFP
PESHAWAR 13 Okt. - Sekurang-kurangnya 16 orang maut dan 30 orang lagi cedera apabila seorang pengebom berani mati meletupkan diri di sebuah pasar yang sesak dengan orang ramai yang membeli keperluan harian di barat laut Pakistan hari ini.
Pegawai berkata, letupan di pasar utama di Darra Adam Khel itu disasarkan terhadap anggota kumpulan militia prokerajaan yang memerangi militan Taliban.
"Angka kematian setakat ini adalah 16 orang dan mungkin meningkat kerana ramai lagi cedera,'' kata pegawai kerajaan tempatan, Fakhar-ud-Din.
Menurut beliau, bom tersebut disembunyikan di dalam sebuah trak mini berhampiran pasar tersebut.
Polis juga sedang menyiasat sama ada bom berkenaan merupakan bom jangka atau diletupkan dengan alat kawalan jauh.
Sehingga kini, belum ada pihak tampil bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Kejadian itu yang berlaku di bandar dikuasai kumpulan militan Tariq Afridi, kira-kira 35 kilometer dari selatan Peshawar, turut dikutuk Presiden Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Raja Pervez Ashraf. - dpa


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_04/Letupan-di-pasar-sebabkan-16-maut#ixzz29LbwA0Yo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Dua anggota JI ditahan di bawah ISA

Dua anggota JI ditahan di bawah ISA: "SINGAPURA 13 Okt. - Dua anggota kanan pertubuhan pengganas Jemaah Islamiah (JI) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di negara ini.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA) kelmarin, mereka telah mengeluarkan Arahan Penangkapan (ODs) terhadap Abd. Rahim Abdul Rahman pada Mac lalu dan Husaini Ismail pada Jun lalu.

MHA berkata, kedua-dua suspek itu pernah menjalani latihan di Afghanistan dengan militan al-Qaeda pada 1999/2000, selain aktif memantau beberapa sasaran tempatan dan asing di Singapura yang berpotensi untuk diserang. - AGENSI"

'via Blog this'

Syria larang pesawat Turki, ketegangan meningkat

Syria larang pesawat Turki, ketegangan meningkat - Global - Sinar Harian:

'
Pesawat Syria yang ditahan Turki.
Pesawat Syria yang ditahan Turki.
DAMSYIK - Syria pula mengambil tindakan drastik melarang pesawat-pesawat awam Turki daripada melalui ruang udara negara itu - dilihat sebagai tindakan balas susulan penahanan pesawat komersialnya di Ankara sejak Rabu lalu.

Larangan Syria ini berkuat kuasa sejak tengah malam tadi (waktu Damsyik).

Turki memintas pesawat komersial Syria yang dalam perjalanan dari Rusia ke Damsyik atas alasan membawa kargo haram iaitu senjata, melanggar sekatan dikenakan oleh Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Damsyik mengumumkan tindakannya ini ketika Duta PBB-Liga Arab bagi menyelesaikan konflik 20 bulan Syria berada di Ankara bagi membincangkan perkembangan semasa.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Kementerian Luar berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah tindak balas ke atas Turki yang menahan pesawatnya minggu lalu.
Turki tidak mengumumkan larangan penerbangan tetapi menahan pesawatnya atas alasan membawa kelengkapan ketenteraan bagi pasukan Presiden Bashar al-Assad.

Konflik Syria: PBB ulangi 'tragedi' Bosnia, dakwa Turki

Konflik Syria: PBB ulangi 'tragedi' Bosnia, dakwa Turki - Global - Sinar Harian:


ISTANBUL  - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menegur Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam konflik Syria dan menganggap badan dunia itu mengulangi kesilapan yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai di Bosnia pada 1990-an.
Sebelum ini, pasukan tentera pimpinan Presiden Syria, Bashar al-Assad menggunakan serangan udara dan artileri terhadap pemberontak dengan membedil beberapa lokasi di Syria sepanjang konflik 19 bulan lalu sehingga menyeret campur tangan kuasa-kuasa serantau.

Sementara itu, Turki semakin terikat selepas Syria mengambil tindakan drastik melarang pesawat-pesawat awam Turki daripada melalui ruang udara negara itu kerana dituduh membawa peluru untuk menyerang tentera Syria - menyebabkan Moscow dan Damsyik semakin tegang.

Insiden itu telah menyebabkan campur tangan termasuk zon larangan terbang dikuatkuasakan oleh pesawat asing untuk menghentikan serangan udara maut oleh kuasa Bashar.

