Saturday, November 13, 2010

Projek landasan kereta api berkembar perlu dihentikan

 

ALOR SETAR – Projek pembinaan landasan kereta api berkembar oleh MMC-Gamuda Joint Venture (MMC-Gamuda) yang didakwa menjadi salah satu faktor banjir buruk melanda beberapa daerah di negeri Kedah perlu dihentikan buat sementara sehingga kajian menyeluruh mengenainya dilakukan. 

Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, bantahan penduduk Taman Syed Mohamad agar pembinaan landasan kereta api berkembar itu dihentikan sementara adalah berasas. 

Menurutnya, kebanyakan mangsa banjir di kawasan itu sudah menetap sejak lebih 30 tahun lalu namun tidak pernah dilanda banjir, walaupun ketika banjir melanda Kedah pada 2005. 

“Bagaimanapun, kesan projek itu menyebabkan saluran air tersekat, bahkan ruang perparitan tidak berdasarkan keluasan munasabah dan banyak pihak, khususnya yang terbabit dalam kerja teknikal mengakui projek ini adalah punca berlakunya banjir. 

“Justeru, projek ini perlu dihentikan sementara waktu sehingga satu kajian menyeluruh membabitkan semua pihak termasuk kontraktor (MMC-Gamuda) serta agensi berkaitan seperti Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), agar peristiwa ini tidak berulang,” katanya. 

Mahfuz berkata demikian selepas meninjau keadaan beberapa rumah berhampiran projek pembinaan landasan berkembar kereta api di Taman Syed Mohamad, di sini, yang terjejas teruk akibat banjir besar di Kedah minggu lalu. 

Katanya, beliau sendiri akan turut sama memanjangkan perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, agar menggunakan bidang kuasa yang dimiliki Kerajaan Negeri untuk menghentikan projek ini buat sementara waktu. 

Sebelum ini, dalam satu kenyataan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan dakwaan pembinaan landasan berkembar elektrik di beberapa daerah di Kedah sebagai punca kejadian banjir di negeri itu.

KWSP beli bangunan RM750 juta di London


BANGUNAN pejabat di London yang kini dibeli KWSP.
BANGUNAN pejabat di London yang kini dibeli KWSP.

Pelaburan di luar negara strategi pelbagaikan portfolio

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pembelian sulung hartanah luar negara apabila memuktamadkan pembelian bangunan pejabat di kawasan premium London, bernilai lebih 150 juta pound (RM750 juta).

Sumber berkata, urus niaga yang dibuat pada bulan lalu itu membabitkan pembelian bangunan 1 Sheldon Square di Paddington, Westminster, kawasan tengah London.Katanya, meskipun bangunan pejabat itu bukan berstatus hak milik kekal, KWSP, bagaimanapun berjaya memperoleh tempoh pajakan paling lama, justeru mampu meraih pulangan lumayan.
Pelaburan di luar negara itu antara strategi utama KWSP dalam mempelbagaikan portfolio pelaburannya bagi mengoptimumkan pulangan dan menambah baik profil risiko pelaburannya.

London dipilih KWSP sebagai destinasi pelaburan pertama disebabkan pasaran hartanahnya yang stabil selain asetnya yang mudah dijual bagi mendapatkan tunai, katanya pada Berita Harian ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Sumber menjelaskan, pembelian menerusi tender terbuka itu dilaksanakan menerusi ING Real Estate Investment and Management dan RREEF, bahagian pengurusan hartanah Deutsche Bank yang dilantik sebagai perunding dan penasihat bagi urus niaga berkenaan.

1 Sheldon Square, sebelum ini dimiliki oleh Aviva Investors, Invista Real Estate Investment Management, Henderseon Global Investors dan Liquid Realty Partners. 
Bangunan berkeluasan 193,000 kaki persegi itu, kini menempatkan ibu pejabat firma gergasi kredit kad, Visa dan ia dijangka akan memberikan pulangan kepada KWSP sehingga enam peratus.

Katanya, agensi pengurusan dana pencen terbesar Malaysia itu juga kini sedang menimbang untuk melaksanakan satu lagi urus niaga hartanah membabitkan pembelian bangunan pejabat di Portman, utara Oxford Street.

Pembelian yang dijangka membabitkan nilai 181 juta pound (RM905 juta) itu akan menyaksikan KWSP bakal memiliki bangunan yang dikenali sebagai 40 Portman Square yang berstatus pegangan bebas.

Setakat ini Kementerian Kewangan memberi kelulusan kepada pengurus dana pencen itu untuk melabur kira-kira AS$10 bilion (RM32.25 bilion) di luar negara, iaitu daripada jumlah itu kira-kira AS$6 bilion (RM19.35 bilion) sudah dilaburkan.

