Friday, May 28, 2010

Aceh Barat benar pakai skirt labuh

POLIS syariah memberi nasihat kepada wanita Aceh supaya tidak memakai pakaian seksi.
POLIS syariah memberi nasihat kepada wanita Aceh supaya tidak memakai pakaian seks
Pihak berkuasa sasar fesyen pakaian mencolok mata


MEULABOH: Pihak berkuasa Aceh Barat semalam mula memberi skirt labuh dan panjang kepada wanita yang ditahan kerana memakai seluar jeans ketat, untuk menutup aurat dalam usaha wilayah itu menguatkuasakan undang-undang syariah.
Pegawai Daerah Aceh Barat, Ramli Mansyur, berkata peraturan itu diperkenalkan berikutan beliau berasa ‘malu’ apabila melihat fesyen pakaian di Aceh semakin ‘mendedahkan’.

PDRM tingkat 'rondaan' dalam internet

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan 'rondaan dalam internet' menerusi Bahagian Cyber Crime (Jenayah Siber) Bukit Aman bagi membanteras perbuatan menyalahi undang-undang, termasuk cubaan menjejaskan keselamatan negara melalui laman sosial yang semakin berleluasa.

Difahamkan, Bahagian Cyber Crime Bukit Aman yang mirip peranan Cyber Cops (Polis Siber) di Amerika Syarikat itu, turut ditugaskan memantau blog dan web, perkhidmatan dalam talian serta jaringan komunikasi dan multimedia lain, termasuk menangani penipuan terhadap pengguna internet.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata usaha itu dilakukan bagi menangani pelbagai jenayah di internet di samping membendung trend ugutan berbaur ancaman dalam laman sosial, Facebook yang semakin meningkat sejajar perkembangan pantas teknologi maklumat.
Beliau berkata, Bukit Aman juga sentiasa meningkatkan hubungan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Cyber Security Malaysia bagi memantau pelbagai aktiviti di internet yang boleh dikategorikan sebagai jenayah siber.

“Pemantauan sentiasa ditingkatkan menerusi Bahagian Cyber Crime Bukit Aman. Bagaimanapun, mereka yang menerima ugutan melalui laman sosial serta menjadi mangsa salah laku di internet perlu tampil membuat laporan polis supaya tindakan segera dapat diambil bagi menjalankan siasatan dan mengesan pihak terbabit,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kecenderungan pengguna internet, termasuk remaja yang menyalahgunakan kemudahan itu terutama menerusi laman sosial dan blog untuk menabur fitnah serta membuat ancaman berbaur ugutan terhadap pelbagai pihak.

Sebelum ini, pengadu dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat dua laporan polis kerana mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi Facebook. Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat turut menerima ancaman sama.
Malah, ada juga pengguna internet menggunakan laman blog bagi menghina institusi Raja, selain menyentuh sensitiviti kaum dan agama di negara ini. Selain itu, kegiatan mencuri identiti pengguna internet serta kes penipuan dan pelaburan haram juga dilaporkan semakin meningkat kebelakangan ini.

Sementara itu, Musa meminta pengguna laman sosial dan pengendali blog serta web supaya menggunakan kemudahan itu dengan berhemah dan tidak menyalahgunakannya sehingga mencetuskan rasa kurang senang pengguna internet di samping mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.

Kaji baik buruk perjanjian Malaysia-Singapura: Mahathir



KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau masih mengkaji persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

"Saya belum kenal pasti kebaikan dan keburukan. Saya, pada mulanya, agak semua masalah dapat diselesaikan, tapi ada masalah nampak tidak disentuh," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucap utama pada persidangan Meniti Hari Tua Secara Sihat di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, antara isu yang belum disentuh adalah air selepas tamat perjanjian pada 2011 dan soal jambatan baru.

"Yang lainnya saya masih kaji sama ada tepat dengan Butir-butir Perjanjian (PoA) yang telah dibuat," katanya ketika diminta mengulas persetujuan membangunkan bersama tanah Kereta api Tanah Melayu (KTM) di Tanjung Pagar, Singapura, dan memindahkan stesen KTM dari situ ke Woodlands.

