Tuesday, September 7, 2010

Ramai pihak tampil bantu lima beradik



Oleh D J Dolasoh 

2010/09/07

GRIK: Banyak pihak tampil menghulurkan simpati terhadap nasib lima beradik yatim yang ditinggalkan ibu selepas kisah kehidupan mereka disiarkan akhbar ini semalam, termasuk ramai yang mahu mengambil adik-beradik itu sebagai anak angkat manakala sebahagian lagi memberi sumbangan kewangan. 

Abang lima beradik terbabit, Mohd Irwandi Awang Bakar, 24, berkata dia menerima panggilan telefon seawal jam 8 pagi semalam dan semua mereka adalah wanita yang menyatakan hasrat untuk memelihara lima adiknya.
Katanya, pemanggil yang datang dari seluruh negara itu kebanyakannya mahukan adik bongsu berusia lima tahun dan yang berusia sehingga 11 tahun.
Saya terharu atas simpati mereka yang menelefon dari Kuala Lumpur, Johor, 
Pahang, Kelantan, Kedah dan beberapa tempat lagi yang bersungguh-sungguh menyatakan mahu mengambil adik-adik saya untuk dijadikan anak angkat. 

Meskipun saya berasa amat sukar untuk menyara mereka kerana kemiskinan dan tiada pekerjaan tetap, saya berazam akan berusaha membela mereka selagi terdaya, katanya yang berlainan ibu dengan lima beradik terbabit, di sini, semalam. 

Semalam, akhbar ini menyiarkan rintihan Nur Syafiqah Abdullah, 14, serta empat adiknya - Muhammad Aidilfitri, 5; Siti Nur Aishah, 7; Muhammad Azhar, 9, dan Nur Syahidah, 11, yang terlalu merindui ibu mereka, Siti Rohmah Asnawi, 34, yang menghilangkan diri tanpa khabar berita sejak Mei lalu. 
Lima beradik itu yang menumpang rumah abang mereka pilu mengenangkan nasib menjelang 1 Syawal kerana bukan saja ibu tidak pulang, bapa mereka pula, Awang Bakar Jusoh, 55, meninggal dunia pada 2 Oktober 2008. 

Hanya Nur Syafiqah berbintikan Abdullah kerana masalah kesahihan sijil lahir, manakala semua adiknya yang lain berbintikan Awang Bakar iaitu nama sebenar bapa mereka. 

Mohd Irwandi, seorang nelayan di Tasik Banding, di sini, yang berpendapatan antara RM400 hingga RM700 sebulan, berkata mereka turut mendapat simpati daripada dua pembaca yang mahu menderma kepada keluarganya, terutama membeli pakaian raya untuk lima beradik itu. 

Setakat ini, katanya, seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai hamba Allah dari Kuala Lumpur menderma sebanyak RM500 dan seorang lagi dari Terengganu yang tidak dinyatakan jumlahnya. 

Saya juga buntu memikirkan tempat tinggal kami selepas Aidilfitri ini kerana tidak mampu untuk menyewa rumah memandangkan kadar sewa paling rendah di Grik ialah RM250 sebulan, katanya. 

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh terus ke alamat 52, Kampung Bersia Lama, 33320 Grik, Perak atau melalui nombor akaun CIMB Mohd Irwandi: 0810-0066633-52-0 atau hubungi 019-5437025.

Lebaran sunyi tanpa Achik



TATKALA kebanyakan insan bertuah tidak sabar menanti kehadiran Lebaran yang bakal menyusul sedikit masa lagi untuk meraikan bersama insan tersayang, ada hati yang terusik dek kerana kehilangan insan yang amat dicintai. 

Pemilik nama, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof atau mesra disapa Tasha mengakui kehadiran Lebaran kali ini tidak sama ertinya seperti Lebaran sebelum ini setelah kehilangan suami tercinta, Abdillah Murad Mohd Shaari atau Achik pada April lalu. 

