Wednesday, January 25, 2012

Katak United

60 peratus veteran tentera Sarawak didakwa hidup miskin

KUCHING: Kira-kira 60 peratus daripada 13,550 bekas anggota tentera di Sarawak hidup di bawah paras garis kemiskinan, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia Sarawak, Lt Kol Monday Juhid.

"Mereka terdiri daripada veteran tentera yang tidak menerima pencen selepas menamatkan perkhidmatan," katanya selepas majlis penyampaian bantuan kebajikan kepada veteran oleh Panglima Tiga Briged, Brig Jen Hasagaya Abdullah di sini, hari ini.

Monday berkata, JHEV sedang menggiatkan usaha mencari dan mendaftar kesemua veteran tentera di negeri itu, namun setakat ini usaha berkenaan hanya berjaya mencatatkan 6,500 orang.
"Lebih separuh lagi yang belum mendaftar dengan kami dan kita akan menggunakan jaringan hubungan dengan 18 buah cawangan Persatuan Bekas Perajurit di negeri ini untuk menyampaikan maklumat jabatan kepada veteran yang terbabit," katanya.

Beliau berkata, JHEV Sarawak bercadang mengadakan lapan program kaunter bergerak sebagai satu lagi strategi melebarkan jangkauannya di negeri itu.

Menurutnya, masalah logistik di kawasan luar bandar Sarawak sudah dikenal pasti sebagai antara punca yang mengekang veteran tentera untuk mendaftar dengan JHEV.

"Ada juga segelintir bekas tentera yang kurang berminat untuk mendaftar atas alasan tidak memberikan apa-apa faedah kepada mereka, tetapi jumlah mereka ini sedikit saja," katanya.
JHEV ATM yang ditubuhkan pada 2001 di bawah Kementerian Pertahanan menyediakan pelbagai perkhidmatan dan bantuan sosio-ekonomi kepada bekas anggota tentera.

"Selain skim bantuan sara hidup, pendidikan sekolah, pendidikan tinggi, perubatan dan bencana, jabatan juga menyediakan perkhidmatan bimbingan dan bantuan keusahawanan untuk bekas tentera," kata Monday. - BERNAMA
Berita Harian Online | 60 peratus veteran tentera Sarawak didakwa hidup miskin:

'via Blog this'

Lima beranak merempat

lima beranak merempat
PORT DICKSON – Lantaran tidak mampu membayar sewa rumah berjumlah RM350 sebulan ­selama setahun lebih, lima beranak terpaksa hidup ­merempat sejak seminggu lalu.

G Eliza Scott, 36, bersama empat anaknya berusia antara dua hingga 16 tahun kini menetap di sebuah ­rumah kosong di sebuah flat, dekat sini untuk berteduh.

Eliza yang berasal dari Teluk Intan, Perak berkata, mereka sudah diarah keluar oleh pemilik rumah yang disewa sebelum ini pada minggu lalu.

“Sudah hampir setahun lebih saya tidak membayar sewa rumah kerana tidak bekerja kerana ada anak ­masih kecil dan tiada siapa yang akan menjaganya,” katanya.

Menurutnya, kehidupan dia sekeluarga kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sejak setahun lalu.

“Suami saya sudah berkahwin lain dan sudah mempunyai keluarga sendiri. Bagaimanapun, dia ada juga berusaha ­mencarikan rumah sewa baru yang sewanya lebih murah.

“Tetapi ia tetap mustahil untuk saya mampu membayar deposit dan sewa ­bulanan kerana saya tiada wang simpanan,” katanya.

Eliza berkata, anak ­sulung dan keduanya juga sudah hampir tiga tahun ­tidak bersekolah kerana ­masalah kewangan yang dihadapi.

“Dua lagi anak saya berusia lima dan dua tahun pula tidak memiliki sijil ­kelahiran. Ini menyukarkan saya dalam sebarang urusan terutama ketika mahu mendapatkan rawatan di klinik,” katanya.

Menurutnya, walaupun tinggal di rumah kosong, pengawal keselamatan dan pengurus bangunan di situ juga sudah mengarahkan ­mereka keluar meninggalkan rumah itu.

“Saya risau dengan keselamatan anak-anak yang ­semakin dewasa. Setiap malam saya hanya sekadar ‘tidur ayam’ kerana bimbang diganggu mereka yang mem­punyai niat jahat,” katanya.

10 tahun dikurung dalam bilik mandi


BARAA memeluk anak patung selepas diselamatkan daripada tahanan bapanya dan kini dia tinggal bersama ibunya di Qalandia, dekat Ramallah di Tebing Barat.
BARAA memeluk anak patung selepas diselamatkan daripada tahanan bapanya dan kini dia tinggal bersama ibunya di Qalandia, dekat Ramallah di Tebing Barat.


