Monday, April 25, 2011

Hari-hari puji kerajaan sampai rakyat naik meloya!


'Media perdana sekali-sekala kritik kerajaan'


2011/04/25

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata media arus perdana harus sekali-sekala mengkritik kerajaan untuk menyampaikan pandangan sebenar orang ramai. 

Beliau berkata, ini berikutan media arus perdana enggan mengkritik kerajaan walaupun dibenarkan, malah mengamalkan penapisan kendiri kerana percaya mereka perlu sentiasa memberikan sokongan dan pujian kepada kerajaan.
“Keadaan itu menyebabkan ada kalanya kerajaan mendapat pandangan berat sebelah mengenai apa yang difikirkan orang ramai. Media arus perdana fikir mereka harus melakukan penapisan kendiri, akibatnya ia memberi tanggapan salah kepada orang ramai.
“Sebenarnya ia bukan kerajaan (menapis), ia adalah sikap mereka sendiri dari segi peranan sebagai media arus perdana. Mereka fikir bukan (peranan) mereka untuk mengkritik kerajaan. Ini berlaku bukan kerana kerajaan menahan mereka (media arus perdana), tetapi kerana mereka fikir mereka harus mencerminkan pandangan kerajaan,” katanya berucap pada Persidangan Blogger Malaysia-rantau ASEAN di sini, semalam. 

Dr Mahathir yang juga Penaung Blog House Malaysia (BHM) berkata, blogger perlu mendapat layanan adil dan sama rata tetapi sekiranya melampaui batasan, mereka harus menerima akibatnya. 

Beliau berharap mempunyai rangkaian dengan blogger bertanggungjawab dan dihormati yang memberi komen kerana mengharapkan perkara baik berlaku di negara ini. 

Saman sampai bangrap


Ummi Hafilda fail semula saman fitnah RM100 juta


2011/04/25

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali hari ini memfailkan semula saman fitnah RM100 juta terhadap bekas rakan perniagaannya dan pengendali laman berita Malaysiakini yang telah dibatalkan Mahkamah Tinggi pada 13 April lalu. 

Ummi Hafilda, 43, memfailkan saman itu melalui Tetuan Sahrihan & Hamdan di Mahkamah Tinggi Sivil dengan menamakan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda sebagai defendan pertama dan Mkini Dotcom Sdn Bhd yang menyelenggarakan laman berita Malaysiakini sebagai defendan kedua.
Pada 13 April lalu, Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membatalkan saman Ummi Hafilda berikutan peguam kedua-dua pihak tidak hadir ke mahkamah semasa kes itu disebut di hadapannya.
Penasihat Undang-undang kepada Ummi Hafilda, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, memberitahu pemberita bahawa beliau menfailkan semula saman itu bagi pihak firma guaman itu, petang ini. 

Ditanya mengapa peguam kepada Ummi Hafilda tidak hadir ke mahkamah pada 13 April lalu, Mohd Khairul Azam berkata terdapat kekeliruan berhubung sistem e-filing yang baru diperkenalkan di mahkamah dan pihaknya tidak menerima tarikh yang diberikan mahkamah. 

Katanya, semua tuntutan yang difailkan hari ini adalah sama dengan saman yang telah dibatalkan itu. 

Ummi Hafilda, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa defendan pertama dalam satu temuramah di lobi Bangunan Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah dan menyerangnya secara peribadi. 
Beliau mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Nor Azman semata-mata untuk memalukannya dan berniat jahat. 

Ummi Hafilda juga mendakwa kenyataan Nor Azman seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal dan amat tidak jujur, serta terbabit dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengakibatkan pertuduhan liwat terhadap Anwar. 

Ummi Hafilda mendakwa defendan kedua telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah itu di laman web www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu. 

Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, plaintif turut memohon satu injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan fitnah terhadapnya. - BERNAMA 

Siasat la sampai masuk lokap


Profil DNA 'lelaki Y' milik Anwar: Pendakwa


2011/04/25

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwa dalam perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa profil DNA "lelaki Y" yang ditemui di dalam dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik pemimpin pembangkang itu.

Dalam hujahnya pada akhir kes pendakwaan, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan analisis DNA yang dilakukan ahli kimia, Nor Aidora Saedon terhadap sampel DNA yang diambil dari bilik lokap yang digunakan oleh Anwar dan oleh Dr Seah Lay Hong terhadap sampel yang diambil daripada Mohd Saiful."DNA itu sepadan dengan kajian profil yang dibuat terhadap semua sampel oleh dua ahli kimia berkenaan dan ia selari dengan keterangan yang diberi oleh Mohd Saiful," katanya.
Mohamed Yusof berkata, Dr Seah mengesahkan bahawa air mani yang ditemui di dalam dubur Mohd Saiful berasal daripada satu sumber sahaja yang pada awalnya dirujuk sebagai "lelaki Y". 

Katanya, profil DNA (lelaki Y) itu kemudiannya didapati sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada tiga barang bukti (tuala good morning, botol air mineral dan berus gigi) dan berasal daripada benda yang sama serta daripada sumber yang sama.

Mohamed Yusof berkata, berdasarkan padanan yang serupa itu, pihak pendakwa telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu beliau perlu membela diri.

Mengenai isu kelewatan Mohd Saiful membuat laporan polis, beliau berkata seperti yang diketahui, Anwar dan Mohd Saiful mempunyai hubungan majikan-pekerja dan mangsa juga menjadikan Anwar sebagai idolanya sejak kecil lagi. 
"Mohd Saiful diberi layanan istimewa dengan diperuntukkan sebuah bilik di pejabat baru Anwar, berbanding rakan sekerjanya yang lebih senior," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Yusof, berkata perkara itu tidak menjejaskan kredibiliti Mohd Saiful dalam memberi keterangan tentang kejadian yang berlaku di unit kondominium berkenaan pada 26 Jun 2008.