Dek kerana asyik melayan kerenah dua anaknya, Puteri Nur Safiyya, 2 tahun 8 bulan dan Puteri Nur Sumayya, 1 tahun 4 bulan, yang enggan berenggang darinya, Tasha berkata dia masih belum membuat sebarang persiapan walaupun umat Islam akan menyambut raya kurang seminggu lagi. 

“Selalunya kami akan membuat persiapan pada pertengahan Ramadan setiap tahun. arwah adalah orang paling sibuk untuk pergi membeli-belah. Namun setelah pemergiannya, saya lebih senang membuat persiapan secara sederhana. 

“Anak-anak sukar berpisah dengan saya, terutamanya yang sulung kerana masih trauma dengan kehilangan arwah. Sedangkan untuk makan pun kadang kala tidak sempat, kerana perlu melayan mereka, inikan pula mahu keluar membeli-belah,” kata wanita tabah ini yang kelihatan semakin kurus, kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. 

Tambah Tasha lagi, jika ditanya mengenai perasaannya menyambut Ramadan dan Syawal tanpa suami di sisi, Tasha berkata isteri mana yang tidak sedih apabila kali pertama menjalani ibadah puasa dan menyambut raya tanpa suami tersayang seperti tahun-tahun sebelumnya. 

Apatah lagi sejak hidup bersama pada 20 November 2003, mereka tidak pernah berenggang lama dan sentiasa menyambut Ramadan dan Syawal bersama. Bukan dia seorang yang merasai kehilangan bahkan anak bongsunya yang baru pandai bercakap juga seperti tercari-cari arwah di rumah. 

“Saya reda dan tidak mahu lagi meratapi pemergian arwah. Tapi saya tidak mampu berbohong setiap saat saya akan terkenang arwah dan terasa sayu sangat. 

“Tapi saya juga tidak mahu berterusan menangis tanpa kesudahan kerana saya sudah terlalu puas menangis. Lagipun arwah memberi tanggungjawab kepada saya untuk menjaga dua harta kami yang paling berharga,” katanya sambil memandang ke arah Saffiya yang duduk di pangkuannya. 

Apabila ditanya tentang situasi di pagi raya, Tasha mengakui masih belum dapat membayangkan keadaan pada 1 Syawal nanti. 

“Saya tidak tahu bagaimana pada pagi raya nanti. Keadaan pastinya berubah, jika dulu selepas solat Aidilfitri, kami akan ke kubur anak sulung kami, Puteri Rania sebelum menziarahi kubur ayah arwah. 

“Kemudian kami akan ke rumah keluarga masing-masing. Memandangkan rumah keluarga kami berdekatan, jadi pada hari raya pertama pun kami dapat beraya di rumah keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang akan tetap beraya di rumah keluarga arwah pada hari raya nanti. 

Ketika ditanya mengenai juadah kegemaran arwah pada pagi raya, Tasha berkata ketupat nasi dan sambal taucu mesti menjadi menu wajib di atas meja. 

Menyentuh tentang karakter arwah semasa hayatnya, Tasha mengakui arwah seorang yang penyayang dan gemar memanjakan isteri dan anak-anak tidak kira masa. 

“Jika arwah perlu ke Johor atau ada persembahan di luar daerah, dia pasti akan menghubungi kami setiap hari. Paling lama pun hanya lima hari kami berpisah,” katanya lagi. 



Arwah rancang bawa ke Angkasapuri

Mengimbau kembali pagi sebelum kemalangan, arwah ada menghubungi Tasha kerana mengikut rancangan awal arwah kepada rakannya pada pagi itu, dia mahu membawa Tasha dan anak-anak ke Angkasapuri untuk menonton siaran langsung GAH 1. 

Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya, Tasha tidak mendengar panggilan telefon pada pagi tersebut. Arwah bagaimana pun hanya menghubungi Tasha sebaik tiba di Kuala Lumpur agar menonton persembahannya secara langsung. 

