Showing posts with label Rachel Corrie. Show all posts
Showing posts with label Rachel Corrie. Show all posts

Saturday, May 28, 2011

Rachel Corrie ibarat 'penjara terapung'



KAPAL 'The Spirit of Rachel Corrie' menurunkan sauh untuk mengisi bekalan air bersih sementara menunggu kebenaran berlabuh di Pelabuhan Al Arish, Mesir hari ini. Kapal ini ditahan sejak 16 Mei lalu selepas diberi tembakan amaran oleh tentera laut Israel kerana melalui perairan Gaza dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan anjuran Perdana Global Peace Foundation (PGPF) ke Palestin. - Foto Rosdan Wahid

AL ARISH (Mesir): Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang hampir dua minggu terkandas di di sini tidak ubah seperti 'penjara terapung' bagi tujuh penumpang yang berada di atas kapal misi kemanusiaan itu berbanding lima krew yang sudah biasa dengan kehidupan dan resam laut.


Terkandas di Al Arish sejak 16 Mei lalu, kapal kargo yang dikemudi Kapten Abdul Jalil Mansor hanya beberapa kali berlayar dalam jarak singkat termasuk cubaan kedua menghala ke Gaza, Isnin lalu, sebelum terpaksa berpatah balik kerana kerosakan teknikal pada enjin dan kemudi.

Selebihnya, kapal kargo yang dinaiki 12 penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia itu melabuhkan sauh di kawasan menunggu pelabuhan Al Arish ketika kapal lain, silih berganti berlabuh bagi menurunkan penumpang dan kargo.
Dengan kata lain, kapal misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) setia menunggu kelulusan pihak berkuasa Mesir yang sehingga semalam belum memberi lampu hijau untuk kapal itu berlabuh, sekali pun kelulusan Kementerian Luar Mesir sudah diperoleh beberapa hari lalu.

Kapten Abdul Jalil, 56, berkata tekanan mula dirasai sebahagian besar penumpang kapal kargo itu terdiri daripada aktivis keamanan dan wakil media walaupun mereka tetap tabah dan bersemangat untuk menyempurnakan misi kemanusiaan itu.

"Kita masih tunggu kebenaran untuk masuk, tapi dalam keadaan menunggu terasa bosan juga dan kita kena buat sesuatu supaya moral anak kapal (dan penumpang) tidak turun," kata kapten kapal kargo itu ketika dihubungi dari daratan Al Arish.

Sejak terkandas di situ, kapal kargo terbabit beberapa kali mengalami kekurangan bekalan air bersih untuk kegunaan harian seperti mandi, mencuci dan kegunaan enjin kapal sehingga menyebabkan mereka yang berada di atasnya terpaksa menggunakan air laut dan air mineral bagi menampung keperluan harian.
“Kami terpaksa cedok air laut menggunakan tali yang diikat dengan botol air yang dihantar ke kapal sebelum ini, dari segi bekalan makanan tiada masalah," kata Iskandar Alang Bendahara, 36, wartawan The New Straits Times yang turut berada di atas kapal kargo itu.

Seorang lagi wakil media, Mohd Faizal Hassan dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) memberitahu mereka mencatu kegunaan air bersih dengan sebahagian besar pakaian mereka tidak dibasuh.

“Jangan lupa beritahu Tan Sri Samsudin Hitam (ketua misi PGPF di daratan) untuk membelikan kami pakaian baru, semuanya (pakaian) tak terbasuh sebab masalah air bersih,” katanya.

Kelmarin, kapal kargo itu menerima bekalan air bersih seberat dua tan lebih yang dijangka bertahan sehingga Ahad ini.

Abdul Jalil berkata kebanyakan penumpang bukan pelaut terpaksa belajar ‘untuk hidup’ dan menyibukkan diri bagi mengurang tekanan mental.
Berita Harian Online | Rachel Corrie ibarat 'penjara terapung'

Friday, May 20, 2011

Krew, rakyat kita mogok lapar




Kapal The Sprit of Rachel Corrie hanya menurunkan sauh di pelabuhan Al Arish namun tidak dibenar menurunkan penumpang atau krew kapal.
Kapal The Sprit of Rachel Corrie hanya menurunkan sauh di pelabuhan Al Arish namun tidak dibenar menurunkan penumpang atau krew kapal.