Beliau berkata, sebelum itu, mereka berjumpa di pejabat Ibrahim Yaacob (ketua staf Anwar) pada kira-kira 10.30 pagi pada hari berkenaan dan pada tengah hari, Mohd Saiful diminta menghantar satu sampul surat kepada Anwar di Kondominium Damansara pada kira-kira 1.45 tengah hari.

Mohamed Yusof berkata, semasa perbicaraan tertutup, Mohd Saiful menerangkan secara terperinci bagaimana aksi itu berlaku dan Anwarlah yang memintanya membawa bersama jeli KY.

"Itulah sebabnya tidak berlaku kecederaan pada bahagian dubur Mohd Saiful, tidak kiralah sama ada aksi seks itu berlaku dengan keizinan atau tanpa keizinan," katanya.

Beliau berkata, semua itu terkandung dalam laporan proforma (sejarah perubatan) yang dicatat oleh Dr Ruzain Rahimi, di mana mangsa (Mohd Saiful) memberitahu doktor berkenaan bahawa bahan pelincir telah digunakan, dadanya diramas dan berlaku penetrasi serta ejakulasi.

Mengenai isu tiga orang doktor yang pada mulanya membuat kesimpulan tidak berlaku penetrasi, Mohamed Yusof berkata ia hanyalah berdasarkan pemeriksaan klinikal, walaupun mereka telah mendapat laporan daripada ahli kimia Dr Seah dua hari sebelumnya.

Beliau berkata, ketika itu, tiga doktor berkenaan tidak mengetahui mengenai tempat palitan berkenaan diambil, sehinggalah mereka ditunjukkan laporan oleh ahli kimia semasa pemeriksaan utama.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Dalam hujahnya, peguam bela utama, Karpal Singh berkata pihak pendakwa gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Anwar dan oleh itu tertuduh patut dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Katanya, saksi utama, Mohd Saiful telah berbohong dalam laporan polis yang dibuatnya pada 28 Jun, 2008, bahawa kononnya aksi itu berlaku tanpa kerelaannya.

"Dia bukan saksi yang bercakap benar dan berwibawa dan oleh itu, keterangannya perlu ditolak tanpa memerlukan sebarang penjelasan," katanya.

Malah, Karpal berkata, berdasarkan turutan kejadian, Mohd Saiful telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 195 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu dan berbohong, walaupun telah mengangkat sumpah.

Karpal berkata, mahkamah perlu memerintahkan pendakwa raya supaya mengenakan pertuduhan terhadap Mohd Saiful untuk menunjukkan dengan jelas bahawa badan kehakiman tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan menyalahgunakan prosesnya hingga mengakibatkan seorang yang tidak bersalah, disabitkan kesalahan.

Peguam itu juga berkata, mangsa mempunyai banyak peluang untuk melarikan diri daripada seseorang yang didakwa menjadi penyerangnya atau mengadu dengan segera kepada pemilik unit kondominium berkenaan atau kepada pengawal keselamatan di premis itu.

Di samping itu, katanya, mangsa juga telah menghadiri satu majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari berikutnya di Tropicana dan menyertai mesyuarat Kelab Anwar Ibrahim di kediaman tertuduh.

"Tindakan PW1 (Mohd Saiful) itu bercanggah dengan kejadian hubungan seks di luar tabie tanpa kerelaan. Kredibiliti mangsa semakin terhakis," katanya.

Karpal berkata, penjelasan yang boleh diterima juga tidak didapati tentang kenapa berlakunya kelewatan dalam membuat laporan polis apabila ia hanya dibuat dua hari selepas kejadian itu didakwa berlaku.

Karpal juga membangkitkan isu kegagalan pihak pendakwa memanggil saksi penting, Dr Mohd Osman Abdul Hamid, dari Hospital Pusrawi, iaitu pegawai perubatan pertama yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa.

Sementara itu, dalam hujahnya, seorang lagi peguam bela, SN Nair berkata pihak pendakwa banyak bergantung pada jeli KY untuk memberi alasan tidak berlakunya kecederaan pada dubur Mohd Saiful.

Katanya, tiadanya ujian dilakukan terhadap gel yang didakwa digunakan semasa aksi hubungan seks itu mungkin menunjukkan gel berkenaan tidak wujud.

"Cerita gel ini adalah sesuatu yang direka kemudiannya iaitu setelah laporan perubatan oleh doktor dari HKL (Hospital Kuala Lumpurl) menunjukkan tidak terdapat sebarang penemuan tentang berlakunya penetrasi pada dubur/rektum dan tidak ada kecederaan akibat mempertahankan diri pada tubuh pengadu," katanya.

Nair berkata, satu soalan penting yang perlu dijawab ialah kenapa gel itu tidak dihantar kepada jabatan Kimia untuk dibuat analisis.

Nair juga membangkitkan isu penyahgredan sampel yang diambil daripada Mohd Saiful di HKL pada 28 Jun, 2008, iaitu dua hari selepas berlakunya kejadian yang didakwa berlaku itu.

Katanya, hanya selepas hampir 97 jam dikatakan berlakunya kejadian itu, barulah sampel berkenaan diserahkan kepada ahli kimia Dr Seah, iaitu pada 7.55 malam, 30 Jun, 2008.

Peguam bela, Ram Karpal Singh pula berkata penemuan oleh ahli kimia, Dr Seah dan Nor Aidora Saedon, mengenai profil DNA, termasuk profil bagi "lelaki Y", perlu ditolak kerana ia gagal mematuhi sepenuhnya protokol makmal antarabangsa.

Katanya, penemuan mereka penuh dengan keraguan dan butiran saintifik yang tidak boleh dijelaskan.

"Ketiadaan bukti yang boleh dipercayai berhubung sampel DNA yang dikemukakan oleh pihak pendakwa untuk dipadankan dengan keterangan pengadu kononnya berlaku kejadian itu, dengan sendirinya menambahkan lagi keraguan tentang kredibiliti pengadu," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok. - BERNAMA 

Raja Petra disiasat kerana beri maklumat palsu


KUALA LUMPUR: Raja Petra Kamaruddin kini disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung akuan bersumpahnya mengaitkan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, empat tahun lalu. 