“Jika pagi itu saya mendengar bunyi telefon dan menjawab panggilan dari arwah, saya tidak pasti apakah saya masih berada di sini sekarang,” katanya lagi. 

Achik meninggal dunia sejurus kenderaan MPV yang dipandu arwah kemalangan dan terbakar di kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, Negeri Sembilan. 

Arwah yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Seremban setlah selesai menjalani program siaran langsung GAH1 di Angkasapuri.

Pas cabar Zainuddin



SHAH ALAM – Pas menyifatkan keengganan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menarik balik tuduhannya mendakwa Pas sebagai parti ekstrem kerana dendamnya kepada parti itu. 

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, adalah satu perkara yang mustahil apabila ada pemimpin Pas menyuruh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi merampas harta kaum Cina sewaktu peristiwa 13 Mei 1969. 

Justeru katanya, Pas mencabar Zainuddin mendedahkan siapakah pemimpin yang telah berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman untuk tujuan tersebut jika benar dakwaan yang dilontarkan itu. 

“Tunku tidak ambil serius dan tidak memaklumkan kepada beliau siapa pemimpin tersebut malah Pas adalah parti yang mempunyai dasar dan organisasi yang teratur. 

“Perlu diingatkan Pas daripada peringkat awal penubuhan mengambil pendekatan muwajahah silmiah (cara aman) bukan secara tidak tidak demokrasi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Beliau berkata, sebarang keputusan dasar yang dibuat oleh mana-mana individu, daripada Mursyidul Am hinggalah ahli biasa tidak dianggap mewakili pandangan parti melainkan setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat, Syura dan muktamar. 

“Contohnya ketika Pas hendak menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan, kemudian Barisan Nasional, parti ini tetap sabar walaupun provokasi dilakukan UMNO melalui gerakan pemuda tahan lasak pada tahun 60-an. 

“Jadi adakah logik Pas hendak bertindak ganas merampas harta orang Cina. Kalaulah Pas hendak lakukan tidak perlu meminta bantuan Tunku Abdul Rahman kerana boleh melakukan sendiri terhadap kaum Cina di Kelantan sebaliknya apa yang berlaku pada masa itu huru-hara di luar Kelantan,” katanya. 

Idris yakin tujuan utama tuduhan tersebut adalah untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Cina di negara ini terhadap Pas. 

Berikutan tuduhan tersebut, beberapa laporan polis sudah dibuat oleh Pas meminta bekas menteri itu disiasat.

Tinggal di kaki lima



SKUDAI – Akibat desakan hidup keluarga yang sering berpindah- randah dan kini tinggal di kaki lima, persekolahan dua beradik berumur 10 dan 12 tahun turut tercicir apabila terpaksa berhenti sekolah sejak lebih setahun lalu. 

Kanak-kanak terbabit, M Pavithra,10, hanya bersekolah setakat darjah tiga di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kangkar Pulai, manakala kakaknya, M Durga Devi, 12, terpaksa melupakan hasrat untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi. 

Cita-cita Pavithra menjadi guru manakala kakaknya berazam untuk menjadi doktor apabila dewasa kelak mungkin tidak kesampaian apabila kedua ibu bapanya tidak mampu menampung kos persekolahan mereka. 

Durga Devi berkata, walaupun berasa sedih kerana tidak dapat bersekolah seperti dahulu, namun dua beradik ini memahami kemiskinan yang dialami bapanya yang bekerja di sebuah kedai mencuci kereta dengan upah yang tidak menentu. 

“Untuk mengubati perasaan rindu terhadap suasana di sekolah, saya dan adik tetap belajar bersama-sama pada sebelah pagi menggunakan buku latihan sekolah tahun lalu tanpa tunjuk ajar dari guru,” katanya. 

Katanya, jika diberi peluang, mereka ingin bersekolah semula supaya dapat menggapai cita-cita, namun mereka tidak mahu memaksa ibu bapa kerana memahami pelbagai masalah yang terpaksa ditanggung.