Ayah pesan jangan tinggal solat, fokus hadapi SPM - Siti Najwa


Siti Najwa bersama Jasrizatul Akhmar dan Akmal Danish di pusara ayahnya, Mohd. Shamrin di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya, Selangor, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 12 Nov. - "Jangan tinggal solat dan belajar bersungguh-sungguh untuk hadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," demikian pesan terakhir penyanyi Mohd. Shamrin Abd. Samad kepada anak sulungnya, Siti Najwa, 17.
Shamrin, 45, dari kumpulan Fotograf meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, pada 6 petang semalam akibat sakit jantung.
Najwa berkata, walaupun dia dan ayahnya tinggal berasingan akibat perceraian dua orang tuanya itu, namun bapanya sering menghubunginya dan sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk berjaya dalam pelajaran.
Najwa yang tinggal bersama ibunya, Noreda Mohd. Razali, 45, di Taman Melawati berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan ayahnya kira-kira sebulan lepas dan ketika itu ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan pada kesihatan dirinya.
"Kira-kira tiga hari lepas saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ayah dan mengatakan yang saya merinduinya dan dia terus menghubungi saya.
"Dalam perbualan itu, ayah menasihatkan supaya saya fokus pada pelajaran dan SPM yang akan saya duduki tidak lama lagi dan berjanji akan membawa saya pergi bercuti selepas habis SPM," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Islam USJ 22 di Subang hari ini.
Isteri Allahyarham, Jasrizatul Akhmar Abu Samah, 29, berkata, pada mulanya beliau mendapat panggilan daripada anak saudaranya memaklumkan tentang kematian suaminya tetapi dia tidak mempercayainya kerana anak saudaranya itu suka bergurau.
"Bagaimanapun, saya terus menghubungi telefon bimbit suami tetapi rakannya menjawab dan menyuruh saya segera ke Hospital Pakar Islam Kampung Baru, namun tidak memberitahu tentang kematian suami," katanya.
Jasrizatul berkata setiba di hospital itu, beliau sekali lagi diberitahu mengenai kematian suaminya.
Beliau berkata, sebelum itu tiada sebarang perubahan atau petanda ditunjukkan Allahyarham tentang kesihatan dirinya.
"Apa yang saya tahu memang sejak kebelakangan ini suami saya tidak cukup rehat tetapi dia seorang yang sihat dan tiap-tiap petang beliau bersukan," katanya.
Jenazah Allahyarham Shamrin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang, selepas solat Jumaat.
Shamrin pernah popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an dan pernah merakamkan lagu duet bersama biduanita Datuk Sharifah Aini yang bertajuk Kamu Aku Satu. Shamrin telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada 1989 dan seterusnya melahirkan lima buah album yang terakhir bertajuk Juara Mimpi pada 1997. - BERNAMA

'Perbelanjaan tinggi, membazir'


SHAH ALAM 12 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda untuk berangkat ke majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor Isnin ini kerana murka dengan perbelanjaan tinggi untuk sambutan itu.
Hasrat baginda itu disampaikan menerusi satu kenyataan akhbar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Ramli Mahmud hari ini.
Menurut Ramli, baginda tidak memperkenankan penganjuran majlis sambutan berkenaan kerana ia melibatkan kos kewangan yang terlalu tinggi.
Katanya, baginda terkejut dan amat dukacita apabila dimaklumkan sambutan berkenaan yang turut melibatkan makan tengah hari di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur akan melibatkan perbelanjaan lebih daripada RM300,000 yang disifatkan sebagai pembaziran dan tidak berfaedah.
''Baginda berpendapat wang tersebut lebih berfaedah digunakan untuk pembelajaran dan kebajikan ataupun digunakan untuk membiayai lebih ramai pelajar daripada golongan yang tidak berkemampuan selaras dengan visi, misi dan objektif penubuhan Yayasan Selangor.
''Baginda juga telah dimaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merangkap Pengerusi Yayasan Selangor sendiri tidak dimaklumkan mengenai perkara itu dan juga kos yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Ramli, baginda turut menasihatkan Yayasan Selangor agar lebih prihatin dalam menguruskan kewangannya dan memberi fokus terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas penubuhannya.
Menurutnya, pada mulanya baginda berkenan berangkat ke majlis tersebut atas dasar Yayasan Selangor merupakan badan kebajikan kerajaan negeri yang bertanggungjawab memantapkan pendidikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan luar bandar di Selangor.
Katanya, baginda percaya keberangkatan ke majlis tersebut dapat menyuntik semangat warga kerja Yayasan Selangor dan juga menghargai jasa mereka dalam membantu meningkatkan pendidikan anak-anak yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.
Selain itu, baginda juga berharap dapat bermesra dengan anak-anak di bawah kelolaan Yayasan Selangor dan memberi motivasi agar mereka dapat belajar dengan lebih gigih.
''Pada asalnya majlis yang dicadangkan adalah majlis makan malam. Namun baginda berpendapat majlis makan malam akan menelan belanja tinggi dan menitahkan Yayasan Selangor mengadakan majlis makan tengah hari sahaja.
''Bagaimanapun, baginda terkejut dan amat dukacita apabila dimaklumkan kos perbelanjaan untuk majlis sambutan ulang tahun itu amat tinggi," jelasnya.
Dalam pada itu Ramli memberitahu, Menteri Besar juga telah menyarankan supaya majlis itu dibatalkan.

Gambar Tuan Guru Nik Aziz di Mekah