Friday, October 10, 2014

Kim Jong-Un ditahan?


Kim Jong-Un ditahan?PYONGYANG - KOREA UTARA. Kehilangan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jung-un dari pandangan ramai sejak sebulan lalu menimbulkan spekulasi bahawa beliau ditahan oleh rejimnya sendiri.

Menurut Daily Mail, Profesor Remco Breuker dari Universiti Leiden di Belanda percaya, kelibat Jung-un tidak kelihatan kerana beliau telah dikenakan tahanan rumah.

"Tiada siapa yang mengetahui keadaan terkininya atau di mana dia berada. Dia juga tidak kelihatan di hospital, ada kemungkinan dia dikenakan tahanan rumah," katanya yang dipetik dari ABC Australia.

Pemimpin berusia 31 tahun itu kali terakhir dilihat ketika menghadiri sebuah konsert rakyat di Pyongyang pada 3 September lalu.

Selain spekulasi rampasan kuasa di Pyongyang, khabar angin mengatakan pemimpin itu sedang sakit.

EU, Majlis Eropah ulangi bantah hukuman mati


Kesatuan EropahKUALA LUMPUR - Bersempena sambutan Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia hari ini, Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Eropah mengulangi bantahan keras dan penuh mereka terhadap hukuman itu.
 
Hari yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun itu diperkenalkan pada 2003 oleh Gabungan Menentang Hukuman Mati Sedunia.
 
Dalam satu kenyataan bersama, Wakil Tertinggi bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan EU dan Setiausaha Agung Majlis Eropah berkata mereka komited terhadap usaha menghapuskan hukuman mati di seluruh dunia.
 
"Kami menyeru semua ahli Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya menyokong resolusi berhubung moratorium mengenai pelaksanaan hukuman mati yang akan diundi dalam Sidang Ke-69 Perhimpunan Agung PBB pada Disember 2014," kata mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia hari ini.
 
Mereka menyatakan semua negara anggota EU telah menghapuskan hukuman mati, yang kali terakhir dilaksanakan 17 tahun lepas.
 
EU dan Majlis Eropah juga menggesa semua negara bukan anggota pertubuhan itu supaya menandatangani dan mengesahkan Protokol 6 dan Protokol 13 Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah yang bertujuan menghapuskan hukuman mati.
 
Kedua-dua pertubuhan itu juga menggalakkan semua negara mengesahkan Protokol Opsyen Kedua terhadap Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik 15 Disember 1989, bersempena sambutan ulang tahun ke-25nya tahun ini.
 
Sehingga kini, hanya 81 negara mengesahkan protokol itu. - Bernama

IDB agih daging korban ke 23 negara


Makkah: Bank Pembangunan Islam (IDB) mengagihkan 900,000 haiwan korban kepada penduduk tempatan yang layak menerimanya dan di 23 negara lain.

Presiden IDB, Ahmad Mohammad Ali berkata, projek Adahi yang dijalankan pihak berkuasa Arab Saudi berjaya menyempurnakan penyembelihan korban bagi pihak jemaah haji yang menyertai program berkenaan tahun ini.

Haiwan berkenaan, menurutnya, tidak termasuk 1,500 lembu dan unta yang diagihkan kepada penerima selepas diperiksa oleh pakar veterinar dan menjamin penyembelihannya mengikut syarak.

Pengagihan daging korban kepada golongan tidak berkemampuan bermula pada hari pertama Aidiladha di Mina dan kawasan suci serta diteruskan di sekitar Masjidilharam pada hari kedua, kata Ahmad.

