Showing posts with label maksiat. Show all posts
Showing posts with label maksiat. Show all posts

Saturday, March 19, 2011

RM3,000 upah teman VIP


MALISA ...peneman VIP di meja judi
MALISA ...peneman VIP di meja judi

KUALA LUMPUR: “Saya dianggap pembawa ‘ong’ (tuah) kepada golongan VIP kerana mereka selalu menang apabila membawa saya ketika berjudi di luar negara,” kata penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang hanya mahu dikenali sebagai Malisa.
Dalam pengakuannya kepada Harian Metro, gadis berusia 20-an itu mendakwa dia memperoleh wang dengan cara mudah dan mampu hidup mewah dengan ‘kerjaya’ sedemikian. Tanpa berselindung, Malisa mengaku dia mula ‘gelap mata’ apabila mendapat upah sehingga mencecah RM3,000 hanya dengan menemani golongan VIP ketika berjudi.

Menceritakan bagaimana dia mula terjebak dengan kegiatan itu, Malisa berkata, dia dipengaruhi rakan sekuliah yang memaklumkannya cara memperoleh wang mudah dengan hanya menjadi ‘pendamping’ dan penyeri di meja judi kepada golongan VIP berkenaan.

Malisa berkata, rakannya itu mendakwa dia tidak perlu menyerahkan tubuh kepada VIP yang ditemani tetapi hanya perlu berdiri di sisi mereka ketika berjudi, kononnya untuk memberi tuah.

“Secara kebetulan, pada waktu itu saya memang mempunyai masalah keluarga dan amat memerlukan wang bagi menampung perbelanjaan projek di universiti untuk menamatkan pengajian.

“Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju mengikut rakan berkenaan untuk melakukan ‘kerja’ itu dan pada masa sama bertekad menjaga kehormatan saya dengan tidak melakukan hubungan seks dengan VIP yang saya temankan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Malisa, dia kemudian dibawa rakannya ke sebuah negara jiran sebelum ditemukan seorang lelaki bergelar Datuk di sebuah hotel bertaraf lima bintang di sana.

“Kami dilayan seperti puteri kerana segala perbelanjaan, seperti tiket penerbangan, penginapan, makan dan minum dibiaya Datuk itu bersama tiga lagi rakannya.
“Pada waktu malam, kami dibawa ke sebuah kasino di sana dan saya hanya perlu duduk di sisi Datuk berkenaan sambil berharap kehadiran saya benar-benar memberikan tuah kepadanya, selain bertepuk tangan jika menang,” katanya.

Malisa berkata, nasib menyebelahinya pada malam itu apabila Datuk yang ditemaninya menang dalam perjudian dan hasilnya, dia diberi upah sebanyak RM1,500.

“Sejak itu, saya semakin seronok melakukan aktiviti itu dan saya juga sudah mampu melakukannya bersendirian tanpa perlu mengajak rakan kerana sudah dikenali di kalangan VIP,” katanya.

Menurutnya, dalam aktiviti seterusnya sebagai gadis peneman VIP di meja judi, dia mendapat upah lebih lumayan dengan purata antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu sesi.

Kata Malisa, biarpun sedar kerjayanya itu tidak bermoral dan salah mengikut ajaran Islam, kemewahan diperoleh menyebabkan dia berasa tidak bersalah dengan apa yang dilakukan.

“Terus-terang, pekerjaan ini kini sudah sebati dengan diri saya. Saya anggap apa yang saya lakukan ini sebagai pekerjaan sambilan pada hujung minggu kerana saya masih lagi belajar. Saya juga tak takut dicekup pihak berkuasa kerana aktiviti saya dilakukan di luar negara,” katanya. Malisa berkata, selepas melakukan kegiatan itu selama hampir tiga tahun dia kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 untuk membolehkan dia membeli barangan seperti beg tangan dan pakaian berjenama, selain mengirimkan wang untuk ibu bapa di kampung. Bagaimanapun, Malisa sedar dia tidak boleh selama-lamanya melakukan kegiatan itu dan tahu wang yang diperolehnya tidak berkat, malah pengajiannya juga semakin merosot. “Duit yang saya peroleh habis sekelip mata, saya tidak ingat apa yang saya beli dan belanjakan untuk apa. Saya harap saya dapat berhenti melakukan pekerjaan ini dalam masa terdekat,” katanya

Sunday, January 2, 2011

Kegiatan gay dilindungi VIP?


