Tuesday, May 31, 2011

Skim cepat kaya: 'Ustaz' dikatakan miliki jet privet

KUALA LUMPUR: 'Ustaz Harun' atau Harun Mat Saat, yang dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan skim cepat kaya mencecah RM200 juta ($81.8 juta), dipercayai memiliki sebuah syarikat jet persendirian di Pekan, Pahang, selain daripada sederetan kereta mewah, termasuk jenis Nissan FairLady, Subaru Impreza, Toyota Alphard dan BMW.
Difahamkan, semua aset mewah itu digunakan ahli lembaga pengarah Dina Group Sdn Bhd (Dina Group) yang dimiliki Harun, 45 tahun, ketika berurusan dengan pelabur baru syarikat tersebut.Syarikat itu memulakan operasi perniagaannya pada 2006, lapor akhbar Harian Metro semalam.Perkara itu didedahkan kepada Harian Metro oleh seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai 'Ustaz Zul', 36 tahun, yang mendakwa pernah beberapa kali bertemu Harun ketika melibatkan diri dalam pelaburan skim cepat kaya yang dikenalkan Dina Group.'Melihat penampilannya yang meyakinkan, bijak bermain kata-kata dan emosi sehingga menitiskan air mata apabila menceritakan kesusahan yang dilalui, semua peserta yang menghadiri seminar atau bengkel seolah-olah 'dipukau' sehingga sanggup mendaftar sebagai ahli.'Saya difahamkan 'Ustaz Harun' bukan saja warak, malah bergiat aktif sebagai penceramah agama di sekitar pantai timur sebelum menjalankan perniagaan,' kata mangsa, yang pernah melabur sehingga RM100,000 antara Oktober 2008 dengan Mac 2009.Menurutnya, beliau menyertai skim pelaburan yang ditawarkan Syarikat Business Time Dina Sdn Bhd itu, anak syarikat Dina Group, yang mengeluarkan produk cucian berjenama Dina dan bahan keluli yang beroperasi di Kuantan.'Saya tertarik dengan skim mereka kerana 'Ustaz Harun' mendakwa perniagaan itu berasaskan sistem Islam dan bertujuan membantu masyarakat Islam di rantau Asia, khususnya di Malaysia,' jelas Ustaz Zul. -- Harian Metro. Cyberita Online Luar Negara

Zahid sedia jelaskan di mahkamah isu rasuah beli kapal selam Perancis

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sedia memberi keterangan di mahkamah berikutan siasatan Perancis berhubung dakwaan wujudnya gejala rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene yang bernilai ribuan juta ringgit oleh Malaysia.
'Mereka boleh cabar kita di mahkamah. Kita mahu lebih telus. Berhubung dakwaan mereka, biar mahkamah tentukan kebenaran,' kata Datuk Seri Ahmad Zahid kepada wartawan, kelmarin, seperti yang ditukil laman berita Malaysiakini.Pihak berkuasa Perancis sedang menjalankan siasatan berhubung komisen yang dibayar dalam perjanjian pembelian kapal selam itu yang dianggarkan bernilai RM7.3 bilion ($3 bilion) antara kerajaan Malaysia dengan firma pertahanan yang berpangkalan di Perancis, DCNS.Bayaran seumpama itu adalah tidak sah di bawah undang-undang Perancis.Pada 2009, sebuah pertubuhan hak asasi bukan milik kerajaan (NGO), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), mengemukakan saman ke atas DCNS di mahkamah di Paris dalam apa yang didakwa mereka sebagai rasuah aktif dan pasif dalam menjalankan urus niaga berdasarkan habuan dan menyalahgunakan aset koporat.Suaram sedang mengumpulkan dana bagi menanggung membiayai kos guaman kepada peguam-peguamnya dalam perbicaraan itu.Apabila diminta mengulas perkembangan itu, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata beliau 'sedia ke mahkamah jika diminta berbuat demikian, tetapi syaratnya mesti diluluskan oleh kabinet'.'Jika kabinet tidak benarkan, maka saya tidak perlu pergi,' ujarnya.Pengarah Suaram, Cik Cynthia Gabriel, semalam dipetik laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata satu permohonan telah difailkan kepada mahkamah Perancis pada Mac lalu dan, jika buktinya mencukupi, kes tersebut akan dibicarakan dalam mahkamah terbuka.Itu bermakna para pegawai tinggi Malaysia, khususunya Kementerian Pertahanan negara itu dan mereka yang terbabit dalam pembelian tersebut pada 2002 itu, akan dipanggil sebagai saksi, tambahnya. Cyberita Online Luar Negara