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, ketika dihubungi hari ini berkata, pengendali portal "Malaysia Today" itu disiasat mengikut seksyen itu setelah keterangan diambil daripadanya semasa beliau berada di Bangkok, Thailand, dua hari lalu.
Keterangan itu diambil oleh pegawai polis Bukit Aman yang ditugaskan untuk bertemu RPK di negara itu ketika majlis pelancaran Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) di mana beliau adalah pengerusinya.
Bakri berkata, pihak polis juga sedang giat menjalankan siasatan berdasarkan keterangan RPK selain keterangan daripada beberapa individu lain yang berkaitan dengan kes tersebut. 

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan indentiti individu lain yang telah dipanggil polis. 

"Siapa yang telah dipanggil dan berapa orang yang dipanggil itu tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan dan tumpuan kita sekarang ini adalah untuk menyiasat dakwaannya (Raja Petra)," katanya. 

Dalam temu bualnya dengan TV3 yang disiarkan pada 13 dan 14 April lalu, Raja Petra mendedahkan bahawa akuan bersumpah beliau pada 2008 yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan itu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, daripada menjadi Perdana Menteri. - BERNAMA 

Wajah misteri



GUNUNG KERIANG - Penduduk sekitar kawasan pusat rekreasi di sini digemparkan dengan penemuan pokok yang dipercayai menyerupai wajah manusia.
Pokok yang dikenali dengan ‘pokok sabun’ oleh masyarakat setempat itu dipercayai menyerupai bentuk wajah manusia sejak seminggu lalu dan dikatakan menjadi lokasi aktiviti pemujaan.
Pengunjung, Muhammad Azwan Mansor, 24, berkata, pengunjung tidak dapat melihatnya secara jelas melalui mata kasar malah, mereka perlu mengambil gambar dan objek itu akan kelihatan lebih jelas menerusi gambar yang diambil.
Menurutnya, pelbagai andaian yang dibuat apabila melihat wajah yang timbul pada bahagian pemeluk pokok itu namun, terpulang kepada kepercayaannya masing-masing.
“Ada yang menyatakan ia sekadar ukiran namun, bagi saya ia mungkin terbentuk daripada rekahan kulit pokok itu sendiri,” katanya.
Penduduk, Mohd Tazri Seman, 30, berkata, sebelum ini taman rekreasi itu menjadi tumpuan pengunjung pada sebelah petang namun, sejak berlakunya kejadian itu kawasan berkenaan sentiasa dikunjungi tanpa mengira waktu.
Menurutnya, mereka yang tidak bertanggungjawab pula menjadikan pokok itu sebagai lokasi pemujaan mendapatkan nombor ekor.
“Mereka yang tidak bertanggungjawab akan datang pada waktu malam untuk pemujaan pokok ini bagi mendapatkan nombor ekor.
“Perkara ini jelas dapat dilihat apabila adanya kesan lilin yang cair di kawasan ini dan beberapa peralatan pemujaan termasuklah colok yang dibakar serta diletakkan di kawasan pokok,” katanya kepada Sinar Harian.
Pengunjung, Hamzah Omar, 57, berkata, sebelum ini tiada siapa yang sedar mengenai kejadian aneh yang berlaku pada pokok itu namun, ia mula tersebar dari mulut ke mulut.
Menurutnya, aktiviti pemujaan tidak sepatutnya berlaku di kawasan itu kerana ia hanyalah sebatang pokok yang sama dengan pokok yang lain di kawasan sekitar.
Menurutnya, apabila perkara itu berlaku, pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) diharap mengambil perhatian bagi mengelak aktiviti itu berleluasa.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana kita bimbang mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kawasan ini dengan mengadakan aktiviti pemujaan.
“Walaupun pokok ini berbeza dari pokok lain namun, pengunjung tidak seharusnya melakukan pemujaan kerana ia bertentangan dengan agama,” katanya.
Pengunjung, Zakaria Ahmad, 56, berkata, Jaik perlu membuat pemantauan segera bagi mengelak lebih ramai yang datang untuk melakukan pemujaan.
Menurutnya, perkara seperti itu perlu dielakkan supaya pengunjung tidak menganggap pokok itu mampu menunaikan hasrat mereka.

Raja Petra mungkin ‘ditawar sesuatu’



KUALA TERENGGANU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menganggap pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mempunyai kepentingan peribadi apabila kenyataannya itu dilihat menguntungkan pihak kerajaan, berbeza dengan sebelumnya.

Ketuanya, Muzafeq Muhammad menganggap, Raja Petra berkemungkinan besar ‘ditawarkan sesuatu’ atau diugut pihak tertentu sehingga mendedahkan akuan bersumpahnya (SD) yang dibuatnya pada 18 Jun 2008.

“Kita yakin kenyataan yang dibuatnya sebelum ini adalah betul dan bukannya yang dibuat Khamis lalu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.

Raja Petra Kamaruddin mendedahkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan Altantuya Sharibuu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

Katanya, dia sendiri tidak pernah menuduh Perdana Menteri atau isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu dan dia kini tidak lagi mempercayai cerita individu tersebut.

Muzafeq percaya, kenyataan Raja Petra itu juga mungkin akan menyebabkan beliau ‘dijemput’ pulang ke Malaysia selepas ini.

“Mungkin juga akan berlaku akuan sumpah kedua sebagaimana yang berlaku terhadap pengintip persendirian, P Balasubramaniam.

“Kita percaya yang pertama adalah benar dan yang kedua adalah berbohong, mungkin dia ditawarkan sesuatu sebagaimana wakil rakyat PKR yang lompat parti,” katanya.

PANAS!!! Surau di Perak dirobohkan!!!