Ketika ditemui Sinar Harian semalam, dua beradik berkenaan bersama ibu bapa dan nenek mereka terpaksa tinggal di kaki lima sebuah kedai di Taman Sri Puteri, selepas diusir daripada rumah sewa sejak lima hari lalu.

Menurut ibunya, K Kaladevi, 36, berkata, mereka sekeluarga diusir dari rumah sewa yang dihuni sejak tiga bulan lepas kerana gagal menjelaskan bayaran sebanyak RM200 sebulan akibat masalah kewangan.

“Saya berasa sedih apabila terpaksa membawa anak-anak tinggal di kaki lima dan tidak dapat tidur lena kerana digigit nyamuk serta basah kuyup semasa hujan lebat pada waktu malam. Kami juga terpaksa menahan lapar kerana tiada makanan,” katanya.

Menurutnya, sejak tinggal di kaki lima berkenaan, mereka mengambil keputusan menumpang mandi di stesen minyak berhampiran. Namun mereka dihalang menggunakan tandas yang disediakan selepas diketahui pihak pengurusan stesen min yak itu. 

“Saya bingung dengan dugaan yang dihadapi malah suami juga tidak dapat bekerja kerana khuatir dengan keselamatan kami sekeluarga. Dia berkemungkinan besar untuk dibuang kerja,” katanya.

Kaladevi mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi DAP Cawangan Taman Nesa, S Kogilavani yang sudi menghulurkan bantuan termasuk memberi sumbangan makanan kepada keluarganya selepas beberapa hari menahan lapar.

Sementara itu, Kogilavani ketika ditemui berkata, beliau akan membenarkan keluarga Kaladevi untuk tinggal di pejabatnya buat sementara waktu sehingga mereka mendapat bantuan daripada pihak bertanggungjawab.

“Saya akan berusaha mendapatkan surat sokongan bagi mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya kedua-dua anak mereka dapat kembali bersekolah semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Pihaknya juga akan berusaha menghulurkan sumbangan kewangan untuk dijadikan modal kepada Kaladevi yang mempunyai kebolehan menghasilkan kraftangan secara kecil-kecilan sekaligus mampu menambah pendapatan dan mengubah nasibmereka sekeluarga.

Selongkar sampah cari makanan

JOHOR BAHRU: Dua beradik wanita warga emas bukan saja terpaksa makan dedak jagung makanan ayam untuk berbuka puasa dan bersahur setiap hari, malah ada beberapa jiran tetangga tergamak memaki dan meludah jika terserempak dengan mereka yang dianggap pembawa sial.


SUMBER REZEKI...Rahimah (kiri) bersama Fatimah dan Robiah melakukan kerja pengasingan barangan kitar semula.
SUMBER REZEKI...Rahimah (kiri) bersama Fatimah dan Robiah melakukan kerja pengasingan barangan kitar semula.

Kesengsaraan dua beradik berusia 70 dan 73 tahun itu makin bertambah apabila anak seorang daripada mereka berusia 37 tahun menghidap sakit mental manakala badannya penuh kurap.

Tiga bersaudara itu menumpang di kediaman seorang saudara mereka di rumah pangsa Blok 73, Taman Ungku Tun Aminah di sini, namun mereka hanya boleh menggunakan ruang tamu dan dapur selain dilarang menyentuh mana-mana peralatan milik tuan rumah atau masuk mana-mana bilik.

Lantaran kedaifan, tiga bersaudara itu terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan harian sehingga ada jiran seagama yang melabelkan mereka sebagai ‘keluarga sampah’.

Bagaimanapun, dua warga emas itu, Fatimah Abdul Hamid, 72, dan adik perempuannya, Rahimah Abdul Hamid, 70, dan anak tunggal Fatimah, Robiah Ahmad, 37, nekad meneruskan hidup serba kekurangan itu walaupun masa depan mereka cukup kabur.