Bagaimanapun, di sebalik ketegangan itu, masih terdapat sedikit peluang sokongan PBB untuk tindakan yang kukuh.

China menegaskan, sebarang cara penyelesaian untuk krisis Syria mesti melibatkan orang dalam tanpa membabitkan kuasa asing manakala Rusia pula dilaporkan berkata, rakyat Syria masih ramai menyokong Bashar.
Sementara itu, negara-negara Barat enggan mengambil tindakan ketenteraan yang boleh mencetuskan perang serantau.
“Majlis Keselamatan PBB tidak akan campur tangan dalam tragedi yang berlaku di Syria selama 20 bulan ini.

"Sikap itulah yang menggalakkan dan memberi lampu hijau kepada Bashar untuk membunuh berpuluh-puluh atau beratus-ratus orang setiap hari,” kata Perdana Menteri Turki ketika berucap pada persidangan  di sini, yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin termasuk Ketua Setiausaha Liga Arab, Nabil Elaraby, semalam.

Kruiser tembung dengan kapal selam nuklear AS

Kruiser tembung dengan kapal selam nuklear AS - Global - Sinar Harian:

Kapal perang USS San Jacinto
Kapal perang USS San Jacinto
Kapal selam USS Montpelier kembali ke Naval Station Norfolk baru-baru ini selepas operasi selama ena
Kapal selam USS Montpelier kembali ke Naval Station Norfolk baru-baru ini selepas operasi selama enam bulan. - Foto ihsan nbcnews
WASHINGTON - Sebuah kruiser atau kapal perang peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) bertembung dengan kapal selam nuklear negara itu semasa menjalani latihan di perairan Atlantik, sebelah timur laut Florida, petang semalam, menyebabkan peralatan sonarnya rosak.

Perlanggaran antara kruiser USS San Jacinto dan kapal selam berkuasa nuklear, USS Montpelier berlaku kira-kira 3.30 petang (1.30 pagi waktu tempatan).

Dalam satu kenyataan, tentera laut AS enggan menyatakan lokasi kemalangan.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan dan kedua-dua kapal itu masih mampu  beroperasi menggunakan kuasa enjin masing-masing selepas kejadian.

Menurutnya, insiden itu ‘jarang berlaku’ dan sedang disiasat.

Sementara itu, menurut satu sumber tentera laut memberitahu Reuters, perlanggaran telah menyebabkan kubah sonar kruiser runtuh.

Katanya, kubah sonar itu berbentuk bulat dan terdapat peranti getah pada haluan kapal yang terletak di bawah garis air.

Dua rakyat asing diculik

myMetro | Dua rakyat asing diculik:


KABUL: Dua rakyat asing iaitu warga Kanada dan Amerika Syarikat dilaporkan hilang semalam dikhuatiri diculik di Wardak, barat Kabul, kata polis Afghanistan.
Khabar angin penculikan seorang lelaki dan wanita oleh kumpulan pemisah atau penjenayah beredar selama beberapa hari, tetapi diplomat AS dan Kanada berkata, mereka tidak menyedari ada di kalangan rakyat mereka yang dilaporkan hilang. “Menurut laporan pasukan pengawal tempatan, psangan itu merancang untuk mengembara dari Kabul ke Wardak,” kata jurucakap polis Wardak, Wali Mohammad kepada media. “Rakyat asing yang yang hilang itu berhubungan dengan kami hingga mereka tiba di kawasan Kampany di pinggir Kabul. Selepas itu kami terputus hubungan,” katanya.

“Kami mendapat maklumat mereka mungkin diculik,” katanya.
Penculikan warga asing sudah menjadi perkara biasa di beberapa bahagian di Afghanistan sejak tentera tempatan yang disokong AS menggulingkan kerajaan Taliban pada 2001.

Tentera Nato berkata, mereka mengetahui mengenai laporan penculikan itu, tetapi operasi mencari pasangan berkenaan dilakukan diplomat dan polis Afghanistan. - Reuters

Tentera Iran bersedia hapus penaklukan musuh

myMetro | Tentera Iran bersedia hapus penaklukan musuh:


TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, tentera negara itu sudah bersedia untuk menghapuskan “sebarang hasrat penaklukan” oleh musuh republik Islam itu.
Ali Khamenei dipetik sebagai berkata oleh TV kerajaan semalam mengatakan Iran tidak akan mengalah dengan sebarang ancaman serangan atau tindakan kekerasan oleh kuasa asing. - Agensi

16 korban bom kereta

myMetro | 16 korban bom kereta:


PESHAWAR: Seorang pengebom berani mati di dalam kereta meletupkan dirinya di sebuah pasar di barat laut Pakistan semalam, membunuh sekurang-kurangnya 16 orang, kata pihak berkuasa.
Sasaran serangan di bandar Darra Adam Khel itu adalah anggota prokerajaan yang dibentuk untuk memerangi kumpulan Taliban. Jumlah kematian mungkin meningkat kerana 30 yang lain cedera dan beberapa lagi berada dalam keadaan kritikal.

