Sunday, November 6, 2011

Hasil generasi tak baik

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Datuk Daud Che Ngah (gambar) berkata, Perhimpunan Seks Bebas yang diketuai bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan bercanggah dengan perlembagaan negara yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.

“Sebagai rakyat Malaysia mereka sepatutnya mematuhi perlembagaan ditetapkan. Mengapa perlu menghalalkan perkara haram. Tanya agama manapun, pasti mereka tidak setuju dengan perbuatan ini.


“Beginilah jadinya jika terlalu diberi kebebasan hingga menyalahgunakan pada perkara tidak sepatutnya. Terlalu banyak hiburan hingga lalai dan tidak tahu membezakan mana yang baik dan buruk,” katanya sewaktu dihubungi Metro Ahad di Arafah.

Menurutnya, fungsi pihak bertanggungjawab juga perlu bagi mengatasi gejala ini yang jika dibiarkan akan menghasilkan generasi tidak baik pada masa depan.


Beliau turut meminta mufti negara ini segera mengusulkan perkara negara terbabit kepada Yang di-Pertuan Agong.


“Perkara ini jika tidak ditangani segera pasti membuatkan mereka terus ‘pijak kepala’ dan tidak menghormati Perlembagaan Negara. Tuhan menciptakan manusia sebaik-baik kejadian, mengapa ada yang mahu lari daripada fitrah itu? “Bersyukur dengan apa yang dikurniakan, tidak perlu perempuan menjadi lelaki, begitu juga sebaliknya. Bagi masyarakat Islam tidakkah mereka takut akan balasan daripada Allah dan tidak mendapat iktibar kisah kaum nabi Luth yang ditelan bumi akibat mengamalkan seks sejenis,” katanya.

Program Seksualiti Merdeka diadakan setiap tahun sejak 2008 itu bertujuan menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).


Antara penaja dan penyokong program berkenaan ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan mengadakan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, pameran dan persembahan.

Program yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia itu mendapat banyak reaksi negatif yang membantah perhimpunan berkenaan.

myMetroHasil generasi tak baik:

'via Blog this'