Rachel Corrie dihalang berlabuh, tak benar bekalan makanan dihantar

KREW dan aktivis kemanusiaan, termasuk tujuh rakyat Malaysia atas kapal The Spirit of Rachel Corrie untuk menghantar bantuan ke Gaza, semalam melancarkan mogok selepas berkuasa pelabuhan Al Arish, sini terus berkeras tidak membenarkan bekalan makanan dihantar dan kapal tidak dibenarkan berlabuh.

Ketua misi kemanusiaan kapal tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) itu, Matthias Chang, berkata mogok lapar bermula jam 4 petang waktu tempatan semalam (10 malam tadi waktu Malaysia), manakala kapten kapal, Kapten Abdul Jalil Mansor mengemudikan kapal untuk berlabuh di pelabuhan itu.
Ini berikutan urusan penghantaran bekalan ke atas kapal yang kekurangan bekalan semalam menemui jalan buntu selepas pihak berkuasa pelabuhan bertegas kapal misi bantuan kemanusiaan itu perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Kerumitan timbul apabila ejen tempatan yang menguruskan kapal kemanusiaan itu memberitahu krew kapal bahawa hanya bot tunda dengan kadar bayaran US$1,500, dibenarkan untuk menghantar bekalan makanan ke kapal itu. Difahamkan, jumlah itu tidak termasuk AS$1,000 kos bekalan makanan yang akan dihantar ke kapal yang dinaiki 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia.

Sehingga 1 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia), kapal tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) belum dibenarkan berlabuh kerana tidak mendapat kelulusan Kementerian Luar Mesir (MFA), pihak tentera dan perisikan kerana kapal kargo atau nama asalnya MV Finch dikategorikan sebagai bukan kapal kargo komersial biasa.

Jurucakap pihak berkuasa pelabuhan Al Arish, Kapten Hisham Farik Janinah berkata pihaknya tidak boleh membenarkan MV Finch berlabuh kerana belum mendapat kelulusan pihak berwajib, manakala urusan penghantaran bekalan makanan perlu melalui prosedur ditetapkan.

Mengikut prosedur, penghantaran bekalan makanan hanya boleh dilakukan ejen tempatan yang perlu membuat sebut harga sebelum mendapat kebenaran pihak berkuasa pelabuhan.
"Tiada pengecualian. Kami hanya menunggu rundingan antara ejen dan pihak kapal mengenai bekalan makanan itu sebelum dihantar ke kapal,” katanya.

Kumpulan petugas Media Prima yang berada di sini bagi memantau perkembangan kapal misi kemanusiaan Malaysia itu juga menghadapi kesulitan untuk membuat liputan dan dihalang daripada merakam gambar dan visual di kawasan pelabuhan yang dikawal polis. Berita Harian sebelum ini dimaklumkan bekalan makanan dan air bersih atas kapal mampu bertahan sehingga Sabtu dengan bekalan makanan segar sudah kehabisan.

Jawatankuasa evakuasi Kedutaan Malaysia di Mesir yang diketuai menteri penasihat kedutaan, Saharuddin Hassan, berkata pihaknya cuba berunding untuk menghantar bekalan makanan menggunakan bot kecil, namun tidak diterima pihak berkuasa pelabuhan yang bertegas ia bertentangan dengan prosedur.

"Kami juga difahamkan kalau kapal dibenarkan berlabuh (tanpa kelulusan pihak berwajib), mereka dibenarkan menurunkan barang dan krew dengan kelulusan imigresen tetapi krew hanya dibenarkan turun selama tiga jam," katanya. 