Insiden itu memusnahkan 15 kedai dan lapan kenderaan, kata pegawai kanan kerajaan tempatan, Sahibzada Anees.
Tentera Pakistan, satu daripada yang terbesar di dunia melancarkan beberapa serangan ke atas Taliban dan kumpulan militan lain yang mensasarkan untuk menggulingkan kerajaan disokong Amerika Syarikat itu. Namun, operasi yang bertumpu di kubu kuat Taliban di kawasan etnik Pashtun di sepanjang sempadan Afghanistan itu gagal mematahkan rangkaian militan terbabit. - Reuters

Pasar gelap sperma di China meningkat

Berita Harian | Pasar gelap sperma di China meningkat:

Beijing: Pasaran gelap bagi sperma semakin meningkat di China berikutan kewujudan hanya 11 bank sperma di negara itu gagal memenuhi keperluan pasangan yang tidak mempunyai anak, menjadikan semakin ramai penderma tampil menjual sperma mereka.

Pasangan suami isteri dari wilayah Shanxi, Yu Hua dan suaminya yang inginkan anak turut mendapatkan perkhidmatan Huang, seorang penderma sperma pasaran gelap profesional.

Dengan penuh yakin, Huang berkata bahawa pasangan suami isteri boleh memilih sama ada melalui suntikan sperma ke dalam tubuh isteri pesakit secara tiruan atau melakukan hubungan seks.
Global Times berkata, Yu Hua dan suaminya menandatangani satu perjanjian untuk membenarkan Huang menderma spermanya, sekali gus menyertai pasangan suami isteri di China yang memilih pasaran gelap berasaskan internet.

Hanya ada 11 bank sperma di China dan mereka berhadapan dengan kekurangan penderma, kata pengarah Bank Sperma Jiangxi, Jiang Xiang-long.

Yu Hua juga termasuk dalam senarai menunggu Bank Sperma Manusia Shanxi sejak setahun tanpa sebarang kejayaan.

“Pusat pembiakan perubatan memaklumkan kami bahawa kami perlu menunggu 15 bulan lagi, selepas saya melakukan semua pemeriksaan perubatan.
“Saya sudah 32 tahun dan tidak boleh menunggu lebih lama lagi,” kata Yu Hua kepada akhbar harian itu.

“Saya sudah membantu ramai pasangan dan mengumpulkan banyak pengalaman. Kebanyakan pelanggan berjumpa saya kerana mereka tidak mendapat sperma dari bank sperma.

“Saya akan menyimpan sperma dalam cawan vakum kecil dan kemudian menyuntik ke tubuh isteri menggunakan penyuntik plastik. Ia dilakukan sendiri Huang tanpa doktor yang akan terbabit dalam proses berkenaan,” katanya.

Penganjur sebuah kumpulan sukarelawan penderma sperma internet berkata, penderma berpendapat hubungan seksual lebih mudah dan lebih berjaya berbanding kaedah suntikan.

“Kebanyakan pasangan bagaimanapun mahu memilih kaedah suntikan tetapi akhirnya terpaksa melakukan hubungan seks.

“Kementerian kesihatan berkata bahawa bank sperma adalah satu-satunya tempat untuk mendapatkan sperma secara sah.

“Bagaimanapun kaedah perjanjian menjual atau menawarkan sperma tidak dilindungi undang-undang China atau diterima masyarakat,” kata seorang pegawai. - Agensi

Maram dinobat ratu cantik Arab Saudi

Berita Harian | Maram dinobat ratu cantik Arab Saudi:

Maram (tengah) bersama pemenang kedua dan ketiga ratu cantik Arab Saudi 2012.Maram (tengah) bersama pemenang kedua dan ketiga ratu cantik Arab Saudi 2012.
Riyadh: Pertandingan ratu cantik di Arab Saudi? Ia mungkin kedengaran aneh, tetapi benar berlaku dan disertai wanita negara itu, bersama panel hakim untuk menghakimi peserta dan dua naib juara. 

