KIEV 25 Feb. - Parlimen Ukraine hari ini menangguhkan rancangan pengundian bagi pembentukan kerajaan perpaduan nasional sehingga Khamis ini bagi membenarkan proses perbincangan dilanjutkan.
"Undian terhadap kerajaan perpaduan nasional akan dilakukan Khamis ini, kata pemangku Presiden Ukraine, Oleksandr Turchynov yang juga Speaker Dewan Parlimen kepada Ahli Parlimen.
Ukraine sepatutnya mengumumkan Perdana Menteri dan kerajaan baharu negara ini, hari ini ketika perwakilan negara-negara Barat bergegas ke ibu negara ini bagi cuba mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis yang menjejaskan ekonominya.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Catherine Ashton, tiba di Kiev semalam ketika keadaan di ibu negara ini mula kembali seperti sedia kala dengan kedai dan restoran mula dibuka.
Ashton mengadakan pertemuan dengan Turchynov yang memberi amaran bahawa Kiev tidak akan mempunyai alternatif melainkan perlu membayar sejumlah AS$13 bilion (RM42 bilion) dalam bentuk kewajipan asing tahun ini sekiranya negara-negara Barat gagal memberi bantuan negara yang berdepan ketidaktentuan ekonomi ini.
Dalam pada itu, Washington turut menghantar Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), William Burns ke Kiev hari ini manakala, Setiausaha Luar Britain, William Hague dijangka mengadakan lawatan ke negara ini dalam masa terdekat.
AS dilapor menghentikan seketika sokongannya terhadap pemimpin sementara Ukraine dan mahu kerajaan teknokrat supaya mengadakan pilihan raya lebih awal.
Turchynov sementara itu berikrar untuk membentuk sebuah kerajaan rakyat dan memberi amaran kepada Rusia bahawa beliau menjangkakan Kremlin akan menghormati keputusan Ukraine menjalinkan kerjasama dengan negara Barat.
Suruhanjaya pilihan raya pada hari ini menyatakan, kempen bagi pilihan raya Presiden ditetapkan pada 25 Mei ini dan secara rasmi telah bermula ketika beberapa nama mula disebut-sebut untuk memegang jawatan itu.
Antara nama-nama disebut adalah pemimpin demonstrasi, Arseniy Yatsenyuk; bekas Menteri Ekonomi dan Luar yang pro-Kesatuan Eropah (EU), Yulia Tymoshenko; wira Revolusi Oren 2004, Petro Poroshenko dan bekas juara tinju dunia, Vitali Klitschko. - AFP/REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140226/lu_07/Ukraine-tangguh-umum-kerajaan-baharu#ixzz2uNUit6k5
© Utusan Melayu (M) Bhd