ADUAN RAKYAT ONLINE - Surau Kampung Baru Kanthan Lama dirobohkan- April 22nd, 2011-

Saya adalah anak watan Kampung Baru Kanthan Lama, ini adalah keluhan dari penduduk semasa saya balik ke kampung pada 17 April 2011 yang lalu. Pada 14 March 2011, datang kontraktor untuk merobohkan Surau Kampung Baru Kanthan Lama, Chemor, Perak.

Setelah berbincang dengan kontraktor yang mana tujuan meroboh adalah dari arahan BOSS mereka yang mana akan menggganti

Surau yang baru yang mana menurut mereka dari peruntukan Kerajaan melalui YB DUN HULU KINTA.
Yang menjadi muskilnya hingga sekarang tiada siapa pun yang memaklum perkara yang sebenar. Dan hingga ke hari ini tiada tanda-tanda menunjukan untuk pembinaan surau baru yang dibuat, seolah tapak surau kampung ini umpama jadi padang jarak padang terkukur.

Penduduk tidak dapat solat berjemaah lagi sehingga hari ini, dan jika ada ceramah akan diadakan di dalam rumah dan khemah yang di hadiah kan dari DUN Hulu Kinta.

Allahhuakbar,

By: Zubaini

Sepantas kilat, mereka tiba di lokasi



SELAIN kecuaian, kemalangan yang berlaku juga berkemungkinan disebabkan terdapatnya 'perangkap' seperti paku, minyak atau pasir yang diletakkan di atas jalan oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan


KISAH 1:
FARIZ Fikri, 23, pernah mengalami pengalaman membabitkan sikap biadab dan kasar pemandu trak tunda apabila terbabit dalam kemalangan setelah terlanggar sebuah kereta di hadapannya.
Kemalangan itu menyebabkan keretanya gagal dihidupkan dan pada masa sama, dia menghubungi pak ciknya yang juga seorang anggota polis untuk membantu.
Tidak sampai lima minit, dua buah kereta yang dipercayai runner tiba sambil membawa walkie-talkie.
''Mereka bertanya dengan nada keras kereta saya boleh bergerak atau tidak dan apabila dijawab tidak, serta-merta mereka menolaknya ke bahu jalan.
''Dengan cara mengugut, mereka terus menawarkan khidmat tunda kereta ke bengkel panel insurans dengan caj yang murah tetapi saya tidak bersetuju kerana mahu menunggu pak cik terlebih dahulu," katanya.
Bagaimanapun keadaan kembali terkawal apabila pak ciknya datang dengan kereta polis.
KISAH 2:
PENGALAMAN buruk itu juga pernah dialami seorang gadis, Lili Ahmad, 26, apabila terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.
Hujan renyai-renyai menyebabkan permukaan jalan raya menjadi licin dan agak sukar untuk memberhentikan kereta serta-merta.
Tiba-tiba kenderaan di hadapannya berhenti mengejut, menyebabkan kereta dipandunya gagal berhenti walaupun telah membrek.
''Selang beberapa minit, datang sebuah trak tunda yang menawarkan perkhidmatan menunda kereta untuk dihantar ke bengkel.
''Pada mulanya saya enggan menerima tawaran itu kerana mahu menunggu abang datang tetapi gagal menghubunginya," kata Lili.
Dalam keadaan trauma dan panik, Lili terpaksa menerima tawaran itu kerana tidak mahu lama berada di tempat kejadian.
Akibatnya, dia bukan sahaja dikenakan caj yang tinggi malah keretanya terpaksa berada di bengkel itu selama sebulan kerana kekurangan pekerja.
KISAH 3:
SEORANG pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Jidin, 27, pernah menghadapi satu kejadian hampir meragut nyawanya ketika pulang ke kampung di Terengganu melalui Lebuh Raya Karak pada cuti persekolahan baru-baru ini.
''Cuaca pada hari itu baik, kereta yang baru diservis juga meyakinkan saya untuk memandu dengan kelajuan 100 kilometer sejam.
''Tiba-tiba kereta saya hilang kawalan sebelum berhenti di tepi jalan. Apabila memeriksanya, saya mendapati terdapat tumpahan minyak yang agak banyak di kawasan tersebut," katanya.
Tidak lama selepas itu, beliau didatangi sebuah kereta dengan dua orang lelaki bertanyakan keadaan keretanya.
''Mujur kejadian itu tidak meragut nyawa saya. Tetapi yang jelas ini menunjukkan memang ada pihak dengan sengaja meletakkan minyak gris ke atas jalan bagi tujuan mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan pengguna,'' ujarnya.
Jidin berpendapat trak-trak tunda wajar diharamkan dari memasuki lebuh raya dan penyelenggara lebuh raya itu perlu menyediakan perkhidmatan trak tunda bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

Kemalangan dirancang, untung dikaut




STATISTIK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan bahawa jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya telah meningkat setiap tahun sejak lima tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, peningkatan paling ketara berlaku pada 2006 iaitu sebanyak 8.5 peratus atau 54,000 kes menjadikannya 635,082 kes berbanding 581,082 kes (2005).
Sementara itu, pada tahun lalu, jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ialah sebanyak 762,529 kes, meningkat 4.2 peratus daripada tahun sebelumnya yang berjumlah 705,623 kes.
Peningkatan terendah pula ialah pada 2008 iaitu hanya 7,941 kes (1.17 peratus) kepada 676,114 kes daripada 668,173 kes (2007).
Perangkaan tersebut secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini amat serius.
Di sebalik kebimbangan tersebut, wujud satu lagi fenomena yang ‘menakutkan’ apabila ada pihak-pihak tertentu telah menjadikannya sebagai satu cabang perniagaan paling menguntungkan.
Wartawan Unit Khas Utusan Malaysia, SITI MARIAM MD. ZAIN, ROSALINDA MD. SAID dan TERMIZI CHE ANUAR serta jurugambar,
ISMAIL KAMADIN cuba merungkai persoalan ini.