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Pusat aktiviti kumpulan pengamal seks songsang atau kelab gay di negara ini dikesan bergerak secara tersembunyi dan sukar dikesan malah dipercayai 'dilindungi' golongan orang kenamaan (VIP).
Seperti 'tidak boleh disentuh', agensi penguat kuasa turut berhadapan cabaran menjalankan operasi di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti menjalankan aktiviti seks songsang.
Selain berselindung di sebalik premis urut, pusat hiburan, kelab gay telah lama wujud tetapi menggunakan nama persatuan atau pertubuhan yang sah.
Difahamkan, kebanyakan golongan gay terbabit terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi, profesional, tokoh korporat dan selebriti.
Jika dilihat blog-blog dan laman sosial popular Facebook turut mendedahkan 'keberanian' golongan gay itu berkongsi pengalaman peribadi dan kehidupan mereka sebagai pengamal seks songsang.
Menurut sumber, VIP terbabit dikatakan pernah menghubungi dan memberi amaran keras kepada pihak penguat kuasa sekiranya premis-premis kelab gay terbabit diserbu.
"Maklumat peribadi seperti nombor telefon penguat kuasa dengan mudah dia perolehi, sedangkan kita pula gagal menghubungi kembali talian digunakannya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, polis mengenal pasti empat kelab gay yang berselindung di sebalik pusat urut di sekitar ibu negara.
Katanya, ia berdasarkan penemuan gambar-gambar lelaki berbadan sasa yang tidak berbaju diletakkan dalam premis selain penemuan kondom-kondom telah digunakan.
Tambahnya, selain itu, terdapat juga iklan urutan batin B2B (badan ke badan) yang menawarkan khidmat seks songsang.
"Siasatan mendapati terdapat lelaki warga asing juga bekerja sebagai 'tukang urut' di premis berkenaan.
"Polis berjaya menahan 28 lelaki warga asing dari Pakistan, Iran dan Myanmar daripada 100 lelaki yang diperiksa di premis-premis tersebut tahun ini," katanya.
Menurut Razali, selain rumah urut, pihaknya turut mendapat maklumat pusat kecergasan diri sering dikunjungi golongan gay kerana mereka menjaga penampilan diri selain teliti dalam aspek kebersihan.
"Golongan gay tidak segan silu mempamerkan kemesraan mereka di khalayak ramai malah pernah menggoda pegawai-pegawai polis ketika serbuan dibuat.
"Sifat tidak malu itu juga jelas dilihat ketika mereka menari bersama-sama dalam keadaan separuh bogel ketika serbuan dibuat di premis urut berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat dan bersama membendung budaya gay daripada terus menular dalam masyarakat.

Friday, October 8, 2010

Pantai berahi

Oleh Mohd Zawawi Mat Ail
bhkt@bharian.com.my
2010/10/08


Teluk Bidara lokasi seks, hidu gam
Foto

Amir (tiga dari kiri) menyoal sepasang kekasih di kawasan bukit di tepi Pantai Teluk Bidara.

  • Foto
    PASANGAN mengambil kesempatan keadaan kawasan tepi pantai yang berbukit dan belukar untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.


DUNGUN: Pantai Teluk Bidara di sini, sememangnya tersohor dengan kedamaian, dihias pasir putih dan rimbunan pokok berlatarbelakangkan perkampungan nelayan, tetapi reputasinya tercalar dengan tindakan pasangan melakukan perbuatan tidak bermoral tidak kira siang mahupun malam.
Sejak terbinanya jambatan Kuala Dungun-Seberang Pintasan tiga tahun lalu, kampung Seberang Pintasan yang dahulunya seakan terpisah dari dunia luar mengalami perubahan drastik, termasuk pesisir pantai Teluk Bidara, berubah menjadi pantai dikunjungi ramai terutama pada setiap petang.
Arus kemodenan yang melanda turut membawa unsur kurang sihat ke kampung ini yang sebelum ini bergantung kepada bot penambang sebagai pengangkutan utama untuk ke Kuala Dungun bagi mengelak menempuh perjalanan sejauh 20 kilometer.

Penduduk, Bakar Samad, 44, berkata sebelum ini sukar melihat anak gadis ke pantai bersama teman lelaki tetapi kini keadaan jauh berubah kerana kawasan pesisir pantai menjadi medan pasangan muda mudi bercumbu-cumbuan dan melakukan perbuatan maksiat terutama ketika waktu solat Jumaat.

“Gelagat pasangan muda-mudi yang berlagak seolah pasangan sudah berkahwin menggusarkan penduduk kampung sekali gus mencemarkan nama Pantai Teluk Lipat dan Kampung Seberang Pintasan," katanya.