Beliau berharap lawatan tiga hari Najib ke Singapura Sabtu lalu, telah dapat menyelesaikan semua masalah terutamanya berkenaan isu jambatan memandangkan lalu lintas di Tambak Johor semakin sesak.

Lebih kaya daripada Abdul Wahub dan Abdul Wahib

Individu terkaya Malaysia tambah kaya

Harta 40 individu terkaya meningkat 42 peratus kepada $101.39 bilion

Oleh
Norhaiza Hashim

JUMLAH harta yang dimiliki 40 individu paling kaya di Malaysia menjulang sebanyak 42 peratus kepada AS$51 bilion ($101.39 bilion), menurut senarai yang diterbitkan oleh majalah Forbes Asia.
Mengetuai senarai itu ialah pemilik konglomerat dagangan beras dan gula Kuok Group, Tan Sri Robert Kuok, yang bukan sahaja mengekalkan tempat pertama tetapi menikmati kenaikan nilai harta yang terbesar di kalangan 40 individu itu.Hartawan berusia 86 tahun itu mempunyai nilai harta sebanyak AS$12 bilion - satu kenaikan sebanyak AS$3 bilion pada 2008.Pemilik syarikat telekomunikasi, Maxis Communications, Tan Sri Ananda Krishnan, menduduki tempat kedua, dengan nilai hartanya meningkat sebanyak AS$1.1 bilion kepada AS$8.1 bilion.Tahun lalu, syarikat itu mengumpulkan AS$3.4 bilion - Tawaran Awam Awal (IPO) terbesar di negara itu.Daripada 10 individu terkaya di Malaysia, satu-satunya Bumiputera ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, yang menduduki tempat ke lapan dan memiliki harta sebanyak AS$1.7 bilion.Bekas pedagang beras itu menikmati kebanyakan kekayaannya melalui Malaysia Mining Corp (MMC), di mana beliau memiliki konsesi untuk mengoperasikan pelabuhan dan lapangan terbang di Johor. Beliau juga memiliki perkongsian dalam syarikat penjana kuasa, Malakoff.'Melalui syarikat yang disenaraikan, Tradewinds, beliau telah mengambil alih syarikat pembekal beras nasional Padiberas Nasional. Beliau juga memiliki Harrods di Malaysia dan menaja Muzium Kesenian Islam Malaysia,' menurut laporan Forbes Asia.Tempat ke 11 ialah Tan Sri Dato' Azman Hashim, yang memiliki harta bernilai AS$660 juta.Beliau mengendalikan bank kelima terbesar Malaysia, AmBank Group dan merancang meluaskan cabang perbankan Islam, AmIslamic Bank.Antara individu yang berjaya menyertai senarai Forbes tahun ini ialah adik beradik Encik Shahril Shamsuddin dan Encik Shahriman Shamsuddin yang menduduki tempat ke-23, dengan nilai harta sebanyak AS$270 juta.Dua beradik itu mempunyai perkongsian sama rata dalam Sapura Group, yang diasaskan oleh bapa mereka.Encik Shahril merupakan Ketua Eksekutif syarikat minyak dan gas, SapuraCrest Petroleum, yang menyumbang sebahagian besar harta mereka, menurut kenyataan Forbes, semalam.Seorang lagi muka baru dalam senarai itu ialah Encik A.K Nathan, yang mempunyai nilai harta sebanyak AS$250 juta. Syarikatnya, Eversendai, terlibat dalam beberapa projek binaan terkenal di Timur Tengah termasuk bangunan paling tinggi di dunia di Dubai, Burj Khalifa.Tiga individu, yang sebelum ini terkeluar dari senarai itu, berjaya menyertai senarai itu.Paling terkenal ialah Ketua Eksekutif CIMB Group yang juga adik Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Nazir Razak. Beliau menduduki tempat ke 31 dan mempunyai nilai harta sebanyak AS$145 juta.SENARAI 10 INDIVIDU TERKAYA MALAYSIA
1. Robert Kuok (Kuok Group) 
AS$12 bilion
2. Ananda Krishnan (Maxis Communications)
AS$8.1 bilion
3. Lee Shin Cheng (IOI Group) 
AS$4.6 bilion
4. Lee Kim Hua (Genting dan Genting Hongkong)
AS$3.9 bilion
5. Quek Leng Chan (Guoco Group) 
AS$3.85 bilion
6. Teh Hong Piow (Public Bank) 
AS$3.8 bilion
7. Yeoh Tiong Lay (YTL Corp) 
AS$2.5 bilion
8. Syed Mokhtar Al Bukhary (Malaysia Mining Corp)
AS$1.7 bilion
9. Vincent Tan (Berjaya Group) 
AS$1.6 bilion
10. Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau) 
AS$1.2 bilion
Sumber: Forbes Asia