China kawal ketat Inner Mongolia elak protes baru puak Mongol


KAWALAN RAPI: Orang-orang di tepi sebatang jalan raya memerhatikan anggota polis separa tentera berbaris berdekatan sebuah sekolah vokasional di bandar Xilinhot, di wilayah Inner Mongolia, dekat barat laut China, semalam. -- Foto AFP


XILINHOT (China): Kawalan ketat semalam dikenakan ke atas seluruh Inner Mongolia, sebuah wilayah China yang sedang bergolak, menjelang kemungkinan berlakunya protes- protes terbaru oleh puak Mongol terhadap pemerintahan China, kata sebuah kumpulan hak asasi.
Wilayah utara dekat sempadan Mongolia itu telah melihat berlakunya beberapa demonstrasi yang dicetuskan oleh pembunuhan seorang anggota puak Mongol yang menentang apa yang ditanggapi sebagai penindasan China.Universiti-universiti dan dataran awam telah ditutup di beberapa bandar - satu jangkaan berlakunya pergolakan oleh pihak berkuasa yang semakin gementar dengan beberapa panggilan dalam talian tidak bernama yang menggesa diadakan protes di seluruh negara sebagai mencontohi apa yang berlaku di dunia Arab.Pihak berkuasa juga dijangka khuatirkan satu lagi pergolakan etnik yang besar berikutan tercetusnya satu demonstrasi besar-besaran di Tibet pada 2008 dan wilayah Xinjiang di barat laut China pada 2009.'Ia agak sensitif di sini sekarang,' kata seorang pegawai polis berpakaian seragam kepada agensi berita AFP di luar sebuah sekolah vokasional di bandar Xilinhot, di kawasan Xilingol - pusat tercetusnya pergolakan.Dua penduduk setempat pula memberitahu AFP bahawa para pelajar dari sekolah berkenaan pernah terbabit dalam protes-protes, tetapi enggan memberikan butir-butir lanjut.Para wartawan AFP tidak dibenarkan masuk ke premis-premis itu, yang pintu masuknya dikawal ketat oleh polis.Anggota polis bersenjata boleh dilihat di sebuah sekolah menengah berdekatan tetapi jalan-jalan raya tetap dibuka kepada lalu lintas di kawasan itu, sedang para wartawan AFP tidak melihat sebarang tanda berlakunya perhimpunan.Seorang penduduk lelaki di Wilayah Ujumchin Kiri, atau dalam bahasa China disebut sebagai wilayah Xiwuqi - satu lagi kawasan pergolakan - berkata polis menjalankan pemeriksaan identiti dan menghentikan kenderaan tetapi jalan-jalan raya tetap dibuka.Pergolakan itu, yang membabitkan ribuan pembantah sejak beberapa minggu, tercetus selepas seorang penggembala, Encik Mergen, digilis sebuah trak yang dipandu oleh seorang anggota puak Han, kumpulan etnik terbesar China. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