RAMALLAH: Seorang wanita Palestin berusia 21 tahun memberitahu, dia dikurung bapanya dalam bilik mandi sejak sedekad lalu dan hanya dibebaskan pada awal pagi untuk membersih rumah.
Menurut Baraa Melhem, bapanya sentiasa mengajarnya supaya menganggap orang lain sebagai penjahat.

Menurut pekerja sosial yang menguruskan kes itu, Hala Shreim, Baraa diselamatkan polis Palestin dari bilik mandi sempit itu di Qalqilya, Tebing Barat, kelmarin “Polis bertindak selepas menerima maklumat daripada seseorang yang tidak dikenali,” katanya.

Sementara itu, polis berkata, bapa Baraa - yang memiliki kewarganegaraan Israel - ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu.

Jurucakap polis Israel berkata, lelaki terbabit dijadual dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Ketika diwawancara stesen radio Voice of Palestine, Baraa berkata, dia berusia 11 tahun apabila mula dikurung bapanya di dalam tandas.

Baraa juga dilarang ke sekolah atau bertemu ibunya yang diceraikan bapanya sebelum itu.

“Bapa mencukur kepala dan bulu kening saya.

“Dia hanya membenarkan saya mandi sekali sebulan,” katanya.

Hala berkata, Baraa sering dipukul dengan belantan dan wayar, selain hanya diberi satu selimut untuk memanaskan badan.

“Bilik mandi itu hanya seluas satu setengah meter dan ia kelihatan seperti bilik kurungan,” katanya.

Menurut Hala, Baraa hanya dibenarkan keluar dari bilik mandi itu pada jam 1 pagi hingga 4 pagi untuk mencuci rumah.

Dia juga, kata Hala, selalu menggalakkan Baraa membunuh diri.

“Satu-satunya hubungan Baraa dengan dunia luar adalah radio,” katanya.

Kenyataan polis Palestin berkata, bapa Baraa mengaku mengurung anaknya atas alasan “masalah keluarga.” Dia juga mengaku memberi Baraa hanya roti sebagai makanan utama. - Reuters

Kembar Siam masih di hospital ekoran keluarga tidak mampu


Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie masih dirawat di HSNZ, Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 24 Jan. - Sejak dilahirkan empat bulan lalu, pasangan kembar Siam, Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie sehingga kini terpaksa menjalani kehidupan di hospital.
Puncanya, ibu dan ayah mereka masih tidak mampu menyediakan rumah yang selesa mengikut spesifikasi ditetapkan agar tidak menjejaskan kesihatan kerana mereka masih memerlukan penjagaan rapi.
Ibu bayi itu, Noraini Mohamad, 32, terkilan kerana keadaan masih menjarakkannya dengan anak-anak dan memaksanya berulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk melihat mereka.
Katanya, keinginan untuk membawa pulang pasangan kembar itu membuak-buak apatah lagi mereka kini sudah mampu bergerak dan tersenyum apabila disentuh dan dibelai.
"Gembira dapat tengok keletah mereka yang kadang-kadang mencuit hati. Bayangkan kalau dapat tengok pergerakan mereka setiap masa," jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Noraini, pihak hospital telah membenarkan pasangan kembar itu dibawa pulang namun keadaan rumah mertua di Kuala Ibai di sini, tempat dia menumpang tinggal dianggap tidak sesuai.
Katanya, dia kini berusaha untuk mencari sebuah rumah yang selesa di sekitar bandar ini untuk disewa namun kebanyakan harga yang ditawarkan agak tinggi dan di luar keupayaan suaminya.
"Memang ada hasrat hendak membina rumah baru, namun perlu ada RM40,000 hingga RM50,000 dulu. Masalahnya kami memang tidak ada duit sebanyak itu.
"Kalau ada rumah yang sesuai pun, sewanya pula terlalu tinggi sekitar RM400 hingga RM500 sebulan dan kami memang tidak mampu," katanya.
Sebelum ini katanya, dia menyewa bersama ibunya di Kampung Padang, Gong Pak Maseh dekat sini namun telah berpindah ke rumah ibu mertuanya di Kuala Ibai.
"Kami perlu menyewa sebuah rumah yang selesa dan persekitaran bersih, diperbuat daripada batu dan mempunyai siling bagi melindungi kembar itu yang sensitif kepada persekitaran.
"Rumah ibu saya rumah papan manakala rumah mertua pula tiada siling menyebabkan pihak hospital enggan memberikan kebenaran.
"Jadi saya bercadang untuk membawa mereka tinggal di Kemaman memandangkan suami saya menjual ikan di sana dan berharap kerajaan negeri dapat membantu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau rumah kos rendah dengan kadar sewaan yang kecil," ujarnya.
Bayi yang dilahirkan seberat empat kilogram pada 22 september tahun lalu itu bercantum pada bahagian pusat hingga dada dan pemeriksaan awal pihak hospital mendapati mereka berkemungkinan berkongsi hati dan jantung.
Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan akan membiayai kos pembedahan jika diperlukan untuk memisahkan mereka kelak.