Thursday, May 19, 2011

Rachel Corrie kekurangan makanan, air


KAPAL The Spirit of Rachel Corrie  (atas) terpaksa berlabuh di kawasan menunggu berdekatan Pelabuhaan Al Arish lebih 48 jam selepas diiringi pihak berkuasa Mesir dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.
KAPAL The Spirit of Rachel Corrie (atas) terpaksa berlabuh di kawasan menunggu berdekatan Pelabuhaan Al Arish lebih 48 jam selepas diiringi pihak berkuasa Mesir dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Pasukan evakuasi tingkat usaha keluarkan mangsa terkandas
BEKALAN makanan dan air bersih semakin terhad di atas kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang kini telah tiga hari terkandas di Pelabuhan Al Arish, sejak Isnin lalu.
Bekalan air bersih bagi kegunaan harian seperti mandi, memasak dan tujuan lain atas kapal kargo itu tinggal empat tan dan dijangka bertahan selama dua hingga tiga hari saja lagi.
Bagaimanapun, semua 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia yang berlabuh kira-kira satu batu nautika dari pelabuhan berada dalam keadaan sihat dan selamat walaupun sedikit tertekan.

Wartawan New Straits Times (NST), Iskandar Bendahara ketika dihubungi, berkata mereka kehabisan bekalan makanan segar dan kini bergantung kepada bekalan makanan sejuk beku yang dibawa dari Pelabuhan Piraeus, Greeek.

“Makanan mungkin bertahan dua hingga tiga hari lagi. Sama dengan air, kami mandi tapi jarang-jarang (untuk jimat air),” katanya yang turut dimaklumkan mengenai usaha wakil Kedutaan Malaysia di Mesir yang kini bertungkus-lumus untuk membolehkan kapal kargo itu berlabuh dan menurunkan penumpang serta memunggah keluar barangan.

Pasukan evakuasi Kedutaan Malaysia di Mesir diketuai Menteri Penasihat kedutaan, Saharuddin Hassan, sedang berusaha untuk menghantar bekalan makanan kepada kapal itu, namun masalah birokrasi di pelabuhan menyulitkan keadaan.
Derek Graham, aktivis keamanan dari Ireland yang berada atas kapal itu juga cuba memanggil nelayan berdekatan untuk membeli makanan segar sejak kelmarin, namun gagal kerana masalah komunikasi dan kedudukan kapal kargo yang jauh.

Isnin lalu, kapal kargo misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin, iaitu paip UPVC sepanjang 7.5 km, dipintas dan ditembak dua bot peronda Israel yang memaksa mereka berundur ke perairan Mesir selepas berjaya memasuki zon selamat Palestin di perairan Semenanjung Gaza di sini.

Kapal misi kemanusiaan itu berlepas dari Pelabuhan Piraeus, Greek, Rabu lalu bertujuan memecahkan kepungan laut rejim Tel Aviv ke atas wilayah Gaza sejak 2007.

Sehingga berita ini ditulis, kapal kargo yang turut membawa dua aktivis keamanan Ireland, dua krew warga India dan seorang wartawan Kanada, masih belum menerima kebenaran untuk berlabuh kerana masalah dokumentasi.

Sementara itu, cadangan untuk berlabuh bagi menurunkan penumpang dan memunggah barang keluar serta menghantarnya ke Gaza melalui sempadan Rafah tidak dapat dilaksanakan selagi belum mendapat kelulusan Kementerian Luar Mesir di Kaherah.

Saharuddin berkata, pihak kedutaan telah menghantar nota rasmi ke kementerian berkenaan bagi mempercepatkan kelulusan kapal itu berlabuh dan menjalankan urusan berkaitan.

Katanya, Duta Malaysia ke Mesir, Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti juga menghubungi Penolong Timbalan Menteri Kementerian Luar Mesir bagi Hal Ehwal ASEAN dan Asia Tenggara, Salwa Mauhid dan Penolong Timbalan Menteri Kementerian Luar Mesir (Hal Ehwal Asia), Dr Mohamad Hegazi untuk mempercepatkan proses kelulusan.