Mubarak tiada aset di luar negara



KAHERAH 30 Mei - Peguam bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) menyatakan bahawa bekas pemimpin Mesir itu mempunyai kekayaan tidak lebih daripada AS$1 juta (RM3 juta) dan beliau tidak memiliki aset di luar negara.
Farid el-Deeb yang mendedahkan perkara itu dalam wawancara dengan CNN, semalam juga berkata, bekas Presiden itu menafikan terlibat dengan rasuah dan membunuh penunjuk perasaan semasa pemberontakan rakyat yang membawa kepada penyingkirannya pada Februari lepas.
"Beliau sangat sedih dan kesal kerana beliau tidak pernah terbayang akan menghadapi tuduhan seperti itu.
"kekayaannya hanya berjumlah kira-kira enam juta pound Mesir (RM3 juta) yang disimpan hasil bekerja selama 62 tahun," kata Deeb. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

2 pekerja terdedah radiasi tinggi


TOKYO 30 Mei - Pengendali loji tenaga nuklear Fukushima hari ini berkata, dua pekerjanya disahkan terdedah kepada paras radiasi yang tinggi dan ia menimbulkan kebimbangan jangka panjang.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, TEPCO menemui paras iodin-131 setinggi 9,760 dan 7,690 becquerels pada dua pekerja terbabit, 10 kali lebih tinggi daripada pekerja lain di loji tersebut.

Dua pekerja tersebut berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an itu dilaporkan terdedah kepada paras radiasi yang tinggi daripada paras yang ditetapkan.

Menurut agensi berita Jiji, dua pekerja tersebut telah berhenti bekerja di loji berkenaan.

Bagaimanapun, dua pekerja itu tidak jatuh sakit dan akan menjalani rawatan lanjut. 30/05/2011 - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Abu Bakar didakwa latih pengganas



JAKARTA 30 Mei – Pendakwa raya Indonesia hari ini mendakwa guru agama radikal, Abu Bakar Bashir terlibat dalam merancang dan membiayai kegiatan latihan sekumpulan pengganas dan mereka menuntut dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Ketua pendakwa raya, Andi M Taufik memberitahu mahkamah daerah Jakarta Selatan, pihaknya menolak segala hujah dalam memorandum yang dikemukakan oleh pasukan peguam bela dan defendan pada perbicaraan sebelum ini.
“Defendan terlibat dalam perancangan, penyediaan dan pembiayaan latihan ketenteraan,” kata Andi.
Menurut laporan stesen televisyen MetroTV, beliau memetik kenyataan saksi bahawa Abu Bakar pernah menonton video latihan ketenteraan di Aceh pada awal Februari 2010 di pejabat Jemaah Ansharut Tauhid di Jakarta. – dpa
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Schwarzenegger didakwa menipu



BOGOTA 30 Mei - Bekas suami kekasih 'gelap' Arnold Schwarzenegger mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas gabenor California itu kerana mendakwa sijil kelahiran anak hasil hubungan sulit bekas gabenor itu dengan bekas isterinya telah dipalsukan.
Lelaki itu dikenali sebagai Rogello Baena berasal dari Colombia yang pernah berkahwin dengan Mildred Patricia Baena yang merupakan pembantu rumah Schwarzenegger.
Menurut media hiburan Amerika Syarikat (AS), Baena berpisah dengan Midred selepas berkahwin selama 10 tahun sejak Oktober 1997, hanya beberapa minggu selepas kanak-kanak tersebut dilahirkan.
Pasangan itu hanya memfailkan penceraian mereka pada Februari 2008.
Hanya baru-baru ini, Baena mengetahui anak lelakinya yang kini berusia 13 tahun itu adalah anak hasil hubungan sulit bekas isterinya dengan pelakon tersebut.
Ini kerana Baena dinamakan sebagai bapa dalam sijil kelahiran kanak-kanak itu dan pihak peguam telah memaklumkan kepadanya jika Schwarzenegger dan Mildred mengetahui maklumat dalam sijil kelahiran itu tidak benar, pelakon berkenaan dan kekasih gelapnya itu terlibat dalam konspirasi untuk memalsukan dokumen, yang merupakan satu kesalahan jenayah di California.
Mildred yang kini berumur 50 tahun, bekerja di rumah pelakon itu selama 20 tahun.
Pelakon itu mempunyai empat orang anak berumur antara 14 dan 21 tahun bersama Shriver dan anak bongsu mereka dilaporkan dilahirkan beberapa hari sebelum anak yang didakwa hasil hubungan sulit Schwarzenegger-Mildred dilahirkan.
Schwarzenegger, 63, mengumumkan perpisahannya dengan isterinya, Maria Shriver baru-baru ini selepas berkahwin selama 25 tahun sejak 10 Mei lalu setelah rahsia aktor itu mempunyai anak dengan kekasih gelapnya terdedah.
Gambar Mildred dan anak lelakinya yang kelihatan sangat mirip dengan wajah Schwarzenegger telah tersebar di Internet sejak pelakon itu mengaku mempunyai anak bersama dengan kekasih gelapnya itu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Presiden Afrika Selatan lawat Libya



