Monday, August 17, 2015

Justo Dihukum Penjara Tiga Tahun


Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2015 2:56 PM
Xavier Andre Justo.

BANGKOK: Xavier Andre Justo dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana cuba memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International.
Pegawai mahkamah berkata, hakim Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok memutuskan warga Switzerland yang berusia 49 tahun itu menjalani hukuman serta-merta dan dipenjarakan sepenuhnya di penjara Thailand.
Difahamkan hukuman penjara enam tahun dikurangkan kepada tiga tahun selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah Justo.
Bekas eksekutif teknologi maklumat (IT) di PetroSaudi itu didakwa di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand, yang membawa hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun, serta denda antara 2000 baht dan 20,000 baht.
Pegawai mahkamah berkata, Justo mempunyai tempoh selama 30 hari untuk mengemukakan rayuan.
Peguam Lawyer, Pranot Kalanuson ketika dihubungi berkata, beliau akan mengadakan rundingan dengan anak guamnya mengenai langkah seterusnya.
"Saya akan berbincang dengan anak guam saya sama ada dia mahu mengemukakan rayuan," kata Kalanuson dengan ringkas.

Guling kerajaan: Dedah siapa dalangnya, Zahid


WARTAWAN SINAR HARIAN
17 OGOS 2015
Zahid Hamidi

Zahid Hamidi

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mendedahkan nama individu yang cuba menggulingkan kerajaan kepada umum.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata, pengundi BN pastinya mahu mengetahui siapa individu yang cuba untuk mengkhianati demokrasi di negara ini.

“Kerajaan yang ada sekarang ini dipilih oleh rakyat tetapi usaha gulingkan kerajaan menggunakan pintu belakang adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

“Mereka yang terlibat dengan komplot ini perlu dikenakan tindakan undang-undang dan pendekatan politik,” katanya.

Menurutnya, gerakan menggulingkan kerajaan juga mencemarkan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku ketua yang mentadbir negara.

“Saya minta nama pemimpin pembangkang yang berkomplot menggulingkan kerajaan didedahkan.

“Dari situ kita tahu perkara ini benar-benar berlaku di negara kita dan bukan direka semata-mata,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendedahan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid adalah perkara baharu dan tidak diketahuinya sebelum ini.

“Ia perkara baharu. Walaupun saya ahli majlis tertinggi Umno, tidak semua perkara saya tahu, terutama gerakan yang guna pintu belakang untuk jatuhkan kerajaan,” katanya.

Kelmarin, Ahmad Zahid mendedahkan komplot menggulingkan kerajaan menggunakan cara mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli palimen BN sebagai menyokong gerakan mereka.

Beliau mendakwa, usaha itu didalangi seorang tokoh Umno dan pembangkang.

RM2.6b: Saya sendiri tak tahu macam mana nak jawab


MUHAMAD ADZHAR TAJUDDIN
16 OGOS 2015
Mukhriz Mahathir

Mukhriz Mahathir Mukhriz ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

GOPENG - Kemelut berhubung dana RM2.6 bilion perlu diselesaikan segera bagi menepis tanggapan dan persepsi negatif rakyat terhadap Umno pada ketika ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu jelas kerana isu berkaitan dana berkenaan telah menjadi topik hangat selain dibincangkan secara terbuka oleh segenap lapisan masyarakat.

"Saya sangat tidak selesa dan rasa tak sedap hati dengan isu RM2.6 bilion ini.

"Benda ini sudah terbuka, saya tak cakap pun orang sudah tahu dan apabila disoal, saya sendiri tak tahu macam mana hendak menjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kampar, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kampar, Datuk Mohammed Radzi Manan, Ketua Wanita Umno Bahagian Kampar, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tambun, Aminuddin Md Hanafiah.

Menurutnya, keadaan menjadi bertambah buruk apabila pihak berwajib dilihat berdolak-dalik dalam memberikan jawapan sebenar berhubung status dana berkenaan.

"Bila awalnya kita (Umno) menidakkan, kemudiannya apabila nak keluarkan laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita mengiyakan pula," katanya.

Beliau berkata, perjuangan Umno yang bertunjangkan agama,bangsa dan negara juga bakal berdepan kesukaran jika kemelut itu cuba digelapkan.

"Boleh ke kita nak yakinkan rakyat bahawa Umno merupakan parti yang menegakkan Islam, memartabatkan Melayu dan memajukan tanah air tetapi pada ketika masa yang sama kewibawaan kita sendiri dipertikaikan," katanya.

Selain itu, katanya, pimpinan parti seharusnya mendekatkan diri dan menyantuni ahli di peringkat akar umbi bagi menjamin kelangsungan Umno selaku kerajaan yang memerintah.

"Kalau nak menang pilihan raya, jagalah rakyat di peringkat akar umbi dan itulah cara atau strategi Umno memimpin negara hingga ke hari ini," katanya.

Guling kerajaan: 26 MP BN dikatakan terlibat


16 OGOS 2015

SHAH ALAM – Seramai 26 Ahli Parlimen BN dikatakan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi pemimpin Umno.

Portal The Rakyat Post melaporkan pemimpin Umno berkenaan memainkan peranan menyediakan tujuh muka surat akuan bersumpah bagi mempengaruhi 87 ahli Parlimen pembangkang dan 26 ahli Parlimen BN.

“Kritik dalam parti tidak apa tetapi sebagai pembesar Umno apa yang dia buat itu sangat kurang ajar

“Individu  itu dikatakan telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Naib Presiden Umno itu mendedahkan konspirasi tersebut semalam,” kata sumber berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ada usaha guling kerajaan guna ‘pintu belakang’]

Semalam Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

“Sebenarnya bukan Datuk Seri yang nak bawa jumpa, disebabkan pendedahan yang dilakukan sebelum ini mereka telah menghubungi TPM dan meminta untuk mengaturkan satu perjumpaan dengan PM.

“Mereka dikatakan menyesal dan ingin memohon maaf atas tindakan yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dedahkan siapa dalang gulingkan kerajaan]

Sementara itu di BUKIT KATIL, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyarankan identiti pemimpin Umno yang berhasrat bergabung dengan Ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan wajar didedahkan.

Menurutnya, tindakan itu bagi membolehkan setiap pemimpin dan ahli parti dapat mengetahui pergerakan individu berkenaan yang berhasrat menggulingkan kerajaan.

“Saya rasa elok sebenarnya kita diberitahu siapakah individu terlibat dan saya menghargai ketelusan Timbalan Perdana Menteri yang berkongsi dengan rakyat bahawa ada percubaan tersebut.

“Kita perlu tahu siapa individu tersebut sebab kita dah lama nak tahu siapakah bergerak dalam parti cuba gulingkan kerajaan dan apakah cara dikatakan nak guling kerajaan guna cara tidak sah.

“Kita pun tak tahu cara yang tak sah supaya kita dapat membantu membetulkan keadaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Umno Bahagian Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini hari ini.