Showing posts with label pecah rumah. Show all posts
Showing posts with label pecah rumah. Show all posts

Tuesday, January 11, 2011

Lupa tutup pintu pagar, penjenayah tertangkap

Utusan Malaysia Online - Kota


KUALA LUMPUR 10 Jan. - Seorang penjenayah tersilap langkah apabila membiarkan pagar sebuah rumah yang disamunnya di PUJ 6/14, Puncak Jalil dekat sini terbuka sehingga mendatangkan curiga kepada anggota polis yang kemudian berjaya menangkapnya.
Suspek berusia lingkungan 30-an telah memecah masuk ke dalam rumah teres dua tingkat, milik seorang pengusaha salon pada pukul 1 petang, Jumaat lalu dan sempat mengambil beberapa barang berharga setelah menggeledah kediaman tersebut.
Namun, semasa melakukan jenayah itu, suspek membiarkan pintu pagar rumah terbuka menyebabkan sepasukan anggota polis yang menaiki kereta peronda dan melalui tempat kejadian berasa curiga lalu berhenti untuk membuat pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, suspek yang masih berada dalam rumah mungkin berasa terkejut dengan kehadiran polis lalu terburu-buru melarikan diri membawa bersama sebuah beg kertas berwarna hitam berisi barang-barang yang dicuri.
Beliau berkata, suspek yang terdesak melepaskan diri bertindak merempuh anggota polis yang baru memasuki rumah menyebabkan anggota terbabit mengalami kecederaan di kaki dan siku.
"Suspek bagaimanapun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
"Polis yang memeriksa beg kertas yang dibawa menemui sebuah komputer riba dan tiga botol minyak wangi dipercayai dicuri dari rumah mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dekat sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah yang didaftarkan di atas nama isterinya.
Menurut Abd. Razak, suspek yang merupakan seorang penagih dadah kemudian membawa polis ke rumahnya di Presint 9, Putrajaya yang membawa kepada penemuan 21 keping pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit dan seutas gelang tangan emas tiruan.
Katanya, kesemua barang-barang dirampas bernilai kira-kira RM8,000 itu dipercayai dicuri dari beberapa rumah yang dipecah masuk oleh suspek sebelum ini termasuk satu kes dilaporkan berlaku di Putrajaya.
"Suspek yang pernah dipenjara kerana satu kes berkaitan dadah dan dua jenayah curi sebelum ini, didapati menumpang di rumah saudaranya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Putrajaya.
"Modus operandi suspek ialah melakukan pecah rumah pada waktu pagi atau tengah hari. Dia akan membuat pemerhatian awal sebelum memasuki rumah mangsa dengan merosakkan pagar dan jeriji pintu hadapan rumah," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit masih direman untuk siasatan lanjut sehingga esok.
Abd. Razak turut berbangga dan mengucapkan syabas kepada anggotanya kerana keprihatinan mereka berjaya memberkas penjenayah sebelum mangsa membuat laporan.

Thursday, December 2, 2010

Kejadian pecah rumah meningkat





2010/12/02

PAROI: Kira-kira 2,500 penduduk Taman Bukit Margosa di sini, hidup dalam kebimbangan berikutan kejadian pecah rumah di taman itu semakin meningkat dengan kes terbaru berlaku Jumaat lalu. 

Dalam kejadian itu, seorang ibu tunggal menjadi mangsa apabila kediamannya diceroboh penjenayah yang melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai kira-kira RM30,600.
Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu, Azizul Rahman Mohd Yusof, 39, berkata kejadian itu berlaku pada waktu siang ketika mangsa berusia 50-an bersama tiga anaknya keluar bekerja.
Katanya, penceroboh dipercayai memasuki rumah dengan memecahkan pintu belakang dan mengumpil jeriji sebelum masuk ke bilik utama dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM30,000 dan wang tunai kira-kira RM600. 

"Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik pulang kira-kira jam 5 petang dan membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2. 

"Kedudukan rumah yang terlindung dari jalan besar mungkin memberi ruang kepada penjenayah memasuki rumah itu," katanya. 