BENGHAZI, Libya 30 Mei – Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dijadual tiba di Tripoli hari ini bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, yang dikatakan bagi membincangkan pengunduran pemimpin Libya itu.
Sumber pejabat Zuma berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk membincangkan strategi pengunduran Gaddafi.
Satu lagi sumber berkata, Afrika Selatan bekerjasama dengan Turki untuk membincangkan pelan pengunduran Gaddafi.
Jurucakap Zuma, Zizi Kodwa berkata, perbincangan berhubung strategi pengunduran itu agak mengelirukan kerana lawatan Presiden Afrika Selatan ke Libya itu sejajar dengan usaha Kesatuan Afrika bagi membantu Libya melaksanakan pembaharuan politik bagi menamatkan krisis di negara ini.
Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaaim mengesahkan lawatan Zuma hari ini, namun tidak menyatakan sama ada pengunduran Gaddafi akan dibincangkan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sehari sebelum lawatan Zuma ke Libya, Kongres Kebangsaan Afrika pimpinan Presiden Afrika Selatan itu mengutuk serangan NATO ke atas Libya.
‘‘Kami bersama negara lain di benua ini dan pencinta keamanan di seluruh dunia mengutuk serangan udara berterusan di Libya,’’ kata parti itu selepas mesyuarat Majis Eksekutifnya sejak dua hari lalu.
Turki bulan lepas mencadangkan kepada komuniti antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU) satu pelan damai bagi menamatkan krisis Libya yang menyaksikan pengunduran Gaddafi dan membuka laluan kepada pembaharuan politik.
Sementara itu, kumpulan pemberontak Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) memohon komuniti antarabangsa memberi bantuan kewangan kepada kumpulan pemberontak. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Jerman mahu tutup semua reaktor nuklear




GAMBAR fail bertarikh 15 Mac, 2011 merakamkan loji nuklear Neckarwestheim di selatan Jerman. - Agensi


BERLIN 30 Mei - Jerman hari ini mengumumkan rancangan untuk menutup kesemua loji nuklearnya secara berperingkat-peringkat sehingga 2022 ekoran kesedaran daripada bencana loji nuklear di Jepun, baru-baru ini.
Sekali gus ia menjadi negara perindustrian utama pertama menutup kesemua loji nuklearnya didorong oleh krisis nuklear di Jepun, kata Menteri Alam Sekitar, Norbert Roettgen.
Beliau mengumumkan keputusan kerajaan campuran berhaluan tengah kanan itu ekoran krisis loji nuklear Fukushima di Jepun dan tidak akan menarik balik keputusan itu.
"Selepas mengadakan perundingan yang panjang, sekarang kami ada persetujuan daripada kerajaan campuran untuk menutup loji nuklear.
"Keputusan ini konsisten, muktamad dan jelas," katanya selepas berunding selama tujuh jam di pejabat Canselor Angela Merkel.
Jerman mempunyai 17 reaktor nuklear, lapan daripadanya kini tidak menjana elektrik di grid tenaga elektrik.
Tujuh daripada lapan loji nuklear itu yang kini tidak berfungsi merupakan reaktor nuklear tertua negara ini dan Kerajaan Persekutuan telah menutupnya selama tiga bulan, sementara menunggu pemeriksaan keselamatan selepas berlaku bencana nuklear di Jepun pada Mac lalu.
Reaktor kelapan merupakan loji Kruemmel yang terletak di utara Jerman yang telah bertahun-tahun tidak berfungsi kerana mengalami masalah teknikal.
Namun, keputusan itu juga bermakna Jerman perlu mencari alternatof bagaimana untuk memenuhi keperluan tambahan penggunaan tenaga elektriknya berjumlah 22 peratus buat masa ini yang dijana oleh reaktor nuklear. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