Selamat datang ke acara tahunan kali ketiga pertandingan ratu cantik Arab ‘Ratu Etika’ , di mana wanita yang menang tidak dinobatkan berdasarkan paras rupa, ukuran badan atau kecantikan fizikal, tetapi pada ‘etika’ beliau.

Tema pertandingan ratu cantik tahun ini ialah "etika saya, identiti saya". Pertandingan diadakan Isnin lalu di Dewan Besar Raja Abdullah di wilayah Timur Qatif. 


Pemenang, Maram Zaki al-Saif, dipilih sebagai ‘Ratu Etika’ Arab selepas hakim terpegun dengan aksi beliau yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan. 



Selain merangkul gelaran ‘Ratu Etika’, Saif turut menerima wang tunai bernilai kira-kira 10,000 riyal (RM8,153), ujar akhbar tempatan harian, Sharq. 

Ratu yang berasal dari kepulauan Tarout di Arab Saudi ini adalah antara lima finalis yang berjaya mengharungi setiap saringan yang disertai 285 peserta, berumur antara 16 dan 24 tahun. 
Dalam pertandingan sama, Fatema Abdel Jaleel Al Abad, 17, dari rantau Al-Ahsa Arab Saudi dinobatkan naib johan manakala Fatema Saeed Al Baik, 23, dari Al Qatif naib juara kedua. 

Selain etika peserta dan tingkah laku yang baik, pengarah eksekutif pertandingan Khadra'a Al Mubarak berkata kriteria pemilihan pemenang turut dinilai daripada segi karisma dan prestasi teater, di samping tahap keyakinan yang tinggi dan kemahiran literasi, lapor akhbar Sharq. 

Ratu etika perlu menjawab dua soalan utama, yang ditujukan kepada semua lima finalis. Soalan-soalan adalah: Apakah makna sekiranya anda layak merangkul gelaran pemenang? Apakah yang akan anda sumbang kepada gelaran itu? 

Al Saif berkata, kemenangan akan menggalakkan beliau untuk mencapai cita-cita dan matlamat beliau, di samping menjadi sumber inspirasi kepada rakan senegara untuk mempercayai dalam keupayaan mereka untuk membentuk perubahan dalam masyarakat secara keseluruhannya. Beliau juga menyatakan keinginannya untuk mewujudkan projek pemulihan vokasional bagi orang kurang upaya yang akan dapat membantu mereka mencari peluang pekerjaan sesuai. 

Acara pelancaran itu dihadiri oleh selebriti wanita, dan beberapa tokoh media, bersama-sama ibu peserta. - Agensi

Pegawai wanita pertama Syria berpaling tadah

Berita Harian | Pegawai wanita pertama Syria berpaling tadah:


pix_gal0
Damsyik: Presiden Syria, Bashar al-Assad menerima tamparan terbaru apabila seorang pegawai kanannya menjadi wanita pertama puak Alawite berpaling tadah, perkembangan terbaru menyusul tindakan tujuh pegawai meninggalkan beliau. 

Aktivis memuat naik video di dalam laman YouTube Rabu lalu, yang kemudian disiarkan rangkaian berbahasa Arab, Sky News menunjukkan wanita berpakaian seragam tentera, memperkenalkan dirinya, sebagai Zubaydah Almiqi. 
Beliau mengaku berpangkat Kolonel di unit Direktorat Gaji dan menggambarkan rejim Assad sebagai pengkhianat. 

“Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan pemerintahan Presiden Assad. Beliau seorang pengkhianat,” katanya di dalam rakaman video itu. 

Walaupun ada golongan Alawite menyokong pejuang pembebasan, kebanyakan mereka dilihat kelompok yang setia kepada rejim kerana menganut fahaman mazhab sama dengan Assad. 

Sebarang tindakan berpaling tadah anggota minoriti itu dilihat sebagai pengurangan tahap sokongan kepada rejim itu di Syria. 

Tindakan Almiqi berpaling tadah berlaku ketika berita semakin tersebar menyatakan tujuh pegawai kanan Alawite secara terbuka meninggalkan rejim berkenaan. 
Ketua penyelaras majlis tentera di Homs, Khaled Bakkar, mengesahkan perkara itu. 
Namun sumber Tentera Pembebasan Syria (FSA) berkata pegawai berkenaan masih belum tiba di kem tentera yang berpaling tadah di Jordan. 