Petua awet muda Dr Mahathir



Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi petua menjalani kehidupan yang sihat ketika usianya telah mencecah 85 tahun. 

Beliau berkata, "tidak berhenti daripada membuat kerja" dan sentiasa senyum merupakan rahsia yang diamalkan perdana menteri keempat itu.

"Jika kita rasa gembira, kita akan kelihatan muda, dan bila anda sudah tua, tolong jangan berhenti daripada bekerja. 

"Buatlah apa-apa kerja. Fikirlah apa-apa yang boleh anda fikir. Tulis apa-apa yang boleh anda tulis tetapi jangan berhenti dari membuat kerja.

"Ia akan membantu anda untuk kelihatan muda," katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Persidangan Penuaan Sihat Malaysia Kelima di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini. 

Turut hadir bersama beliau isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. 

Selain itu Dr Mahathir turut memberitahu supaya melakukan perkara yang digemari supaya sentiasa kelihatan muda dan sihat.

Tidak bersukan
"Sebagai contoh, saya menggemari politik, saya sentiasa fikir yang saya boleh melakukan sesuatu yang lebih bagus dari orang lain. Sebab itu saya mengkritik orang dan ini membuatkan otak saya sentiasa bekerja," katanya secara berseloroh. 

Beliau juga turut berkongsi mengenai amalan pemakanan yang dinasihati emaknya sewaktu beliau masih kecil.

"Mak saya pernah berpesan kepada saya, jika sedang enak menikmati sesuatu makanan, berhentilah segera. Ia memang sesuatu yang susah, tapi saya telah melatih diri saya untuk berhenti ketika sedang menikmati makanan," katanya.

Ironinya, beliau mengakui tidak melibatkan diri dalam sukan.

Baginya, aktiviti itu boleh menyebabkan anggota badan tercedera.

Perkara itu, tambahnya, tidak elok untuk masa akan datang.

"Saya sekarang sudah agak tua, tetapi saya tidak memerlukan tongkat untuk berjalan dan saya bebas berjalan ke mana sahaja. 

"Tapi kalau anda seorang yang gemarkan sukan, abaikan nasihat saya," katanya berjenaka.

Palestin hargai peranan kerajaan, rakyat Malaysia



PUTRAJAYA 27 Mei - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam waktu terdekat ini akan membincangkan perkara-perkara penting berkisar isu sempadan dan keselamatan.
Menurutnya, perbincangan yang akan cuba meleraikan kebuntuan konflik Palestin-Israel itu juga bakal memasukkan soal kedudukan Baitulmaqdis Timur dan sumber air.
Beliau yang memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke negara ini merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang selama ini memberi sokongan kepada pembentukan sebuah negara Palestin berdaulat.
''Hubungan dua hala Malaysia-Palestin adalah hubungan persaudaraan dan saya mengambil kesempatan ini untuk menyuarakan penghargaan sedalam-dalamnya kepada pemimpin dan rakyat Malaysia.
''Kita yakin Malaysia akan terus memberi sokongan kepada perjuangan Palestin untuk menamatkan penaklukan di sana terutamanya di Baitulmaqdis Timur dan tapak sucinya.
''Menjadi harapan kita semua dapat bersembahyang di Masjid Al-Aqsa dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Jurucakap White House, Tommy Vietor semalam mengesahkan Presiden Palestin itu akan bertemu Obama dalam waktu terdekat tetapi tidak mengulas tarikh pertemuan.
Sebelum ini, pentadbiran Obama menjemput Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengunjunginya di Washington.
Mahmoud berkata, beliau telah memberi taklimat kepada Najib berhubung proses damai di negaranya terutama melalui rundingan damai tidak rasmi yang disokong oleh negara-negara Arab dan masyarakat antarabangsa.
''Saya dan Perdana Menteri mengadakan perbincangan yang amat berjaya dan saya telah mengulangi penghargaan rakyat Palestin kepada Malaysia," katanya.