“Selebihnya diagihkan kepada badan kebajikan tempatan sementara daging yang beku akan dihantar menerusi jalan darat dan laut ke 23 negara, selaras dengan rancangan haji tahun ini,” kata Presiden IDB itu.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

Kim Jong-un dilapor 'hilang'


SEOUL 9 Okt. - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan menghilang diri sejak sebulan lalu menyebabkan tercetus spekulasi menyatakan beliau tidak sihat atau berada dalam tahanan di rumahnya.
Menurut laman web mirror.co.uk, seorang penyelidik di Institut Korea dan Amerika Syarikat, Curtis Melvin berkata, sekiranya anak Kim Jong II itu tidak muncul pada majlis politik awal pagi esok, ia menguatkan spekulasi pemimpin berusia 31 tahun itu tidak sihat.
Kali terakhir Jong-un muncul di khalayak ramai ialah pada 3 September lalu untuk menghadiri konsert bersama isterinya.
Parti Pekerja Korea Utara akan menyambut ulang tahun ke-69 penubuhannya esok. Sejak dua tahun lalu Kim melakukan lawatan tengah malam ke tanah perkuburan Pyongyang, tempat bapa dan datuknya dikebumikan sempena sambutan ulang tahun penubuhan parti itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141010/lu_07/Kim-Jong-un-dilapor-hilang#ixzz3Fh6i9MGf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MH17: Ada mangsa ditemui pakai topeng oksigen


THE HAGUE, Belanda 10 Okt. - Mayat salah seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada Julai lalu ditemui dalam keadaan memakai topeng oksigen.
Penemuan yang disahkan oleh Menteri Luar Belanda, Frans Timmermans dan pengesahan yang diberikan oleh seorang pendakwa raya menguatkan lagi kemungkinan bahawa beberapa penumpang mengetahui bahawa pesawat berkenaan akan terhempas.
"Anda tahu ada beberapa mayat penumpang ditemui memakai topeng oksigen dan mempunyai masa untuk berbuat demikian," kata Timmermans dalam satu temu bual bersama sebuah stesen televisyen tempatan kelmarin.
Seorang pendakwa raya dari Belanda mengesahkan perkara itu semalam bahawa mereka sedang melakukan siasatan selepas beberapa topeng oksigen ditemui tersangkut pada leher mangsa nahas.
"Waktu sebenar dan bila topeng itu dipakai oleh mangsa tidak diketahui.
"Institut Forensik Belanda telah memeriksa topeng oksigen (yang ditemui) bagi mengesan cap jari, air liur dan DNA mangsa tetapi keputusan daripada siasatan tersebut tidak didedahkan," kata pendakwa raya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141010/lu_11/MH17-Ada-mangsa-ditemui-pakai-topeng-oksigen#ixzz3Fh4Zv4pg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MH370: Lokasi pencarian sekarang salah


SYDNEY 10 Okt. - Lokasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dipercayai hilang sejak tujuh bulan lepas akan bertumpu di kawasan lebih jauh ke selatan iaitu kawasan terpencil yang terletak di dalam 'lengkungan ketujuh' di Lautan Hindi.
Para penyiasat Australia mengakui bahawa mereka berkemungkinan melakukan pencarian di kawasan yang salah sejak kerja pencarian dasar laut bermula minggu ini.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang menerajui operasi pencarian itu mengeluarkan laporan rasmi analisis perkembangan laluan pesawat MH370 yang memaparkan sebuah kawasan di dalam peta yang berkemungkinan menjadi lokasi berakhirnya pesawat Boeing 777 selepas hilang dari radar pada 8 Mac bersama 239 penumpang dan anak kapalnya, dan dikenali sebagai 'lengkungan ketujuh'.
Kawasan 'lengkungan ketujuh' ini merujuk kepada jumlah isyarat 'handshake' di antara pesawat tersebut dengan satelit.
Namun dalam laporan terkini itu ATSB mendapati bahawa analisisnya masih tidak lengkap dan masih tertakluk kepada perubahan mengikut keutamaan dan lokasi aktiviti carian.
Bagaimanapun katanya lagi, lokasi baharu misi pencarian itu tidak mengandungi kesemua kemungkinan laluan yang diperolehi daripada MH370.
Lokasi baharu misi pencarian itu ditetapkan selepas memperhalusi data komunikasi satelit dan maklumat panggilan telefon selama 17 minit dari darat ke udara yang tidak dijawab selepas maklumat terakhir diterima daripada radar. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141010/lu_12/MH370-Lokasi-pencarian-sekarang-salah#ixzz3Fh45NN8M
© Utusan Melayu (M) Bhd