Akhbar Asharq Al-Awsat melaporkan awal minggu ini ada khabar angin mengenai perpecahan dalam briged Alawite. Menurut sumber mereka, pertelagahan timbul ketika pertempuran merebak ke Qardahah, tempat lahir Assad. 

“Berikutan keganasan merebak di kubu kuat Alawite, ramai kalangan penganut fahaman itu bimbang mengenai keselamatan keluarga mereka dan sebilangannya mengambil keputusan berpaling tadah,” lapor akhbar itu. 

Bagaimanapun, tindakan berpaling tadah terbaru menunjukkan perbezaan pendapat itu tersebar ke kawasan lebih luas berbanding sekadar di wilayah Lattakia. - Agensi

Berita Harian | Wanita bertanding pemimpin Ikhwan

Berita Harian | Wanita bertanding pemimpin Ikhwan:

Sabah al-SaqariSabah al-Saqari
Sabah el-Saqari catat sejarah walaupun diramal kalah

Kaherah: Buat pertama kalinya, seorang wanita bertanding untuk mengetuai parti politik terulung Mesir, Ikhwanul Muslimin, pergerakan paling berkuasa di negara itu. 
Sabah al-Saqari berkata beliau mahu meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan mempertahankan hak wanita untuk bertanding sebagai presiden, satu pendirian yang ditentang pertubuhan itu sendiri. 

Pilihan raya dalaman parti dijadualkan 19 Oktober depan adalah untuk menggantikan Mohammed Morsi memegang jawatan pengerusi sehingga menjadi presiden pertama Mesir dilantik secara bebas, akhir Jun lalu.
Golongan liberal yang bimbangkan pemerintahan Islam akan mengehadkan hak wanita pula menuduh pencalonan itu sebagai cubaan Ikhwan untuk memperbaiki imej sekalipun al-Saqari adalah veteran Ikhwan selama 22 tahun.

Beliau bertanding untuk menjadi pengerusi Parti Kebebasan dan Keadilan yang diwujudkan oleh Ikhwan selepas kejatuhan Hosni Mubarak pada Februari tahun lalu.

Parti diperalat

Selepas ditindas beberapa dekad oleh Mubarak, parti terbabit menjadi alat membolehkannya untuk berkuasa, mengalahkan aktivis dan golongan progresif yang menggerakkan revolusi. 
Pilihan raya dalaman parti dijadualkan 19 Oktober depan adalah untuk menggantikan Mohammed Morsi memegang jawatan pengerusi sehingga menjadi presiden pertama Mesir dilantik secara bebas, akhir Jun lalu.

Pencalonan simbolik besar

Pencalonan al-Saqari adalah satu simbolik besar meskipun dilihat tidak berpeluang untuk menang kerana berhadapan dua calon besar untuk jawatan itu iaitu tokoh kanan Ikhwan, Essam el-Erian dan Saad el-Katatni. Turut bertanding seorang lagi ahli parti yang kurang dikenali, Khaled Awda.

Langkah berkenaan bukan yang pertama membabitkan penyertaan seorang wanita dalam aspek yang dikuasai lelaki hampir keseluruhannya dalam Ikhwanul Muslimin.

Parti terbabit pernah mempunyai ahli perundangan wanita dalam Parlimen dibentuk selepas revolusi yang kemudian dibubarkan tetapi lelaki memonopoli proses membuat keputusan dan jawatan ketua parti selain hal ehwal parti itu sendiri.

Pihak liberal sebaliknya melihatnya sebagai percubaan sinis Ikhwan untuk menggalakkan pandangan tidak benar mengenai pendirian mereka terhadap wanita.- AP

Berita Harian | Pesawat awam Turki dilarang terbang di ruang udara Syria

Berita Harian | Pesawat awam Turki dilarang terbang di ruang udara Syria: "BEIRUT: Syria hari ini mengumumkan larangan pesawat awam Turki melakukan penerbangan di ruang udara negara itu selepas beberapa hari Turki memintas pesawat Syria.

Ketika itu, Turki mendakwa pesawat Syria membawa senjata buatan Russia untuk digunakan tentera Presiden Bashar al-Assad. Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita SANA berkata, larangan itu akan berkuatkuasa tengah malam Sabtu dan ia adalah tindak balas yang diambil sama seperti larangan yang dikenakan ke atas pesawat Syria.
Bagaimanapun, Syria mengakui Turki tidak mengumumkan larangan ke atas pesawat negara itu, tetapi kerajaan Perdana Menteri Tayyip Erdogan berkata, Turki akan menembak jatuh pesawat awam Syria sekiranya mendapati ia dicurigai membawa kelengkapan ketenteraan. - Reuters"

'via Blog this'

Telinga hilang dihakis kanser kulit

Kosmo! Online - Negara:





KENTY GABOT, 18, mencuci luka di kepala ibunya yang menghidap kanser kulit di Lundu, Sarawak semalam.