‘Kami kerugian’



BUKTI...Ahmad menunjukkan sijil halal yang diperoleh daripada IFRC Asia.
BUKTI...Ahmad menunjukkan sijil halal yang diperoleh daripada IFRC Asia.


KUALA LUMPUR: “Sebagai seorang Islam tidak mungkin kami menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama,” kata Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal yang kini dipersoalkan kandungan alkohol di dalamnya.
Ahmad berkata, jualan Barbican yang sudah berada dalam pasaran tempatan sejak enam tahun lalu terjejas teruk sejak timbul isu minuman bir halal mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.

Menurutnya, Barbican tidak pernah dilabelkan sebagai bir halal selama ini sebaliknya hanya minuman malta berperisa buah-buahan.

“Bagaimanapun sejak isu itu timbul banyak media menggunakan gambar Barbican sehingga mengelirukan pengguna.

“Saya ingin tegaskan Barbican tidak mengandungi alkohol malah anda boleh temui minuman ini dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana,” katanya.


Ahmad berkata, Barbican dikeluarkan syarikat Aujan Industries Co yang berpusat di Dubai dan dipasarkan di seluruh negara Arab selain Asia serta Eropah untuk pengguna Islam.

“Kami mempunyai sijil daripada Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk eksport dan sijil halal daripada Islamic Food Research Centre Malaysia & Asia Region (IFRC Asia). Kami sama sekali tidak menjual minuman yang mengandungi alkohol kepada umat Islam.

Dia bagaimanapun mendakwa isu itu mungkin timbul disebabkan persaingan berikutan Barbican semakin menjadi pilihan umat Islam di negara ini.

“Saya tidak tahu sama ada minuman yang dikatakan bir halal yang dijual di sini mengandungi alkohol atau tidak tetapi apabila ada pihak mengaitkan dakwaan itu dengan Barbican sudah tentu ia menjejaskan perniagaan kami.

“Isu ini mungkin juga disebabkan persaingan namun saya tidak mahu menuduh sesiapa dan pada masa sama saya juga merancang untuk bertemu pihak Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bagi menyelesaikan kekeliruan ini,” katanya.
myMetro | ‘Kami kerugian’

Hairuman keluar wad hari ini





HAIRUMAN dibawa bersiar oleh Maryuni (kanan) bersama ahli keluarganya serta Rizan (kiri) di ruang legar wad Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhammad Hairuman Miskon, 22, akhirnya dibenarkan pulang ke rumah hari ini bertepatan dengan hari ulang tahun kelahirannya selepas enam bulan terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Hairuman yang ditemui di wad HKL semalam berkata, dia sangat teruja bercampur sedih selepas doktor membenarkan dia keluar dari wad.
“Saya tidak sabar untuk melihat pemandangan luar sebab sudah lama di wad selain rindu untuk berjumpa keluarga.
“Pada masa yang sama, saya juga sedih sebab terpaksa berpisah dengan pesakit lain dan petugas hospital kerana mereka selalu memberi saya sokongan dan semangat agar saya cepat pulih,” katanya.
Katanya, walaupun kemalangan telah mengubah kehidupannya, dia bersemangat dan yakin boleh memenuhi impiannya yang terpendam selama ini untuk memulakan perniagaan barangan elektronik dan melukis serta mendalami bidang keagamaan.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online - Negara