Azizul Rahman berkata, kejadian jenayah seperti itu sudah lama tidak berlaku di taman itu, terutama pada waktu malam sejak KRT mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) awal tahun ini dan mengadakan rondaan setiap malam. 
Berikutan kejadian pecah rumah itu, katanya, KRT mengeluarkan notis kepada semua penduduk taman untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan rumah masing-masing. 

"Sebelum ini, kejadian pecah rumah berlaku pada waktu malam dan awal pagi, tetapi penjenayah mengubah taktik melakukan pada waktu siang ketika sebahagian besar penghuni keluar bekerja. 

"Rondaan SRS yang ketika ini hanya dijalankan pada waktu malam mungkin diperluaskan pada waktu siang bagi mengelak kes itu berulang," katanya. 

Sebagai langkah jangka panjang, katanya, KRT merancang bekerjasama dengan polis menjayakan program Rakan Cop untuk membolehkan lebih ramai penduduk menjadi ahli, sekali gus mendapat maklumat berkaitan keselamatan. 

"Saya berharap kerjasama dengan polis dapat menangani kegiatan jenayah di taman ini dan memastikan keselamatan penduduk terjamin," katanya.

Monday, November 22, 2010

Tak selamat



Oleh Muhammad Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2010/11/22

Penduduk Taman Klebang Damai bimbang kawasan jadi tumpuan jenayah 

IPOH: Seramai 142 penduduk di Taman Klebang Damai, dekat sini, bimbang apabila kawasan perumahan mereka menjadi tumpuan kegiatan jenayah termasuk pecah rumah dan samun.
Masalah itu bukan perkara baru yang dihadapi oleh penduduk perumahan berkenaan, malah sebelum mereka berpindah, kecurian sudah berlaku membabitkan kira-kira 60 unit meter air yang ditempatkan di luar pagar kediaman.
Malah, hampir kesemua penutup besi saliran bawah tanah turut dicuri dan meninggalkan lubang yang membahayakan penunggang motosikal. 

Tinjauan Berita Harian ke kawasan kediaman mendapati kerja pemasangan penutup saliran sedang giat dijalankan. 

Penduduk mendakwa ada laluan khas atau jalan tikus, iaitu jalan tanah merah melalu ladang kelapa sawit berhampiran kawasan perumahan itu bagi penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka. 

Presiden Persatuan Penduduk Taman Klebang Damai, Burhannuddin Zainal, 40, berkata masalah itu berpunca daripada ketiadaan pagar bagi menghalang jalan tikus. 
“Sebelum kami berpindah ke sini, pemaju menjanjikan untuk membina pagar di sekeliling kawasan perumahan ini untuk keselamatan selain menyediakan pengawal keselamatan untuk keselesaan penduduk. 

“Namun, selepas lebih setahun janji itu ternyata palsu dan sistem keselamatan yang disediakan oleh pemaju seperti melepaskan batuk di tangga saja,” katanya kepada Berita Harian, di sini, baru-baru ini. 

Burhannuddin berkata, kerjasama daripada pasukan polis amat baik kerana sejak dilaporkan berhubung kejadian kecurian, mereka sering melakukan rondaan di sekitar kawasan perumahan. 

Beliau berkata, masalah itu masih tidak akan selesai jika hanya bergantung kepada rondaan polis saja sedangkan sistem keselamatan termasuk pagar yang sepatutnya disediakan oleh pemaju tidak dipenuhi. 

Seorang mangsa kecurian di kawasan perumahan itu, Lokman Idris, 36, berkata rumahnya dipecah masuk beberapa bulan yang lalu menyebabkan kerugian lebih RM6,000. 

Kejadian itu berlaku sewaktu beliau dan keluarga pulang bercuti di kampung. 

“Pencuri itu masuk ke rumah saya melalui tingkap di sebelah depan rumah dan turut mengumpil gril tingkap. 

“Barang yang dicuri termasuk barang kemas, tabung wang anak dan beberapa lagi barang lain,” katanya. 

Beliau yang juga kakitangan swasta berharap agar pemaju segera membina pagar di sekeliling kawasan perumahan itu untuk mengelakkan kejadian sama daripada berulang.