  • Kemalangan tidak berbau tetapi ada juga kemalangan yang sengaja dirancang pihak tertentu bertujuan mengaut keuntungan.



  • Antara pihak yang mendapat keuntungan apabila berlaku kemalangan adalah bengkel membaiki kereta dan juga pengendali trak tunda yang boleh mendapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.



  • Laporan Khas Utusan Malaysia mengupas mengenai sesetengah pihak yang sanggup mengupah ‘longkai’ memasang perangkap di jalan seperti paku, minyak dan pasir di kawasan yang mudah berlaku kemalangan.



  • Perkhidmatan trak tunda telah menjadi perniagaan menguntungkan dan setakat ini, tiada pihak mengawal pergerakannya. Malah tidak seperti teksi, trak tunda tidak memerlukan permit.


  • KUALA LUMPUR – Jika setiap kenderaan yang ditunda ke bengkel dibayar komisyen antara 10 hingga 15 peratus daripada kos tuntutan insurans kemalangan, bayangkan keuntungan yang mampu dikaut oleh syarikat trak tunda apabila tahun lalu sahaja jumlah kenderaan yang terbabit dengan kemalangan dicatatkan ialah sebanyak 762,529!
    Dengan purata tuntutan insurans antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami, syarikat trak tunda mampu memperoleh antara RM100 hingga RM450 hanya untuk sebuah kenderaan. Itu belum lagi termasuk bayaran menunda ke bengkel.
    Komisyen tersebut akan dibayar oleh pemilik-pemilik bengkel bagi memastikan mereka mendapat lebih ramai pelanggan.
    Perkhidmatan trak tunda sebenarnya telah menjadi perniagaan atau industri yang menguntungkan. Tetapi setakat ini, tiada pihak mengawal pergerakannya. Malah, tidak seperti teksi, trak tunda tidak memerlukan permit.
    Sejak lima tahun lalu, jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya seperti direkodkan oleh pihak polis meningkat 24 peratus atau 181,447 kes iaitu daripada 581,082 kes pada tahun 2005 kepada 762,529 tahun lalu.
    Kenderaan yang paling banyak terlibat pula ialah kereta diikuti motosikal, pelbagai jenis lori, pacuan empat roda, van dan sebagainya.
    Peningkatan statistik kemalangan jalan raya dari setahun ke setahun, secara tidak langsung memberi ruang kepada perkembangan industri ini sekali gus menarik lebih ramai melibatkan diri.
    Dengan pendapatan seorang pemandu trak tunda yang mampu mencecah RM10,000 sebulan, mereka sanggup melakukan apa sahaja.
    Apa yang pasti, semakin hari, kepantasan pemandu-pemandu trak tunda menghidu kes-kes kemalangan yang berlaku semakin hebat.
    ‘Kecekapan’ dan habuan lumayan yang menanti ini juga telah menimbulkan pelbagai persoalan sehingga ada dakwaan mengatakan sebilangan daripada kemalangan itu sengaja dirancang.
    Dakwaan tersebut mungkin benar menerusi beberapa pendedahan wujudnya ‘perangkap’ di laluan utama jalan raya seperti Kuala Terengganu-Kuantan, Jerangau-Jabor, laluan pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu dan Kuala Terengganu-Kota Bharu melalui Bandar Permaisuri sebelum ini.
    Malah, Jambatan Pulau Pinang juga pernah menjadi saksi tentang kewujudan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini melakukan aktiviti khianat.
    Antara yang digunakan sebagai perangkap ialah span berpaku, besi tajam, minyak petrol serta pasir yang sengaja ditabur di jalan raya.
    Seorang pemilik trak tunda mendedahkan, kerja meletakkan minyak atau objek lain itu dilakukan oleh pihak ketiga yang dipanggil ‘longkai’ atau call man yang mendapat komisyen bagi setiap kemalangan dimaklumkan kepada mereka.
    Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah pula berkata, berdasarkan kajian, kebanyakan kemalangan adalah disebabkan faktor kecuaian manusia.

    Minda: Didikan sempurna perisai pancaroba


    JIKA ditelusuri lipatan memori sejarah, negara kita amat dikenali sebagai negara yang mementingkan peradaban dan tatasusila dalam sosial kehidupan masyarakat. Hal ini bukan perkara baru yang perlu diungkit lagi kerana sejarah telah membuktikan rumpun bangsa dan etnik yang pelbagai bukan penghalang kepada pembentukan tingkah laku dan akhlak yang murni.
    Lihat saja betapa kerjasama, tolak ansur serta nilai-nilai murni yang sebati dalam diri pelbagai kaum telah menyatukan mereka hingga membawa kepada kemerdekaan tanah air. Kesinambungan daripada inilah yang membawa kepada wadah 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
    Namun, satu hal yang amat merisaukan masyarakat hari ini adalah kerapuhan akhlak dan moral remaja. Kita mungkin hanya mampu menggelengkan kepala apabila mendengar dan melihat percakapan dan tingkah laku mereka. Akan tetapi, adakah itu sudah cukup bagi kita untuk melunaskan tanggungjawab kita sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini?

    Tentu sekali tidak. Tanggungjawab kita adalah untuk meluruskan mereka supaya akhlak mahmudah yang diwarisi daripada para anbia’ dan sahabat akan sentiasa menjadi contoh teladan remaja ini.


    Sesungguhnya Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik manusia yang memiliki akhlak yang terpuji. Malah, akhlaknya diumpamakan seperti al-Quran.

    Remaja hari ini, meskipun tinggal di kampung atau kawasan pedalaman, tetapi budi bahasa mereka sungguh luar biasa biadap dan tidak beradab. Apa yang menyedihkan, remaja perempuan tidak kurang hebatnya, malah kadang-kadang lebih dahsyat daripada remaja lelaki.