Anggota RELA, Amir Rosli, 39, berkata boleh dikatakan setiap kali pasukannya membuat rondaan, ada pasangan yang dicekup kerana berkelakuan tidak senonoh.
Amir berkata apa yang lebih menyedihkan kawasan pantai yang sepatutnya lengang pada waktu solat Jumaat menjadi peluang mereka melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Sementara kawasan bukit berhampiran pantai pula menjadi markas kepada kegiatan menagih gam.

“Penagih gam yang berada di puncak bukit akan dapat melihat kedatangan pengunjung ke pantai sekali gus menjadikan lokasi puncak bukit itu sebagai tempat selamat untuk mereka melepaskan gian," katanya.

Tinjauan Edisi Timur di kawasan puncak bukit berhampiran pantai pantai itu mendapati tin dan plastik gam bersepah ditinggalkan penagih.

Amir berkata, pondok pengawal wajar dibina di puncak bukit berhampiran pantai bagi memudahkan penduduk khususnya anggota RELA membuat tinjauan bagi mengelak kawasan pantai dijadikan tempat melakukan aktiviti tidak bermoral.

Wednesday, September 29, 2010

27 GRO asing dicekup lagi tak sampai 24 jam



29/09/2010 5:17pm

GEORGETOWN - Walaupun baru diserbu 24 jam lepas, sebuah pusat hiburan di Jalan Burma di sini tidak serik, malah meneruskan perkhidmatan menawarkan aktiviti tidak bermoral mereka seperti biasa.
Jika dalam serbuan Jabatan Imigresen Isnin lepas seramai 24 wanita asing dari China dan Vietnam ditahan, semalam pasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman pula menahan 27 wanita asing.
Dalam serbuan “Ops Noda” yang bermula kira-kira pukul 11.30 malam tadi hingga 2.30 pagi ini, polis menahan 20 wanita China dan tujuh wanita vietnam dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di premis itu. - Bernama

Monday, September 27, 2010

Port’ memadu kasih dalam kereta

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
2010/09/24

SEREMBAN: Keadaan bahagian depan Pusat Perniagaan Taman Paroi Jaya, dekat sini, yang gelap pada malam hari kerana tidak mempunyai lampu jalan menyebabkan kawasan itu menjadi lokasi segelintir remaja melakukan kegiatan tidak sihat.


DI SINI...kawasan tepi jalan di hadapan kedai di Taman Paroi Jaya menjadi tempat remaja memadu kasih dalam kereta.
DI SINI...kawasan tepi jalan di hadapan kedai di Taman Paroi Jaya menjadi tempat remaja memadu kasih dalam kereta.

Penduduk mendakwa kegiatan itu berlarutan sejak sekian lama terutama pada malam minggu dan kebiasaannya kegiatan terbabit dilakukan di dalam kereta di kawasan gelap tepi jalan atau di bawah pokok besar.
Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Paroi Jaya, Shahril Tahirul Zainal Abidin, 30, berkata pihaknya pernah terserempak pasangan remaja berpelukan di dalam kereta ketika menjalankan rondaan keselamatan di kawasan itu pada malam hari dan awal pagi.

Menurutnya, ada juga pasangan diserbu Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika mereka memadu kasih dalam kereta di kawasan terbabit.

“Ketiadaan lampu jalan juga menyebabkan jenayah seperti kes pecah kedai. Sehingga kini, tiga kejadian pecah kedai berlaku di situ dengan yang terbaru berlaku pada Ogos lalu membabitkan seorang pengusaha telekomunikasi mengakibatkan kerugian lebih RM4,000 selepas kedainya diceroboh dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.

“Sebelum itu beberapa pengusaha lain mengadu kedai mereka dipecah masuk pada malam hari dan awal pagi membabitkan kerugian antara RM1,000 hingga RM5,000,” katanya.

Shahril Tahirul berkata, keadaan kawasan itu yang gelap dipercayai memudahkan penjenayah melakukan kegiatan tidak sihat kerana sebahagian pengusaha terbabit tidak tidur di kedai berkenaan.

Menurutnya, berikutan itu penduduk bimbang keselamatan mereka dan berharap pihak berkuasa memasang lampu jalan bagi memastikan jenayah dibanteras.

Katanya, permohonan bagi mendapatkan lampu jalan di situ pernah dikemukakan kepada pihak berkuasa kira-kira dua tahun lalu, namun sehingga kini tiada tindakan.