Ada isu Malaysia-Singapura belum selesai



27/05/2010 4:02pm

KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat masih ada isu yang belum diselesaikan dengan Singapura hasil lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke republik itu baru-baru ini.
Beliau berkata, di awal lawatan Perdana Menteri ke Singapura, beliau berharap semua masalah di antara kedua-dua negara dapat diselesaikan tetapi mendapati masih terdapat beberapa isu yang tidak disentuh.
“Antaranya ialahy isu harga air yang dibekalkan kepada Singapura, Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) untuk rakyat Malaysia yang bekerja di sana dan soal jambatan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
“Nampaknya cuma separuh isu yang diselesaikan tetapi saya fikir Najib tentu akan terus berusaha menyelesaikan masalah yang masih ada terutamanya isu jambatan yang menyebabkan kesesakan di Johor Bahru,” katanya. - Utusan

Pergi sebelum orang benci - Tun Mahathir



27/05/2010 4:09pm

KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri S. Samy Vellu sepatutnya menerima pengiktirafan kerana mungkin telah mencipta satu rekod baru untuk ahli politik paling lama memegang tampuk kepimpinan sebuah parti politik di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Presiden MIC itu telah 'memerintah' lebih lama daripada beliau sendiri yang memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun dan perlu diberi pengiktirafan atas rekod tersebut.
Ditanya mengenai kemelut jawatan Presiden MIC itu, beliau mengulangi kenyataannya bahawa 'kita tidak sepatutnya tinggal lebih lama dari yang dialu-alukan'.
“Saya bukan mewakili UMNO dalam berkata demikian, tetapi 'pergi sebelum orang benci' menjadi antara sebab saya melepaskan jawatan tertinggi negara tujuh tahun lalu,” katanya selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Penuaan Sihat Malaysia Kelima di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut jawatan Presiden MIC yang tidak berubah sejak 1979 sehingga mendorong pembentukan gerakan menentang kepimpinan Samy Vellu oleh sebahagian anggota MIC dan masyarakat India. - Utusan

Kerajaan tidak patut sokong ‘pembekal kematian’



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 27 Mei: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat kerajaan tidak sepatutnya menyokong ‘pembekal kematian’ berhubung penangguhan mengharamkan pek kecil rokok. 
Sehubungan itu, CAP sangat terkejut dan kesal dengan pengumuman bahawa kerajaan akan menangguhkan pengharaman pek kecil rokok itu. 
Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, melalui laporan media Edge Financial Daily hari ini, kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pengharaman tersebut sementara tidak ada tarikh baru diberikan. 
Keputusan bagi mengharamkan pek 14 batang rokok itu diambil sebagai salah satu langkah untuk menurunkan kadar bilangan perokok terutama dalam kalangan remaja.
Katanya, kadar epidemik merokok di Malaysia tidak patut dipandang ringan kerana lebih daripada 50 lelaki lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok sementara kira-kira 50 kanak-kanak negara ini di bawah umur 18 tahun mula merokok setiap hari.
Sementara itu, ujarnya terdapat kira-kira 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan merokok, menjadikannya salah satu pembunuh utama di negara ini. 
“Kami memandang berat perkara ini kerana selepas 10 tahun kerajaan menjalankan kempen anti-merokok, hanya terdapat penurunan sebanyak 2 peratus dalam jumlah perokok. 
“Kami menganggap kerajaan bersikap serius apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tahun lalu bahawa tidak ada lagi kelewatan dalam pengharaman terbabit dan pada Jun 2010, selepas tertangguh selama lima tahun, pek 14 batang rokok itu akan disingkirkan dari pasaran,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. 
Beliau berkata, nampaknya rakyatlah yang tersingkir, keuntungan yang diraih oleh segelintir pihak lebih penting daripada kesihatan penduduk amnya. 
Menurutnya, Seksyen 16(1) Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2000 jelas menyebut: “Pengeluar perlu membungkus rokok dalam bungkusan yang mengandungi tidak kurang daripada 20 batang rokok”.
“Kini kerajaan melanggar peraturannya sendiri. Kerajaan tidak sepatutnya menyokong ‘pembekal kematian’. Pengharaman itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan,” ujarnya.