    Paling merunsingkan adalah mereka ini datangnya daripada keluarga yang berakar umbikan ajaran Islam. Datuk, nenek, ibu, bapa dan seluruh kaum keluarga semuanya mengaku Islam, tetapi apa yang diucapkan tidak sama dengan apa yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

    Berdasarkan pengalaman yang dilihat sendiri oleh penulis, ada ibu bapa seolah-olah bangga dengan tingkah laku anak-anak remaja mereka. Mereka hanya membenarkan saja setiap patah perkataan jelek keluar daripada mulut anak-anak mereka tanpa bantahan.

    Ungkapan ‘bodoh’, ‘gila’ dan pelbagai lagi kata-kata buruk dan kadang-kadang membawa kepada mencarut sudah menjadi makanan rutin bagi mereka. Kalau ibu bapa sendiri mengiyakan saja hal ini berterusan, maka jadilah ibu bapa ini seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan.

    Bukan setakat percakapan saja, pakej akhlak mereka ini lengkap dengan tindak tanduk dan tingkah laku juga. Kita sering mendengar seseorang itu akan dinilai dengan siapa mereka berkawan. Jika dengan orang baik dan berbudi pekerti mulia, maka jadilah mereka orang yang baik dan berakhlak.

    Jika tidak, sebaliknya akan berlaku. Anak-anak muda Islam kini seolah-olah sudah hilang sifat malu dalam diri mereka. Bertepuk tampar dan berpegangan tangan sesama lelaki dan perempuan yang bukan mahram sudah lumrah dilihat pada hari ini.

    Stigma seperti ini seolah-olah adat biasa dan masyarakat hanya membenarkan saja ia terus berlarutan. Sedangkan dalam hadis Nabi s.a.w jelas menyatakan bahawa sifat malu itu sebahagian daripada iman. Wahai anak-anak muda! Jika sifat malu sudah hilang, bagaimana pula dengan iman anda? Tepuk dada, tanya diri sendiri!

    Seluruh masyarakat sememangnya sudah arif dan tahu, bahawa daripada percakapan dan tingkah laku mazmumah inilah yang akan membawa kepada pelbagai masalah sosial yang tidak pernah surut dipaparkan di media masa.

    Berita penagihan dadah, rogol, zina, khalwat, buang bayi, samseng, buli dan segala macam lagi terkadang menjadikan kita muak dan malas untuk mengambil tahu mengenainya.

    Walau bagaimana busuk dan jijik sekalipun hal tersebut, kita tidak boleh lari daripada mendepaninya dan harus berusaha untuk memulihkannya.

    Institusi keluarga dilihat sebagai penyumbang utama kepada penyelesaian masalah ini. Didikan awal yang sempurna yang berteraskan amar makruf nahi mungkar pasti boleh menjadi perisai kebal daripada terjebak dengan gejala ini.

    Kadangkala, seseorang anak itu juga boleh terjerumus ke kancah negatif meskipun sudah dididik dengan sempurna. Bagaimana hal ini boleh terjadi? Ini disebabkan kurangnya atau mungkin tiada langsung pemantauan dan pengawasan yang berterusan daripada keluarga.

    Justeru, anak-anak ini perlu ditarbiah sejak kecil lagi tentang peri pentingnya mengenal Allah al-Khaliq. Jika ketaatan kepada Rabbul Jalil sudah sebati dalam diri mereka, insya-Allah mereka tidak akan melakukan kemungkaran walau di mana mereka berada. Di mana bumi dipijak, di situ agama tetap akan dijunjung.

    Komuniti masyarakat sama ada melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun kelompok orang perseorangan juga penting dalam menyelesaikan kemelut ini. Sedikit masa dulu, kerajaan memperkenalkan Program Rakan Muda yang mensasarkan remaja dan belia sebagai sumber utama dalam pelaksanaan aktiviti yang dirancang dan terdapat pelbagai kategori aktiviti di bawah label ini.

    Antaranya Rakan Sukan dan Rakan Waja Diri. Ternyata program ini mendapat sambutan menggalakkan dan memberi impak maksima pada remaja ketika itu. Namun, selepas hampir sedekad berlalu, aktiviti tersebut seakan-akan sepi dan terkubur begitu saja.

    Kita semua amat berharap agar program tersebut akan terus dilaksanakan. Mungkin kita memerlukan sedikit penjenamaan semula terhadap program berkenaan agar ia terus memberi manfaat kepada golongan belia dan remaja.

    Penggiat seni tanah air terutama pengeluar drama dan filem juga turut memberi impak dalam kehidupan sosial golongan remaja. Lambakan drama dan filem yang berkisar masalah sosial hari ini seakan-akan memberi inspirasi kepada golongan remaja ini untuk mencuba melakukan adegan yang dipaparkan.

    Bukan menyalahkan penerbit dan pengarah kerana tujuan mereka adalah untuk memaparkan realiti sebenar keadaan masyarakat dan ia diharapkan dapat dijadikan iktibar dan teladan bagi golongan muda ini.

    Tetapi, kita harus ingat bahawa pengaruh media massa ini terlalu besar kepada masyarakat. Ini kerana, setiap apa yang dipaparkan akan menjadi ikutan sama ada dari sudut positif mahupun negatif.

    Tahun 2009 menyaksikan ramai ingin menjadi seperti Nur Amina mahupun Ustaz Aidil kerana tertarik dengan peribadi dan akhlak mulia mereka dalam drama bersiri yang amat popular, Nur Kasih.

    Penangan drama ini menjadi satu fenomena di seluruh negara pada ketika itu. Syukur, ini sesuatu yang baik kerana melalui drama yang penuh kasih sayang ini, ia boleh mempengaruhi masyarakat serta dapat menjentik jiwa golongan muda untuk meniru akhlak mahmudah.

    Kesimpulannya, peranan kita sebagai seorang insan di atas muka bumi ini cukup besar. Jika kita seorang anak, kita harus bijak membawa diri dan memilih jalan betul untuk ditempuhi agar tidak tersungkur di kemudian hari.