LUNDU – Tiada apa yang diinginkan oleh seorang pesara tentera, Gabot Sindoh selain melihat isterinya kembali ceria selain memiliki wajah seperti manusia normal.
Namun, suami berusia 57 tahun itu terpaksa pasrah menerima takdir bahawa isterinya, Jingus Nyambei, 50, berdepan dengan perubahan wajah yang mengerikan apabila menghidap kanser kulit sejak lima tahun lalu.
Penyakit yang menyerang bahagian sebelah kiri kepala wanita dari Kampung Stoum Muda dekat sini semakin merebak sehingga peluangnya untuk hidup kini tipis.
Bermula dengan kerosakan kulit kepala, Jinggus sudah hilang telinga kiri sementara mata kiri pula membengkak hingga hampir buta.
Gabot memberitahu, kisah pahit kehidupan mereka sekeluarga bermula selepas isterinya disahkan menghidap kanser kulit tahap empat pada Februari 2007.
Penyakit tersebut hanya dikesan selepas ia membesar dan cukup menyakitkan.
“Doktor sudah beritahu bahawa isteri saya tidak ada lagi harapan untuk hidup,” katanya diiringi air mata kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Gabot menambah, doktor turut mengesan beberapa ketumbuhan lain di bahagian saraf kepala yang menyebabkan isterinya semakin lemah.
Katanya, hanya harapan dan ketabahan dapat mengatasi penderitaan yang ditanggung isterinya apabila rambutnya semakin menipis dan kandungan cecair di dalam badannya juga dikatakan tidak stabil.

Pejabat kempen Obama diserang

Kosmo! Online - Dunia: "LOS ANGELES - Satu tembakan telah dilepaskan ke arah sebuah pejabat kempen Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Colorado kelmarin.

Tembakan tersebut bagaimanapun hanya memecahkan cermin tingkap bahagian hadapan pejabat dan tiada siapa yang cedera. Beberapa orang kakitangan berada di dalam pejabat ketika serangan itu berlaku.

"Tembakan nampaknya dihalakan ke arah struktur bangunan. Polis kini sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab," kata jurucakap polis Denver, Raquel Lopez.

Para pegawai kempen Obama tidak memberi komen mengenai insiden tersebut. Obama dan seterunya dari parti Republikan, Mitt Romney kini sedang giat berkempen dalam minggu-minggu terakhir sebelum pilihan raya presiden berlangsung pada 6 November depan. - AFP"

'via Blog this'

Menteri Keadilan Jepun ada kaitan dengan Yakuza

Kosmo! Online - Dunia:




Keishu Tanaka



TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda kini berdepan tekanan hebat apabila Menteri Keadilan, Keishu Tanaka yang baru sepuluh hari dilantik, didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan mafia Jepun, Yakuza.
Tanaka kelmarin memohon maaf kerana dikaitkan dengan ahli kumpulan jenayah terancang itu selepas sebuah majalah tabloid melaporkan bahawa beliau hadir selaku tetamu kehormat majlis perkahwinan seorang ahli Yakuza.
"Sekiranya saya tahu dia merupakan ahli Yakuza, saya pasti tidak akan hadir. Saya dibawa ke sana dan menyedari bahawa mereka ialah ahli sebuah sindiket jenayah, saya memohon maaf kerana mempunyai hubungan itu," kata Tanaka yang mengaku ada menghadiri majlis tersebut 30 tahun lalu.
Pihak pembangkang mengambil peluang ini untuk mengkritik kabinet baharu Noda dengan sebahagiannya mendesak Tanaka supaya meletak jawatan.
"Sangat sukar dipercayai. Menteri Keadilan ialah penegak undang-undang. Beliau patut meletak jawatan jika dakwaan ini benar," kata Ketua Parti Demokratik Liberal, Yoshihide Suga dalam satu temu bual dengan stesen televisyen NTV.
Sama seperti kumpulan mafia di Itali atau China, Yakuza terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti judi, dadah, pinjaman wang haram, meminta duit perlindungan, jenayah kolar putih dan banyak lagi.
Tanaka yang menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan dengan ahli Yakuza sejak majlis perkahwinan itu menyatakan tidak akan meletak jawatan. - AFP

'via Blog this'