Rahimah berkata, dia mempunyai dua anak lelaki tetapi sejak kematian suami, kedua-dua anaknya bersikap lepas tangan dan enggan mengaku dirinya ibu kandung kerana menganggap kehadirannya boleh menimbulkan masalah dalam rumah tangga mereka.
Berikutan itu, dia yang mengalami masalah rabun teruk dan menghidap strok terpaksa menumpang kasih kakaknya, Fatimah yang sedia dibebani Robiah, seorang pesakit mental.

“Meskipun usia sudah lanjut, kakak bersama Robiah keluar rumah dua kali termasuk pada awal pagi dan petang dengan menolak kereta sorong bagi mencari sisa makanan dalam tong sampah untuk dijadikan juadah.
“Saya cukup gembira jika mereka membawa pulang roti, makanan dalam tin mahupun mi yang dijumpai dalam timbunan sampah biarpun sesetengah barangan itu sudah luput tarikh.
“Kami juga akan menyimpan baki makanan yang tinggal termasuk untuk bersahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Rahimah berkata, sekiranya Fatimah dan Robiah menemui tin kosong, wayar serta besi terbuang, mereka juga akan mengutip dan menjualnya kepada peniaga barang kitar semula.

Rahimah berkata, pendapatan mingguan keluarga itu yang kurang RM10 juga akan dikumpul bagi membayar bil air dan elektrik kepada pemilik rumah hingga mengakibatkan mereka tidak mampu membeli pakaian selain hanya memakai baju lusuh.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa jiran memandang jijik terhadap mereka sehingga tidak membenarkan mereka menghadiri sebarang majlis keramaian di situ.

“Kami dipandang hina selepas Robiah mengalami alahan kulit di seluruh badan dipercayai akibat jangkitan kuman kerana terpaksa menyelongkar sampah pada setiap pagi bersama ibunya.

“Kami juga diludah dan dimaki dengan perkataan kesat sehingga sakit telinga sekiranya membuka pintu depan rumah. Sebab itu kami terpaksa keluar masuk menggunakan pintu dapur,” katanya ketika melakukan kerja pengasingan barang kitar semula di belakang lorong rumah semalam.

Menurut Rahimah, berbanding keluarga lain yang sibuk melakukan persiapan raya, mereka bertiga hanya mampu menitiskan air mata.

“Sudah hampir lima tahun kami tidak membeli baju raya mahupun memasak makanan sedap ketika Aidilfitri sebaliknya seperti biasa hanya memakan dedak dan makanan basi.

“Rumah kami juga tidak dikunjungi tetamu. Pada hari raya selalunya kami hanya berkurung dalam rumah, mungkin sudah takdir hidup kami begini. Apapun, kami perlu hadapi dugaan Allah ini dengan hati tabah,” katanya yang turut berharap kedua-dua anaknya menziarahinya pada 1 Syawal nanti.

KDN campur tangan siasatan polis



KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) semalam mendedahkan wujud campur tangan pihak ketiga ketika beliau menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketika ditanya siapakah pihak ketiga itu, Musa memberitahu: “Kementerian mana lagi yang jaga polis? KDN (Kementerian Dalam Negeri) lah.”
Wartawan: “Kenapa wujud campur tangan itu?”
Musa: “Kerana politik, kepentingan peribadi dan agenda sendiri.”
Selain itu, beliau yang akan bersara pada 13 September ini mengakui terdapat juga pihak-pihak luar yang bertindak mengeluarkan arahan tanpa pengetahuan beliau.
Jelas Musa, tindakan mencampuri tugas yang dilakukan oleh pihak berkenaan jelas bertentangan dengan arahan dan kawalannya sebagai Ketua Polis Negara.
“Kita tidak mahu orang (luar) bagi arahan salah, bila buat (ia) akan jadi salah.
“Arahan sepatutnya dikawal oleh polis bukannya daripada orang luar,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Kata Musa, arahan dalam pasukan tersebut sepatutnya dibuat oleh pegawai yang bertanggungjawab.
Jelas beliau, polis akan menjalankan tugas selepas mendapat laporan daripada orang ramai. Beliau menambah, campur tangan sedemikian boleh mengganggu siasatan.
“Kita mesti berlaku adil dalam menjalankan siasatan supaya dapat dihormati oleh masyarakat.
“Bila polis tidak dapat menjalankan tugas, orang ramai akan menuduh polis terima rasuah. Hakikatnya, ada arahan pihak lain tanpa pengetahuan polis,” kata beliau.
Ditanya bagaimana wujud campur tangan sedemikian ketika beliau menjalankan tugasnya, Musa memberitahu, sesetengah orang ada kepentingan peribadi, politik dan agenda sendiri.