    Jika kita seorang ibu atau bapa, kita bertanggungjawab untuk mengajar, mendidik dan membimbing mereka mengikut lunas-lunas agama yang secukupnya agar kita tidak akan ditanya ‘di sana’ nanti.

    Jika kita hanya pemerhati dalam masyarakat, kita juga turut berperanan untuk membetulkan kekhilafan yang sedang melanda jiwa golongan muda ini. Meskipun kita tidak mampu untuk merubah keseluruhannya, cukuplah kita iringkan sepotong doa kepada-Nya supaya golongan ini diberikan hidayah dan kembali ke jalan yang lurus.


  • Penulis seorang guru

  • 2,349 warga Indonesia dihantar pulang dari Arab Saudi


    RIYADH: Seramai 2,349 rakyat Indonesia yang bekerja secara haram di Arab Saudi dihantar pulang dengan sebuah kapal penumpang Indonesia, semalam.
    Mereka yang sebahagian besarnya pembantu rumah, termasuk yang dibebaskan dari penjara kerana pelbagai kesalahan, dijangka tiba di Indonesia 3 Mei depan, kata pegawai Perlindungan Warga Indonesia di kedutaan negara itu di Riyadh.

    Daripada jumlah itu, hanya 30 orang lelaki. Turut berada dalam kumpulan itu ialah sejumlah kanak-kanak. Menurutnya, penghantaran pulang secara besar-besaran itu adalah hasil rundingan antara kerajaan kedua-dua negara sejak beberapa bulan lalu. - Agensi

    Blair, Brown tidak diundang


    LONDON: Perkahwinan Putera William dan Catherine Middleton membabitkan dimensi politik apabila bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Gordon Brown tidak termasuk dalam senarai tetamu undangan.
    Pemimpin Parti Buruh itu tidak akan menyertai 1,900 hadirin yang akan berhimpun di Westminster Abbey Jumaat ini walaupun John Major dan Margaret Thatcher dari Parti Konservatif masing-masing ada menerima undangan.

    Jurucakap Istana St James memberitahu Blair dan Brown tidak menerima undangan kerana kedua-duanya bukan penerima pingat diraja seperti Major dan Margaret.

    Sementara jurucakap Clarence House pula berkata: “Ia bukan acara kerajaan jadi tiada sebab mengapa bekas perdana menteri perlu diundang. Margaret diundang kerana dia adalah Lady of the Order, manakala Major adalah penjaga sah kepada William dan Harry selepas Diana meninggal dunia.”

    Rakyat Malaysia ke Batam bersama pembantu rumah meninggal dunia


    JOHOR BAHRU: Seorang lelaki rakyat Malaysia disahkan meninggal dunia di hospital dekat Pulau Batam, Indonesia selepas tiba di pulau terbabit bersama pembantu rumahnya yang juga warga republik itu Jumaat lalu. 


    Mohd Shukor Wahab, 23, dikatakan pergi ke pulau berkenaan bersama pembantu rumah keluarganya, Teratai Abidin, 41, dan tiba di pulau itu pada hari yang sama.
    Bagaimanapun, tujuan sebenar mereka ke pulau terbabit masih belum diketahui dan difahamkan arwah menghadapi masalah kesihatan sebaik tiba di pulau itu dan dikejarkan ke Rumah Sakit Harapan Bonda, Batam bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
    Menurut sumber pejabat Konsulat Malaysia di Pekan Baru, arwah mendapatkan rawatan kecemasan di hospital itu namun disahkan meninggal dunia jam 10.10 malam waktu tempatan (9.10 malam waktu Malaysia). 

    Katanya, pembantu rumah berkenaan yang mengaku ibu saudara mangsa, melarang bedah siasat dilakukan terhadap arwah dan punca kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). 

    “Pihak berkuasa Malaysia kini berusaha menguruskan pelbagai dokumen untuk urusan pengebumian jenazah di pulau berkenaan. 

    “Jika sempat, jenazah akan dikebumikan di Sekupang, Batam hari ini (semalam) atau esok (hari ini), namun semuanya bergantung pada kelulusan pihak berkuasa tempatan. 
    “Buat masa ini, kami masih belum menghubungi keluarganya di Malaysia kerana ibu saudaranya sebagai wakil keluarga ada di Batam,” katanya. 

    Difahamkan Mohd Shukor dan Teratai tiba di Batam menerusi Terminal Batam Center, Jumaat lalu, sebelum mendapatkan rawatan kecemasan pada malam sama. 

    Katanya, pihaknya masih belum pasti tujuan sebenar kehadiran mereka dan mengatakan siasatan awal mendapati arwah tiada saudara mara lain di pulau itu. 

    Sementara itu, tinjauan di rumahnya berdasarkan alamat di kad pengenalannya dekat Batu Pahat, mendapati keluarganya sudah berpindah sejak beberapa tahun lalu. 

    Difahamkan, mangsa sudah berkahwin dan bekerja sebagai nelayan. 

    Penduduk kecewa aduan pembalakan tidak dihirau




    RUNTUHKAN jambatan bantah pembalakan. Penduduk 10 kampung di Tebedu, Sarawak yang kecewa apabila bantahan, laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat terhadap pembalakan di tanah mereka tidak mendapat perhatian mengambil tindakan sendiri dengan memotong jambatan dibina syarikat pembalakan berkenaan. (berita lanjut) - Foto Nadim Bokhari


    PENDUDUK 10  kampung di Tebedu mahu    aktiviti  pembalakan yang menceroboh  tanah milik mereka dihentikan.
    PENDUDUK 10 kampung di Tebedu mahu aktiviti pembalakan yang menceroboh tanah milik mereka dihentikan.

    KUCHING: Kecewa apabila bantahan, laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat terhadap pembalakan di tanah mereka tidak mendapat perhatian, penduduk 10 kampung di Tebedu, berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia, semalam mengambil tindakan sendiri meruntuhkan jambatan dibina syarikat itu.