“Saya mewakili penduduk taman ini berharap pihak berkenaan memberikan perhatian terhadap masalah ini dan memasang lampu jalan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gedung Lalang, Ampangan yang merangkumi Taman Paroi Jaya, Mohamad Sahimi Ab Rani, 62, berkata pihaknya berharap pihak berkuasa meluluskan cadangan pemasangan lampu jalan di kawasan terbabit.

Wednesday, September 1, 2010

Cara remaja rai merdeka ditegur



GEORGETOWN - Sambutan menyambut detik 12 malam sempena meraikan Hari Kemerdekaan negara yang ke 53 di sini dicemari dengan pelbagai aksi liar remaja yang membimbangkan. 

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan tumpuan sekitar negeri ini mendapati golongan remaja tanpa segan silu duduk berdua-duaan di pesisiran pantai Queensbay dan persiaran Gurney. 

Walaupun umat Islam masih lagi berada dalam bulan Ramadan, terdapat juga remaja perempuan yang memperagakan pakaian menyolok mata selain ada beberapa kumpulan yang tanpa segan silu menunggang arak beramai-ramai. 

Sinar Harian juga berkesempatan menyertai Operasi Kasih Sayang Remaja Malam Merdeka anjuran Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) Pulau Pinang yang bertujuan membendung gejala sosial dalam kalangan remaja. 

Operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam itu menghimpunkan 400 ahli sukarela dari 12 badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar institusi pengajian tinggi yang prihatin terhadap masalah sosial remaja terutama kegiatan maksiat. 

Pengerusi Unggas, Mohd Nizam Mahshar berkata, dalam operasi semalam, pihaknya menyasarkan dua lokasi utama iaitu sekitar kawasan pantai Queensbay dan Pantai Bersih, Bagan Ajam yang dijadikan ‘port’ remaja melepak sementara menunggu detik jam 12 malam. 

Menurutnya, dalam operasi yang dilakukan sehingga jam 4 pagi semalam, lebih 5,000 remaja ditemui berpelesiran di sekitar kawasan Queensbay dan Pantai Bersih serta mendapati lebih 100 pasangan yang bukan muhrim duduk berduaan sambil melakukan perbuatan yang tidak senonoh. 

“Kita mendapati keramaian seperti ini terutamanya pada malam merdeka, malam tahun baru dan sambutan hari kekasih mengundang pelbagai kegiatan sosial yang serius. 

“Kita mengambil pendekatan turun padang ke port-port sosial dan memberi nasihat serta kaunseling kepada mereka agar dapat mengelakkan mereka daripada melakukan perbuatan maksiat kerana pada masa kini gejala tersebut semakin berleluasa termasuk pembuangan bayi,” katanya pada sidang media, semalam. 

Nizam berkata, dalam operasi yang diadakan semalam, mereka juga mengedarkan 10,000 risalah mengenai bahayanya perbuatan maksiat serta kesannya terhadap kehidupan seharian remaja. 

“Kita edarkan risalah ini di beberapa tempat seperti bazar Ramadan, masjid dan beberapa lagi kawasan tumpuan. Dalam risalah berkenaan menceritakan mengenai masalah yang mungkin berlaku sekiranya anak-anak tidak pulang pada waktu malam. 

“Kita berharap dengan pendekatan melalui risalah ini, ibu bapa akan lebih prihatin dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka,” katanya. 

Sementara itu, dalam operasi semalam, Nizam berkata, pihaknya telah mendekati lebih 500 kes yang melibatkan remaja semasa meraikan sambutan malam kemerdekaan. 

Menurutnya, dalam operasi yang dilakukan mendapati remaja tanpa berasa takut melakukan kesalahan jenayah seperti merempit, pengambilan bahan terlarang seperti dadah dan gam. 

Selain itu, ada remaja yang didapati meraikan merdeka dengan meminum minuman keras. 

Nizam berkata, selepas pemantauan dan nasihat diberikan, pihaknya mengenal pasti lebih 50 orang remaja bermasalah kritikal dan membawa mereka untuk diberikan khidmat kaunseling oleh lapan kaunselor yang diundang khas dalam operasi tersebut.

Monday, July 12, 2010

Maksiat ketika waktu solat Jumaat



MASJID TANAH - Pantai Sungai Tuang, di Pengkalan Balak, dekat sini dikesan menjadi lokasi pasangan remaja melakukan perbuatan sumbang sehingga melampaui batas. 

Lebih membimbangkan, kelakuan tidak senonoh remaja berpelukan dan bercumbuan di kerusi konkrit yang disediakan turut berlaku semasa kaum lelaki sedang menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. 