Rumah PPRT Perlis retak




LANTAI rumah milik Nor Satirah Hassan merekah menyebabkan rumahnya sering dimasuki air laut di Kuala Sungai Baru, Kangar.


KANGAR - Belum pun sampai setahun, beberapa buah rumah penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sekitar Kuala Sungai Baru di sini mengalami keretakan yang mengundang ketakutan di kalangan para penghuninya.
Rumah jenis teres yang siap dibina sejak Ogos tahun lalu itu diserahkan kepada penduduk miskin yang kebanyakannya nelayan berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.
Walaupun mereka menyedari rumah tiga bilik bersaiz enam meter lebar dan 12 meter panjang tersebut dibina secara percuma, namun para penduduk terbabit kecewa ekoran hasil kerja tempat tinggal mereka dibuat umpama melepas batuk di tangga.
Akibatnya, lebih lima keretakan dan rekahan yang terjadi terutama pada tiang dan dinding rumah PPRT berkenaan dapat dilihat dalam tinjauan Kosmo! di empat buah rumah penghuni berkenaan.
Seorang penduduk, Rosli Hassan, 46, memberitahu, keretakan mula dikesan di dalam dan luar rumah beliau selepas baru tiga bulan menduduki rumah tersebut pada bulan Ramadan tahun lalu.
"Mula-mula hanya nampak kecil, lama-lama makin panjang dan mendalam sehingga boleh di masukkan sebatang lidi penyapu untuk menunjukkan kesan keretakan yang semakin teruk," katanya.
Menurut Rosli, hampir 10 keretakan boleh dilihat di beberapa bahagian rumah terutama pada sambungan dinding dengan tiang rumah.
"Tiang rumah ini dibuat menggunakan tiang pasang siap, bukan dikorek seperti lazimnya, oleh itu keadaan tanah yang tidak kukuh menyebabkan berlaku pergerakan pada dinding."
Tambahnya, rumah PPRT tersebut dibina oleh Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Blair takut dibaling lagi



BLAIR meninggalkan Millbank Studios selepas temu bual televisyen di London, semalam. - AFP


LONDON 6 Sept. - Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair hari ini berkata, beliau mungkin membatalkan majlis menandatangani buku di sini minggu ini sempena pelancaran memoir beliau kerana khuatir acara itu akan diganggu oleh penunjuk perasaan.
Tiga orang ditangkap selepas telur dan kasut dibaling ke arah Blair, 57, setibanya beliau untuk menandatangani naskhah memoirnya A Journey di sebuah kedai buku di Dublin, Ireland, kelmarin.
Kira-kira 200 penunjuk perasaan bertempur dengan polis tetapi tiada kecederaan dilaporkan dan apa yang dibaling tidak mengenai Blair.
Aktivis antiperang dan parti pelampau berhaluan kanan, Parti Nasional British (BNP) mengumumkan, mereka akan mengadakan demonstrasi di cawangan kedai buku Waterstone di Piccadilly, tengah London pada Rabu ini untuk mengutuk keputusan Blair menyertai serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq pada 2003.
"Saya tidak mahu menimbulkan banyak masalah bagi orang ramai dan banyak beban bagi polis untuk satu acara menandatangani buku," kata Blair kepada Sky News.
Beliau mendakwa bilangan mereka yang hendak memprotes tidak seberapa berbanding pembeli memoirnya yang mahu buku mereka ditandatangani.
Kawalan keselamatan ketat sudah diatur untuk acara yang dijadual pada Rabu ini dan pihak Waterstone berkata, semua beg dan telefon mudah alih akan diperiksa terlebih dahulu.
Ketika bercakap dengan media hari ini, Blair berkata, jualan memoirnya 'sangat laris' meskipun beliau turut menghadapi kempen Internet yang dilancarkan bagi menggendalakan jualan.
Sebuah kumpulan yang didirikan di Facebook menggesa orang ramai supaya memindahkan naskhah buku itu ke bahagian 'jenayah' di kedai-kedai buku.
"Paksa pihak kedai buku berfikir dua kali mengenai kategori paling sesuai untuk menempatkan buku penjenayah perang terbesar generasi kita," menurut kempen yang sudah menarik hampir 7,000 anggota. - Reuters