    Jambatan itu dipercayai dibina syarikat pembalakan untuk merentasi Sungai Suhu bagi mengeluarkan balak dari kawasan berkenaan.
    Penduduk Kampung Temong Bengan, Kampung Temong Putah, Kampung Temong Mura, Kampung Temong Mawang, Kampung Darul Fallah, Kampung Darul Huda, Kampung Tepoi, Kampung Semunti, Kampung Sebekar dan Kampung Sebuhang kini merayu campur tangan pihak berkuasa menghentikan pembalakan di kawasan tanah mereka sejak pertengahan tahun lalu.
    Wakil penduduk, Mani anak Marin, 47, mendakwa syarikat pembalakan bukan saja mengambil balak di hutan berhampiran kampung, malah dusun durian serta sawah padi mereka turut dirosakkan.

    Kehidupan mereka kini tidak lagi selesa apabila air sungai yang selama ini menjadi sumber kegunaan harian kini tercemar teruk apabila air yang dulunya jernih kini bertukar kekuningan.

    Mani mendakwa penduduk tidak tahu hutan berhampiran kampung itu diteroka syarikat pembalakan, sehinggalah mendengar deruman enjin jentera menjalankan kerja menolak tanah untuk membuat jalan, Jun tahun lalu.

    “Selepas diselidik, kami dapati kerja pembalakan dijalankan di hutan itu dan apabila disoal, pekerja syarikat balak mendakwa mereka menjalankan kerja yang sah selepas mendapat kebenaran bertulis lima ketua kampung di kawasan itu,” katanya.
    Bagaimanapun, penduduk musykil kerana tidak pernah dimaklumkan mengenai kegiatan itu, malah ketua kampung juga tidak pernah membawa mereka berbincang.

    Penduduk yang tidak berpuas hati kemudian mendapatkan surat perjanjian itu ditandatangani lima ketua kampung yang membenarkan kawasan hutan seluas 4,125 hektar diteroka syarikat pembalakan yang berpejabat di Batu Tiga, Kuching.

    Penduduk kemudiannya cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak syarikat namun diugut.

    Berikutan itu, Mani berkata penduduk membuat laporan polis di Balai Polis Tebedu dan Serian serta membuat laporan kepada SPRM.

    “Namun hingga kini, tiada tindakan diambil terhadap syarikat itu, malah kerja pembalakan semakin rancak dilakukan. Siapa yang tidak marah jika ratusan pokok durian, buahan-buahan lain, pokok tapang ditebang dan dijadikan kayu balak.

    "Lebih menyedihkan apabila sawah padi kami turut dirosakkan apabila mereka membina jalan balak melaluinya,” katanya.

    Mani mendakwa ketua kampung mengambil sikap lepas tangan.

    "Kami terpaksa bertindak sendiri kerana kami sedar masalah kami ini tidak diberi perhatian. Sampai bila kami harus menunggu... adakah hingga hutan kami musnah dan semua tanah kami musnah barulah hendak bertindak,” katanya. 

    Tinggal dalam pembentung banjir




    LAO LI tinggal di dalam pembentung sebelum dia diusir di Haikou, selatan China baru-baru ini.


    BEIJING - Seorang lelaki tinggal di dalam pembentung banjir di Haikou, selatan China, lapor sebuah akhbar kelmarin.
    Lelaki itu, Lao Li memasang lantai papan, pintu dan kusyen dalam pembentung yang sepanjang 1.82 meter.
    Bagaimanapun, lelaki itu yang berusia 30 tahun dan masih bujang diusir dari pembentung tersebut.
    Seorang pegawai berkata: "Dia akan diberikan sebuah rumah. Kami tidak boleh membenarkan penduduk tinggal di dalam pembentung ." - Agensi

    Adiwira lindungi pelacur di New York




    (kiri) SHADE dan (kanan) ZERO


    NEW YORK - Beberapa orang yang memakai pelbagai kostum yang menunjukkan mereka adiwira mengiklankan perkhidmatan di laman Criagslist di Internet untuk melindungi pelacur daripada dibunuh oleh pembunuh bersiri di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
    Kumpulan adiwira itu yang menggelarkan diri sebagai Inisiatif New York (NYI) menganggap diri mereka mahir dalam seni mempertahankan diri.
    Tawaran itu dibuat selepas satu siri pembunuhan pelacur bermula pada Disember lalu dengan kehilangan Shannan Gibert berusia 24 tahun.
    Sehingga kini, mayatnya masih belum ditemui tetapi 10 mayat pelacur lain telah ditemui termasuk Maureen Brainard-Barnes, 25, Melissa Barthelemy, 24, dan Amber Lynn Costello, 27.
    Sebahagian mayat yang ditemui itu dibuang di belukar di pantai selatan Long Island, New York. Semua mayat dijerut dan dimasukkan ke dalam guni.
    Kumpulan adiwira itu akan memakai kostum seperti watak wira super dalam komik dan filem. Antara anggota kumpulan tersebut ialah Shade dan Zero. - Agensi

    Hugh Grant ada kekasih rahsia




    HUGH GRANT keluar bersama Tinglan Hong di London baru-baru ini.


    LONDON - Pelakon terkenal, Hugh Grant yang pernah berkahwin dengan Jemima Khan kini mempunyai kekasih rahsia, lapor sebuah akhbar semalam.
    Dia yang berusia 50 tahun dilihat keluar bersama dengan seorang wanita Cina berumur 31 tahun, Tinglan Hong di sini.
    Wanita Cina itu digosipkan sudah hamil dengan anak Grant.
    Hugh dan wanita berkenaan dilihat keluar bersama baru-baru ini dan dikatakan menjalin hubungan sejak Januari lalu selepas mereka slaing berkenalan pada tahun lalu.
    Menurut akhbar News of The World, wanita itu dilihat mengunjungi rumah Grant yang pernah berlakon dalam filem About A Boy di barat London pada Khamis lalu.
    Wanita itu dilihat me-naiki kereta Ferrari berharga milik pelakon tersebut. - Agensi