Subramaniam cabar Samy Vellu letak jawatan



27/05/2010 5:22pm



KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam bersetuju untuk meletak jawatannya sebagai Ketua Bahagian Seputih berkuat kuasa esok jika Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu turut bersedia melepaskan jawatannya.
Menurut Subramaniam, beliau telah pun berfikir panjang sebelum mengambil keputusan tersebut dan sanggup melepaskan jawatan itu kepada timbalannya.
"Saya bersedia meletak jawatan saya berkuat kuasa esok tetapi syaratnya Samy Vellu pun harus memberi surat peletakan jawatannya bersama-sama dengan saya.
"Jika beliau memerlukan masa untuk memikir mengenai hal ini, beliau boleh mengambil masa seminggu. Saya akan menunggu beliau dan kami boleh serah surat peletakan jawatan bersama-sama,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Samy Vellu ketika muncul dalam program 'Soal Jawab' dikendalikan oleh Datuk Ahmad A. Talib di stesyen televisyen TV3 berkata, Subramaniam juga patut meletak jawatan dari MIC kerana menjadi ahli MIC paling lama.
Subramaniam berkata, beliau hanya Ketua Bahagian dan tidak ada masalah untuk melepaskan jawatan itu serta mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap timbalannya.
"Kenapa Samy Vellu mengaitkan saya dalam hal ini? Saya tidak membuka mulut sejak masalah dalaman MIC meletus baru-baru ini. Beliau harus fikir dulu sebelum keluarkan apa-apa kenyataan.
"Bagaimanapun, saya tetap akan cabar beliau dan sanggup melepaskan jawatan saya jika beliau bersedia melakukan perkara yang sama,’’ katanya. - Utusan

PAS sokong PBT tidak benar premis judi bola



KUALA LUMPUR, 27 Mei: PAS menyokong keputusan dan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Petaling Jaya, Selayang dan Ampang Jaya yang tidak akan membenarkan premis pengoperasian judi bola sepak Piala Dunia oleh Syarikat Ascot Sport, anak Syarikat Kumpulan Berjaya Corp.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan dan tindakan tersebut menunjukkan satu keberanian dan ketegasan PBT yang memahami kesan yang bakal dihadapi negara dari amalan perjudian.
Katanya, apa yang boleh dilakukan oleh PBT ialah tidak mengeluarkan lesen premis judi bola sepak kepada Syarikat Kumpulan Berjaya Corp yang mendapat lesen untuk mengendalikan perjudian itu.
Keduanya, kata beliau ialah seperti mana kenyataan yang dibuat oleh Berjaya bahawa mereka akan menggunakan premis dan kemudahan Sport Toto yang sedang beroprasi secara sah untuk dijadikan pusat pengoperasian kegiatan judi bola sepak, maka pihak PBT boleh menarik balik lesen premis yang telah dikeluarkan sebelum ini kepada Sport Toto kerana menjalankan penambahan aktiviti judi tanpa kebenaran PBT.
PBT juga, katanya hendaklah menolak sebarang permohonan penambahan aktiviti judi yang dikendalikan di premis Sport Toto.
“Dengan ini kita dapat menghalang kegiatan judi yang sangat besar tranksaksinya yang dijangka RM2 bilion sehari.
“Dengan ini dapat mengelak dari berlakunya peningkatan gejala jenayah seperti curi, rompak, ragut dan kegiatan pinjaman along untuk berjudi yang akan menyebabkan berlakunya keberentakkan rumahtangga dan mewujudkan masalah sosial pada negara,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengucapkan tahniah kepada Ahli Majlis PBT Selangor yang menggunakan kuasa yang ada pada mereka menghalang gejala keburukan judi itu.
“Saya menyeru semua kerajaan negeri khususnya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menjadikan ini sebagai satu permulaan yang baik ke arah menghentikan amalan buruk ini.
“Saya menyeru semua Ahli Majlis PBT di negeri PR mengambil langkah dan tindakan yang sama dalam menghalang kegiatan judi bola sepak yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib,” ujarnya.
Justeru, beliau akan menghubungi pimpinan PR untuk membolehkan satu Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan PR diadakan dalam kadar yang segera bagi mengambil ketetapan supaya semua kerajaaan negeri dan PBT di negeri PR memerintah mengambil keputusan yang sama bagi menghalang pengoperasian judi bola sepak yang dilesenkan oleh Datuk Seri Najib kepada Berjaya Corp.