KPN akui campur tangan KDN





Musa Hassan melambaikan tangan kepada jurufoto akhbar selepas sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Tan Sri Musa Hassan mengakui luahannya berhubung campur tangan pihak ketiga dalam tugasnya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) sebelum ini, adalah merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, campur tangan itu yang melibatkan pengeluaran sesuatu arahan tanpa pengetahuannya, tidak selari dengan arahan dan kawalannya sebagai KPN.
"Saya tidak mahu ada pihak beri arahan salah. Arahan mesti dari polis, bukan dari orang luar.
"Malah, ada pegawai-pegawai saya yang dikawal. Tindakan sedemikian salah dan membelakangkan undang-undang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Ditanya lebih lanjut tentang campur tangan itu, Musa memberitahu, sesetengah orang ada kepentingan peribadi, politik dan agenda sendiri.
Katanya lagi, pihak polis menjalankan tugas selepas mendapat laporan atau aduan orang ramai dan sekiranya wujud campur tangan sedemikian sehingga menganggu siasatan, pihak polis pula yang dipersalahkan.
"Bila polis tidak dapat menjalankan tugas, orang ramai akan tuduh polis terima rasuah. Hakikatnya, ada arahan pihak lain tanpa pengetahuan polis," katanya.
Kepada satu soalan, beliau sentiasa bersikap terbuka dan berterus terang selagi percaya tindakannya itu di jalan yang betul.
"Saya hanya luahkan perkara yang betul supaya semua pihak sedar tindakan campur tangan itu boleh menjejaskan siasatan.
"Saya sentiasa mengingatkan bakal KPN akan datang supaya menjadi pemimpin yang baik dan jangan biarkan sesiapa mempengaruhinya melakukan perkara melanggar undang-undang dan berhati-hati kerana banyak kritikan perlu dihadapi.
"Jika kita komited, ikhlas dan jalankan tugas untuk Allah, kita tidak akan kecewa," katanya lagi.
Dalam pada itu, Musa turut memberitahu, beliau hanya mengetahui tempoh tamat kontraknya selepas diumumkan melalui satu sidang akhbar dan bukannya dimaklumkan terus kepadanya.
"Saya tidak dimaklumkan apa-apa berhubung penamatan kontrak saya ini dan mengetahuinya selepas satu kenyataan akhbar," katanya.
Musa dalam satu wawancara Mingguan Malaysia Mac lalu mendedahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering menerima tekanan sama ada daripada pihak politik atau orang-orang tertentu.
Menurutnya, mereka cuba memberi tekanan, mungkin kerana kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.
Musa dalam wawancara itu menegaskan bahawa hanya KPN yang boleh memberi arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.