Bukan setakat di tepi pantai, malah chalet-chalet sekitar pantai juga dijadikan lokasi ‘cinta sumbang’ remaja termasuk bermalam di sana bersama pasangan masing-masing yang dikesan bukan muhrim. 

Kelakuan mereka itu bukan saja mencemarkan kawasan peranginan itu, tetapi turut mengundang rungutan penduduk sekitar yang tidak tahan melihat perangai pasangan remaja terbabit bersilih ganti. 

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Tuang, Mohamad Abu Hassan berkata, penduduk kecewa dengan tindakan beberapa pasangan remaja memadu kasih di tepi pantai tanpa mempedulikan orang ramai. 

Menurutnya, lebih memalukan perbuatan itu berlaku semasa solat Jumaat dan dipercayai turut membabitkan pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi(IPT). 

“Perbuatan maksiat melibatkan remaja di kalangan masyarakat setempat, pekerja kilang dan juga remaja sekolah di beberapa kawasan di pantai peranginan ini, kian meruncing. 

“Sepanjang pantai terutama tengahari Jumaat, beberapa pasangan remaja kelihatan mengambil peluang untuk memadu asmara, sedangkan ketika itu khutbah Jumaat sedang disampaikan, ” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. 

Mohamad berkata, kejadian itu berlaku sehingga lewat petang dan adakalanya sehingga masuk waktu solat Maghrib apabila pasangan terbabit tanpa segan silu masih meneruskan perbuatannnya. 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa JKKK Sungai Tuang, Abd Kadir Mohamad Kassim berkata, bagi pasangan yang mempunyai ‘wang’, biasanya mereka akan menyewa di chalet berhampiran. 

“Manakala, pasangan yang tak mampu, mereka akan melakukan asmara di tepi pantai dengan beralaskan suratkhabar. 

“Tidak setakat itu, belakang kedai saya turut menjadi tempat bermadu asmara ketika tidak dibuka kerana terlindung dari pandangan orang ramai,” katanya. 

Menurutnya, walaupun beberapa kali beberapa pasangan ditegur penduduk kampung, namun mereka tidak menghiraukan teguran berkenaan, sebaliknya terus melakukan maksiat. 

“Kita bimbang, ada ibubapa tanpa disedari melepaskan anak remaja mereka keluar bersama pasangan mereka untuk berpeleseran,” katanya. 

Sehubungan itu, Abd Kadir berharap agar pihak berkuasa terutama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) supaya memantau kejadian itu agar tidak terus berleluasa. 

Sementara itu, beberapa pekerja pembersihan pantai yang ditemui Sinar Harian turut mengakui mereka menemui beberapa keping kondom bersepah di pantai itu, selain kertas tisu dan surat khabar bertaburan ketika melakukan kerja pembersihan, membuktikan wujud kegiatan tidak bermoral itu.

Tuesday, June 29, 2010

Harapkan pagaq, pagaq makan padi

Tersungkur di pusat urut



PUTRAJAYA: Ketika umat Islam khusyuk menunaikan solat Jumaat, empat anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen termasuk seorang pegawai dicekup ketika berada dalam sebuah pusat urut dipenuhi ‘cewek’ Indonesia yang dipercayai turut menawarkan khidmat urut batin dan seks.
Ketika dicekup pada jam 2.15 petang Jumaat lalu, keempat-empat penguat kuasa yang berusia 25 hingga 30 tahun itu memberi alasan memantau pendatang asing tanpa izin di premis berkenaan kira-kira 100 meter dari sebuah masjid di pusat bandar Klang.

Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop berkata, pihaknya meragui alasan itu kerana ketika ditahan, mereka dalam keadaan sedang ‘menanti sesuatu’ di ruang tamu premis berkenaan.

“Penguat kuasa terbabit ditahan dan diambil keterangan selepas pihak Jais curiga dengan kehadiran mereka di premis maksiat itu ketika umat Islam sedang mendirikan solat Jumaat dan premis itu pula hanya kira-kira 100 meter dari masjid,” katanya.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas orang awam melaporkan premis itu dipercayai menjadi tempat umat Islam melakukan kegiatan maksiat dan melampiaskan nafsu serakah terutama pada waktu solat Jumaat.

“Kita percaya mereka (penguat kuasa Jabatan Imigresen yang ditahan) menganggap anggota penguat kuasa Jais tidak melakukan serbuan untuk tempoh dua jam umat Islam mendirikan solat Jumaat.