Lompat parti kerana ada masalah peribadi


Harakahdaily   
KOTA BHARU, 27 Mei: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, mereka yang keluar dari parti itu kerana kecewa dan tidak menafikan ia memberi kesan yang negatif.
Menurutnya, mereka yang melompat parti ada masalah peribadi seperti kewangan dan tidak dapat apa yang mereka mahu.
“Kita perlu kaji punca mereka kecewa dan mengatasinya,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bersama Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di Kelantan Trade Centre, malam ini.
Sehubungan itu, mereka mengingatkan para perwakilan supaya jangan takut untuk muhasabah dan membuat pembetulan.
Beliau juga mahu para perwakilan supaya perlu bersikap positif dan tidak perlu bimbang dengan gejala melompat itu.
Ini, katanya kerana tiap-tiap bulan PKR menerima 5,000 ahli baru dan dalam masa tiga bulan sebanyak 50,000 permohonan diterima.
Bagaimanapun, katanya untuk jangka pendek ada kesan buruk tetapi dalam jangka panjang dapat menyucikan perjuangan.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin pula menyentuh tentang hutang negara yang berjumlah RM360 bilion sebagaimana yang disbutkan oleh Datuk Seri Idris Jala.
Katanya, ia adalah suatu yang mengejutkan dan situasi yang paling teruk sejak negara mencapai kemerdekaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya menyelamatkan negara daripada keadaan tersebut.

berita baik harga gula naik 20 sen tiap 6 bulan sekali hingga 2012


Mansuh subsidi barang kawalan perlu dimansuh



KUALA LUMPUR 27 Mei - Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya subsidi terhadap barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak dimansuhkan tetapi perlu dilaksanakan secara berperingkat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala (gambar) berkata, selaras dengan trend masa kini, subsidi seperti itu sememangnya perlu dimansuhkan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang dengan efisien.
"Bagaimanapun, makmal itu mencadangkan pemansuhan subsidi ke atas barang kawalan itu perlu dilaksanakan secara berperingkat supaya tidak membebankan rakyat.
"Cadangan mengenai pemansuhan itu akan dikemukakan kepada kabinet tidak lama lagi sebelum sebarang keputusan muktamad," katanya ketika berucap pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di sini hari ini.
Makmal Rasionalisasi Subsidi itu diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai langkah kerajaan untuk memansuhkan pemberian subsidi kepada rakyat di negara ini.
Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri berkata, subsidi kerajaan tidak mampu untuk mengekalkan harga barang kawalan sentiasa rendah dalam jangka masa panjang.
''Mengikut cadangan makmal itu, subsidi tepung perlu dimansuhkan dan harganya akan meningkat kepada 20 sen satu kilogram menjelang hujung tahun ini, dan 25 sen pada tahun depan.
''Manakala harga gula pula akan meningkat 20 sen sekilogram setiap enam bulan sehingga 2012, dan harga minyak masak pula meningkat 15 peratus sekilogram menjelang hujung tahun ini, dan 15 peratus lagi tahun depan.
Dalam pada itu, Idris berkata, makmal itu menjangka harga petrol akan meningkat 10 hingga 15 sen seliter pertengahan tahun ini, dan akan meningkat 10 sen setiap enam bulan sehingga 2012.