China batal pelancongan ke Filipina



BEIJING 6 Sept. - Pelancong Hong Kong dan tanah besar China membatalkan lebih 1,000 pakej pelancongan ke Filipina selepas lapan pelancong Hong Kong terbunuh dalam rampasan bas di Manila, menurut media kerajaan hari ini.
Industri pelancongan Filipina mungkin mengalami kerugian beratus--ratus ribu dolar sepanjang tiga bulan akan datang, lapor China Daily yang memetik Setiausaha Jabatan Pelancongan Filipina, Simeon P. Marfori yang berucap dalam forum pelancongan antarabangsa di selatan China.
Menurut Marfori, pelancong Hong Kong merupakan satu daripada sepuluh jumlah keseluruhan pelancong ke Filipina sementara rakyat China menjadi pelawat tertinggi ke negara itu.
Pada 23 Ogos lalu, seorang bekas inspektor polis merampas sebuah bas yang membawa 25 pelancong Hong Kong dalam usaha mendapatkan semula pekerjaannya itu.
Lapan daripada pelancong itu terbunuh semasa operasi menyelamatkan mangsa dilancarkan oleh polis yang turut membunuhnya.
Keesokan harinya, Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan China menggesa rakyatnya berhati-hati semasa melancong ke Filipina.
Wakil perkhidmatan pelanggan dari Perkhidmatan Perlancongan Antarabangsa China (CITS) beribu pejabat di Shanghai yang enggan dikenali berkata, agensi pelancongan menghentikan tawaran lawatan secara berkumpulan ke Filipina selepas insiden itu.
"Orang ramai kini takut. Tiada siapa yang mahu ke sana lagi. Perkhidmatan hanya akan disambung semula selepas kesan insiden itu reda," katanya kepada AFP.
Tambahnya, CITS tidak menawarkan sebarang pakej pelancongan ke negara Asia Tenggara ketika Hari Kebangsaan bulan Oktober, musim kemuncak kepada pelancongan China. - AFP

Parti bukan Islam 'ghairah' ke masjid, surau dipersoal


SHAH ALAM 6 Sept. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri ini mempersoalkan agenda parti bukan Melayu khususnya dari kalangan bukan Islam yang terlalu 'ghairah' mengadakan aktiviti dan program rakyat di kawasan masjid dan surau di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Abdullah Mansor berkata, meskipun program itu sesuatu yang positif tetapi keghairahan berkenaan sebenarnya boleh mencetuskan pelbagai polemik politik termasuk mengundang perpecahan di kalangan umat Islam.
Ini kerana, katanya, tindakan pemimpin parti politik tertentu yang 'keterlaluan' mahu menggunakan masjid dan surau untuk mengadakan program mereka seolah-olah menggunakan rumah ibadat sebagai jalan mudah menarik sokongan orang Melayu.
Beliau tidak menolak kemungkinan pendekatan 'politik masjid dan surau' itu menambahkan lagi perpecahan di kalangan orang Melayu apabila wujudnya perbezaan pendapat dan perbalahan ekoran tindakan ahli politik bukan Islam memasuki rumah ibadat berkenaan.
"Ada orang Melayu menyokong bukan Islam memasuki dewan solat atau mengadakan program politik di masjid dan surau. Ada juga orang Melayu yang membantah.
"Sedangkan semua pihak sudah maklum bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan titah melarang penggunaan masjid dan surau untuk berpolitik apatah lagi membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat serta menyalahgunakannya," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Abdullah, pihaknya tidak menolak kemungkinan ahli politik bukan Islam yang menggunakan masjid dan surau itu mempunyai 'agenda tersembunyi' untuk menawan hati dan mendapat sokongan orang Melayu selain mengambil kesempatan untuk melemahkan perpaduan mereka.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memohon maaf kepada Sultan Selangor kerana bertindak memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam keadaan yang tidak sopan pada 22 Ogos lalu sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
Selain memasuki ruang solat, Nie Ching daripada DAP turut berucap kepada hadirin di ruang solat surau terbabit sehingga diberikan amaran oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), 27 Ogos lalu supaya menghormati agama dan institusi Islam di negeri ini serta tidak mengulanginya.